lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos- Hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang berjaya membuahkan hasil apabila menjadi juara  dalam 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024' yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Berdepan persaingan daripada sekolah-sekolah lain , pasukan  SMK Bukit Sawa  berjaya menarik perhatian juri melalui produk inovasi mereka,  iaitu reka bentuk sayap 'Expandable Wingtip with Winglet' untuk kegunaan pesawat peninjau tanpa pemandu. Guru pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata rekaan tersebut boleh meningkatkan keupayaannya untuk terbang lebih lama di udara dan meningkatkan jarak penerbangan untuk melengkapkan sesuatu misi “Pasukan kami  menjadi johan peringkat Kebangsaan dalam kategori 'Innovate, Design and Visualise' dalam pertandingan berprestij itu dan  membolehkan SMK Bukit Sawa membawa pulang hadiah wang ringgit bernilai RM1,000 dan trofi.  "Kemenangan ini adalah bukti kecemerlangan dan keupayaan pelajar dari sekolah kategori luar bandar untuk sama-sama bersaing di peringkat kebangsaan yang diwakili sekolah hebat termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berprestasi Tinggi dari seluruh negara,”ujarnya kepada pemberita. Menurutnya, sekolah juga memenangi pakej Program Pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) & TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) berkaitan aero angkasa oleh industri dan institusi pendidikan di sekolah pada sesi pembelajaran tahun 2025. Inovasi tersebut adalah hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang lagi guru, Noor Azmi Sulaiman yang dimulakan sejak Julai 2024 melalui pertandingan 'My Aero STEM Quest Innovate, Design and Visualise; Wing Design and Wind Tunnel Design'. Mengulas lanjut, beliau berkata, SMK Bukit Sawa telah mendapat tajaan daripada Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd sejak tahun 2023 untuk memastikan program pembelajaran STEM dan pendidikan awal aeroangkasa yang berimpak tinggi dapat dijalankan di sekolah tersebut. Tambahnya, tajaan tersebut membolehkan pihak sekolah pergi lebih jauh dalam program inovasi bagi melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut. "Kami teruja dengan kemenangan ini dan berharap agar lebih ramai pihak industri dan korporat dapat menyokong dan menaja program aeroangkasa di peringkat awal pendidikan. "Usaha ini penting untuk menarik lebih ramai minat pelajar dan seterusnya membolehkan mereka meneroka bidang aeroangkasa negara pada masa akan datang," katanya.
28 Aug 24
809
TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan
TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Pihak Taman Tamadun Islam telah melakukan gimik memperkenalkan dua buah feri 'Crystal Cruise' sempena sambutan hari Kebangsaan pada program Sunset Cruise Perarakan Jalur Gemilang semalam.. Dalam acara yang dianjurkan oleh TTI itu, dua buah feri itu diiringi oleh 25 buah jetski yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, program yang diadakan bukan sahaja membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat setempat tetapi ia juga bagi mendedahkan kepada rakyat Terengganu tentang perkhidmatan dan produk pelancongan yang ada untuk dinikmati semua. "Sekarang ini salah satu kempen yang kita buat sempena merdeka ini ialah menaiki Feri Crystal Cruise sempena merdeka ini di mana kita tawarkan pakej 'Sunset Cruise', 'Night Cruise' makan atas bot dan sebagainya. "Kita buka peluang kepada semua pelancong sama ada dari dalam ataupun luar untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas feri ini, ia menawarkan pemandangan yang indah sepanjang menyelusuri Sungai Terengganu dengan harga semua orang akan mampu. "Dapat melihat bandar Terengganu dari atas feri dan kita akan berhenti di Jambatan Angkat bagi merasai pengalaman melihat matahari terbenam atau suasana malam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin,Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Di samping ia turut dihadiri, Pengurus-Pengurus Besar Kumpulan PMINY, wakil Jabatan kerajaan dan GLC serta Pengiat Pelancongan. Dalam pada itu, Husaimi yang juga merupakan Pengerusi TTI menyeru orang ramai untuk hadir bagi menyemarakkan aktiviti pelancongan di TTI sempena bulan kemerdekaan yang bakal disambut. "Sebenarnya banyak lagi program-program yang akan dilaksanakan bagi dipersembahkan kepada pelancong yang bakal mengunjungi TTI ini. "Jadi jangan lepaskan peluang, kita pakat mari ramai-ramai ke sini," ujarnya. Untuk makluman sempena menjelang kemerdekaan TTI juga akan menganjurkan TTI Merdeka Camping yang berkonsepkan riadah bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan. Antaranya, pertunjukan bunga api, pertandingan basikal berhias merdeka, cekoh durian dan sebagainya lagi.  
27 Aug 24
388
Kontrak Pengusaha Kantin Akibatkan Keracunan Makanan Tidak Disambung
Kontrak Pengusaha Kantin Akibatkan Keracunan Makanan Tidak Disambung
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Kontrak pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus yang terpalit dengan isu keracunan makanan melibatkan sekumpulan pelajar baru-baru ini tidak akan disambung. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengusaha kantin terbabit hanya dibenarkan beroperasi sehingga kontraknya berakhir November ini. Katanya, pengusaha tersebut ada mengemukakan permohonan untuk menyambung kontrak selama setahun lagi. “Tetapi apabila diambil kira dari segi perkhidmatan beliau, dalam keadaan yang tidak mengizinkan ini bermakna perkhidmatan tersebut akan tamat hujung tahun ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, semalam. Mengulas lanjut katanya, walaupun isu keracunan makanan membabitkan pelajar dikendalikan unit asrama penuh tetapi siasatan dilakukan mendapati berlaku kecuaian pengusaha kantin sehingga menyebabkan kes keracunan makanan. "Apa pun semua sudah balik ke sekolah semula dan telah selesai. Kita juga menunggu hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengesahkan keracunan makanan tersebut. "Kita juga akan hantar surat kepada sekolah-sekolah agar sentiasa bersiap-sedia dalam hal ini dan memberi perhatian yang teliti kepada pengusaha kantin supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya.  
27 Aug 24
199
Bisa Nelson Bonilla Ditagih Kembalikan Kekuatan TFC
Bisa Nelson Bonilla Ditagih Kembalikan Kekuatan TFC
KUALA NERUS, 27 Ogos - Bisa pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Nelson Bonilla ditagih bagi memperkuatkan kembali jentera serangan skuad penyu sekali gus menceriakan kembali peminat setia pasukan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi sang penyu diharap dapat ditingkatkan semula penyerang itu selepas ketiadaan  Ivan Mamut yang mengalami kecederaan panjang. Ujarnya, ketiadaan penyerang telah menjadi faktor TFC tidak mampu beraksi cemerlang sebagaimana yang dikemukakan oleh Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner. "(Sebelum ini) 'coach' telah mengemukakan beberapa nama dan telah dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Pemiilihan melibatkan semua pihak kejurulatihan dan pengurusan. "Tetapi sifat pemain ia agak subjektif walaupun prestasi sebelum ini di kelab asal bagus namun sewaktu datang berlaku sebaliknya. "Apa yang kita harapkan 'striker' yang kita ambil ini, Nelson Bonilla mampu menterjemahkan prestasi yang sama seperti dia beraksi di liga Thailand," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di  pejabat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semalam. Mengulas lebih lanjut, adalah menjadi harapan agar peminat tidak putus asa untuk terus memberikan sokongan yang padu buat TFC kerana masih berada dalam kedudukan yang baik pada saingan Liga Super. "Berada di tangga ketiga tidaklah terlalu teruk, kita juga tidak mencatatkan lagi kekalahan di laman sendiri melaikan tempoh hari ketika berhadapan Svay Rieng FC dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shoope 2024/25 dengan kekalahan 3-2." katanya.
27 Aug 24
378
33,300 Anak Benih Dilepaskan, Tingkat Hasil Tangkapan
33,300 Anak Benih Dilepaskan, Tingkat Hasil Tangkapan
Oleh: Fauzi Mat Adam Marang, 27 Ogos- Program pelepasan benih ikan berupaya meningkatkan sumber perikanan semulajadi sekali gus memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada penduduk kampung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, sebagai inisiatif memulihara sumber perikanan sungai dan memperkayakan biodiversiti akuatik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Berangan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Daerah Marang telah melepaskan 33,300 benih ikan di sungai kampung berkenaan. "Program ini bukan sahaja untuk menambah stok ikan di sungai, tetapi juga sebagai usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem air tawar yang berharga ini. “Sebanyak 33,300 benih ikan pelbagai spesies seperti siakap, baung, ikan baung serta udang udang galah telah dilepaskan ke dalam sungai tersebut.  “Benih-benih ikan ini diharapkan dapat membiak dan menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan bagi komuniti setempat di masa akan datang,” ujarnya. Katanya, inisiatif tersebut juga bertujuan memulihkan populasi ikan di sungai-sungai tempatan yang telah terjejas akibat aktiviti pembangunan dan pencemaran. “Dengan adanya program perlepasan benih ikan seperti ini, kita dapat memastikan kelangsungan ekosistem sungai serta menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk melalui aktiviti perikanan. “Ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan sektor perikanan secara mampan,” katanya. Sementara itu, Pengerusi JPKK Pengkalan Berangan, Suhaimi Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk kampung. “Program seperti ini sangat bermakna kepada penduduk tempatan. Kami akan terus menyokong inisiatif yang dapat membawa manfaat kepada komuniti, termasuklah dalam bidang perikanan dan pertanian,” ujarnya.  
27 Aug 24
126
Terengganu Selaras Kenaikan Gaji Ikut Persekutuan
Terengganu Selaras Kenaikan Gaji Ikut Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Kerajaan Terengganu akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan untuk menyelaras semula kenaikan gaji kira-kira 14,457 penjawat awam di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dalam satu kenyataan baru-baru ini. “Sudah ada kenyataan dari Setiausaha Kerajaan Negeri berkaitan peyelarasan gaji dan kita akan follow (ikut) penyelarasan gaji itu, sekarang ini kita sedang berbincang dengan pihak kementerian kewangan tentang langkah selanjutnya,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelarasan gaji penjawat awan di negeri ini susulan kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, hari ini. Dalam pada itu katanya, perincian lanjut mengenai penyelarasan gaji bagi penjawat awam berjawatan kontrak akan dimaklumkan kemudian. “Sebab kita kena tengok kos keseluruhan dan bagaimana perundingan kita dengan pihak kementerian kewangan,” katanya. Ketika ditanya adakah penyelarasan gaji akan menjejaskan kewangan negeri beliau menafikan perkara tersebut. “Sekiranya itu (penyelarasan gaji) dimasukkan ke dalam emolumen yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan negeri dan diambil oleh wang tunai petroleum sepatutnya tidak ada apa-apa masalah,” jelasnya. Terdahulu dalam satu kenyataan kepada media, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan kenaikan gaji tersebut berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan kelak. Katanya, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam. "Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hinggalah sekarang. "Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama..., jadi kena tengok Pekeliling dahulu," ujarnya.  
26 Aug 24
372
Sekolah di Terengganu Mulakan Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran
Sekolah di Terengganu Mulakan Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan Program Al-Quran Di Hati iaitu program bacaan al-Quran oleh guru dan murid sebelum bermula sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Ia merupakan program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menerusi agenda Peneraju Transformasi Pendidikan (PTP) yang menjadikan program tersebut sebagai agenda utama pendidikan Terengganu bagi melahirkan murid yang cintakan kalam Allah. Majlis pelancaran diadakan di Sekolah Kebangsaan Serada yang telah dipilih sebagai sekolah rintis bagi pelaksanaan program tersebut, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia; Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong. Sebelum itu, Raja Muda Terengganu turut berkenan melawat murid-murid yang sedang mengikuti kelas al-Quran di sekolah terbabit. Sementara itu, Jelani dalam ucapannya berkata, program yang bermula tahun lepas itu akan diperkasakan ke seluruh sekolah di Terengganu mulai tahun ini. “Ia akan membabitkan murid darjah satu hingga enam di 352 buah sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tiga bagi 154 sekolah menengah. “Selain membudayakan pembacaan al-Quran pada setiap hari, kita mahu memastikan murid-murid celik al-Quran selepas tamat tahun enam di sekolah rendah,” ujarnya. Menurutnya, semua warga pendidikan Negeri Terengganu dimohon meneruskan gerak kerja bagi memastikan fokus pengukuran PTP terutama penekanan kepada celik al-Quran dapat direalisasikan.  “Fokus celik al-Quran ini perlu seiring dengan fokus-fokus lain iaitu, fokus akademik, solat bestari, sahsiah terpuji, kemenjadian kokurikulum, kejituan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan keberkesanan kepimpinan.  “Insya-allah dengan gerakan berfokus yang kita adakan ini iaitu program al-quran di hati akan mewajahkan hasrat kita bersama bagi melahirkan murid yang cintakan al-Quran,” katanya.  Mengulas lanjut katanya, program al-Quran di hati dilaksanakan setiap hari persekolahan pada jam 7.30 pagi hingga 7.45 pagi di kelas masing-masing. “Bacaan alquran akan diketuai oleh murid turus dan diikuti oleh murid-murid lain serta dibimbing oleh dua orang guru bagi setiap kelas, satu muka surat akan dibaca setiap hari beserta terjemahan ayat dan bacaan murid akan direkodkan setiap hari dalam rekod pencapaian al-Quran,” jelasnya. Jelani berkata, program tersebut diharapkan bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang celik al-Quran, malah dapat melahirkan generasi soleh, pintar, rabbani dan murabbi.   
26 Aug 24
2531
Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia
Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Terengganu terpilih sebagai lokasi keenam hub DE Rantau atau penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital bagi menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata  inisiatif yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bakal menarik lebih ramai komuniti ‘digital nomad’ (nomad digital) menjadikan Terengganu sebagai pejabat atau rumah kedua mereka. Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pemilihan Terengganu sebagai  hub nomad digital kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan status tersebut. ”Bukan sekali jumpa tetapi beberapa kali, saya memberi gambaran bahawa Terengganu ini sangat sesuai untuk dijadikan hub atau satu destinasi kepada digital nomad sebab kita mempunyai ekosistem yang sangat baik. “Kita punyai pulau-pulau yang sangat indah dan cantik, Tasik Kenyir yang hebat, pelbagai pilihan makanan tradisional, warisan yang cukup kuat untuk kita sertai nomad digital. “Dan saya sangat bangga pada hari ini kerana ia direalisasikan dengan MDEC, Kementerian Digital  dan mungkin kita akan adakan perbincangan seterusnya dari semasa kesemasa untuk pastikan ada pertambahan nomad digital ke Terengganu,”ujarnya kepada pemberita. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis pelancaran program de rantau@Terengganu di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu,  Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Mengulas mengenai bagaimana de rantau@Terengganu mampu mempengaruhi pertambahan kehadiran pelancong ke Terengganu, Razali berkata penilaian itu akan dibuat selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan. “Saya yakin nomad digital akan memberi ruang promosi negeri Terengganu ke seluruh dunia dan jika promosi berjaya, pelancong akan datang ke Terengganu sebagai destinasi wajib. “Dan saya jangkakan beberapa peratus lagi pertambahan kehadiran pelancong selepas program hari ini...kita akan tengok ‘Return on Investment’ selepas dua tiga bulan nanti tentang kehadiran pelancong,”ujarnya lagi.  Tambah Razali, berdasarkan  data sehingga Jun 2024, Terengganu antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 5.2 juta pelawat melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta  bagi setahun.. "Menjelang akhir tahun  kerajaan negeri mensasarkan seramai 7 hingga 8 juta pelancong berkunjung ke Terengganu. “Sasaran ini juga berdasarkan Terengganu sebagai hub nomad digital terbaharu dan saya letak pertambahan sehingga 40 peratus selain program sepanjang Monsun Timur Laut nanti,”kata beliau.
26 Aug 24
693
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
Kontinjen  Terengganu terus mengungguli  Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-23 tahun 2024 apabila dinobatkan juara keseluruhan sekaligus mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut.
25 Aug 24
203
25,181 Pemohon Dapat Kerja Melalui MyFutureJobs Sejak 2020
25,181 Pemohon Dapat Kerja Melalui MyFutureJobs Sejak 2020
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Terengganu merekodkan sebanyak 25, 181 penempatan menerusi program kerjaya yang dijalankan sepanjang tahun 2020 sehingga 5 Ogos 2024. Pengarah PERKESO negeri, Farihah Che Husin berkata, berdasarkan perangkaan portal MYFutureJobs bagi tempoh 2023 sehingga Julai 2024, terdapat 1,755 kekosongan jawatan yang masih aktif di Terengganu. Justeru itu, beliau menyeru orang ramai terutama golongan belia merebut peluang yang disediakan bagi mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor dalam dan luar Terengganu. “Program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs tidak hanya membantu individu yang menganggur atau para graduan sahaja tetapi turut melaksanakan padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan dan kemahiran pencari kerja. ”Penganjuran program kerjaya sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran yang menjadi matlamat PERKESO dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat termasuk golongan rentan,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Karnival MYFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' negeri Terengganu 2024 di KTCC Mall, di sini hari ini. Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, pelbagai jawatan ditawarkan oleh 65 syarikat dari pelbagai sektor dan industri  bermula Pembantu Am sehingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi serta penawaran gaji sehingga RM6,000. Menurutnya, karnival kerjaya kali ini juga mendapat penyertaan daripada beberapa agensi kerajaan serta badan berkanun. "Buat julung kalinya Tentera Udara DiRaja Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia turut terlibat dalam karnival ini dengan menawarkan 700 kekosongan bagi jawatan Perajurit Muda,”katanya lagi. Mengulas lanjut, Farihah memaklumkan berdasarkan rekod sehingga jam 12 tengahari, seramai  1,017 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan dan kemudian temuduga kedua pada hari kedua karnival berlangsung.  
25 Aug 24
224