Artikel "Utama" Terkini
Pertembungan Dua Penjuru di PRK Kemaman
KEMAMAN, 18 November- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Perikatan Nasional (PAS-PN).
Manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mewakili parti Barisan Nasional (BN).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini pada jam 10.15 pagi ini.
Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, yang diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menyerahkan borang pencalonan jam 9. 04 pagi.
Diikuti Raja Mohamed Afandi, 66, empat minit kemudian dengan diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.
Sebaik proses pencalonan selesai pagi ini, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.
18 Nov 23
212
Selawat Dan Takbir Iringi Dr Ahmad Samsuri
KEMAMAN, 18 November - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon PAS-Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini, jam 8.30 pagi ditemani pimpinan tertinggi parti dan lebih 3,000 penyokong.
Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.
Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
PRK Parlimen bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 2 Disember ini.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
18 Nov 23
397
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
KUALA NERUS, 16 November- Kerajaan negeri akan memperhebat program berbentuk penerangan di semua peringkat dalam usaha memberi kefahaman mengenai perundangan syariah kepada seluruh umat Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya diterjemahkan melalui penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang julung kali diadakan.
"Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah semasa kepada masyarakat.
"Selain mengajak umat Islam untuk bersatu dalam memberi sokongan dan bersolidariti dalam isu pencabaran undang-undang syariah yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus di sini, hari ini.
Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini.
"Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri yang lain.
"Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu," katanya.
Pada program wacana tersebut, lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas isu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini.
Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha mengganggu gugat undang-undang Islam di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.
"Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
16 Nov 23
198
750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut
HULU TERENGGANU, 16 November - Seramai 750 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga awal Mac 2023.
Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir.
Pada MTL kali ini, kita menyediakan pelbagai aset termasuk kekuatan logistik membabitkan 15 buah ambulans, 63 buah bot pelbagai saiz dan lapan buah lori serta aset yang lain.
"Selain itu, kita telah mengenal pasti antara 42 hingga 44 buah kampung yang berada di kawasan pantai di seluruh Terengganu dan mungkin terjejas sekiranya berlakunya air pasang besar dan hujan lebat.
"Pihaknya juga akan menjalankan rondaan dan pemantauan selepas METMalaysia mengeluarkan amaran berlakunya hujan lebat akan melanda di negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir di Residensi TNB di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan seluruh masyarakat di Terengganu sentiasa peka dengan amaran cuaca dari semasa ke semasa dan apabila menerima amaran segera berpindah untuk mengelak sebarang risiko yang tidak diingini berlaku.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.
16 Nov 23
132
Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat
KUALA TERENGGANU, 16 November - Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam negeri melalui Jawatankuasa Fatwa, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali Ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu telah memutuskan bahawa ajaran itu berlaku percanggahan dengan tonggak akidah Islam, al- Asya'irah dan al-Matrudiyyah.
"Ciri-ciri penyelewengan termasuklah mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia Maha Bekuasa menciptanya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam.
"Kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak dan kerana Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT mengkehendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya.
"Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu Sabri berkata, Mohib Khouli juga telah mendakwa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama al-asya'irah dan al-Maturidiyyah seperti 'istiwa', 'wajh', 'yad' dan seumpanya adalah sesat sama kedudukan seperti ajaran muktazilah dan jahmiyyah yang sesat.
Di samping itu juga katanya, ajaran Mohib Khouli yang turut mendakwa golongan al-asyairah adalah sama dengan golongan yahudi, jahmiyyah, muktazailah dan penyembah lembu adalah sangat menyimpang.
"(Juga) mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah telah mati dalam keadaan kufur dan tidak sah solat di belakang imam yang memegang mazhab al-Asyairah, dengan perlu mengulangi solatnya dengan solat Zohor," katanya.
Justeru itu ujar beliau, berdasarkan fatwa yang telah ditetapkan mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran berkenaan adalah haram serta didapati merupakan fahaman ekstremis yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat termasuk melalui penulisan atau penerbitan bahan bercetak," ujarnya.
Mereka yang selama ini telah berpegang dan mempercayai ajaran sesat tersebut, menurut Mohd Sabri perlu segera bertaubat termasuk mereka yang menyebarkan atau mengamalkan dan pihak berautoriti berhak mengadakan sesi pemulihan untuk mereka.
"Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menghidandari diri daripada terlibat dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem," katanya.
16 Nov 23
2351
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
Taman Tamadun Islam (TTI) menyasarkan kehadiran 1 juta pengunjung pada tahun hadapan.
16 Nov 23
152
TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN
Taman Tamadun Islam (TTI) mahu menjadi hab jet ski Pantai Timur yang terkenal di peringkat ASEAN.
16 Nov 23
68
2,000 Sertai Terengganu Drawbrdge Half Marathon
Seramai 2,000 peserta menyertai Terengganu Drawbridge Half Marathon yang julung-julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
16 Nov 23
187
Terengganu FC II Dinobat Juara Sulung Piala MFL
Terengganu FC II muncul juara sulung Piala MFL apabila mengatasi Johor DT II dengan skor 1-0 pada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
16 Nov 23
75
Khidmat Malaysia Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 16 November - Badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu mengarahkan seluruh jentera dan agensi bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November lepas dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.
Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang pemakluman yang dikeluarkan sebagai langkah persediaan termasuk menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan.
Beliau berkata, taburan hujan lebat luar biasa berlaku apabila Terengganu mula memasuki peralihan monsun timur laut (MTL) setiap tahun sehingga boleh menyebabkan kawasan rendah terutama yang berada di tepi sungai berisiko dilanda banjir.
Katanya, Khidmat Malaysia Terengganu akan memantau dan berhubung bagi mengetahui keadaan serta keperluan semasa mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir.
“Saya juga memberi komitmen yang kami di Terengganu akan membantu untuk proses pasca banjir termasuk membersihkan kediaman dan sebagainya.
“Saya berharap pada tahun ini rakyat sudah bersedia kerana pelbagai ramalan terutamanya daripada Jabatan Meteorologi yang menjangkakan banjir yang akan berlaku pada bulan November ini sehingga Mac 2024,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu turut menasihatkan agar anggota Khidmat Masyarakat sentiasa berhubung dengan Ketua Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum memulakan operasi semasa banjir bagi menjaga keselamatan masing-masing.
Dalam masa sama, pihaknya bersama agensi kerajaan yang lain bersedia untuk memberikan bantuan kepada seluruh rakyat dalam menghadapi risiko banjir ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman nanti.
MetMalaysia dalam satu kenyataan pada 6 November lepas menjangkakan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia bermula pada Sabtu (11 Nov) lepas dan berterusan hingga Mac depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
16 Nov 23
209