lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

3 Sekolah Di Kuala Terengganu Tutup Akibat Banjir
3 Sekolah Di Kuala Terengganu Tutup Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU , 20 November- Tiga buah sekolah di sekitar daerah ini terpaksa ditutup apabila mula dinaiki air sejak awal pagi tadi susulan hujan lebat yang melanda sejak semalam. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata tiga sekolah yang terjejas banjir di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.  “Kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air dan menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa menyebabkan pihak pengurusan telah memutuskan untuk tidak membenarkan murid-murid hadir ke sekolah yang terjejas kerana isu keselamatan mereka. "Bagaimanapun, semua guru dan murid yang terlibat akan belajar seperti biasa melalui mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR,”katanya. Dalam masa sama, jabatan juga sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah yang lain kerana hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan segera kepada ibu bapa untuk tindakan mereka. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu, bermula semalam hingga hari ini. MetMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan, ia membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
20 Nov 23
4132
Kerajaan Negeri Arah Agensi Terlibat Gerakkan Aset Bantu Kawasan Terjejas Banjir
Kerajaan Negeri Arah Agensi Terlibat Gerakkan Aset Bantu Kawasan Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan negeri telah mengarahkan semua agensi berkaitan segera menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir. Timbalan Pengerusi Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata ia bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera. "Saya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, susulan banjir yang sedang  melanda di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. "Ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS," ujarnya ketika dihubungi. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, berkata secara umumnya, hujan turun menyeluruh di Kawasan Negeri Terengganu bermula awal pagi tadi. Katanya, penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200mm di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang. "Setakat pagi ini, beberapa kawasan telah dinaiki air antaranya Kampung(kg) Tok Adis, Jalan kamaruddin, Jalan Pusara, Rhu Rendang, Pasar Payang, Kg. Che Kundur, Gong Badak, Merchang, Jalan Kg Paloh, Jalan Sultan Omar, Tok Jembal. "Sehingga jam 12 pagi, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah di buka iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal(54 keluarga, 124 mangsa), Dewan Flat Batin Perdana( 4 keluarga 25 mangsa dan SK Chendering (9 keluarga 35 mangsa)," ujar beliau. Tambahnya lagi, tiga buah sekolah iaitu SK Losong, SK Tok Dir dan SK Seri Budiman terpaksa ditutup kerana dinaiki air setinggi 1 kaki (0.3M), ditutup dan semua guru dan pelajar melalui proses PDPR. Dalam masa sama, pihak JPNT turut memantau banjir di sekolah berkenaan dan juga sekolah-sekolah lain. Sementara itu, Hanafiah menyarankan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah segera sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka. "Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh arahan pihak berkuasa "Saya minta mereka yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.Jaga keselamatan diri dan keluarga," ujarnya. TNB dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya menutup semua suis utama di premis masing-masing sekiranya air mula meningkat dan diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara. Mereka juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine menerusi talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline jika terdapat pepasangan TNB yang terputus atau tumbang bagi tindakan segera, demi keselamatan awam selain terus memantau keadaan setiap pepasangan dari semasa ke semasa.
20 Nov 23
297
Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah
Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah
Kerajaan Negeri memandang serius isu berkaitan individu yang mencabar Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) negeri Kelantan.  
19 Nov 23
78
JPV Rampas 9,120 Kilogram Karkas Babi
JPV Rampas 9,120 Kilogram Karkas Babi
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas sebanyak 9,120 kilogram karkas babi dengan membabitkan nilai keseluruhan RM396,240.
19 Nov 23
53
UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim
UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim
KUALA TERENGGANU, 19 November- Universi Malaysia Terengganu (UMT) dan Penang Port Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan kecekapan bidang maritim dan pelabuhan. Kolaborasi itu dilakukan hasil siri kunjungan daripada kedua-dua pihak bagi melihat potensi dan peluang serta fasiliti yang boleh dimanfaatkan secara bersama. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama yang dimeterai itu merupakan suatu pengiktirafan daripada pemain industri yang meletakkan kepercayaan kepada UMT selaku sebuah universiti peneraju dalam bidang marin dan sumber akuatik. “Ini adalah komitmen UMT untuk membantu pihak industri dan negara amnya dalam memperkasakan pembangunan sektor industri maritim khususnya dalam penyediaan dan pembangunan sumber manusia yang tersedia dengan kemahiran teknikal yang tinggi yang diperlukan oleh sektor maritim negara.  “Sesuai dengan status universiti berfokus ilmu kelautan dan sumber akuatik, UMT telah dinamakan sebagai universiti peneraju bagi Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi Kluster Maritim dan merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan graduan institusi pengajian tinggi tersedia dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam sektor maritim negara," ujarnya ketika berucap di majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangusng di kampus UMT, di sini. Majlis menandatangani perjanjian MoU itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Penang Port Sdn Bhd, Mohamed Shaffi Khatri Abdullah bagi mewakili agensi masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian. Katanya, selain mengutamakan akademik pelajar, UMT turut menggalas tanggungjawab dalam membantu memperkasakan pertumbuhan sektor maritim negara. “Kita mempunyai kepakaran dalam bidang maritim seperti pengurusan maritim, pengurusan logistik, perundangan laut, bidang teknikal maritim serta senibina kapal. “Sebagai sokongan kepada pembangunan industri logistik dan maritim negara, UMT juga telah berkerjasama dengan The Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILT Malaysia) untuk menubuhkan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) di UMT," jelasnya. Menurutnya, penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri (IcoE) Kluster Maritim di universiti itu bagi mendokong lima teras berkaitan industri maritim seperti pemerkasaan modal insan, pangkalan data maritim, jaringan industri, inisiatif perkongsian teknologi dan program endowmen. Mengulas lanjut katanya, kewujudan MaLTraC-CILT yang berfungsi sebagai pusat latihan profesional dan bertauliah di kampus itu secara tidak langsung membuka peluang kepada UMT untuk menonjolkan kepakaran yang boleh menyumbang kepada bidang maritim melalui Program Data Kargo Nasional dan juga penawaran perkhidmatan untuk industri logistik dan pengangkutan negara melalui penyelidikan, latihan dan forum perbincangan di kalangan pakar akademik dan industri serta badan profesional dalam ekosistem yang kondusif.  
19 Nov 23
221
Dr Sam Mahu Hantar Mesej Penting ke Parlimen
Dr Sam Mahu Hantar Mesej Penting ke Parlimen
KEMAMAN, 19 November - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman medan untuk rakyat memilih wakil yang boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat. Calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai fokus yang akan diberi keutamaan dalam membangunkan ekonomi daerah berkenaan. “Antaranya adalah memastikan penggunaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, memperbesarkan pelabuhan Kemaman dan pelbagai industri yang akan masuk ke daerah ini. "Perkara tersebut akan disusun dengan baik dan akan menjadikan Kemaman Sebuah tempat yang sangat berjaya maju,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni masyarakat dan melawat Markaz Unit Daerah Mengundi (UDM) Chukai, Kemaman di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai perkara telah dicapai di daerah Kemaman ini. Tambahnya lagi, Ahli Parlimen yang lalu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik yang telah menghantar mesej penting daripada Kemaman ke Dewan Rakyat. “Perkata tersebut tidak dinafikan tinggal lagi aspek yang perlu ditambah baik. “Di samping, perlu dilihat beberapa perkara yang sebelum ini dibuat keputusan di peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di daerah Kemaman dan daerah-daerah lain. “Namun, tidak dilaksanakan apabila bertukar kerajaan di peringkat Putrajaya baru-baru ini. “Oleh sebab itu, perlu dibuat rombakan pimpinan di peringkat pusat serta kita mahu hantar mesej yang jelas di dewan rakyat,” ujarnya.  
19 Nov 23
224
Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS
Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS
KUALA TERENGGANU, 18 November - Banjir diramal melanda beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan mulai awal pagi esok, susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini. Perkara itu dimaklumkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini. Katanya, hasil simulasi model ramalan banjir, JPS meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di dua daerah di Terengganu termasuk Besut iaitu di kawasan-kawasan sekitar Kampung (Kg) La, Kg Seberang La dan Kg Pengkalan Nangka, selain Setiu (kawasan sekitar Kg Che Mohid), sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di kawasan terbabit. "Di Kelantan pula, kejadian banjir diramal boleh berlaku di beberapa kawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas. "Di Tanah merah, kawasan yang diramal dilanda banjir termasuk kawasan-kawasan sekitar Kg Kajang, Kg Nibong dan Kg Air Bujing. "Di Pasir Mas pula, kawasan sekitar Kg Kubang Rambutan; Kg Bagus; Kg Degung; Kg Limau Purut; Kg Pengkalan Telok; Kg Rasal; Kg Tersang; Kg Lubok Gong; Pekan Rantau Panjang; Kg Gelang Mas dan Kg Kalor," katanya menurut kenyataan itu. PRABN turut memaklumkan, kejadian banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. "Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. "Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," katanya.- BERITA HARIAN
18 Nov 23
966
Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
KEMAMAN, 18 November- Isu tempatan dan nasional menjadi fokus calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Kemaman, Dato'  Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS akan perkukuh dan perkemaskan segala kerja kebajikan untuk rakyat. "Isu tempatan dan isu nasional akan menjadi fokus kita dan saya percaya PAS mampu untuk menggerakkan isu tempatan mahupun isu nasional di Kemaman ini. "Urusan banjir contohnya, kita tidak tunggu pilihanraya, sejak beberapa bulan lepas kita telah adakan simulasi, perbincangan, libat urus bersama dengan JPKK dan sebagainya, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kemaman di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.  Katanya, isu tempatan meliputi urusan-urusan semasa yang diuruskan oleh pihak kerajaan negeri bersama ahli-ahli yang berhormat di kawasan masing-masing.  Sementara itu katanya, PAS juga akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU-15 lalu. Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.  
18 Nov 23
205
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
KEMAMAN, 18 November- Pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kini bermula membuka tirai apabila proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS. PAS yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman diwakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon. Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata beliau mewakili rakyat Kemaman akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PAS. "Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk kekalkan kemenangan)... insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 2 Disember nanti. "Saya yakin dan percaya Dr Sam akan menang dengan bergaya dan capai sasaran 30 ribu majoriti iaitu lebih besar dari PRU15, ketika penyandangnya, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi pada ketika itu. "Ia ditambah dengan majoriti yang PAS perolehi ketika PRN baru-baru yang mana keempat-empat DUN juga menang dengan bergaya," ujarnya. Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen. Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.  
18 Nov 23
171
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
KEMAMAN, 18 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletakkan jawatannya setelah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan. Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi malah Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama. Katanya, beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999).  "Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow). "Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku. "Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-Allah, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Proses Penamaan Calon Bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri secara berseloroh  menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang itu tidak berasas. "Mungkin (Datuk Seri) Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu. "Saya percaya dapat mengurus dan mentadbir negeri dengan baik dan membawa suara rakyat ke Dewan negara jika diberi peluang," katanya. Semalam, Azalina dalam satu program berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar dan mendesaknya meletakkan jawatan tersebut. Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, PAS juga dilihat ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.  
18 Nov 23
385