lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Sambut Baik Akta 852, Kawalan Rokok dan Vape
Terengganu Sambut Baik Akta 852, Kawalan Rokok dan Vape
BESUT, 17 Oktober - Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan satu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya sedia bekerjasama dari segi penguatkuasaan dan menaiktaraf undang-undang sedia ada demi kesihatan rakyat di negeri ini. “Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyahut saranan KKM untuk menguatkuasakan akta yang baru dilancarkan. “Kita juga sedang merangka satu peraturan baharu supaya tidak membenarkan premis menjual rokok terutama rokok elektronik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini. Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Wan Sukairi percaya Akta 852 itu bakal menjaga dan mengawal golongan belia daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan. “KKM telah meletakkan peraturan dan syarat yang sangat ketat, antaranya ialah penjualan kepada remaja di bawah umur, ia satu kesalahan berat andai menjual kepada individu di bawah umur. “Zon larangan merokok juga ditambah kepada 28 tempat seluruhnya, seperti larangan merokok di kedai berhawa dingin, premis kerajaan, stadium atau pusat kecergasan, dobi, cafe internet, kompleks sukan, kawasan institusi pendidikan, lif atau tandas awam, dan banyak lagi tempat yang telah digazetkan. “Negeri ini juga telah mewujudkan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) seperti pusat peranginan Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, yang telah diwartakan sejak 2018. “Di daerah Besut kita buat di Dewan Merdeka Kota Putera Square ini, ada tujuh lokasi semuanya di seluruh Terengganu. “Seterusnya, pengenalan kawalan produk alternatif seperti rokok elektronik termasuk vape, produk ini tertakluk juga kepada peraturan sama dengan rokok kebiasaan, sekarang vape sudah disamakan dengan rokok,” jelasnya. Untuk rekod, Akta 852 juga mengawal segala bentuk iklan, promosi, penajaan yang berkaitan dengan produk rokok, pengiklanan secara langsung atau tidak, adalah dilarang di semua platform media termasuk media sosial. Beliau juga percaya dengan peranan pihak kerajaan ini dapat mengawal rakyat dari terkena denda atau hukuman yang serius, juga dapat mendidik masyarakat tentang bahaya aktiviti merokok. “Jika tuan/puan melanggar undang-undang demikian, boleh dikenakan kompaun atau denda yang tinggi, juga boleh disabitkan hukuman penjara, terhadap penjual atau pengguna. “Dalam masa yang sama, pendidikan kesihatan awam akan dilakukan secara berkala untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, bahawa merokok ini patut dihindarkan, bukan sahaja membazir wang ringgit, tapi mengakibatkan kesihatan terancam,” ujarnya.
19 Oct 24
249
JPS Giat Tambahbaik 17 Siren Amaran Banjir di Terengganu
JPS Giat Tambahbaik 17 Siren Amaran Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu kini sedang giat melakukan penambahbaikan 17 siren amaran banjir bagi mendepani Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang dijangka bermula pertengahan Oktober 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata ia adalah antara langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana itu, selain persiapan berbentuk logistik, bekalan makanan, serta persiapan di pusat pemindahan. Menurut beliau, pihaknya akan memastikan kesemua kemudahan stesen hujan dan stesen paras air berfungsi dengan baik terutamanya di lokasi tumpuan kawasan banjir. "Ia termasuk 10 kamera litar tertutup (CCTV), 64 stesen hujan telemetri dan 15 stesen air telemetri yang dihubungkan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN) di sini. “Justeru itu, kerajaan negeri menerusi JPS Negeri Terengganu membuat persiapan rapi melalui kemudahan stesen dan peralatan berkenaan sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir. "Dengan membuat persiapan yang sewajarnya sepanjang MTL, kita akan dapat mengurangkan impak bencana banjir dan sebagainya serta memastikan tiada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang teruk," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. Tambah Hanafiah, setakat ini JPS telah melakukan kerja penyelenggaraan dan pengujian pada awal Oktober termasuk melakukan kerja pembaikian terhadap siren amaran bunyi yang bermasalah. Dalam masa sama, beliau berkata orang ramai perlu cakna dan ambil tahu bunyi siren amaran banjir sebagai langkah kesiapsagaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Hanafiah turut menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar.
19 Oct 24
288
Lebih Empat Tan Bekalan Dihantar Ke Pulau Redang Hadapi Banjir
Lebih Empat Tan Bekalan Dihantar Ke Pulau Redang Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Lebih empat tan bekalan makanan dan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh tahun ini. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan, berkata, bekalan tersebut bagi menampung keperluan 2,000 penduduk di lokasi berkenaan yang sering terputus hubungan apabila berlaku banjir. Katanya, bekalan seperti beras, minyak masak, biskut, air minera, gula, tepung, dan susu formula bayi itu mampu menampung kegunaan penduduk di pulau tersebut selama tiga bulan. "Biasanya penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan di pulau-pulau termasuk Pulau Redang, dilakukan pada hujung Oktober tetapi MTL dijangka lebih awal kali ini jadi kita hantar hari ini. "Begitu juga bekalan kepada penduduk di Pulau Perhentian di Besut, kita akan hantar dalam waktu terdekat ini," katanya kepada pemberita pada Program Penghantaran Barang Keperluan Semasa Bencana ke Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini. Tambah Mazura, sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi, JKM akan membuat penambahan awal dengan bantuan agensi-agensi lain sekiranya keadaan serius. Sementara itu, beliau berkata JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa. “Kita akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 155 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri akhir Oktober ini,”ujarnya.  Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata pihaknya akan sentiasa memantau secara berkala mengenai keperluan penduduk Pulau Redang dari semasa ke semasa  bagi memastikan kebajikan penduduk pulau  terjaga.  
17 Oct 24
366
SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas
SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pasukan badminton Terengganu memperoleh emas setelah regu wanitanya berjaya menghadiahkan kemenangan dalam aksi penentu di perlawanan akhir menentang Sabah di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia Kali Ke-9. Terengganu walaupun pada awalnya selesa mengatasi Sabah 2-0 melalui regu pegawai dan regu veteren, terpaksa berhempas pulas setelah Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi dua regu dalam acara terbuka. SUK Terengganu berjaya dinobatkan pemenang pingat emas setelah regu wanitanya mencipta kemenangan sekali gus meletakkan kedudukan akhir 3-2. Pengurus Badminton, SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata kemenangan di peringkat akhir itu menjadi bonus buat pasukannya dan melepasi sasaran. "Ini merupakan satu bonus untuk kita menjuarai kejohanan badminton SUKSEM pada kali ini kerana pasukan yang kita hadapi bukan calang-calang sebaliknya merupakan juara bertahan pada edisi yang lepas. "Alhamdulillah, ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna setelah kita mengharungi segala cabaran yang boleh dikatakan semua negeri yang menyertai acara ini menghantar pasukan yang kuat," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan) berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton SUKSEM di Stadium Negeri, di sini, hari ini. Tambah beliau, pada edisi yang lalu Terengganu hanya mampu melangkah sehingga ke peringkat suku akhir "Tahniah juga kepada pasukan saya atas kemenangan ini setelah berusaha dan memberikan komitmen yang terbaik terutamanya kepada pemain, tiada dilupakan pihak pengurusan arasan dari Pejabat SUK yang turut hadir memberikan sokongan," ujarnya.  Dalam pada itu, Timbalan Setiausa Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) , Ab Rasid Jusoh telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton itu iaitu Terengganu (emas), Sabah (Perak) dan Sarawak (gangsa).
17 Oct 24
721
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
Para kontinjen di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) diingatkan agar tidak menjadikan acara sukan itu sebagai gelanggang untuk beradu kekuatan semata-mata sebaliknya ia perlu dijadikan platform untuk saling bertukar pandangan memperkasakan negeri masing-masing.
17 Oct 24
104
Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024
Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024
Terengganu Inc. Challenge Series: International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) bakal menawarkan hadiah lumayan berkeseluruhan RM37,000 bagi acara yang dipertandingkan, dan sebuah Perodua Myvi sebagai hadiah utama untuk cabutan bertuah pada edisi kali ini.
17 Oct 24
124
Air Pasang Besar, 41 Kampung Berdepan Risiko Banjir di Terengganu
Air Pasang Besar, 41 Kampung Berdepan Risiko Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Sebanyak 41 buah kampung yang berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku malam esok (17 Oktober) hingga 25 Oktober depan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu. Justeru itu katanya, beliau menasihatkan penduduk  sekitar perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk berpindah sekiranya perlu. "Berdasarkan rekod JPS Terengganu, terdapat 10 kampung berisiko banjir yang terletak di dua muara iaitu muara Sungai Terengganu dan muara Sungai Ibai. "Kampung tersebut ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Kampung Ulu Takir, Seberang Takir, Kampung Kubang Ikan, Taman Purnama dan Kampung Kuala Ibai," katanya kepada pemberita. Tambah Hanafiah, di daerah Marang terdapat dua muara iaitu Sungai Marang dan Sungai Merchang melibatkan lima kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Pulau Rusa Baru. Sementara di daerah Dungun pula, terdapat tiga muara sungai utama iaitu muara Sungai Dungun, muara Sungai Paka dan muara Sungai Sura yang melibatkan 13 buah kampung. “Kampung yang berisiko itu ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Durian Mentangau, Pinang Merah, Kampung Sura, Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Che Lijah, Alor Makbah, Tanjung Jara, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,”ujarnya. Manakala di daerah Besut pula, beliau berkata kampung yang terletak di muara sungai dan berisiko banjir ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai. "Di Setiu pula, terdapat dua muara iaitu Sungai Setiu dan Sungai Merang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap, Kampung Fikri, Kampung Limau Lipis dan Kuala Setiu,”ujarnya. Sementara itu bagi daerah  Kemaman pula terdapat, dua muara iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik melibatkan empat kampung iaitu Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.  
16 Oct 24
12243
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
16 Oct 24
108
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
KUALA  NERUS, 15 Oktober - Para kontinjen di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) diingatkan agar tidak menjadikan acara sukan itu sebagai gelanggang untuk beradu kekuatan semata-mata sebaliknya ia perlu dijadikan platform untuk saling bertukar pandangan memperkasakan negeri masing-masing. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata selain itu ia juga boleh dijadikan medan untuk menjalinkan persahabatan serta kesatuan yang kuat antara semua kakitangan pejabat-pejabat SUK seluruh Malaysia. "Temasya SUKSEM pada kali ini bakal memperlihatkan sebanyak 12 pejabat SUK seluruh Malaysia yang berentap merebut johan keseluruhan menerusi 10 acara yang dipertandingkan. "Temasya pada kali ini melibatkan seramai lebih 2,448 atlet, pegawai dan urus setia kejohanan daripada 12 pejabat SUK seluruh Malaysia. "Ini tidak termasuk ketua-ketua jabatan yang turut hadir menyokong pasukan masing-masing yang akan bertanding serta pasukan teknikal kejohanan yang akan menjayakan temasya sukan ini yang dianggarkan lebih 500 orang yang akan turut serta," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya SUKSEM Kali Ke-9, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam. Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Mengulas lebih lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran sukan itu pada kali ini akan turut memberi rangsangan ekonomi kepada penduduk setempat. "Ini dapat membantu ekonomi penduduk tempatan di sekitar Kuala nerus dan Kuala Terengganu khususnya yang akan mendapat limpahan ekonomi daripada penganjuran pada kali ini," ujar beliau. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan tahniah atas kejayaan penganjuran SUKSEM itu. "Saya difahamkan pejabat SUK Terengganu hanya mengambil masa kurang dua bulan dilantik sebagai tuan rumah buat pertama kalinya terus mengambil tanggungjawab dan memulakan persiapan ke arah pelaksanaanya pada kali ini.  "Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola dan seluruh jentera, persatuan-persatuan sukan, para kontinjen dan semua yang terlibat kerana dapat berganding  tangan menjayakan Temasya SUKSEM Kali Ke-9 yang gemilang ini," ujarnya.  
15 Oct 24
303
SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menjadi tumpuan pada pagi ini apabila tampil cemerlang menerusi sukan badminton di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) kali ke-9 yang bermula pada pagi ini dengan mengalahkan SUK Melaka. Kejayaan memenangi lima perlawanan menerusi dua regu lelaki, satu regu wanita dan perseorangan lelaki menyaksikan Terengganu bermula langkah kanan. Pengurus Badminton SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata, pada tahun ini atlet badminton bersemangat untuk memperbaiki pencapaian pada tahun sebelum ini yang hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir. " Alhamdulillah, di peringkat kumpulan pasukan Terengganu telah melepasi halangan pertama pada pagi ini dengan menang kesemua set  5-0 melawan pasukan Melaka. "Kita berharap agar momentum ini diteruskan untuk perlawanan kedua pada sesi petang ini dengan memastikan sasaran utama kita untuk muncul juara peringkat kumpulan akan dapat dicapai," ujarnya. Beliau yang juga merupakan ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan)  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas berakhir perlawanan pasukan Badminton SUK Terengganu melawan SUK Melaka, di Stadium Negeri, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut Asrur berkata, secara tradisinya sukan badminton di peringkat SUKSEM selalunya didominasi oleh Sabah dan Sarawak. "Kali ini kita melihat Johor pun ada sedikit peningkatan dan insya-Allah pada kali ini kita akan cuba menyaingi pasukan-pasukan ini. "Namun perjalanan ini masih jauh masih terlalu awal, namun kita akan cuba mengatur strategi bagi memastikan edisi pada kali ini kita akan muncul sebagai juara," ujarnya.  
15 Oct 24
741