lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SATU Atur Langkah Pastikan Loji Air Tidak Terjejas Ketika Banjir
SATU Atur Langkah Pastikan Loji Air Tidak Terjejas Ketika Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengambil langkah proaktif bagi memastikan operasi 15 loji rawatan air (LRA) di negeri ini tidak terjejas ketika banjir. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, sekiranya berlaku air pasang besar, hujan lebat dan ada pelepasan air daripada empangan ketika Monsun Timur Laut, berkemungkinan besar untuk berlaku banjir. “Tapi kita kena buat pilihan, ketika air pasang besar kalau tidak ada pelepasan air daripada empangan, loji-loji kita akan terkesan kerana air masin telah sampai ke muka sauk.  “Daripada pengalaman lepas, pensampelan air masin akan diambil termasuk sudah sampai ke tahap mana dan sebagainya. “Kita tentulah tidak boleh kawal hujan, tetapi boleh dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi buat pengawasan yang lebih kerap untuk melihat tahap air masin tersebut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, SATU turut bekerjasama dengan TNB berhubung pelepasan air di empangan untuk imbangi faktor tersebut. “Pelepasan air empangan memang perkara biasa, TNB akan lepaskan air empangan supaya kita masih ada bekalan air, air masin tidak sampai ke muka sauk dan pada masa yang sama dapat minimakan kesan risiko bencana banjir,” ujarnya.  
21 Oct 24
130
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI. Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa. Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan. Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun. Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna. "Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam. Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya. "Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya. Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah. Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar. "Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.
20 Oct 24
247
84 Nelayan Dungun, Kemaman Terima Bantuan Peralatan
84 Nelayan Dungun, Kemaman Terima Bantuan Peralatan
DUNGUN, 20 Oktober - Kerajaan Negeri terus komited menghulurkan bantuan dan meringankan beban nelayan pantai, kali ini melibatkan seramai 84 nelayan dari daerah Dungun dan Kemaman. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kerajaan Terengganu pada tahun ini telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM300,000 dalam bentuk bantuan peralatan kepada nelayan pantai sebagai langkah proaktif untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan bagi memastikan bekalan ikan di negeri ini kekal mencukupi. “Bantuan peralatan kepada nelayan adalah bertujuan untuk meringankan kos pembelian peralatan untuk menangkap ikan, meningkatkan keefisienan tangkapan ikan serta mengekalkan kualiti hasil tangkapan. “Bantuan peralatan juga membantu nelayan tempatan meningkatkan pendaratan ikan dan menyumbang kepada sumber bekalan ikan berterusan di negeri ini. “Peralatan yang diberi pada tahun ini adalah ‘fish finder’, pukat tangsi dan kawat bubu kepada 232 orang nelayan pantai di seluruh Terengganu. “Pada hari ini, seramai 33 penerima bantuan dari Dungun, manakala daerah Kemaman adalah seramai 51 orang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Unjam Daerah Dungun dan Bantuan Peralatan kepada Nelayan Pantai Daerah Dungun dan Kemaman di Pengkalan Seberang Pintasan, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Amran Hashim. Sebelum pada itu, Ir Saiful yang mewakil Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, berjaya menyempurnakan program melabuh unjam daerah Dungun. “Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, bagi tujuan pembangunan unjam di negeri ini, yang melibatkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Dungun. “Pada hari ini, sebanyak 40 unit unjam berjaya dilabuhkan di perairan pantai Seberang Pintasan di lokasi tidak melebihi 5 batu nautika dari pantai. “Program ini bakal memberi manfaat kepada nelayan tradisional atau nelayan pantai yang mengunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan kail. “Pihak kerajaan sangat berharap agar komuniti nelayan terus komited melibatkan diri dalam menjaga unjam yang telah dibina dengan sebaik-baiknya, dan memastikan unjam sentiasa  ditambah untuk menjamin sumber bekalan ikan di kawasan unjam dilabuh,” ujarnya. Untuk rekod, program pembangunan unjam oleh Kerajaan Terengganu telah bermula pada tahun 2018. Sehingga tahun 2023, Kerajaan Negeri telah menghabiskan sejumlah RM540,000.00 melibatkan 1,016 unit unjam berjaya dilabuhkan di seluruh perairan Terengganu.
20 Oct 24
247
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
KUALA NERUS, 20 Oktober - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.   Sultanah Nur Zahirah yang juga Cancelor UMT bertitah, walaupun masih muda dari segi usia, UMT kini dapat berada sebaris dengan universiti yang lebih berusia.  “Sebagai sebuah universiti berfokus, UMT telah membina dan mempunyai jenamanya tersendiri.  “Beta yakin bahawa UMT akan terus melonjak sebagai institusi pendidikan tinggi di peringkat global dan mampu menterjemahkan peranannya yang besar dalam pembinaan modal insan negara,” titah baginda pada upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT dan Perisytiharan Pelantikan Pro Canselor di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis konvokesyen itu. Baginda bertitah, ahli akademik diharap dapat meningkatkan kualiti akademik dalam aspek pengajaran supaya relevan dengan perkembangan semasa.  “Ini termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang boleh diintegrasikan dalam sektor pendidikan tinggi untuk hasil yang lebih optimum,” titah Sultanah Nur Zahirah. Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah turut bertitah agar siswazah UMT meraikan kejayaan pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.  “Hargailah jasa ibu-bapa dan para pensyarah yang telah banyak berkorban demi kejayaan anda.    “Teruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti. Sikap segelintir pihak dalam masyarakat yang mempersoalkan kepentingan pendidikan tinggi perlu dihentikan.  “Pendidikan adalah satu proses pemugaran manusiawi yang mempunyai elemen budi dan bakti. Ia bukanlah bersifat jual-beli kerana ia mempunyai hikmah yang membangunkan pemikiran dan sahsiah peribadi,” titah baginda. Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT menyaksikan seramai 2,775 graduan  diraikan dalam enam sesi yang bermula hari ini hingga Selasa.    
20 Oct 24
634
Terengganu Peruntuk Lebih RM29 Juta Bantu Usahawan Sejak Tahun 2019
Terengganu Peruntuk Lebih RM29 Juta Bantu Usahawan Sejak Tahun 2019
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan RM29 juta bagi membantu 5,098 usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada tahun 2019 hingga kini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata walaupun kerajaan negeri disekat royalti, pihaknya tetap mengambil tanggungjawab untuk meneruskan skim TUGAS meskipun jumlah pembiayaan tidak seperti sebelum ini. “Dengan tekad ingin terus membantu seluruh usahawan di Terengganu, kerajaan negeri melalui YPU akan meneruskan pembiayaan ini bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan mereka. “Ia secara tidak langsung dapat membantu masalah pengangguran dan juga meningkatkan ekonomi negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS kali ke-3/2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini. Dalam majlis tersebut seramai 47 usahawan menerima surat tawaran peringkat tiga/2024 dengan jumlah peruntukan RM622,479.40  ribu yang mana  setiap usahawan akan mendapat pembiayaan antara RM7 ribu sehingga RM50 setiap seorang. Jelas Ariffin, ia meliputi skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), TUGAS-PERANTAU, Dana Usahawan& Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU (D-Hati). “Saya melihat skim-skim ini sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujar beliau lagi. Katanya, bagi tahun 2024, pihaknya telah membuat pengeluaran pembiayaan Skim TUGAS lebih RM1.7 juta kepada 135 peminjam yang memasuki peringkat ketiga dan bakinya sebelum akhir tahun ini. Dalam masa sama, Ariffin berharap para peminjam memanfaatkan skim TUGAS dengan sebaik mungkin dan membuat bayaran balik sebagaimana yang terdapat dalam surat perjanjian yang telah ditanda tangani. “Sebagaimana yang saya katakan buat masa kini kita kekurangan hasil pendapatan tahun ini dan tiada peruntukan khas untuk skim TUGAS disalurkan. “Namun bayaran balik oleh peminjam yang telah memperolehi pembiayaan ini akan membantu untuk menyalurkan atau membuat pusingan balik kepada pemohon-pemohon baru selepas itu,” katanya.
20 Oct 24
254
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
KUALA NERUS, 20 Oktober - Selepas 10 tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah, akhirnya tercapai pada usia 81 tahun. Christine Rohani Longuet yang berasal dari Perancis berkata, gelaran itu diidam-idamkannya sejak dahulu dan beliau menanam azam untuk berusaha mencapai impiannya itu selagi kesihatan masih baik. Berkongsi impiannya Rohani memberitahu, selepas ini beliau berazam untuk menulis buku memoir kenangan sepanjang berada di bumi Terengganu sejak 51 tahun yang lalu. "Saya mahu cucu cicit dan keturunan seterusnya tahu sejarah asal usul nenek moyang mereka dan bagaimana boleh berada di Malaysia setelah melalui pengembaraan dengan belayar jauh dari Perancis. "Saya juga ingin meluahkan semua pengalaman dan kecintaan saya terhadap budaya, kesenian serta warisan tradisional untuk diterjemahkan dalam buku yang akan diterbitkan dalam tiga bahasa nanti iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Bahasa Melayu," katanya kepada pemberita pada Majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke- 22, hari ini. Terdahulu, Rohani merupakan graduan tertua menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan antara 89 graduan PhD yang diraikan dalam sesi pertama konvokesyen yang disempurnakan istiadatnya oleh Canselor UMT iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pagi ini. Nenek kepada 26 cucu dan moyang kepada sembilan cicit itu berkata, kejayaannya itu membuktikan usia bukanlah penghalang dalam mencari ilmu pengetahuan. "Saya memulakan pengajian PhD dengan tesis bertajuk 'Places, Plants and People In The State Of Terengganu, Malaysia: An Assessment From Two Eras' pada tahun 2014. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat banyak sokongan daripada pensyarah serta keluarga sepanjang 10 tahun pengajian ini berlangsung. "Walaupun mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkannya kerana kekangan masa, saya gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi hari ini disaksikan sebahagian anak, cucu dan cicit," katanya. Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Sebelum itu, ketika berada di negara kelahirannya, Rohani memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke Malaysia. Rohani yang meminati bidang pelayaran datang ke Terengganu pada tahun 1971 kerana menempah kapal buatan tukang yang mahir dan akhirnya menetap di Pulau Duyong setelah berkahwin dengan penduduk tempatan, Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah. Sejak itu, kisah hidupnya terkenal kerana menjadi wanita tunggal dari Perancis ketika itu yang mahir bertutur dalam dialek Terengganu dan sangat meminati bidang kesenian, warisan dan kebudayaan Terengganu.  
20 Oct 24
325
Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu
Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu
Karnival Pantai 2024 menghimpunkan keunikan budaya, seni dan warisan daerah-daerah yang ditonjolkan kepada pengunjung untuk merasai sendiri gaya hidup masyarakat Melayu tradisional.
20 Oct 24
78
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang menjadikan kediaman itu sebagai inap desa akan disenarai hitam.
20 Oct 24
123
UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Naib Canselor UMT, Profesor  Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand. "Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun. "Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara. "Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang  membawa manfaat besar," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran WIFIdx yang disempurnakan oleh Canselor UMT, iaitu Sultanah Terengganu Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT sempena majlis santapan petang di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri. Jelasnya, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea Tambah beliau, WIFIdx adalah bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam majlis sama pada hari ini, turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad. "Sumbangan dari pelbagai agensi dan syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek. "Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT," katanya.  
19 Oct 24
247
Kerjasama SATU, TNB Pasang Sistem Solar Di Tiga Loji Rawatan Air
Kerjasama SATU, TNB Pasang Sistem Solar Di Tiga Loji Rawatan Air
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menjalin kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd bagi pemasangan sistem solar di tiga loji rawatan air di negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, melalui Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui yang ditandatangani itu, mencerminkan komitmen SATU terhadap kelestarian dan pengamalan amalan mesra alam dalam sektor perkhidmatan air. "Projek ini akan melibatkan tiga loji terbesar daripada 15 loji milik SATU iaitu iaitu Loji Rawatan Air Bukit Sah di Kemaman dengan pemasangan sistem solar berkapasiti 508 kWp, Loji Rawatan Air Kepong I & II di Kuala Terengganu (1275 kWp) dan Loji Rawatan Air Hulu Terengganu (542 kWp). "Dengan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 2.325 MWp, kemudahan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyediaan air terawat yang bersih dan selamat kepada masyarakat Terengganu, serta meminimakan kesan terhadap alam sekitar," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, semalam. Ts Abdul Karim dipihak SATU dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Elmie Fairul Mashuri yang mewakili GSPARX menandatangani perjanjian itu dengan disaksikan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia. Mengulas lanjut, Ts Abdul Karim berkata, pelaburan hampir RM8 juta telah diperuntukkan termasuk kos penyelenggaraan selama lima tahun bagi projek tersebut yang dijangka mampu memberikan manfaat yang signifikan. "Dalam tahun pertama sahaja, penjimatan dianggarkan mencapai RM1.18 juta, dan dalam tempoh 25 tahun, jumlah penjimatan dijangka dapat mencapai RM26.89 juta. "Selain itu, projek ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,938.09 metrik tan setiap tahun, yang bersamaan dengan manfaat ekologi dari 2,651.23 ekar hutan yang disimpan setiap tahun, " ujarnya. Katanya, dalam konteks kelestarian global yang semakin mencabar, peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar menjadi sangat penting.  "Inisiatif ini perlu menjadi fokus lebih banyak organisasi di Malaysia, SATU percaya bahawa kelestarian alam adalah kunci untuk melindungi persekitaran dan memastikan masa depan yang lebih baik.  "Perjanjian ini mencerminkan usaha aktif untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan dalam operasi," jelasnya.
19 Oct 24
280