Artikel "Utama" Terkini
SG4 Cari Jalan Perhebatkan Pelancongan
Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah berbincang bagi mencari jalan efektif untuk memperhebatkan pelancongan di negeri State Goverment 4 (SG4).
06 Nov 23
94
Ivan Mamut Kemudi Terengganu FC Ke Pentas Akhir
Terengganu FC memastikan tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan agregat 4-2, dalam aksi separuh akhir kedua.
06 Nov 23
54
25,000 Penyokong TFC, KL Zahir Sokongan Kepada Palestin
Lebih 25,000 penyokong pasukan Terengganu FC mengangkat ribuan bendera Palestin serta kain rentang bagi mempamerkan solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu oleh rakyat mereka.
06 Nov 23
88
GLC Ditagih Tambah Baik Zoo Kemaman
KEMAMAN, 6 November - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu diharap dapat membantu memajukan Zoo Kemaman dengan menambah haiwan yang berpotensi menjadi daya tarikan untuk meningkatkan jumlah pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihak zoo telah diminta mengenalpasti haiwan yang diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak, belia dan pelajar-pelajar.
"Saya mengharapkan seluruh GLC dalam negeri Terengganu ini memberikan bantuan ataupun sumbangan dengan membeli haiwan yang masih tidak ada untuk ditempatkan di Zoo Kemaman ini.
"Insya-Allah saya akan terus berbincang dengan anak syarikat yang bersar di negeri Terengganu ini bagi memastikan hasrat ini tercapai agar ia setanding dengan zoo di Melaka dan Taiping (Perak)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, dalam memulakan lawatannya kerjanya ke setiap daerah di negeri ini, di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Razali berkata dengan apa yang telah sedia ada di lokasi ini ia juga mampu dijadikan 'Night Zoo' untuk menjadi daya tarikan unik yang boleh dinikmati pengunjung.
"Dengan menyediakan pengalaman untuk melihat hidupan yang jarang atau tidak ada di tempat lain iaitu kunang-kunang yang mana ia perlu menaiki bot atau 'river cruise'," ujarnya lagi.
Dalam pada itu katanya, mengenai banjir luar jangka yang berlaku pada tahun lalu, perkara itu dianggap sebagai perkara yang jarang berlaku.
"Jadi dalam lawatan ini kita telah melihat saliran dan mengenal pasti beberapa langkah bagi mengatasi masalah bila berlaknya banjir, untuk itu kita akan angkat peruntukan dari kerajaan pusat dan dalam masa terdekat akan berjumpa Menteri Pelancongan.
"Antara isu yang akan kita bawa ialah mengenai sistem perparitan,beberapa infrastruktur lagi untuk menceriakan lagi.
"Bagi memperhebatkan promosi pula kita akan bincang untuk menggunakan kaedah silang zoo, antara zoo Terengganu yang baru hendak meningkat ini dengan zoo lain yang ada dalam negara," katanya.
06 Nov 23
561
Sedia Bantu Graduan Buka Perusahaan Sendiri
Kerajaan Negeri melalui Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) bersedia membantu graduan membuka perniagaan atau perusahaan sendiri selepas berjaya menamatkan pengajian di institusi itu.
06 Nov 23
90
SG4 Cari Jalan Perhebatkan Pelancongan
KEMAMAN, 5 November - Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah berbincang bagi mencari jalan efektif untuk memperhebatkan pelancongan di negeri State Goverment 4 (SG4).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu menjadi topik perbincangan ketika perjumpaan kali pertama diadakan membabitkan keempat-empat Exco Pelancongan negeri berkenaan.
"Kita telah mengadakan perjumpaan itu pada bulan lepas di Tasik Kenyir selama dua hari satu malam dan telah berbincang perkara patut dilakukan, antaranya silang budaya.
"Juga membuat pengiklanan untuk fasa pertama ini, dengan keempat-empat saling mempromosikan kehebatan, keindahan dan keunikan yang ada di negeri masing-masing.
"Seperti Terengganu kaya dengan alam semula jadi, memiliki pulau, tasik, ada pantai yang cantik serta memiliki 'geopark' yang sangat hebat akan dipromosikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika mengadakan lawatan kerja di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, di sini hari ini.
Razali berkata, pihaknya optimis akan mencapai hasil yang positif dalam memajukan sektor pelancongan di empat buah negeri ini.
"Melalui fasa pertama ini kita minta semua pengarah berbincang dan kita nampak (usaha ini) agak berjaya kerana pgawai-pegawai telah mula berbincang.
"Selepas lima tahun kita akan melihat apa kemajuan yang kita dapat untuk pergi ke peringkat seterusnya," katanya.
05 Nov 23
239
Nur Aufa Raih Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
KUALA TERENGGANU,5 November- Kesukaran mengikuti pembelajaran ketika di peringkat sekolah menengah akibat diuji dengan masalah kesihatan, tidak menghalang Nur Aufa Johan,24, untuk akhirnya lulus cemerlang dan berjaya menggenggam segulung ijazah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Kepujian yang disahkan menghidap penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 16 tahun itu berkata, dugaan tersebut tidak membuatnya berputus asa, sebaliknya menjadi kekuatan untuk mencipta kejayaan.
Anak kelima daripada enam beradik yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, hari ini.
“Saya sangat berbangga sebab Allah kurniakan saya dengan kudrat dan berjaya menerima anugerah pada hari ini.
“Kejayaan hari ini bukanlah usaha saya seorang tetapi berkat doa dan sokongan daripada kedua ibu bapa, keluarga serta para pensyarah,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut.
Berkongsi kisah penyakit yang dihadapi, Nur Aufa memberitahu, dia pernah tidak hadir ke sekolah beberapa bulan dan hospital menjadi rumah keduanya, menyebabkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didudukinya kurang memuaskan.
“Waktu itu sangat sedih kerana hasrat saya untuk hadiahkan keputusan cemerlang buat ibu ayah seperti abang dan kakak yang lain tidak kesampaian.
“Baru saya sedar betapa pentingnya pendidikan. Saya berazam untuk berusaha lebih gigih untuk banggakan ibu ayah dan hadiahkan kejayaan buat mereka suatu hari nanti,” katanya.
Kini, Nur Aufa bukan sahaja berjaya melunaskan azamnya, bahkan telah membanggakan kedua orang tuanya apabila berjaya menjawat jawatan sebagai pegawai strategik di Bahagian Komunikasi Korporat, PETRONAS di ibu negara.
Anak gadis kepada pasangan Johan Mansor, 66, dan Nooraini Ismail, 60, itu turut merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana kelak.
05 Nov 23
594
Hanya Seorang Graduan Palestin Hadir Konvokesyen UniSZA, Empat Gagal Dihubungi
KUALA NERUS, 5 November - Enam graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari Palestin merupakan antara 3,608 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini bermula Ahad hingga Rabu ini.
Bagaimanapun, hanya seorang yang hadir iaitu graduan PhD Fakulti Sains Kesihatan, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, manakala empat graduan Palestin yang lain gagal dihubungi dan tidak diketahui status keberadaan mereka ketika ini.
Manakala, graduan Fakulti Informatik dan Komputeran, Saber T R Syouri, 50, membuat satu hantaran video yang ditayangkan pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) bagi memaklumkan dia tidak dapat datang ke konvokesyen kali ini.
Dia memaklumkan situasi yang memburuk sedang berlaku di Palestin ketika ini dan memohon doa untuk Palestin.
"Saya minta maaf, betul-betul minta maaf. Saya tidak dapat berada di sana (UniSZA) pada hari istimewa ini untuk bergraduasi.
"Ini kerana situasi di sini berbahaya dan rumit. Mohon, berdoalah dan doakan Palestin dan umat Islam. Mohon doakan untuk Palestin.
"Terima kasih atas segala-galanya...terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih pada semua," katanya.
Difahamkan, Saber kini berlindung di Tebing Barat dan beliau telah kehilangan ahli keluarga termasuk anak perempuan serta anak lelaki dalam serangan Israel ke atas Palestin baru-baru ini.
Sementara itu, Hanan ketika ditemui berkata dia berpeluang hadir ke majlis konvokesyen kerana masih berada di Terengganu selepas menamatkan pengajian di UniSZA kerana larangan masuk ke Gaza atas risiko keselamatan.
Dia yang hadir tanpa ditemani ahli keluarga cuba menahan rasa sedih ketika menerima skroll ijazah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tetap berasa bersyukur kerana sehingga hari ini keluarganya masih selamat dan dapat dihubungi di Gaza, Palestin.
"Kali terakhir saya menghubungi keluarga semalam walaupun keadaan internet di sana agak lemah dan kerap terputus namun bersyukur masih dapat berbalas mesej dengan mereka menerusi Facebook dan Instagram.
"Saya bersyukur dan sangat merindukan mereka. Ingatan saya sentiasa kepada keluarga selain mendoakan kesejahteraan mereka supaya dilindungi Allah dan kekal selamat di Gaza," katanya yang ingin mencari peluang kerja lebih baik di Malaysia.
Dia turut menyimpan harapan Palestin mendapat kebebasan seperti diperjuangkan dan pulang untuk menemui keluarganya pada satu masa nanti.
05 Nov 23
336
Lahirkan Generasi Seimbang di Kalangan Graduan- Sultanah Terengganu
KUALA NERUS, 5 Disember -Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menyeru Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) agar memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan generasi seimbang di kalangan graduan.
Baginda bertitah UniSZA harus membebaskan anak muda dari penjara maya, kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman pada zaman kecanduan 'skrin dan alam meta'.
"Dunia semakin tua dan masyarakat global terus berhadapan dengan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek.Kecanduan ini merupakan punca kepada keruntuhan nilai.
"Beta berharap, UniSZA memastikan, pendigitalan universiti, seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-15 UniSZA yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 November 2023, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, disini hari ini.
Seramai 3,608 graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut.
Dalam masa sama, Baginda yang juga Canselor UniSZA menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen seluruh warga UniSZA, dengan pencapaian kedudukan penarafan.
"Beta dimaklumkan, UniSZA berada pada kedudukan 1,201 hingga 1,500, dalam Times Higher Education World University Ranking,"titah Baginda lagi.
Justeru itu, Sultanah Nur Zahirah berharap barisan Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi, staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional serta Staf pentadbiran dan sokongan, akan terus menyumbang selaras dengan gagasan "Ilmu Demi Faedah Insan", sebagai jariah.
05 Nov 23
190
3,608 Graduan UniSZA Dirai Dalam Konvokesyen Ke-15
KUALA TERENGGANU, 5 November- Seramai 3,608 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 selama empat hari bermula hari ini.
Naib Canselornya, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam berkata, graduan yang diraikan terdiri daripada 111 penerima ijazah doktor falsafah, 76 ijazah sarjana, 110 diploma pascasiswazah pendidikan, 2,057 ijazah sarjana muda dan 1,254 diploma.
"Jumlah ini termasuk 27 graduan sulung program Sarjana Muda Farmasi (Kepujian). Majlis turut meraikan 16 graduan dari Republik Mauritius yang berjaya memperoleh Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) menerusi program pesisir, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 yang disempurnakan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, hari ini.
Katanya, UniSZA buat julung kali turut menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Dato' Dr. Alias Daud, yang merupakan mantan Naib Canselor UniSZA dan juga profesor di Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), UniSZA.
"Manakala Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang berjasa memartabatkan Bahasa Melayu pula dianugerahkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan, " katanya.
Beliau dalam masa sama memaklumkan, selain PhD, majlis konvokesyen terbabit turut menyaksikan penyampaian anugerah lain seperti Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang serta Anugerah Terbaik Fakulti (Pingat Ibnu Al-Baytar) kepada graduan terpilih.
05 Nov 23
513