Artikel "Utama" Terkini
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
19 Mar 24
166
KMI Healthcare Catat Prestasi Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menunjukkan prestasi kewangan yang luar biasa bagi tahun suku keempat yang berakhir 31 Disember 2023 (4QTK2023).
Pengerusi KMI Healthcare, Dato’ Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan melalui pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan.
“Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pemulihan ekonomi global pasca-pandemik, KMI Healthcare telah menunjukkan daya tahan dan pencapaian kejayaan yang luar biasa dengan pertumbuhan ketara merentas metrik kewangan utama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pada 4QTK2023 pendapatan KMI Healthcare meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM332.8 juta, berbanding dengan RM279 juta pada tahun yang sama sebelumnya.
“Keuntungan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan dalam bilangan pesakit dirawat (meningkat 13% YoY), kadar penghunian katil (meningkat 15% YoY), dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam (meningkat 9% YoY).
“EBITDA juga turut meningkat sebanyak 49 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM52.9 juta. PBT juga turut meningkat secara mendadak kepada RM31.3 juta daripada RM16.5 juta pada TK2022,” jelasnya.
Katanya, KMI Healthcare mengendalikan pengurusan operasinya dengan cekap yang seterusnya menghasilkan margin yang lebih tinggi.
"Kami sangat teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. KMI menyasar untuk menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pesakit dengan menambah baik perkhidmatan klinikal dan melaksanakan program titik sentuh (customer touchpoint) pelanggan. Dedikasi dan komitmen pasukan telah membolehkan kami memberikan hasil yang cemerlang.
"Reputasi Syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan telah dikuatkan lagi oleh pencapaian rekod enam anugerah yang diterima pada TK2023. Ini termasuk anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan dalam reputasi jenama dan inovasi penyediaan perkhidmatan kesihatan termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards,” ujarnya.
18 Mar 24
608
Pelita Raya Terengganu Beralih Ke TTI
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Program Pelitara Raya Terengganu akan diteruskan pada tahun ini dengan menjadikan Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai lokasi baharu.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, program kali ini dijangka lebih meriah dengan menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui jabatannya itu dengan kerjasama rakan strategik TTI, Pejabat Daerah, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan negeri telah bersetuju ia diadakan pada lapan hingga 12 Ramadan.
"Program kali ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, ia diawalkan dan bertukar lokasi ke Tasik Pahlawan, TTI sebagai langkah mahu menghormati hari-hari terakhir Ramadan dan malam Lailatul Qadar selain mendengar pandangan orang ramai agar ia diawalkan.
"Sudah tentu, Tourism Terengganu (TT) sentiasa cuba mencari atau mengadakan kelainan pada setiap acara dianjurkan dengan kali ini melibatkan 11 penyertaan membabitkan lapan Pejabat Daerah, Tourism Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Ridzwan berkata program Pelita Raya itu akan dijenamakan sebagai PELITER@TTI bertemakan 'Tradisi Diwarisi, Comeynya Pelita'.
"Juga akan menonjolkan kepelbagaian jenis-jenis pengcahayaan pelita yang akan dipasang secara kreatif mengikut kesesuaian tradis, budaya dan seni warisan di setiap daerah yang akan dipamerkan sebagai bahan pameran dan barangan jualan sepanjang program berlangsung," katanya.
Mengenai pertandingan yang akan diadakan, katanya ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu ' Pertandingan Pelita Raya' dan 'Pertandingan Media Sosial (Facebook & TikTok) dengan hadiah keseluruhan RM11,500 membabitkan Pejabat Daerah, GLC dan orang ramai dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Oleh itu, diharapkan warga negeri dan pelancong mengambil peluang untuk datang dan melihat keunikan program ini yang agak sukar dilihat di negeri-negeri lain, malah di kawasan kampung pun sudah jarang kita lihat suasana orang memasang pelita seperti zaman dahulu kala.
"Semoga dengan penganjuran PELITER@TTI2004 ini akan dapat mempromosikan lagi TTI dan destinasi pelancongan sekitar terutama Kampung Budaya Terengganu dan Muzium Negeri," ujarnya.
18 Mar 24
1595
Pelajar UniSZA Nikmati Juadah Berbuka Puasa Percuma Sepanjang Ramadan
KUALA NERUS, 18 Mac - Lebih 1,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijamu dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pelajar dan warga kerja UniSZA setiap hari sepanjang bulan Ramadan berlangsung.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, penyediaan juadah berbuka puasa itu dibiayai dana hasil sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UniSZA dan pelbagai lapisan masyarakat dengan membabitkan kos sebanyak RM216,000.
Katanya, program tersebut dilihat berjaya dan seiring dengan objektif untuk mengimarahkan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UniSZA.
“Setiap hari, pelajar akan menyediakan sebanyak 1200 pek juadah Iftar untuk diagihkan kepada pelajar di kampus Gong Badak.
“Juadah iftar ini kita turut agihkan secara berbungkus kepada pelajar di Kampus Besut, Kampus Perubatan, Petugas Keselamatan, Pelajar Tadarus, Petugas Hospital Pengajar UniSZA, Komuniti Luar di sekitar kampus” katanya.
Menurutnya, program itu membabitkan lebih 50 sukarelawan pelajar setiap hari yang akan bergotong royong memasak seawal jam 11 pagi sehingga jam lapan malam.
"Pada masa sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program ini secara konsisten," katanya.
Dr. Fadzli Adam berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma bukan sahaja kepada pelajar dan staf UniSZA, malah juga kepada komuniti di sekitar kampus.
18 Mar 24
314
Polis Tubuh ‘Task Force’ Cegah Kes Curi Tabung Masjid
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Polis Terengganu menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi mencegah kegiatan pecah dan curi tabung masjid di Terengganu sepanjang Ramadan kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, usaha itu dibuat menerusi kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Beliau berkata pengaktifan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) akan membantu polis membuat rondaan untuk mengekang jenayah tersebut selain menjamin keselamatan penduduk.
“Pasukan khas ini akan mengadakan rondaan terutamanya pada waktu malam, manakala pada waktu siang rondaan akan dijalankan pihaknya menerusi program 1 Masjid 1 Polis,” katanya.
Sementara itu katanya, jawatankuasa rumah ibadah khususnya masjid dan surau dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.
“Seperti memasang CCTV di kawasan strategik, menggunakan tabung yang diperbuat daripada bahan yang kukuh dan sentiasa mengutip sumbangan secara harian dan menyimpan di tempat yang lebih selamat,” ujarnya.
18 Mar 24
160
Polis Pantau Dakwaan Gerakan Hidupkan Semula Ajaran Sesat 'Ayah Pin'
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Polis Terengganu sentiasa memantau berhubung dakwaan terdapat gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ di daerah Besut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata setakat ini aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kg. Batu 13, Besut masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat
“Polis sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu.
“Pihak kami menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan perkembangan ini dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan 'Kerajaan Langit'.
Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 1997 telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
18 Mar 24
163
Elak Jual Makanan Basi di Bazar Ramadan
MARANG, 17 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu ini agar tidak menjual makanan dan kuih-muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuka kaunter aduan di kesemua 55 bazar Ramadan di seluruh Terengganu.
"Orang ramai dinasihatkan membuat aduan samada mengenai makanan atau harga kepada petugas PBT yang ditempatkan di setiap bazar Ramadan untuk tindakan selanjutnya.
"Kita (kerajaan) berharap peniaga bazar Ramadan menyediakan juadah yang bersih dan tidak menjual semua jualan yang tidak habis pada keesokan hari...dan tidak meninggalkan imej buruk kepada negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kebersihan Dan Keselamatan Makanan, di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini.
Menurut Wan Sukairi, pihaknya ada menerima aduan tidak rasmi melibatkan kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan pada kali ini.
"Satu kejadian di Marang dan satu lagi di Kuala Terengganu namun tiada aduan diterima sehingga kini dan kita akan menyiasat kes keracunan dan makanan basi tersebut walaupun laporan rasmi belum dibuat,"ujarnya.
Tambah Wan Sukairi lagi, pihaknya juga mengadakan kempen keselamatan mengenai peralatan yang digunakan seperti bahaya ubat stapler yang kini banyak digunakan bagi menggantikan lidi untuk pembungkusan makanan.
"Pernah terjadi kes ubat stapler tersangkut pada halkom, oleh sebab itu penggunaannya perlu diambil kira atas faktor keselamatan," jelasnya.
17 Mar 24
164
Cacat Penglihatan Tidak Halang Raih Pahala Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Tidak nampak di mata, tetapi terang di hati, golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan turut tidak mensia-siakan kehadiran bulan Ramadan dengan bertadarus menggunakan al-Quran Braille.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, tadarus dilakukan dengan bimbingan 10 orang guru al Quran di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus.
"Selain mempelajari tajwid dan membaca al Quran dengan tartil, guru juga akan memberi penerangan tentang kisah di sebalik turunnya sesuatu ayat tersebut.
"Ini penting untuk kita lebih memahami dan menghayati sirah Rasulullah SAW dan kisah nabi-nabi yang lain untuk diambil iktibar.
"Kami berazam untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al Quran pada setiap Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan mahu menyemarakkan lagi kesucian bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya, Pertis Terengganu mempunyai 400 orang namun setakat ini, hanya 70 ahli sahaja yang menyertai program tadarus Ramadan tersebut.
Tambah Mohd Fauzi lagi, kelas Tadarus diadakan tiga kali setiap minggu dan menghimpunkan semua peserta yang datang dari seluruh Terengganu.
"Insya-Allah, Pertis Terengganu sentiasa istiqamah dalam memperkasakan penguasaan OKU cacat penglihatan membaca al Quran melalui kelas tadarus sepanjang Ramadan ini," katanya.
17 Mar 24
119
KSN Dilantik Pro Canselor UMT Baharu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2027.
Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan anak jati Terengganu itu telah mendapat perkenan Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Menurut Mazlan, pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran kerajaan telah melayakkan Mohd Zuki menerima pelbagai anugerah sehingga dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019.
“Dari segi latar belakang perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011 dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 hingga 2016.
“Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 2016 dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan pada 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Katanya, UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Mohd Zuki, pelantikan tersebut akan membantu dalam melonjak citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan disegani global.
Tambah beliau, selain Mohd Zuki UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman.
Mohd Zuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
17 Mar 24
257
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Rata-rata rakyat di negeri ini mahu Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menghentikan penganiayaan yang sedang berlaku dengan mengembalikan sepenuhnya royalti minyak Terengganu.
Seorang peniaga, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.
Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan.
"Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat.
"KIta minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran, di sini semalam.
Bagi Md Rani Awang, 65, Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat terus bermain politik dengan 'membuli' rakyat Terengganu sedangkan mereka juga merupakan warganegara yang sah dan hidup di negara demokrasi.
"KIta minta supaya jangan abaikan orang Terengganu yang majoritinya merupakan Melayu Islam, kerana apabila terus bermain politik menyebabkan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat tidak tercapai.
"Apatah lagi ia akan mengakibatkan orang Terengganu dianaktirikan dan akan menjadi rakyat paling miskin, jangan cuba beri tuba kepada rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Ramlah Abdullah, 61, berkata rakyat tidak ada masalah untuk terus menyokong pemerintahan kerajaan hari ini ini sekiranya berlaku adil kepada seluruh rakyat.
"Tindakan menangguhkan duit royaliti ini menekan kami, maka kesianlah rakyat Terengganu, pelbagai bantuan tidak dapat disalurkan.
"Harapnya tunaikanlah segala apa yang telah dijanjikan sebelum ini, sekarang ini rakyat melihat bahawa Perdana Menteri hanya pandai berjanji sebagaimana janjinya jika menang hari ini, esok minyak akan turun," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid Awang, 60, berkata perbezaan parti antara kerajaan negeri dan persekutuan tidak sewajarnya dijadikan isu bagi menafikan hak rakyat Terengganu.
"Walaupun berbeza parti kena mempunyai semangat federalisme, kita ini tinggal dalam satu bumbung (negara) jadi kena layan sama rata antara anak sendiri dan anak tiri.
"Kembalikan hak rakyat Terengganu kerana itu merupakan duit Terengganu yang menjadi hak semua orang di negeri ini untuk mendapat kebaikan daripada royalti itu," katanya.
Mohd Shah Abdul Ghani pula berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri ini untuk diuruskan.
"Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak," katanya.
15 Mar 24
424