Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Rekod Peningkatan Tahap Produktiviti Pekerja - KSN
KUALA NERUS, 10 Mac - Terengganu merekodkan peningkatan prestasi produktiviti pekerja yang memberangsangkan sebanyak 3.4 peratus dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM77,695 berbanding pengembangan 2.8 peratus (RM75,167) pada 2021.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata oleh itu semua pihak mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan ekonomi Negeri Terengganu terus kekal pada pertumbuhan positif.
“Pada tahun ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu berkembang 6.9 peratus.
“Pertumbuhan dijangka akan disumbangkan oleh peningkatan produktiviti antara 4 peratus hingga 5 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan juga sedang melaksanakan inisiatif mempercepatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Justeru itu katanya, pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Kementerian Ekonomi memastikan tidak berlaku ketirisan dan bantuan serta subsidi sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.
“Di Terengganu, terdapat 8,057 keluarga miskin tegar dan lebih 30 ribu keluarga miskin jadi saya berharap inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu menjelang akhir tahun ini,”jelas beliau.
10 Mar 24
195
Tunggakan Royalti, Tunggu Jawapan MOF
Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu jawapan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tunggakan pembayaran royalti minyak atau Wang Ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada Negeri Terengganu untuk tahun lalu.
10 Mar 24
114
Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta
Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Inc menaja pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan lagi momentum bagi menghadapi saingan musim 2024.
10 Mar 24
99
MyMudah Tingkatkan Produktiviti, Daya Saing Negeri
KUALA NERUS, 10 Mac - Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui Program MyMudah ke arah melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Setiausaha Kerajaan negeri ,Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menyambut baik usaha MPC dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) melalui penambahbaikan peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif ke arah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri juga memberi sokongan penuh terhadap usaha mempermudahkan urusan pelaburan melalui kecekapan peraturan perniagaan. Usaha yang dijalankan ini bukan sahaja menarik minat pelabur tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat setempat serta ekonomi Terengganu.
“Selaras dengan hasrat MPC untuk membantu mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, Kerajaan Negeri bersama-sama PBT telah memberikan komitmen dalam projek penambahbaikan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan dimana ia dapat menyumbang ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif di Negeri Terengganu.
“Setinggi-tinggi penghargaan di atas penubuhan satu Unit MyMudah di peringkat Kerajaan Negeri, tujuh unit MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lapan unit MyMudah di peringkat Pejabat Daerah dan satu unit MyMudah di peringkat Pejabat Tanah. Ini merupakan komitmen padu kami terhadap inisiatif ini.
“Pihak kami yakin usahasama dengan MPC ini bakal membuka peluang baharu serta manfaat kepada rakyat Terengganu sejajar dengan pelan jangka panjang negeri iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030,” katanya di Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini.
Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali melibatkan 300 penyertaan daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Persekutuan serta persatuan perniagaan turut menyaksikan Tengku Seri Bijaya Raja menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau.
Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya berkata Unit MyMudah bertindak sebagai platform untuk rakan-rakan industri menyalurkan maklumat, cadangan, dan pandangan berkaitan isu-isu kerenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar.
“Kita sedia maklum bahawa terdapat banyak peraturan dan garis panduan di peringkat Kerajaan Negeri dan PBT yang perlu dipatuhi oleh peniaga.
“Justeru, melalui Unit MyMudah, industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan serta bekerjasama dalam menyelesaikan isu dan cabaran peraturan perniagaan tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi,”ujarnya.
10 Mar 24
139
Kerajaan Terus Bantu Pelajar Derita Pecah Saluran Darah ke Otak
HULU TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus komited membantu keperluan Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21, yang menderita masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu sehingga menyebabkan pelajar cemerlang itu kini hanya terlantar sakit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya dan PETRONAS akan sentiasa membantu dari segi kos rawatan Amirul dengan sebaik mungkin.
"Pada hari ini sekali lagi saya turun bersama pihak PETRONAS untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga adik Amirul.
"Terbaharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan sebanyak RM500 kepada penjaga iaitu ibunya Wan Murni Wan Ngah, 46, dan untuk Amirul sebanyak RM300 setiap bulan.
"Alhamdulillah, perkembangan kesihatan Amirul semakin baik dan positif. Doakan adik Amirul kembali sembuh dan sihat seperti sediakala," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Strategik Kumpulan Petronas, Nooruddin Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Amirul dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan.
"Pada kunjungan kali ini, kami menyerahkan susu khas, lampin pakai buang dewasa, tisu basah, tracheostomy tube (tiub bantuan pernafasan melalui trakea), kerusi roda boleh laras, tub mandi isian angin (inflatable bath tub) termasuk sumbangan kewangan dari kutipan derma kakitangan petronas.
"Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan penuntut tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar," katanya.
Muhammad Amirul Nazmi dijadualkan menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac dan akan menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom (UK) pada Jun depan.
Beliau yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun sebelum ini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 sekali gus melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang IT di UK.
10 Mar 24
293
Kekentalan Rakyat Palestin Mengerunkan Zionis Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Zionis Israel gerun dan takut terhadap kekentalan rakyat Palestin ketika berhadapan dengan pelbagai kekejaman, kezaliman dan penindasan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gencatan sejata dan perjanjian damai akan terus menjadi olokan bagi zionis.
"Mereka sebenarnya kalah dalam peperangan ataupun konflik ini walaupun mereka berjaya membunuh begitu ramai rakyat Palestin berbanding rakyat mereka yang terkorban.
"Tetapi dari segi akhlak, moral, budi bicara, politik mereka gagal masyarakat antarabangsa juga memandang zionis ini pada tahap yang begitu hina.
"Sehingga mayarakat antarabangsa tanpa mengira orang Islam ataupun bukan Islam mempertikaikan nilai-nilai yang ada pada negara haram Israel ini kerana selalui mencabuli undang-undang antarabangsa dan mereka tidak pernah mengikut peraturan-peraturan yang ada," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang akhbar Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata, rundingan gencatan senjata di Kaherah untuk menghentikan peperangan di Gaza gagal kerana Zionis Israel sendiri tidak mahu berdamai.
"Kerana mereka begitu selesa dengan tindakan yang dilakukan (membantai umat Islam Palestin), cuma buat kami ini mereka agak bimbang kalau berdamai maka tidak akan dapat satu keadaan sebagaimana yang mereka rasai sebelum ini.
"Saya percaya konflik ini akan berterusan cuma tanggungjawab kita itu yang penting mesti sentiasa menunjukkan kebersamaan dengan saudara kita di Palestin dengan pelbagai cara, melalui doa, sumbangan dan sokongan modal dalam media sosial, insya-Allah," katanya.
08 Mar 24
149
Tunggakan Royalti, Tunggu Jawapan MOF- Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu jawapan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tunggakan pembayaran royalti minyak atau Wang Ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada Negeri Terengganu untuk tahun lalu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, MOF dijangka akan memberikan maklum balas berhubung status bayaran tunggakan royalti minyak itu pada sidang Dewan Rakyat minggu hadapan.
"Saya taknak bagi komen apa-apa sehingga Yang Berhormat Menteri (Kewangan) akan menjawab pada hari Isnin ini.
"Jadi, jawapan bagi pihak kementerian akan bermula pada hari Isnin selama satu, dua, tiga hari la kalau tidak silap saya sampai Rabu.
"Kementerian Kewangan adalah pada penggiliran yang pertama dalam aturan Mesyuarat pada hari Isnin, sebelum saya beri apa-apa komen, saya akan tunggu jawapan daripada pihak kementerian dahulu, " ujarnya.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.
07 Mar 24
313
Madinah Ramadan Diberi Nafas Baharu, Kehebatan Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Program Madinah Ramadan pada tahun ini akan diberi nafas baharu dengan lebih hebat melalui kaedah pelaksanaan dan pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada kali ini Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus menjadi lokasi pilihan berbanding lokasi terdahulu iaitu Dataran Batu Buruk atau Dataran Jambatan angkat.
Ujarnya, pemilihan masjid terbabit merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan institusi masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadat tetapi juga menjadi lokasi untuk mengadakan pelbagai aktiviti.
"Tema yang diangkat pada kali ini ialah Ramadan 'Bulan Perjuangan' kerana kita hendak menitikberatkan soal perjuangan dalam diri rakyat negeri ini khususnya apabila melihat apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini khusunya di Palestin.
"Dan juga supaya wujud kebersamaan dengan saudara-saudara kita di sana (Palestin) dalam sudut perjuangan dan jihad membebaskan Baitulmaqdis," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata program-program bermanfaat yang pernah diadakan sebelum ini diteruskan seperti program ilmu oleh penceramah jemputan, Iftar Jamaie pada setiap Khamis dan Jumaat, Tazkirah Ramadan secara harian, Sambutan Nuzul Quran dan Qiamullail Perdana.
"Kita juga turut menambahkan aktiviti seperti iktikaf di masjid dan jadikan ia satu perkara yang normal dalam masyarakat sebagai langkah mendidik.
"Jadi Madinah Ramadan ini adalah salah satu langkah kerajaan untuk terus mendidik umat Islam di negeri ini supaya mempunyai dan mendapat ilmu serta suntikan semangat rohani di bula yang penuh kemuliaan itu nanti," ujarnya.
Katanya lagi, keistimewan Madinah Ramadan pada kali ini turut menampilkan imam khas dari Mesir iaitu Qari Syeikh Fathy Abdelrahman Nasreldin Moussa Ahemd di samping para iman tempatan terbaik yang akan diketengahkan melalui kaedah penggiliran imam yang akan dilaksanakan nanti.
07 Mar 24
336
KAWAT Promosi Terengganu Sebagai Destinasi Pelancongan Pilihan
HATYAI, 6 Mac- Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) komited dalam memberi gambaran imej sebenar Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi melalui program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand 2024
Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata, sebagai pengamal media, mereka boleh berperanan dengan membantu Jabatan Pelancongan negeri mempromosi dan menarik minat rakyat luar negara melancong ke Malaysia.
Menurutnya, KAWAT memberi penerangan mengenai situasi semasa industri pelancongan di Terengganu melalui seminar dan bengkel yang diadakan selama program itu berlangsung.
"Ini adalah peluang dan platform terbaik untuk KAWAT menjadi duta kecil pelancongan agar dapat berkongsi maklumat tepat dengan pengamal media dan penggiat industri pelancongan di wilayah selatan Thailand.
"Kami menerangkan mengenai keunikan dan keistimewaan produk pelancongan di Terengganu yang menjanjikan alam semulajadi yang masih tidak tercemar seperti pulau-pulau pelancongan dan Tasik Kenyir," katanya.
Lebih 50 media termasuk lapan ahli jawatankuasa KAWAT dari lima negeri Malaysia iaitu Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis menyertai program tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Hatyai.
Dalam program tersebut, satu kerjasama khusus melalui media sosial juga dibentuk untuk menjadi rujukan semua pengamal media setiap negeri dalam mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing selepas ini.
Sementara itu, Noorazila Md Sani dari Jabatan Penyiaran Terengganu (RTM) berkata, sebagai pengamal media, pihaknya sentiasa menonjolkan serta mengetengahkan industri pelancongan sebagai satu jenama global khususnya daya tarikan budaya dan alam semula jadi yang unik yang boleh ditawarkan di negeri itu.
"Jelas peranan media dalam menyebarluaskan program dan aktiviti Tourism Malaysia sedikit sebanyak membantu memulihkan dan meningkatkan industri pelancongan di Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan.
"Justeru itu, program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand kali ini sangat positif kerana menyelami permasalahan dan potensi pelancongan untuk kedua-dua negara malah perlu diteruskanagar manfaatnya diterima segenap lapisan masyarakat di kedua-dua negara," katanya.
06 Mar 24
257
Terengganu Pantau Tahap Kebersihan Makanan di Bazar Ramadan
MARANG, 5 Mac- Kerajaan negeri akan meningkatkan aktiviti pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan secara bersepadu dan berkala di seluruh bazar Ramadan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi membabitkan 4,086 peniaga sepanjang bulan Ramadan kali ini.
“Sebagaimana sedia maklum, Bazar Ramadan merupakan tempat tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa setiap saban tahun dan risiko kejadian keracunan makanan mudah berlaku berpunca dari makanan dan minuman yang tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat.
“Justeru, pemantauan akan dilakukan oleh agensi utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Kerajaan Tempatan), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Bazar Ramadan di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan peniaga melaksanakan inisiatif mesra alam anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti tidak menggunakan beg plastik dan penyedut minuman, larangan penggunaan bekas styrofoam dan program kitar semula sisa pepejal di Bazar Ramadan PBT.
“Peniaga terlibat diwajibkan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat pemeriksaan kesihatan serta pelalian tifiod, mempamerkan lesen perniagaan, kad kesihatan, dan sijil kursus.
"Selain itu mereka juga perlu mematuhi kehendak-kehendak perlindungan makanan seperti tidak membiarkan makanan dan minuman terdedah, perkakas dan peralatan yang digunakan tidak tercemar dan mengelakkan makanan terdedah pada suhu bilik melebihi empat jam", katanya.
Beliau berkata, peniaga juga digalakkan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) untuk mengurangkan risiko pencemaran silang.
“Kita juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga menyewakan lot niaga kepada warga asing,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan, tindakan perundangan seperti pengeluaran notis dan kompaun akan dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Kesihatan dan PBT di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja.
05 Mar 24
174