Artikel "Utama" Terkini
Muslim Food Tekad Jadi Penanda Aras Industri F&B Bumiputera Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober- Niat asal pengasas Muslim Food Industries (MFI) iaitu allahyarham Jamaludin Yusof terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) sekitar tahun 1980-an adalah untuk mengambil tanggungjawab fardhu kifayah bagi memenuhi keperluan makanan umat Islam dan jihad ekonomi.
Pada tahun 1986, beliau yang merupakan seorang guru sains membuat keputusan mengakhiri kerjaya sebagai guru dan menubuhkan Muslim Food Industry, satu-satunya pengeluar mi kuning bumiputera ketika itu.
Bermula dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, perniagaan allahyarham terus berkembang maju.
Seiring perkembangan semasa pada tahun 1997, Muslim Food Industry telah ditukar nama kepada MFI bagi melestarikan kepelbagaian produk muslim di pasaran semasa.
Pengarah Urusan MFI, Ahmad Sayyaf Jamaludin berkata, selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2014, ‘survival’ syarikat MFI diteruskan oleh beliau bersama adik beradik.
Katanya, beliau optimis dengan perniagaan F&B yang dijalankan keluarganya dan bercita-cita membawa jenama syarikat ke peringkat antarabangsa dan menjadi penanda aras kepada industri makanan bumiputera di negara ini.
“Harapan saya MFI akan lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
“Kita ingin menjadi nombor satu dalam Malaysia dan berusaha jadikan MFI sebagai salah satu ‘betchmark’ untuk orang Melayu dalam bidang F&B kerana masih kurang orang Melayu yang berjaya dalam bidang ini,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kilang MFI di Kampung banggol Tok Jiring, baru-baru ini.
Ahmad Sayyaf berkata, faktor pasaran baru dan produk baru menyumbang kepada peningkatan jualan syarikat MFI yang ditubuhkan sejak tahun 1986.
“Kita meletakkan sasaran jualan akan meningkat 50 peratus setiap tahun.
“Produk terlaris keluaran MFI temasuk mi kuning, kuey teow, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili kisar, garam halus dan garam kasar yang mana produk berkenaan dipasarkan di semua rangkaian Mydin dan Giant seluruh semenanjung serta berpuluh lagi pasar raya kecil yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata, MFI sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan produk dalam usaha memenuhi citarasa ramai.
“Tahun ini kita fokus kepada pembangunan beberapa produk termasuk bebola ikan, InsyaAllah tahun depan kita akan keluarkan produk baru iaitu bebola ikan (sayuran),” ujarnya.
Ahmad Sayyaf berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan antaranya yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang sentiasa bersama syarikat terbabit termasuk dalam memberikan bimbingan dan khidmat nasihat.
23 Oct 24
253
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
Selepas 10 tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah, akhirnya tercapai pada usia 81 tahun.
23 Oct 24
123
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta.
23 Oct 24
113
5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kini bersiap siaga dengan kekuatan anggota seramai 5,000 orang bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku Oktober ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata PDRM sentiasa memberi komitmen yang secukupnya demi keselamatan rakyat terutama di kawasan yang berisiko dinaiki air.
Menurutnya, bagi pihak PDRM, seramai dua ribu anggota diseluruh daerah bersedia dikerahkan pada bila-bila masa termasuk arahan ‘cuti dibekukan’ bagi pegawai terlibat.
“Mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Terengganu bakal menghadapi MTL bermula bulan November hingga Mac 2025.
“Mesyuarat penyelarasan sudah diadakan beberapa hari lepas, dan kita sebagai agensi penyelamat harus bersedia dari sudut logistik dan sumber manusia.
“Sejauh mana keseriusan banjir bakal terjadi, pihak keselamatan sentiasa bersedia dengan maklumat dan kenyataan dari MET tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan, supaya rakyat di negeri ini sentiasa peka dengan kenyataan yang bakal dikeluarkan dari MET, juga sentiasa bersedia dengan apa kemungkinan bakal berlaku, terutama di tempat berisiko banjir.
Katanya, mereka perlu peka dengan arahan semasa, dan pindah jika diperlukan bagi mengelakkan dari kejadian buruk berlaku terutama melibatkan nyawa dan sebagainya.
“Pastikan juga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana disitu disediakan segala kemudahan seperti tilam, selimut, makanan dan sebagainya.
“Pengurusan penyimpanan dokumen penting juga perlu dibuat, disarankan supaya disimpan dalam beg khas keselamatan, agar tidak rosak dan bebas dari air," katanya lagi.
Mohd Khairi juga berkata ibu bapa perlu cakna kepada anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi parit, sungai atau tempat berisiko, bagi mengurangkan kadar kehilangan nyawa walaupun ia berlaku setiap tahun.
“Tidak terkecuali juga kepada pengunjung ke tempat berisiko seperti tempat perkelahan, sungai, dan air terjun, kerana ia berisiko terjadinya fenomena ‘kepala air’, elakkan berkunjung ke tempat tersebut ketika di musim MTL," ujarnya.
23 Oct 24
182
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kesemua dadah yang dilupuskan melibatkan 2,958 kertas siasatan terbahagi kepada tujuh daerah di Terengganu dari tempoh 1991 hingga 2024.
“Pelupusan barang kes ini adalah mendapat perintah mahkamah, melibatkan kes-kes tangkapan yang mana suspek telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
“Jumlah dadah dilupuskan dalam program ini adalah pil yaba atau pil kuda seberat 19,388.06 gram, syabu 1,173.16 gram, heroin 1,737.04 gram, ganja 343.49 gram, pil eramin 5 269.94 gram, air ketum 1636.20 liter, daun ketum 1340.34 gram, ubat batuk 353.07 liter, pil estacy 0.29 gram, pil psikotropik 54.42 gram.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu akan membuat pelupusan barang kes dadah mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara D207.
“Barang kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.
“Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (sw403), di bawah jadual pertama, peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling 2005,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini hanya berhadapan masalah dadah jenis tradisional seperti dadah berasaskan opiate atau candu seperti heroin, morfin dan dadah jenis ganja.
Akan tetapi masa kini jelasnya, PDRM menghadapi masalah dadah jenis baru berasaskan sintetik seperti pil yaba, syabu,dan eramin 5.
“Sepanjang tahun 2024 (1 Januari-30 September), JSJN Terengganu menunjukkan prestasi begitu baik apabila berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3.66 juta.
“Sebanyak 1,044 kes dibawah kategori (bekalan) telah berjaya dibuka, di mana 94.40 peratus kes di bawah seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952, telah berjaya dituduh di mahkamah sehingga 30 September 2024.
“Sepanjang tempoh tersebut, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 844 orang di bawah seksyen 39C ADB 1952, manakala pada tahun 2023 seramai 1,029 orang telah ditangkap dan dituduh.
“Penagih-penagih tegar ini akan berada di dalam penjara dalam tempoh yang lama dan tidak akan lagi mempengaruhi remaja lain daripada terlibat dengan dadah.
“Tindakan ini dilihat lebih praktikal dari menghantar penagih tegar untuk menjalani pemulihan dadah kerana mereka boleh mempengaruhi penagih baru yang sedang menjalani pemulihan,” katanya.
22 Oct 24
195
Pejabat Daerah Kuala Terengganu Juara Pertandingan Bangsal Tradisi
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Pejabat Daerah Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai juara Pertandingan Bangsal Tradisi sempena Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 yang diadakan di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini.
Pejabat itu berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM50,000.
Manakala tempat kedua dimenangi Pejabat Daerah Marang, membawa pulang hadiah RM30,000 dan tempat ketiga pula diraih Pejabat Daerah Hulu Terengganu, layak membawa hadiah RM15,000.
Lima daerah lain menerima saguhati masing-masing bernilai RM5,000.
Kesemua hadiah diserahkan dalam bentuk geran pelaksanaan program pelancongan di daerah pelaksana tahun 2025.
KPT 2024 berjaya merekodkan lebih 150,000 pengunjung dan pelancong sepanjang empat hari program berlangsung iaitu bermula 17 hingga 20 Oktober 2024.
Puluhan aktiviti kebudayaan, makanan tradisi yang jarang jumpa, permainan klasik, bangsal tradisi antara faktor KPT 2024 mendapat sambutan diluar jangkaan.
22 Oct 24
704
Karnival Pantai 2024 Rekod Lebih 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengakhiri Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 dengan kejayaan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lebih daripada 150,000 pengunjung.
Malah KPT 2024 yang berlangsung di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir selama empat hari berakhir 20 Oktober lalu juga menarik perhatian lebih daripada 2,000 peserta Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) yang turut sama menyemarakkan karnival berkenaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, ia bukan sahaja berupaya mengangkat budaya dan warisan negeri tetapi juga memberikan sokongan besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Pertandingan Bangsal Tradisi yang memberi peluang kepada setiap daerah untuk menunjukkan kreativiti dan kebolehan dalam menghias bangsal mereka menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah, kayu, dan buluh.
“Pelbagai aktiviti yang bersifat budaya, tradisi, dan warisan diperlihatkan sama ada daripada penganjur mahupun daripada setiap Pejabat Daerah sepanjang karnival berlangsung,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika di Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Bangsal Tradisi Sempena Karnival Pantai Terengganu 2024.
Mengulas lanjut katanya, pameran seperti Bangsal Tradisi dan Karnival Makanan yang dianjurkan kali ini menunjukkan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan identiti Negeri Terengganu terus dikekalkan.
“Melalui penganjuran KPT ini juga, kita dapat lihat kesan positif terhadap ekonomi setempat, di mana lebih 60 vendor dan pelbagai usahawan tempatan turut mengambil bahagian.
“Selain itu, karnival ini turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan budaya dan alam semula jadi,” ujarnya.
Katanya, diharapkan KPT akan menjadi acara tahunan yang dinanti oleh semua.
22 Oct 24
1578
JPS Kenal Pasti 449 Kawasan 'Hotspot' Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, Oktober - Sebanyak 449 kawasan 'hotspot' banjir di Terengganu sudah dikenal pasti sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata
kawasan 'hotspot' itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.
Menurutnya, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung
"Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 97 lokasi diikuti daerah Hulu Terengganu (66 kawasan).
"Manakala di Setiu (58 kawasan), Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan)," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal.
Menurut beliau, beberapa pelan tindakan juga telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL, baru-baru ini.
Tambah Hanafiah, kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.
“Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu.
“Daerah Hulu Terengganu juga dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," ujarnya.
Beliau seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025.
Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
22 Oct 24
292
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.
22 Oct 24
128
84 Nelayan Dungun, Kemaman Terima Bantuan Peralatan
Kerajaan Negeri terus komited menghulurkan bantuan dan meringankan beban nelayan pantai, kali ini melibatkan seramai 84 nelayan dari daerah Dungun dan Kemaman.
22 Oct 24
94