Artikel "Utama" Terkini
EPIC, Brunei Jalin Kerjasama Majukan Industri Maritim
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 November – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), syarikat milik penuh Kerajaan Terengganu terus melangkah lebih jauh dalam industri maritim apabila menjalin kerjasama dengan Brunei dalam bidang terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili berkata, majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) membuka jalan kepada pembangunan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal yang pertama di Brunei Darussalam.
Katanya, ia merupakan peluang besar untuk EPIC Berhad memperluaskan kepakaran ke peringkat antarabangsa sejajar dengan strategi perniagaan syarikat.
"Langkah itu juga berpotensi membawa impak positif kepada industri maritim di Malaysia dan Brunei serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Kami sangat bersemangat untuk meneroka potensi besar ini yang bukan sahaja mendukung strategi perniagaan kami tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
“LoI ini mencerminkan komitmen EPIC Berhad terhadap pertumbuhan melalui kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri minyak dan gas pilihan, sambil memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin.
“Inisiatif ini juga selari dengan pembangunan Fasiliti Kitar Semula Kapal Hijau ("GSRF") EPIC Berhad di Pelabuhan Kemaman, yang juga berfungsi sebagai Tapak Pelupusan Pesisir atau Fasiliti Pemulihan Penyahtauliahan ("DRF"). Terletak di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman ("KSB"), fasiliti dwi-fungsi pertama di Malaysia ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 selain bakal menjadi penanda aras bagi kemudahan kitar semula serta penyahtaulihan kapal secara Lestari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, di sini, hari ini.
Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.
Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd, dan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.
Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Qaswa, Musa Adnin, menyatakan bahawa pemeteraian LoI adalah pencapaian penting bagi Qaswa dalam usaha membina kerjasama dan pelaburan strategik bersama EPIC Berhad.
"Ia diharap dapat memberikan manfaat besar kepada syarikat dan memperkukuh ekonomi Brunei.
“Dengan memanfaatkan kepakaran serta rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa serta menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Brunei Darussalam.
"Kerjasama ini juga merupakan langkah signifikan dalam menambah baik keupayaan sektor minyak dan gas serta ekonomi tempatan, seiring dengan visi pembangunan ekonomi mapan negara,” ujarnya.
01 Nov 24
478
CEO Satu Antara Lapan Pendaki 'Berkain Batik' Berjaya Tawan 'Everest Base Camp'
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, 54, menjadi antara lapan pendaki dari Terengganu berjaya menawan Kem Pangkalan Everest di Kathmandu, Nepal sekitar jam 5 petang pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Ekspedisi berkata, dia cukup teruja dengan kejayaan itu dan lebih manis, mereka turut berpakaian tradisional batik dan semutar sebaik 'menawan' Everest Base Camp (EBC).
Menurutnya, pendakian ke puncak setinggi 5,364 meter mengambil masa 15 hari dengan jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 130 kilometer (km).
"Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di Kem Pangkalan Everest jam 3 petang waktu tempatan di sini.
"Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
"Selain itu, kami terpaksa melalui laluan yang berbatu serta keadaan cuaca berangin antara cabaran buat kami semua untuk menamatkan kembara ini," katanya yang pertama kali menyertai ekspedisi tersebut.
Tambah beliau, ekspedisi ini turut disertai pendaki pertama Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 2007 iaitu Mohd Rafi Kori, 45.
"Pengalamannya yang sudah lima kali berjaya menawan EBC banyak membantu melancarkan ekspedisi ini," ujarnya lagi.
Abdul Karim berkata, perjalanan turun dari EBC menuju ke Perkampungan Lukla dan Kathmandu pada 2 November ini dengan jarak perjalanan sejauh 60 km mengambil masa selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air.
"Pasukan pendaki ini dijangka tiba di Malaysia pada 5 November ini," katanya.
Selain Muhamad Rafi dan Abdul Karim, pendakian itu turut disertai Mohamad Salam Muda, 38; Mohd Yusri Gati@Mohd Gati, 37; Mohd Juhairi Mohd, 39; Mohd Izwan Awang, 37; Mohd Ghazali Kori, 37 dan Hairry Helmy @ Khairy Mustafa, 48.
Bagaimanapun,difahamkan salah seorang pendaki tidak berjaya sampai sehingga ke puncak atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Program kembara oleh Kelab Sukan Dan Kebajikan Kakitangan SATU Terengganu (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers juga mendapat tajaan rakan agensi seperti Ladang Rakyat, TDM, KMI Healthcare, Jaks Resources, PTT Energy, Asmak, Hospital Salam dan Adeqsue.
Sementara itu, Muhamad Rafi berkata, walaupun telah berpengalaman sebanyak lima kali tiba ke kem pangkalan tersebut, suhu serendah negatif lapan hingga 16 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang ekspedisi itu.
"Saya bersyukur kerana pengalaman kali kelima menuju ke pangkalan ini berjaya direalisasikan," ujar beliau.
Katanya lagi, sepanjang tempoh pendakian, kesemua pendaki merasai pengalaman baharu iaitu bertemu pendaki lain dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan Malaysia dan Terengganu secara amnya di mata dunia.
31 Oct 24
611
Peruntukan Segera Diperlukan Tangani Hakisan Pantai, Banjir di Setiu
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Penduduk Setiu kini resah menghadapi ancaman hakisan pantai dan banjir yang semakin memburuk, terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda Terengganu.
Dalam sesi Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadirn menggesa kerajaan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan tersebut.
Shaharizukirnain menekankan bahawa hakisan pantai kini telah merebak jauh melampaui kawasan yang dilindungi oleh 16 benteng pemecah ombak (breakwater) yang dibina sebelum ini.
“Kerajaan sudah meluluskan RM84 juta untuk pembinaan breakwater di Kampung Pengkalan Maras dan Batu Rakit, tetapi peruntukan tambahan segera amat diperlukan bagi menghalang hakisan baru yang semakin mengancam penduduk,” ujarnya.
Menurutnya, peruntukan hanya diberikan selepas hakisan berlaku, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai Pantai Bali Kecil, yang kini hampir menceroboh kawasan kediaman penduduk.
“Saya benar-benar berharap agar cadangan pembinaan benteng pemecah ombak ini dapat disegerakan.
"Penduduk di kawasan ini sentiasa hidup dalam kebimbangan setiap kali musim MTL tiba,” katanya dengan penuh harapan.
Selain hakisan, isu banjir di Permaisuri turut dibangkitkan, kawasan ini sering kali menjadi lokasi terjejas teruk akibat banjir, walaupun ia menempatkan banyak pejabat agensi kerajaan dan premis perniagaan penting.
“Mengapa kita harus menunggu sehingga berlaku kerosakan besar?,” tegas Shaharizukirnain, sambil menggesa agar Rancangan Tebatan Banjir Sungai Setiu Fasa 1 yang dianggarkan berjumlah RM200 juta dapat dipercepatkan demi melindungi infrastruktur penting.
Beliau berharap semua pihak memandang serius permasalahan ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Setiu.
“Penduduk disini amat memerlukan perlindungan yang lebih baik sebelum MTL bermula,” serunya supaya ada tindakan segera daripada pihak berkuasa.
30 Oct 24
291
Mengapa Ahli Parlimen dan Negeri Pembangkang Diberi Layanan Berbeza?
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, dalam Dewan Rakyat semalam melontarkan kritikan keras terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dan juga pembayaran royalti petroleum yang tertangguh kepada negeri Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa dasar yang diamalkan ketika ini bukan sahaja membebankan wakil rakyat, malah tidak adil kepada negeri yang berhak menerima manfaat secara langsung.
“Kenapa kerajaan masih berdolak-dalik dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang?.
“Mekanisme sedia ada yang mengagihkan dana melalui projek-projek tertentu bukan sahaja kurang telus, malah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat,” ujarnya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam
Selain itu, isu royalti petroleum untuk negeri Terengganu juga turut dibangkitkan oleh Shaharizukirnain.
“Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti RM792.3 juta, manakala bakinya sebanyak RM367.15 juta masih belum disalurkan.
“Lebih mengejutkan, anggaran hasil royalti petroleum bagi tahun 2024 adalah RM1.52 billion, namun beliau mempersoalkan sama ada kerajaan pusat akan melunaskan pembayaran secara penuh kepada kerajaan negeri.
“Mengapa royalti Terengganu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti negeri lain?," tegas Shaharizukirnain yang menganggap penggunaan projek sebagai kaedah penyaluran adalah alasan semata-mata.
Beliau turut menyoal apakah tindakan ini akan diteruskan sebagai bentuk diskriminasi politik, memandangkan negeri-negeri lain menerima royalti mereka tanpa melalui projek pembangunan yang melengahkan bayaran.
Shaharizukirnain menuntut agar kerajaan pusat segera menilai kembali dasar ini supaya hak rakyat Terengganu dan kawasan-kawasan pembangkang terjamin.
“Rakyat berhak tahu ke mana perginya dana yang dijanjikan untuk pembangunan mereka,” katanya menggesa ketelusan serta keadilan dalam pengurusan peruntukan dan royalti di seluruh negara.
30 Oct 24
165
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya.
30 Oct 24
83
Kerjasama Dengan Terengganu Hasil Makanan Ternakan Biojisim
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan disaran mengadakan kerjasama dengan Negeri Terengganu yang sedang dalam usaha menghasilkan makanan ternakan daripada biojisim.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penghasilan makanan ternakan daripada sumber tersebut dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan import.
"Inisiatif Kerajaan menerusi Pelan Tindakan Biojisim Negara 2030 (NBAP 2030) perlu juga mengambil kira usaha mencipta peluang pekerjaan baru kepada golongan belia di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan, dan khususnya Terengganu," jelasnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau meminta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menerusi jawapan lisannya, Johari memberitahu, Kementeriannya dan agensi menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
"Gas metana daripada efluens kilang minyak atau palm oil mill effluent (POME) diperangkap untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui oleh kilang-kilang sawit.
" Menjelang tahun 2030, industri biojisim ini dijangkakan akan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
" Industri ini juga dijangkakan akan dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baru," ujarnya.
29 Oct 24
858
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat.
29 Oct 24
62
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.
29 Oct 24
44
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya semalam.
Kejohanan di peringkat akhir semalam bagi acara 'Night Criterium' membabitkan jarak sejauh 57 kilometer di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dalam acara kemuncak, pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandy Lakkasek telah memenangi perlumbaan dengan saingan sengit daripada rakan sepasukan.
Bagi kategori bawah 23 tahun menyaksikan ASC Monster dari Indonesia telah muncul juara diikuti Nusantara Cycling Team berada di tempat kedua dan TSG (Terengganu Cycling Team) berada di tempat ketiga.
Manakala untuk kategori Local Club Team menyaksikan MIFH Cycling Group menjadi johan, tempat kedua dimenangi MBPJ dan tempat ketiga PDRM Cycling Team.
Untuk kategori Best Elit Team pula, Armed Cycling Group telah muncul sebagai johan, di tempat kedua TSG dan ketiga Malaysia pro Cycling.
Kejohanan TGDT2024 semalam telah dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
29 Oct 24
423
Sertai Brics Luaskan Peluang Ekonomi Buat Malaysia - Dr Sam
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Langkah Malaysia menyertai BRICS yang kini diketuai oleh Rusia dijangka dapat memperluaskan peluang ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif di arena antarabangsa.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan sokongan penuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam blok ekonomi BRICS.
“Usaha pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif domestik semata-mata, jika kita terus bersikap pasif di peringkat antarabangsa, kemajuan negara mungkin terencat.
“Justeru, dengan keterlibatan Malaysia dalam BRICS, kita bukan sahaja mempunyai akses kepada pelbagai peluang ekonomi, malah dapat berperanan dalam membentuk naratif geopolitik global,” ujarnya.
Menteri Besar Terengganu itu turut menekankan bahawa kerjasama dalam BRICS membuka pintu yang luas bagi Malaysia, terutama dalam aspek perdagangan, pelaburan dan perkongsian sumber.
“Sebagai sebuah negara kecil, peluang untuk bekerjasama dalam rangkaian yang luas ini memberi kita ruang untuk menentukan hala tuju sendiri dalam landskap ekonomi global yang kini sangat dinamik.
“Ini adalah langkah untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi kita sambil membina hubungan lebih erat dengan negara-negara rakan di BRICS,” jelas beliau.
BRICS, sebuah blok ekonomi yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai sektor ekonomi global, dengan kemasukan Malaysia sebagai rakan strategik, peluang ekonomi yang lebih luas dijangka bakal dinikmati, khususnya melalui perdagangan dan pelaburan.
BRICS juga menawarkan akses kepada sumber yang lebih murah dan perjanjian perdagangan yang lebih fleksibel, sesuatu yang amat bernilai bagi negara sedang membangun seperti Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Malaysia untuk mengoptimalkan peluang ini demi kepentingan rakyat.
“Yang penting adalah, kita mesti memenuhi keinginan dan aspirasi kita sebagai sebuah negara berdaulat, sambil memanfaatkan peluang ini dengan bijak,” tambah beliau.
29 Oct 24
160