Artikel "Utama" Terkini
Lebih 24,000 Mohon Bantuan Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 24 April - Tabung Darul Iman menerima lebih 24,000 permohonan dalam tempoh empat tahun bermula 2020 hingga 2023 bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan bantuan perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pada tahun 2020 jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM6,897,275.67 dengan bilangan keseluruhan pemohon seramai 6,439 orang.
"Daerah Besut menerima RM1,108,415.56, Dungun (RM765,349.70), Hulu Terengganu (RM765,699.97), Kemaman (RM831,703.91), Kuala Nerus (RM844,134.49), Kuala Terengganu (RM865,869.97), Marang (RM875,972.90) dan Setiu (RM840,129.17)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam yang ingin tahu berapa banyakkah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk memberi bantuan melalui Tabung Darul Iman mengikut daerah-daerah dalam Negeri Terengganu bermula tahun 2020 hingga 2023 pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Maliaman berkata, pada tahun 2021 permohonan di daerah Besut menerima RM960,070.42, Dungun (RM528,706.75), Hulu Terengganu (RM608,706.58), Kemaman (RM708,924.41), Kuala Nerus (RM689,795.20), Kuala Terengganu (RM746,743.05), Marang (RM794,919.12) dan daerah Setiu RM733,373.90.
"Jumlah keseluruhan sebanyak RM5,771,239.43 dengan bilangan keseluruhan pemohon pada tahun 2021 adalah seramai 5,237 orang, " ujarnya.
Sementara itu, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan pada tahun 2022 berjumlah RM5,610,477.02 dengan bilangan keseluruhan pemohon adalah seramai 5,979 orang.
"Besut menerima RM968,045.88, Dungun (RM556,422.50), Hulu Terengganu (RM586,049.15), Kemaman (RM639,353.00), Kuala Nerus (RM590,363.80), Kuala Terengganu (RM768,037.77), Marang (RM786,250.80) dan Setiu sebanyak RM715,954.12," jelas beliau.
Sementara itu katanya, untuk tahun lepas jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM7,240,713.90 dengan bilangan keseluruhan pemohon pada tahun 2023 adalah seramai 6,917 orang.
"Permohonan di daerah Besut menerima RM1,136,913.97, Dungun (RM716,053.13) Hulu Terengganu (RM763,688.00), Kemaman (RM959,354.00), Kuala Nerus (RM746,793.80), Kuala Terengganu (RM1,115,870.60), Marang (RM912,256.50) dan Setiu sebanyak RM889,783.90," ujarnya.
24 Apr 24
1009
Dasar Perumahan Baharu di Terengganu Ditambahbaik
Kerajaan negeri telah merangka dasar perumahan baharu bagi menambahbaik dasar yang sedia ada bagi menggalakkan pembangunan perumahan di Terengganu.Â
24 Apr 24
64
Kerajaan Negeri Salur Hampir RM1 Juta Baik Pulih Sekayu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri menggunakan dana sebanyak RM926,670 pada tahun 2022 bagi membaik pulih Taman Pertanian Negeri (TPN) Sekayu yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan semula kegemilangan taman terbabit yang pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong di Hulu Terengganu.
Katanya, ketika ini Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan berkaitan sedang merangka pelan bagi membangunkan semula TPN Sekayu sebagai pusat agrotourism.
"Salah satu punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu kerana banyak fasiliti rosak teruk akibat banjir besar pada Disember 2021 dan Februari 2022 sehinggakan sebahagian Taman Pertanian negeri itu terpaksa ditutup.
"Justeru itu, Kerajaan Negeri  telah menyalurkan peruntukan RM926,670 ribu pada tahun 2022 bagi tujuan baik pulih kolam taman tema dan fasiliti yang rosak akibat banjir yang dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2024," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zawawi Ismil (BERSATU-Telemong) yang ingin tahu apakah punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu dan langkah Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan Sekayu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dr Azman juga berkata, pajakan disambung kepada syarikat swasta sedia ada beroperasi di TPN Sekayu bagi mengendalikan program-program 'outdoor' dan perkhemahan oleh pihak sekolah, agensi dan jabatan serta kelab dan persatuan luar.
Jelasnya, kerajaan negeri akan meneliti kembali pelan agrotourism yang dapat diketengahkan oleh TPN Sekayu untuk menarik minat syarikat swasta atau pelabur dengan kelebihannya.
Tambah beliau, pandemik Covid-19 juga menyebabkan pengurangan drastik pengunjung ke taman negeri itu dan terdapat fasiliti utama rosak akibat serangan haiwan liar.
24 Apr 24
188
Lapan Strategi Bantu Penanam Sayur
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan negeri melaksanakan lapan langkah dalam usaha menjaga hasil penanaman sayur di negeri ini sekali gus menangani masalah orang tengah meraih keuntungan hingga menyebabkan pekebun menanggung rugi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara strateginya adalah melaksanakan program Ladang Kontrak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan menetapkan inisiatif harga lantai kepada petani yang berdaftar sebagai peserta Ladang Kontrak.
Katanya, golongan terbabit juga diberi jaminan harga di peringkat ladang iaitu 10 hingga 20 peratus lebih tinggi daripada kos pengeluaran bagi komoditi sayur dan buah.
"Selain itu, Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) di mana petani atau penanam boleh terus menjual kepada Rakan Pemasar, RPKP akan menjual terus kepada pengguna dengan tidak melalui orang tengah yang diselia oleh FAMA.
"Juga Program Jualan Terus Dari Ladang bagi memastikan penanam petani mendapat harga jualan yang baik dengan menjual terus kepada pengguna di outlet-outlet FAMA yang terpilih, " ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Mohd Yusop bertanyakan mengenai apakah langkah-langkah yang telah dan akan dibuat oleh kerajaan negeri dalam menjaga hasil penanaman-penanaman sayur supaya harga hasil tanaman dapat dikawal sehingga tidak berlaku orang tengah yang meraih keuntungan sedangkan penanam yang menanggung rugi.Â
Katanya, kerajaan negeri membantu penanam yang mempunyai masalah logistik dan memasarkan hasil-hasil petani seperti sayur-sayuran, buah-buahan tanaman pelbagai melalui 40 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara disokong dengan kemudahan 215 kenderaaan perdagangan, kemudahan bilik sejuk dan 1,592 outlet pemasaran yang telah dibangunkan oleh FAMA.
Tambah beliau, langkah seterusnya adalah melalui pembangunan ruang pemasaran menerusi Peladang Outlet di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang yang bertanggungjawab dalam bidang pemasaran hasil keluaran pertanian.
"Operasi urusniaga adalah diperlukan bagi menyelesaikan apa-apa masalah pemasaran yang dihadapi oleh petani, penternak dan usahawan kecil industri asas tani," katanya.
24 Apr 24
137
Usaha Berterusan Realisasi Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu
KUALA TERENGGANU, 25Â April-Â Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal yang baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdahulu satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah dibuat pada 14 FebruAri lalu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal iaitu Sr. Zaharuddin Zahid, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan wakil Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.
"Hasil daripada lawatan tersebut, JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah (7.080 ekar) yang dicadangkan oleh ADUN Bukit Tunggal iaitu di Kampung Banggul Baruh, Kuala Nerus adalah strategik bagi pembinaan klinik kesihatan baharu.
"Pihak JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah yang dicadangkan oleh beliau adalah strategik dan kawasan sekitar di dalam tempoh pembangunan (perumahan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid berhubung setakat mana perkembangan berkenaan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam.
Katanya, Zaharuddin turut bersetuju untuk tapak berkenaan diberikan khas kepada KKM setelah didapati Klinik Kesihatan sedia ada berlaku kesesakan dan padat, bagi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien.
"Sehubungan itu, pihak JKNT ini akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan. Namun begitu, terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur jalan ke lokasi tapak cadangan, " ujarnya.
Menurut beliau, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-14 [RMK-14 (Tahun 2031-2035)].
"Pembinaan klinik ini akan dapat menampung pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, " jelasnya.Â
Â
24 Apr 24
200
Kontinjen SUKMA Terengganu Kini Sedia Bangkit, Rampas Gelaran Juara
KUALA TERENGGANU, 25 April- Dengan slogan 'Hanelang Bangkit 2024', kontijen SUKMA Terengganu disasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Temasya SUKMA XXI di Sarawak dengan pelbagai persediaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata justeru itu latihan awal telah dimulakan pada 1 November 2022 dan kini kontinjen telah memasuki fasa tiga latihan sejak 1 Januari 2024 yang merupakan fasa akhir bagi persediaan atlet dan pasukan.
"Sebanyak 20 strategi persediaan atlet fasa tiga telah dirangka dan sebahagiannya telah dilaksanakan bagi memastikan kontinjen bersedia sepenuhnya.
"Antaranya mengemas kini unjuran sasaran pingat emas kontijen negeri serta atlet saingan secara bulanan yang mana atlet sasaran emas diberikan penumpuan khusus dalam pemantauan, sokongan sains sukan, kebajikan serta ujian-ujian kecergasan dan kemahiran," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Husaimi Hussin  (PAS- Hulu Besut) yang ingin tahu bagaimana persediaan kontigen SUKMA Terengganu bagi menghadapi persaingan SUKMA 2024 dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambahnya, program pemantapan pasukan turut diadakan seperti bengkel, kursus, ceramah, ujian kecerdasan serta sesi taklimat kepada pegawai dan atlet yang terlibat sepanjang tahun 2024.
Untuk rekod, SUKMA 2022 menyaksikan kontinjen Terengganu bergelar naib juara dengan meraih 64 pingat emas, 49 perak dan 56 gangsa dalam temasya sukan terbesar tanah air itu bukan sahaja melebihi sasaran, malah ia menjadi sejarah kerana berjaya meraih kutipan pingat emas terbanyak sejak SUKMA 19 edisi lalu.
Penganjuran SUKMA XXI akan diadakan di sembilan bahagian Sarawak yang menempatkan sebanyak 37 kejohanan sukan.
Bagi daerah Kuching, sebanyak 25 sukan akan berlangsung dan selebihnya akan diadakan di Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
24 Apr 24
255
Pembangunan Insan Perlu Jadi Keutamaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Pembangunan Modal Insan perlu menjadi agenda utama kerajaan negeri dan boleh mengambil contoh dari Korea Selatan dan Jepun yang telah berjaya membuktikan bahawa usaha itu dapat memajukan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, pembentukan individu berketerampilan dan berkualiti akan memastikan Terengganu memiliki masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera.
"Misi modal insan ini dijalankan adalah untuk membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya.
"Pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan individu sahaja, malah ia juga penting untuk pertumbuhan masyarakat dan memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri khususnya)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Ir Saiful Azmi berkata itulah yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan kerana kedua-dua negara itu hanya memiliki aset material yang rendah tetapi berjaya mencapai kemajuan setanding negara-negara maju yang lain.
"Kejayan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.
"Dengan modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai.
"Rakyatnya mempunyai kesetiaan yang tinggi bukan sahaja terhadap negara, malah pekerjaan. Sikap rakyat di kedua-dua negara ini patut dicontohi untuk turut serta memperkembangkan lagi sektor ekonomi negara," ujarnya.
24 Apr 24
322
Kerajaan Digesa Bendung Lambakan Sayuran Dari Thailand
KUALA TERENGGANU, 24 April- Kerajaan Terengganu digesa agar mencari jalan membendung lambakan pelbagai jenis sayuran dari dari Thailand yang memasuki negeri ini hingga mengakibatkan para petani tempatan mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid berkata, tidak dinafikan negara seberang itu memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pertanian sehingga menghasilkan sayur-sayuran berkualiti.
"Kemahiran dari negara terbabit boleh dipelajari dan dicontohi namun bukannya membiarkan produk negara terbabit terus memasuki negeri ini.
"Kerana limpahan produk yang masuk dari negara seberang itu akan menyebabkan hasil usaha petani negeri kita ini tidak mendapat sambutan dan harga untuk pasaran akan dimainkan oleh orang tengah.
"Selain itu adalah perlu untuk diaktifkan agensi pemasaran yang tidak membebankan petani, contohnya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dahulunya aktif, tetapi hari ini kita tidak berapa mendengar agensi ini memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu para petani," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Yusop berkata adalah menjadi harapan para petani supaya pihak FAMA mengaktifkan agensinya supaya dapat membantu para petani mendapat hasil jualan yang sewajarnya.
"Kerajaan negeri juga perlu memberi bantuan yang sewajarnya bagi memastikan industri makanan dalam negeri rancak.
"Kerajaan negeri juga perlu mewujudkan pemantau-pemantau bebas dalam sektor pertanian agar laporan yang diterima adalah tepat, kita tidak mahu orang yang berkait agensi pertanian yang membuat laporan biar ada pihak yang bebas," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga perlu membuat pengezonan pertanian supaya tidak terjadi petani mengusahakan tanaman yang sama yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan harga pasaran.
"Kalau kita dengar rata-rata tanam jagung, tanam tembikai sehingga hari ini harga dia RM1.20 sekilo cuma ketika Ramadan baru ini harganya mencecah RM3 ia berlaku kerana tidak akan pengezonan.
"Juga menjadi kewajipan bagi pihak kerajaan membuat kawalan dan penguatkuasaan supaya petani dapat meletakkan harga yang sesuai.
"Terakhirnya ialah perlu mengerakkan kempen merakyatkan pertanian dalam negeri Terengganu," ujarnya.
Â
24 Apr 24
216
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Tuntutan kembalikan royalti minyak hak milik Terengganu berkumandang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini selepas beberapa wakil rakyat membangkitkan isu terbabit.
Paling mencuri tumpuan, wakil rakyat muda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang mempersoalkan kewujudan keadilan apabila hasil petroleum, tanah dan pertanian semuanya dijarah oleh Kerajaan Persekutuan tanpa diberikan hasilnya kepada negeri.
"Adakah Kerajaan Persekutuan sekarang sudah bertukar menjadi penjajahan bentuk baru? Mungkin ramai dalam dewan ini yang tidak terasa, namun kalau kita melihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan bantuan dana i-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang.
 "Tapi harapan tinggal harapan apabila hasil disekat oleh Kementerian Kewangan (sehinggakan) ada guru-guru al-Quran yang tertunggak elaun mereka selama berbulan-bulan tanpa pembelaan, sama juga yang berlaku kepada sekolah-sekolah di bawah Yayasan Terengganu, peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan.
"Biasiswa yang sepatutnya diberi kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang juga terpaksa dikurangkan, tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan Tabung Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa 'politik balas dendam'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.
Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pula berkata, dalam pembentangan bajet 2024 Kerajaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperuntukkan RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang sepatutnya disalurkan melalui hasil royalti petroleum.
"Namun hasil petroleum tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
"Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin sebagaimana yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku," ujarnya.
Bagi ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu adalah tersangat zalim.
"Perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir ... Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin beragama Islam," ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghayati semangat federalisme kerana sering mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Justeru katanya, pelaksanaan pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjanaan Pendapatan Baharu negeri bersama dengan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta memberikan nafas baru kepada rakyat.
"Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme," ujarnya.
Walaupun berdepan isu kewangan disebabkan royalti, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pula berharap agar kerajaan negeri akan tetap terus serius dan fokus dalam melaksanakan perancangan dan program yang ditetapkan.
"Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan, manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek kementerian.
Â
23 Apr 24
3361
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia.
23 Apr 24
191