Artikel "Sukan" Terkini
Veledrom Dungun Pikat Delegasi Kedah
DUNGUN, 28 Mei - Komitmen untuk memperkukuh pembangunan sukan negeri terus diperlihatkan apabila delegasi Kerajaan Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke Veledrom Dungun dalam usaha menjadikan kemudahan berprestij itu sebagai rujukan dan aspirasi pembangunan sukan di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din memaklumkan, lawatan ke lokasi yang juga dikenali dengan gelaran Velodrom Dato' Azizulhasni Awang itu, bertujuan meninjau secara lebih dekat kemajuan projek yang dilihat sebagai model pembangunan infrastruktur sukan yang strategik dan berimpak tinggi.
“Kami ingin melihat sendiri bagaimana projek ini dibangunkan daripada aspek struktur, pelaksanaan pembinaan hingga kepada peranan kerajaan negeri dalam memastikan ia memberi manfaat kepada pembangunan sukan tempatan.
"Ini akan menjadi panduan yang amat berguna untuk negeri Kedah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut, di sini pada Isnin.
Radhi yang hadir bersama timbalannya, Baddrol Bakhtiar disertai oleh beberapa pegawai kanan kerajaan negeri dan wakil daripada agensi berkaitan belia dan sukan.
Dalam sesi taklimat dan lawatan tapak yang diadakan, delegasi Kedah diberi penerangan terperinci mengenai reka bentuk veledrom, spesifikasi teknikal serta potensi penggunaannya untuk program pembangunan atlet sukan berbasikal.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyambut baik kehadiran delegasi negeri Kedah.
"Pembangunan sukan tidak seharusnya bersifat bersendirian di peringkat negeri, tetapi perlu diperkasakan melalui jaringan kerjasama yang lebih luas antara negeri.
"Insya-Allah, Terengganu sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, turut menyatakan kesediaan Kerajaan Terengganu untuk bekerjasama dengan mana-mana negeri dalam memperkukuhkan ekosistem sukan, khususnya melalui pemerkasaan fasiliti dan program pembangunan akar umbi.
Tambahnya, kehadiran delegasi itu merupakan satu penghormatan dan menunjukkan bahawa Veledrom Dungun bukan sekadar projek fizikal, tetapi simbol kepada kesungguhan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lawatan kerja berkenaan turut membuka ruang dialog antara kedua-dua negeri, dengan perbincangan awal ke arah jalinan kerjasama dalam bidang kejurulatihan, program pembangunan belia dan pemanfaatan fasiliti sukan secara bersama.
Untuk rekod, Veledrom Dungun telah siap sepenuhnya pada 15 Mac 2022 dan kini telah mula digunakan oleh atlet berbasikal tempatan untuk sesi latihan secara rasmi.
Kemudahan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sukan berbasikal tanah air.
Dengan prasarana yang lengkap dan berstandard antarabangsa, Veledrom Dungun kini bersedia menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan berbasikal serta menjadi pusat latihan yang mampu melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Dato’ Azizulhasni Awang.
27 May 25
1132
Anak Terengganu Wakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Korea Selatan
DUNGUN, 22 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyantuni dan meraikan kejayaan Mohamad Armin Zahryl, atlet olahraga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bakal menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
Menurut Hishamuddin, Armin, anak jati Dungun, dipilih menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-26 (26th Asian Athletics Championship) yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei 2025.
"Beliau akan menyertai kontinjen Malaysia bersama beberapa lagi atlet dari Terengganu, termasuk Azreen Nabila Alias dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira," katanya selepas majlis ziarah terbabit.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, serta barisan kepimpinan dari Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) termasuk Setiausaha Kehormat, Kama Rezuan Kamaruddin dan Pengarah Kejurulatihan, Zaki Sadri.
Ujar Hishamuddin, minat mendalam Armin terhadap sukan olahraga bermula sejak zaman persekolahan lagi memberinya motivasi untuk terus melakar pencapaian membanggakan.
"Dengan semangat juang dan latihan konsisten, beliau berjaya mencuri tumpuan apabila menyumbang pingat emas buat Terengganu dalam SUKMA Sarawak XXL 2024," jelas Hishamuddin.
Seluruh warga Terengganu dan rakyat Malaysia pastinya mendoakan kejayaan Armin dan rakan-rakan atlet negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
22 May 25
1902
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri.
Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP.
“Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu.
“Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
“Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan.
“Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan.
“Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.
21 May 25
146
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
SETIU, 20 Mei - Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak.
Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’.
"Dua arena utama iaitu 'warm-up' dan 'competition' dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa.
"Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004.
"Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017.
"TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,"ujarnya.
Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin.
Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
20 May 25
164
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini.
Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir.
"Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya.
"Jumpa di sana,"ujarnya.
10 May 25
4508
Imtiaz Besut Rangkul Juara MASSMIYT
SETIU, 8 Mei - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dinobatkan sebagai juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu (MASSMIYT) Ke-10.
Kejayaan itu diraih selepas menewaskan tujuh sekolah lain dalam kejohanan sukan melibatkan semua sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.
Kejohanan itu membabitkan persaingan sengit merebut pingat emas melibatkan 16 acara yang dipertandingkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, yang merasmikan majlis penutup, agenda pembangunan sukan di Imtiaz turut berkembang di kalangan murid.
"Di samping Imtiaz merekodkan kecemerlangan akademik yang sangat membanggakan," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Setiu, Siti Halimah Sidek.
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Nerus dinobatkan sebagai juara bagi perarakan terbaik.
Sementara itu, SMIYT Besut merangkul johan keseluruhan lelaki dan johan bagi keseluruhan perempuan menjadi milik tuan rumah, SMIYT Setiu.
08 May 25
146
'City Night Games' Turut Diserikan Pertunjukan Gasing Tradisional
KUALA TERENGGANU, 14 April - Permainan Gasing Tradisional akan turut dipersembahkan dan akan menjadi penyeri pada acara 'City Night Games' siri dua yang bakal diadakan nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya telah dikunjungi oleh jurulatih dan juga pembuat gasing, Omar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pok Din Bagi membincangkan penganjuran pertandingan gasing yang akan menjadi salah satu acara dalam acara berprestij itu nanti.
"Pertandingan gasing ini akan dijalankan pada 19 April 2025 bermula pada 8.30 pagi di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak,"ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin.
Jelasnya, melalui acara itu nanti pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui lebih mendalam tentang permainan gasing.
"Menerusi program ini, pengunjung terutama generasi muda dapat menyaksikan keunikan sukan gasing yang merupakan sukan tradisi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
"Terima kasih diucapkan buat Pok Din atas kunjungan pada kali ini. Semoga dipermudahkan penganjuran pertunjukan gasing nanti," katanya.
14 Apr 25
101
Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 7 April - Pelumba muda berbakat kelahiran Terengganu, Qabil Irfan, terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan berganda dalam perlumbaan 'ESBK Talent Cup' di Jerez, Sepanyol, semalam.
Qabil menamatkan Perlumbaan 2 dengan cemerlang, sekaligus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 1 sehari sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik kejayaan tersebut serta merakamkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian pelumba cilik itu.
"Tahniah buat Qabil Irfan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang muncul Juara bagi kategori ESBK Talent Round 1 Race 2 hari ini di Jerez, Sepanyol.
"Ia kemenangan buat kali kedua bagi Qabil selepas muncul Juara bagi Race 1 kelmarin. Qabil berjaya mengenepikan pesaing-pesaing daripada kelab permotoran negara lain bagi cabaran pada kali ini.
"Semoga dipermudahkan urusan Qabil, diberikan kekuatan untuk terus memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan bagi edisi perlumbaan lain.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam.
Dalam pada itu, di sebalik kejayaan ini, usaha gigih turut datang daripada pasukan pengurusan Qabil.
Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mendedahkan perancangan teliti yang dilakukan bagi memastikan Qabil mendapat tempat dalam pasukan terbaik.
Menurut satu hantaran laman media sosial ZK Racing, usaha ‘mengetuk pintu’ beberapa pasukan Eropah akhirnya membuahkan hasil apabila Qabil dipilih menyertai pasukan kompetitif, VHC Racing.
“Alhamdulillah, permulaan season yang baik untuk Qabil di ESBK Championship. Pasukan VHC telah memberikan motosikal yang terbaik untuk Qabil.
"Kita tahu pasukan ini adalah pasukan yang kompetitif di dalam kategori ini. Jadi, pada awalnya memang saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, bererti ini adalah motosikal yang terbaik yang kita dapat,” jelas Zulfahmi.
Tambah Zulfahmi, pasukannya turut merancang beberapa sesi ujian di Eropah untuk Qabil bagi memastikan pelumba muda itu kekal konsisten sepanjang musim.
Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong, terutamanya ibu bapa Qabil yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan anak mereka berada pada tahap prestasi terbaik.
Pusingan kedua ESBK akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di lokasi litar yang akan diumumkan kelak.
07 Apr 25
218
Terengganu Berhasrat Jadikan Jijoe Sebagai Mentor
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu berhasrat melantik Jaguh Trek Berbasikal Negara, Dato' Azizulhasni Awang sebagai mentor buat atlet di negeri ini bagi membentuk lebih ramai pelapis yang boleh mewakili Malaysia ke temasya sukan di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan ketika beliau bertemu dengan 'The Pocket Rocket Man'.
"Di samping itu, kami turut berkongsi pandangan dan idea mengenai usaha penggunaan fasiliti velodrom berbasikal di Dungun.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal secara lebih komprehensif supaya sentiasa berjaya melahirkan pelapis pelumba basikal di kalangan generasi muda Terengganu," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata sebelum ini pihaknya sentiasa bertemu dengan Azizulhasni untuk mengetahui perkembangan semasa prestasi sukan berbasikal negara.
"Rakyat Malaysia khususnya Terengganu berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau.
"Atlet negara yang menerima julukan sebagai 'The Pocket Rocketman' sentiasa positif dan terus berusaha untuk diri beliau dan semua atlet berbasikal negara untuk terus maju jaya," ujarnya.
25 Mar 25
4076
Terengganu Agih RM1.082 Juta Insentif Kemenangan SUKMA, Para SUKMA
Sebanyak RM1.082 juta disampaikan kerajaan negeri hari ini, sebagai insentif kemenangan bagi menghargai sumbangan atlet dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan (Skan Para (Para) SUKMA pada tahun 2024.
23 Mar 25
85