Artikel "Utama" Terkini
JHEAT Awasi ‘Geng Plastik Hitam’
KUALA TERENGGANU,14 Mac – “Hati-hati 'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa, anda kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sepanjang Ramadan ini,” ujar Pesuruhjayanya, M. Rozi Bidin.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan, terutama terhadap mereka yang ponteng puasa dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa syariah di seluruh Terengganu
Menurutnya, individu khususnya beragama Islam yang sengaja makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai akan diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan Undang-Undang Kesalahan Syariah.
"Kesalahan menjual makanan kepada golongan berpuasa adalah melanggar peraturan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 (Seksyen 19).
"Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata, bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan di setiap daerah juga sentiasa memantau kawasan-kawasan serta kedai-kedai makanan yang dilaporkan menjalankan aktiviti menjual makanan dan minuman kepada ‘geng plastik hitam’.
Justeru itu, semua umat Islam di negeri Terengganu dinasihatkan untuk melipatgandakan ibadah pada bulan ini serta menjauhkan diri dari terjebak dengan jenayah syariah terutamanya dalam kesalahan tidak menghormati Ramadan.
Tahun lalu, JHEAT merekodkan dua tangkapan membabitkan geng plastik hitam iaitu masing-masing satu kes di Besut dan di Kuala Nerus.
14 Mar 24
322
UMT Peruntuk RM7,000 Untuk Juadah Iftar Pelajar Setiap Hari
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) tidak melepaskan peluang untuk menyediakan iftar kepada mahasiswa yang memerlukan setiap tahun.
Timbalan Pengarah PISM, Faizah Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan RM7,000 bagi menyediakan juadah iftar kepada 500 hingga 1000 pelajar setiap hari.
“Tahun ini PISM, UMT akan meneruskan tradisi iftar ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan.
”Tajaan iftar adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadhan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM.
“Konsep ini adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda,” ujarnya.
Sementara itu katanya, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun hingga lima tahun.
“Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM.
“Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak disamping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri.
“Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM,” ujarnya.
Justeru katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program pengimarahan masjid UMT.
14 Mar 24
255
Madinah Ramadan Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Ibu bapa yang mahu untuk menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan tidak perlu bimbang untuk membawa anak-anak ruangan khas penjagaan kanak-kanak disediakan kerajaan negeri.
Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, inisiatif itu bagi memastikan ibu bapa dapat menunaikan solat sunat tersebut dengan tenang dan selesa tanpa merasa bimbang mengenai keselamatan anak-anak.
"Kita juga menyediakan petugas (sukarelawan) untuk menyelia dan mengawal kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa yang memiliki anak-anak yang masih kecil berpeluang untuk beribadat.
"Ini antara pendekatan yang kita ambil bagi meningkatkan fungsi masjid dan memastikan masyarakat mesra dan mengimarahkannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual di konti Manis FM, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Ustaz Mohd Zulkhairi berkata apa yang akan menjadikan Madinah Ramadan pada kali ini lebih menarik adalah pihak penganjur dan pihak Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus ialah turut menyediakan Soopa Doopa yang akan menambah keseronokan anak-anak yang hadir.
"Jadi ibu bapa yang selama ini terfikir jika hendak solat tarawih risau anak-anak akan menggangu para jemaah lain jika dibawa tidak perlu lagi bimbang dengan adanya ruang khas untuk anak-anak bermain ini," ujarnya.
13 Mar 24
171
Sekolah K9 Kini Mula Beroperasi di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) mula beroperasi di Terengganu pada sesi persekolahan tahun ini bagi menangani masalah keciciran pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman.
Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata dua sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di Kemaman.
Katanya, menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga
"Maksudnya murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama.
"Seramai 15 daripada 16 orang murid di SK Sungai Berua yang telah mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu (Transisi) di sekolah K9 tersebut.
"Bagi SK Sungai Pergam pula kita ada seramai lima pelajar daripada tujuh pelajar dimana dua daripadanya telah ke Pusat Intelek Pelajar Orang Asli di Rompin (PIPOA)," katanya kepada pemberita.
Tambahnya, seramai empat guru telah ditempatkan di SK Sungai Berua iaitu empat bagi pengajaran aliran menengah dan 11 guru lagi bagi matapelajaran aliran rendah .
"Untuk SK Sungai Pergam pula terdapat seramai empat guru bagi pelajar peringkat menengah dan 12 untuk sekolah rendah," katanya.
Beliau menjelaskan, disebabkan kemiskinan dan jarak yang jauh, ramai murid yang tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah.
Justeru itu katanya, KPM mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama.
Secara keseluruhan terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara dengan 10 buah daripadanya mula beroperasi pada Ahad lalu.
12 Mar 24
3099
Gearbox Rahsia Kelazatan Bubur Lambuk Mok Pah
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Setiap kali menjelang Ramadan, Bubur Lambuk Gearbox yang dihasilkan oleh Mok Pah atau nama sebenarnya Zabedah Samad, 63, sering kali menjadi rebutan para peminatnya.
Berkongsi rahsia menghasilkan bubur Lambuk istimewa itu Mok Pah berkata setiap tahun pada bulan Ramadan dia tidak akan menang tangan kerana menerima tempahan sama ada dari masjid-masjid sekitarnya serta daripada jabatan dan agensi-agensi.
"Alhamdulillah Mok Pah sentiasa menerima tempahan, apa yang menjadikan Bubur Lambuk ini istimewa adalah menggunakan herba dan ramuan asli, termasuk lada hitam asli bukannya bahan-bahan moden yang diproses secara komersial seperti lada sulah.
"Juga kita menggunakan dua jenis ikan yang segar iaitu Ikan Selayang dan juga Ikan Aya (Ikan Tongkol), dimana semua bahan-bahan yang dimasukkan itu tidak dicampak sebarangan sebaliknya menggunakan sukatan yang tepat bagi mengekalkan citarasa untuk dinikmati semua orang.
"Mengenai tulang 'gearbox' yang digunakan ini ia menjadi resepi rahsia yang memberikan kekayaan dan tekstur kepada bubur ini,"katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Masjid Abidin (Masjid Negeri), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Mok Pah berkata dia memulakan perusahaan juadah itu sejak 15 tahun yang lalu.
"Sejak itu saya sentiasa mendapat tempahan termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), dan pernah memasak di Stadium dan banyak tempat lagi.
"Kalau hendak dikirakan saya sudah berkecimpung sejak kecil lagi pada tahun 60-an kerana mengikuti arwah ayah yang juga mengambil tempahan membuat bubur,"ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata , agihan Bubur Lambuk itu telah menjadi aktiviti tahunan dan telah memasuki tahun kelapan.
"Sebagai usaha memeriahkan bulan yang penuh keberkatan itu dengan mengagihakan 1,000 bekas selama tiga hari pada permulaan Ramadan ini bermula pada 12, 13 dan 14 April 2024,"ujarnya.
12 Mar 24
290
Perbanyakkan Amalan Sunat Dalam Ibadah Solat
Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat yang dapat mempergandakan lagi pahala ketika menunaikan ibadah solat.
12 Mar 24
104
Madinah Ramadan Diberi Nafas Baharu, Kehebatan Diteruskan
Program Madinah Ramadan pada tahun ini akan diberi nafas baharu dengan lebih hebat melalui kaedah pelaksanaan dan pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.
12 Mar 24
101
Ramadan Medan Insafi Diri, Imarahkan Masjid - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di negeri ini.
Bersempena ketibaan Ramadan, Sultan Mizan menyeru umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan dan menghidupkan suasana masjid dengan solat fardu serta sunat tarawih pada setiap malam.
Baginda turut menyeru umat Islam di Malaysia mengimarahkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan.
"Beta mahu rakyat negeri ini mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadan untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu dan tarawih setiap malam. Perbanyakkan takbir dan tahmid serta amal ibadat lain.
"Program tadarus yang dijalankan di masjid-masjid juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa kerana program tersebut adalah satu nilai tambah untuk umat Islam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT," titah baginda dalam Titah Perutusan Sempena Kedatangan Bulan Ramadan.
Baginda juga mengingatkan umat Islam supaya menunjukkan teladan yang baik dalam memelihara keharmonian dan perpaduan selain menasihatkan umat Islam untuk menjadi insan berjiwa waja dalam mempertahankan kesucian agama yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW.
"Hari ini umat Islam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran.Oleh itu, beta menyeru agar kita semua dapat mempertahankan kesucian Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah," titah baginda.
Di samping itu, Sultan Mizan menyeru supaya rakyat Terengganu mendoakan umat Islam di luar sana yang sedang diuji dengan peperangan agar tabah dalam menempuh dugaan.
"Marilah kita saling bermuhasabah dan mendoakan agar saudara kita yang diuji dengan peperangan diberi kekuatan serta kesabaran dalam menempuh ujian," titah baginda.
Melalui perutusan itu juga baginda menyeru supaya umat Islam memperbanyakkan amalan sedekah dan membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
11 Mar 24
158
Bekalan Air di Terengganu Cukup Hadapi Kemarau
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Kerajaan Terengganu memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi bagi menghadapi musim kemarau tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana paras air di empangan dan sungai ketika ini masih terkawal untuk kegunaan rakyat di negeri ini.
“Kita masih boleh uruskan masalah bekalan air, cuma jika berlaku kemarau berpanjangkan kita kena ada intervensi terutama apabila masuk bulan Ramadan dan nak masuk seminggu sebelum raya tentulah penggunaan air akan bertambah.
“Jadi dalam keadaan kemarau dan penggunaaan air yang bertambah tentulah ianya akan menjejaskan tetapi sebagai Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), SATU sedang mengambil langkah-langkah bagaimana untuk melakukan intervensi temasuklah meminta supaya semua pihak berjimat dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini.
11 Mar 24
235
Perbanyakkan Amalan Sunat Dalam Ibadah Solat
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat yang dapat mempergandakan lagi pahala ketika menunaikan ibadah solat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, banyak amalan sunat yang diajarkan Nabi Muhammad kepada masyarakat Islam.
“Penganjuran program bulan penghayatan ibadah solat bertujuan untuk mendidik masyarakat di negeri ini, dimana bila sebut tentang ibadah solat, biarlah solat kita itu mendapat pahala yang lebih di sisi Allah.
“Dalam ibadah solat banyak amalan-amalan sunat yang diajar kepada kita oleh Rasulullah tetapi ada masyarakat kita memandang ringan bila sebut amalan sunat sedangkan itulah menambah pahala bila kita tunaikan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadah Solat (Peringkat Hospital) di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.
Malah katanya, program tersebut juga mempunyai objektif yang lebih luas dari sudut dakwah, kesedaran, ilmu dan lain-lain.
“Bagi kerajaan negeri kita mengambil bulan Rejab sebagai bulan untuk kita mengadakan program penghayatan ibadah solat.
“Bertujuan untuk menjadikannya sebagai satu dakwah kepada masyarakat Islam di luar sana supaya mereka lebih menghayati dan medalami ibadah solat ini,” ujarnya.
10 Mar 24
165