lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SHMMP Deepavali: 178 Anggota KPDN Pantau Harga di Terengganu
SHMMP Deepavali: 178 Anggota KPDN Pantau Harga di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 178 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024. "Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal. “Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan. "Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.
29 Oct 24
172
Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kempen Derma Darah anjuran Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 37 beg darah. Program yang berlangsung meriah di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort itu merupakan inisiatif penting dalam membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memenuhi keperluan bekalan darah bagi pesakit di hospital. Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, beliau gembira atas kejayaan program tersebut kerana bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi turut berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi serta masyarakat setempat. Beliau menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam membantu meningkatkan bekalan darah bagi kegunaan pesakit di HSNZ. “Kami sangat berpuas hati dan bersyukur dengan perjalanan program ini. Melalui kempen ini, objektif utama kami bukan sahaja tercapai, tetapi juga berjaya mengukuhkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa. “Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi memenuhi keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya Kata beliau, program berkenaan bukan sahaja menarik kehadiran individu tetapi turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi. "Antara agensi yang menyokong penuh kempen ini termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Duyong, Jabatan Pelancongan Terengganu dan syarikat swasta seperti Aims Global. "Kehadiran mereka membantu memeriahkan suasana kempen dan menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini. "Selain aktiviti utama menderma darah, kempen ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memberi manfaat kepada para pengunjung," katanya. Tambah Wan Faizul, syarikat kesihatan, GPharmax, turut serta dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa tahap kesihatan mereka.  "Di samping itu, reruai Cakna Management Sdn. Bhd. turut memeriahkan kempen dengan mempamerkan kepakaran mereka dalam bidang pengurusan dan penganjuran acara.  "Kehadiran syarikat-syarikat ini menjadikan kempen ini bukan sahaja bermakna, tetapi juga satu platform untuk meningkatkan kesedaran kesihatan," jelasnya. Wan Mohd Faizul menambah bahawa kempen ini telah berjaya mencetuskan impak positif dalam kalangan masyarakat setempat dan menggalakkan lebih ramai untuk tampil menderma darah pada masa akan datang.  Menurut beliau, sambutan hangat yang diterima adalah bukti kepedulian masyarakat terhadap isu-isu kesihatan dan kesedaran betapa pentingnya untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan. “Respon yang diterima sangat positif. Kehadiran ramai ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program-program seperti ini di masa akan datang, demi manfaat masyarakat keseluruhannya. Sambutan luar biasa daripada pelbagai organisasi dan masyarakat setempat memberi semangat baharu kepada kami,” ujar beliau lagi.  
29 Oct 24
136
Tambah Baik Kemudahan Kesihatan Dan Keselamatan Di Kemaman
Tambah Baik Kemudahan Kesihatan Dan Keselamatan Di Kemaman
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengusulkan beberapa permintaan penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk Kemaman. Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan kesihatan dan keselamatan di kawasan tersebut yang semakin pesat membangun. “Dalam sektor kesihatan, saya mencadangkan peningkatan taraf bagi beberapa klinik utama, termasuk Klinik Batu 2 1/2, Klinik Cukai, Klinik Kuala Kemaman, dan Klinik Kemasik. “Berdasarkan dengan pertambahan pesakit di kawasan itu, peningkatan infrastruktur dan kemudahan kesihatan amat diperlukan. Dengan usaha ini akan membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa, demi kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya ketika berucap di hadapan wakil-wakil kerajaan dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam. Selain itu, Menteri Besar Terengganu turut menekankan aspek keselamatan, di mana beliau menyatakan bahawa dengan pertambahan populasi dan penempatan baharu, kawasan tersebut memerlukan tambahan kekuatan anggota keselamatan terutamanya dengan perkembangan kawasan industri.  “Saya memohon perhatian dan tindakan kerajaan untuk menaik taraf pondok – pondok polis di Kemaman, menaik taraf perjawatan Ketua Polis Balai dan Ketua Polis Daerah kepada jawatan hakiki yang lebih tinggi. “Ia penting bagi memastikan keselamatan penduduk di Kemaman sentiasa terjamin dan mampu menghadapi cabaran baru akibat pertumbuhan pesat kawasan tersebut. “Kemaman kini berkembang maju dan setiap penduduk berhak hidup dalam keadaan selamat dan selesa. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kebaikan kita bersama,” kata beliau.
29 Oct 24
195
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pelantikan itu  bagi memastikan tiada gangguan bekalan  keperluan asas timbul sepanjang musim bencana terutama  di kawasan-kawasan berisiko banjir. “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN)telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam lesen barang-barang kawalan berjadual (CSA). “DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Tambahnya, sebarang pembelian barang kawalan berjadual di Kawasan bencana oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) atau individu bagi tujuan edaran bantuan bencana adalah dilarang. “Ini termasuk pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan tidak dibenarkan dan disaran penggunaan minyak masak kemasan botol,”ujarnya. Menurut Ariffin, program Jualan Rahmah Madani juga akan diadakan di lokasi-lokasi berhampiran dengan bencana banjir. 
28 Oct 24
144
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, UPDI bertanggungjawab menghubungkan rakyat dengan maklumat yang tepat, cepat dan terkini selaras dengan agenda Maju, Berkat, Sejahtera. Katanya, UPDI mempunyai beberapa medium di media sosial antaranya portal TRDI News serta TV Darul Iman (TVDI).  “Penghasilan berita mengenai program-program kerajaan negeri membuktikan keberhasilan liputan yang dibuat contohnya seperti Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup 2024 yang berlangsung baru-baru ini. “Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat termasuk mengenai dasar kerajaan negeri boleh melayari portal TRDI News dan laman rasmi TVDI di Youtube atau Facebook masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Kepada 20 Penerima Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Di kesempatan tersebut, Tengku Seri Bijaya Raja yang akan bersara wajib pada 5 November ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga Wisma Darul Iman atas kerjasama sepanjang beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.  “Saya doakan warga Wisma Darul Iman terus cemerlang dengan pelbagai pencapaian baru dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada rakyat. "Wisma Darul Iman adalah nadi pentadbiran negeri, justeru saya berharap semua pegawai dan kakitangan terus menunjukkan imej yang baik dan menjadi contoh kepada agensi di peringkat negeri dan daerah,” ujarnya. Pada majlis tersebut juga, turut diraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Unit Perumahan di atas kejayaan mendapatkan pensijilan Information Security Management System (ISMS) mengikut standard ISO/IEC 27001:2022 daripada Cyber Security Malaysia pada 7 Jun lalu.
28 Oct 24
1429
Kerajaan Terengganu Sentiasa Buka Permohonan Tanah Baharu
Kerajaan Terengganu Sentiasa Buka Permohonan Tanah Baharu
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa permohonan tanah baharu sentiasa dibuka untuk rakyat yang layak. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menjelaskan bahawa rakyat yang memerlukan tanah boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa. “Kerajaan komited untuk memberikan peluang kepada semua rakyat tanpa had masa tertentu. “Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki tanah sendiri,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini. Menurut Mohd Nurkhuzaini, terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai dua jenis tanah iaitu permohonan tanah baharu yang sah dan tanah haram.  “Permohonan tanah baharu adalah sah dan terbuka kepada semua yang layak, manakala tanah haram adalah masalah pencerobohan yang memerlukan tindakan tegas. “Kita akan terus memastikan bahawa semua permohonan tanah dibuat mengikut peraturan yang sah, dan tindakan undang-undang akan diambil bagi menangani isu tanah haram,” ujar beliau.  Tambah Mohd Nurkhuzaini, Kerajaan Terengganu mengambil langkah tegas dalam memastikan tanah-tanah yang dianugerahkan kepada rakyat tidak dijual atau dipindah milik secara tidak sah, terutama melalui ‘pintu belakang’.  “Setiap tanah yang diberikan, sama ada melalui permohonan tanah baharu atau tanah yang tertakluk di bawah pemilikan terkilang, tertakluk kepada larangan gadaian, pajakan, dan penjualan. “Peraturan ini jelas dinyatakan dalam surat anugerah tanah bagi memastikan harta milik rakyat tidak disalahgunakan atau diperdagangkan oleh pihak yang ingin mengambil keuntungan. “Isu penjualan tanah secara tidak sah ini sering kali berlaku melalui cara yang tidak formal atau 'pintu belakang', yang jelas melanggar syarat anugerah tanah tersebut," katanya. Beliau mengingatkan bahawa tanah-tanah itu diberikan bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi rakyat dan memastikan orang ramai memiliki harta sendiri, bukan untuk dijadikan sumber keuntungan cepat oleh pihak tertentu.  “Tanah-tanah ini adalah untuk kegunaan pemohon, bukan untuk dijual atau digadai dengan mudah. Kita tegaskan bahawa tanah anugerah ini tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 10 tahun. “Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mengambil langkah penguatkuasaan yang ketat terhadap mana-mana individu yang melanggar perjanjian anugerah tersebut.  “Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengekang pencerobohan atau penyalahgunaan tanah, tetapi juga untuk melindungi kepentingan rakyat serta memastikan tanah tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada pemilik asal,” jelasnya.  
28 Oct 24
6251
Tour Gateh: Kuala Nerus Ujian Peringkat Keempat
Tour Gateh: Kuala Nerus Ujian Peringkat Keempat
Peringkat keempat Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) menyajikan jarak perlumbaan paling panjang diharungi pelumba-pelumba bertanding dalam sepanjang kejohanan iaitu sejauh 181 kilometer.
28 Oct 24
94
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu.
27 Oct 24
69
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
Seramai 32 anak yatim piatu dari setiap DUN di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'.
27 Oct 24
54
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.  Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Doubletree by Hilton Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengerusi TDM Berhad merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program Sukuk Wakalah adalah langkah signifikan dalam perjalanan TDM untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan.  "Dana yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pelaburan masa hadapan dan memenuhi komitmen kewangan TDM dengan mematuhi prinsip Shariah.  "Kerjasama dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah tersebut mencerminkan keyakinan rakan kewangan kami terhadap visi dan strategi jangka panjang TDM," ujarnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, pogram tersebut memberi fleksibiliti kepada TDM untuk menerbitkan nota jangka sederhana mengikut prinsip shariah Wakalah Bi Al-Istithmar, dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah tersebut sebagai ‘Rated’ atau ‘Unrated’. "Inisiatif ini membolehkan TDM mengoptimumkan struktur kewangan, menyokong pertumbuhan masa depan dan memperkuat kedudukan modal operasi.  "Tempoh keseluruhan program ini adalah selama 30 tahun bagi menyediakan keperluan kewangan untuk menyokong projek-projek akan datang dalam sektor Perladangan dan Penjagaan Kesihatan. "Sebahagian besar daripada hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, pelaburan, keperluan modal kerja, dan tujuan korporat am Kumpulan," jelasnya. Dalam pada itu katanya, program berkenaan juga bertujuan mengoptimumkan struktur kewangan termasuk membayar semula pembiayaan sedia ada.  "Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan modal operasi bagi memastikan kelancaran operasi harian dan mengekalkan kecekapan operasi dalam perniagaan Kumpulan secara menyeluruh," ujarnya. Menurut beliau, TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit yang berkeluasan 28,531 hektar dan masing-masing dua kilang kelapa sawit, kilang Bio-Organik dan loji Biogas yang terletak di Terengganu.  Di samping itu katanya, Kumpulan TDM juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berlokasi di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya, dan Tawau. "Program Sukuk Wakalah ini akan memastikan TDM mempunyai kemampuan kewangan untuk memacu sektor perladangan dan memperluaskan penjagaan kesihatan. “Program ini dijayakan dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyusun Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama.  "Affin Hwang Investment Bank Berhad juga berperanan sebagai agensi fasiliti, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat Shariah untuk program ini," ujarnya.
24 Oct 24
169