lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Negeri telah mengatur langkah bagi menghadapi sekatan royalti petroleum dengan mengukuhkan kewangan negeri melalui pengawalan perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil sumber sedia ada serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam berhadapan dengan sekatan royalti ketika ini, semua agensi dan jabatan negeri diminta mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap program atau projek yang dirancang. “Selain meleveraj inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis ‘community/bottom-up initiative’. “Pada masa yang sama, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu perlu mengurangkan kebergantungan pada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka. “GLC perlu berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan supaya hasil keuntungan perniagaan lebih besar dan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Ahmad Shah mengemukakan soalan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya. Jelas Ahmad Samsuri lagi, usaha mengksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu tertumpu kepada industri unsur nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui (renewble energy). "Hasil cukai dan bukan cukai pula mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun," tambahnya.  
29 Jul 24
2819
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang yang juga merupakan anak kelahiran Dungun Terengganu menjadikan al-Quran sebagai pendampingnya termasuk ketika beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa. "Perkara yang paling wajib sekali saya bawa setiap kali saya 'travel' adalah al-Quran kerana sebagai orang Islam adalah penting untuk kita membacanya sekurang-kurangnya dua muka setiap hari. "Ini adalah buku yang paling berkuasa dan penting untuk kita semua baca," ujarnya menerusi satu perkongsian video di facebooknya, baru-baru ini. Pelumba berusia 36 tahun itu juga berkata, beliau turut menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat untuknya dan turut berkongsi di dalam video yang dimuatkan di laman sosialnya, antara buku lain yang dibaca ialah 'Seni Berfikir Yang Hilang' tulisan Ustaz Hasrizal Abu Jamil. "Saya memang suka membaca buku tetapi kalau di rumah sukar sedikit nak membaca sebab anak-anak ramai dan perlu beri perhatian kepada mereka. "Buku 'Seni Berfikir Yang Hilang' ini memang saya bawa kemana-mana sahaja saya pergi kerana maklumat dan perkongsiannya sangat 'brilliant' kadang-kadang saya baca balik untuk ingatkan saya semua mengenai kandungannya. "Kedua, saya bawa buku kawan baik saya Sonny Bill Williams (lagenda ragbi New Zealand), saya rancang nak habiskan baca buku ini semasa kejohanan olimpik," ujarnya.
29 Jul 24
224
Lebih 70,000 Meriahkan HPPNT
Lebih 70,000 Meriahkan HPPNT
SETIU, 29 Julai - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) 2024 mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran pengunjung lebih dari 70,000 dengan menghasilkan jumlah jualan luar jangkaan iaitu mencecah RM702.433. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rata-rata orang ramai menilai penganjuran program kali ini sebagai yang paling berjaya. Katanya, secara peribadi beliau meletakkan jumlah kehadiran adalah lebih daripada apa yang direkodkan. "Kerana Dataran Pekan Jabi ialah sebuah kawasan terbuka di mana pengunjung boleh masuk dari segenap penjuru begitu juga dengan hasil jualan diyakini ia lebih tinggi. "Itu tidak termasuk lagi impak secara umum, di mana kawasan sekitarnya turut merasa limpahan ekonomi hasil daripada ramai yang datang berkunjung melibatkan perniagaan rumah inap, hotel, kedai sate, stesen minyak, kedai runcit dan gerai-gerai tepi jalan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Penutup HPPNT & HLSPT, di Dataran Pekan Jabi, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut Dr Azman berkata pihaknya sangat bersyukur atas kejayaan program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu. "Apa yang kita rancang berjalan mengikut landasan yang betul dan insya-Allah pada tahun-tahun akan datang kita cuba perbaiki lagi beberapa kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita persembahkan apa yang terbaik untuk rakyat. "Di sini adalah medan untuk berjumpa dengan semua pemain dari semua sektor yang berada di bawah pertanian, penternakan, perikanan dan juga asas tani untuk sama-sama berbincang dan berkongsi idea dalam memajukan lagi sektor ini," ujarnya.  
29 Jul 24
516
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
KUALA NERUS, 28 Julai - Beberapa fasiliti di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini sedang dalam proses pembinaan dalam usaha kerajaan negeri memastikan pelbagai aktiviti dan kegiatan sihat dapat dilakukan oleh seluruh rakyat di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara fasiliti yang sedang dibangunkan adalah tempat latihan angkat berat, memanah serta padang sintetik beserta lampu limpah Katanya, tujuan menghidupkan Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu supaya lebih ramai rakyat negeri ini boleh berkunjung dan melakukan aktiviti riadah dan bersukan. "KIta telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan pihak kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebahagian (peruntukan) itu adalah daripada pihak kementerian supaya kompleks sukan kita ini tidak statik dengan apa yang telah sedia ada. "Jadi kita juga berharap apabila ada fasiliti-fasiliti baru ini ia mampu untuk membangunkan bakat atlet kita dengan lebih agresif pada hari mendatang. "Namun ada juga tempat latihan yang kita tidak boleh buat di kompleks ini seperti pusat latihan layar jadi kita buat tepi pantai yang 'progress' pembinaanya saya rasa dah hampir siap, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan 'update' perkembangan pusat pembangunan yang saya maksudkan." ujarnya. Beliau berkata demikian ketika  ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Fit Is Sunnah 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Dalam pada itu, Hishamuddin berkata 'Fit Is Sunnah' itu merupakan agenda yang terkandung di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) di samping mengajak rakyat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat ia juga bertujuan memperkasakan Komplek Sukan itu untuk menjadi pusat sukan di peringkat negeri. Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata program seperti 'Fit Is Sunnah' itu merupakan mercu tanda agenda PINTAS. "UBSNT sedang merangka banyak program dan aktiviti kecergasan yang akan kita laksanakan dalam rancangan merakyatkan sukan kepada seluruh masyarakat negeri Terengganu dengan konsep patuh syariah," ujarnya.  
28 Jul 24
760
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
KUALA NERUS, 28 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap agar jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang berupaya menghadiahkan emas sulung buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024. Katanya, kejayaan atlet yang berasal dari Dungun Terengganu itu sudah tentu akan bermakna bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa itu. Kata beliau, selain Datuk Azizulhasni Awang seorang lagi pemain yang turut diharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat buat negara ialah Nur Aisyah Muhammad Zubir yang merupakan atlet berasal dari Kemaman. "Atlet (Terengganu) kita ke Sukan Olimpik ada dua orang ini yang semuanya merupakan atlet berbasikal dan kita harapkan kedua-duanya mampu untuk menyumbang pingat kepada Malaysia. "Dato' Azizulhasni Awang kita harapkan beliau mampu memberikan emas sulung bagi pasukan negara kita, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program 'Fit Is Sunnah 2024' di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam. Untuk rekod, Dato' Azizulhasni akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik Paris. dengan sebelum ini dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020. Manakala, Nur Aisyah dalam usia 27 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara berbasikal lebuh raya wanita yang akan turun beraksi secara berseorangan mewakili Malaysia.  
28 Jul 24
290
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
KUALA NERUS, 28 Julai - Motivasi atlet Terengganu yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berada pada tahap terbaik menjelang temasya sukan itu yang akan diadakan di Sarawak pada bulan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia. Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semua atlet sangat bersedia. "Sebahagian besar telah pun melalui latihan termasuk berkunjung ke luar negara, ada yang telah melalui beberapa perlawanan dan persaingan dengan pelbagai pihak di mana sebahagian besar atlet telah mula berada di Kuching. "Saya difahamkan ketika hari perlawanan (bola sepak) Terengganu FC menentang Selangor (Separuh Akhir Piala FA) atlet sukan layar telah pun bertolak ke sana. "Jadi saya jangkakan dari semasa ke semasa akan bermulalah atlet-atlet kita akan berada di Sarawak mengikut jadual perlawanan masing-masing," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program 'Fit Is Sunnah' 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini semalam. Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berharap agar tuah akan berpihak kepada atlet Terengganu bagi mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan berprestij dalam negara itu. "Kita harap kita akan jadi juara keseluruhan dengan semua atlet akan berusaha bagi mencapai pingat emas," ujarnya.
28 Jul 24
305
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan pembayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud Kenyir dan Stesen Janakuasa Hulu Terengganu berjumlah RM16.51 juta bagi tahun kewangan 2024.
28 Jul 24
266
Sultan Terengganu Berkenan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
Sultan Terengganu Berkenan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai kejohanan kuda lasak antarabangsa Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2024 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong
28 Jul 24
149
KDNK Sektor Pertanian Meningkat di Terengganu
KDNK Sektor Pertanian Meningkat di Terengganu
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor pertanian di Terengganu menunjukkan peningkatan berbanding sektor lain sebanyak 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion.
28 Jul 24
58
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Primula Beach Hotel yang popular dengan lokasi penginapan pelancongan di negeri ini membuktikan kualiti yang ditawarkan mereka menerusi kemenangan 'Hotel Amalan Lestari Terbaik' di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Royale Chulan Kuala Lumpur. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pengiktirafan itu berdasarkan  komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatifnya dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan. Katanya, pihak mereka sentiasa  komited untuk menetapkan penanda aras dalam hospitaliti lestari dan menginspirasi orang lain dalam industri untuk mengamalkan amalan hijau. "Sejak tahun 2021, Primula Beach Hotel telah bekerjasama dengan TNB GSPARX untuk menggunakan sistem tenaga suria, mengurangkan jejak karbon hotel dengan ketara dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.  "Primula Beach Hotel  menganjurkan acara-acara hijau seperti Beach Run Primula Eco Green pada Februari 2024, sebuah acara yang promosikan kesedaran kesihatan dan alam sekitar,"ujarnya dalam satu kenyataan. Suaibah juga berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk inisiatif "Bring Our  Turtle Back" pada tahun 2022 dan 2023. "Ia bertujuan melindungi dan memulihkan penyu, serta memelihara kehidupan marin,"ujarnya. Tambah beliau,  bagi memastikan hasil tani yang segar dan lestari untuk para tetamu, Primula Beach Hotel menanam sayur-sayuran menggunakan teknik hidroponik dan fertigasi. Selain itu katanya, pihak hotel juga telah melaksanakan program kitar semula dalam pembuatan sendiri sabun menggunakan minyak masak terpakai.  Menurut Suaibah lagi, inisiatif baru yang diperkenalkan pertengahan tahun 2024 iaitu pengkomposan sisa makanan, menukar sisa organik kepada baja yang berharga. "Hasilnya ia berjaya meningkatkan kesihatan tanah dan kurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan," ujarnya.  
27 Jul 24
547