lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih Terengganu sebagai destinasi latihan skuad kebangsaan pada kali ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan rancak melakukan persiapan selama dua minggu bagi menghadapi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pattaya, Thailand bermula 21 Mac 2025 ini. "Pihak kerajaan Negeri Terengganu tiada halangan dan membuka sepenuhnya peluang untuk mewujudkan sebarang kerjasama melibatkan penggunaan fasiliti sukan di negeri ini dengan sebaiknya.   "Usaha mempersiapkan Padang Bola Sepak Pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu tidak sempat untuk disiapkan buat kegunaan latihan pasukan kebangsaan kali ini.  "InsyaAllah, tahun-tahun mendatang diharap ia akan menjadi lokasi pilihan. Padang berkenaan dijangka siap pada pertengahan Mac ini. Hishamuddin berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya selepas meninjau persiapan akhir Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang membuat latihan akhir di Gelanggang Bola Sepak Pantai Telaga Batin, Kuala Nerus baru-baru ini. Turut bersama, Mohd Saiful Md Noor, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan sepanjang tinjauan tersebut berlangsung. Tambah beliau, jurulatih bagi skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa pemain yang dipilih juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dengan menggabungkan pemain-pemain muda menyarung jersi pasukan. Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga menganggotai jawatan sebagai Jawatankuasa Eksekutif FAM sempat merakamkan pesanan semangat beliau untuk memberi keyakinan kepada pemain. "Selamat maju jaya buat semua yang terpilih mewakili Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia bertanding di peringkat Asia," ujarnya mengakhiri hantaran tersebut.
11 Mar 25
879
Qabil Irfan Bersiap Sedia Ke Jerez, Sepanyol Untuk Cabaran ESBK 2025
Qabil Irfan Bersiap Sedia Ke Jerez, Sepanyol Untuk Cabaran ESBK 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Pelumba cilik sensasi negara, Qabil Irfan, bakal berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac ini bagi menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama Espana Superbike Championship (ESBK) 2025. Kejohanan itu bakal menjadi satu lagi medan penting buat pelumba berusia 13 tahun berkenaan untuk mengasah kemahirannya di peringkat antarabangsa. Qabil, yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Young Rider of The Year’ semasa MAM Award Night anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia, akan bersaing dalam kategori ‘ESBK Talent Cup’ menggunakan jentera NSF 250. Ini merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya selepas menjuarai MiniGP World Championship 2023 dan memenangi perlumbaan ESBK Moto4 pada awal tahun ini. Menerima kunjungan istimewa Qabil bersama ibu bapanya di Wisma Darul Iman baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan anak muda itu. Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong dan membimbing atlet muda berbakat untuk mencapai kejayaan di peringkat global. “Selamat berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac 2025 untuk menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama ESBK. “Sesungguhnya, ramai lagi atlet muda berbakat yang perlu digilap agar potensi mereka tidak disia-siakan. “Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong atlet sukan kelahiran Terengganu untuk terus berjaya dalam apa jua jenis sukan,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman sosial media rasminya baru-baru ini. Qabil, yang sering mengunjungi Hishamuddin sebelum berlepas ke luar negara, menyatakan kesyukurannya atas sokongan berterusan yang diterima daripada pihak kerajaan negeri serta rakyat Malaysia.
08 Mar 25
125
Qabil Irfan Dinobat 'Young Rider Of The Year'
Qabil Irfan Dinobat 'Young Rider Of The Year'
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Semalam menjadi malam yang cukup bertuah buat anak Terengganu apabila Persatuan Sukan Bermotor Malaysia telah menobatkan Qabil Irfan sebagai 'Young RIder Of The Year'. Anugerah itu telah disampaikan kepada pelumba cilik pada malam anugerah MAM Award Night bagi menghargai penggiat sukan bermotor dua dan empat roda dalam negara di M Hotel, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Irfan sangat bertuah menerima anugerah berkenaan di acara yang sangat berprestij itu. "Lebih 1,000 orang jemputan daripada penggiat sukan permotoran hadir pada malam tersebut dan pelbagai anugerah yang dicalonkan. "Antaranya 'Malaysia Motorsport Icon', 'Young Rider OF The Year', 'International Rider Of The Year dan banyak lagi bagi tahun 2024," ujarnya dalam satu kenyataan melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, seorang lagi pelumba cilik dari Terengganu Hakim Danish turut tercalon dalam kategori anugerah 'Malaysia Motorsport Icon dan 'International Rider Of The Year'. "Manakala Qabil Irfan dan Muhammad Arief Marzuki tercalon di dalam kategori 'Young Rider Of The Year', tuah (memihak) buat Qabil Irfan atas kejayaan dinobatkan di bawah anugerah tersebut. "Semoga pelumba-pelumba muda dan cilik Terengganu terus bersinar dan terus membawa nama baik Malaysia di persada antarabangsa,"ucap beliau.  
26 Feb 25
157
Terengganu Tawar Ar-Riyadah Residence Sebagai Lokasi Penganjuran Kursus Jurulatih Bola Sepak
Terengganu Tawar Ar-Riyadah Residence Sebagai Lokasi Penganjuran Kursus Jurulatih Bola Sepak
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan negeri sedia menawarkan Ar-Riyadah Residence kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai lokasi penganjuran kursus kejurulatihan dan kepengadilan secara konsisten di peringkat nasional untuk pelbagai tahap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tawaran itu dihulurkan setelah Kursus Kejurulatihan Kecergasan Asian Football Confederation (AFC) berjaya dijayakan dengan sempurna di lokasi terbabit. Ujarnya, beliau telah mewakili pihak FAM merasmikan kursus yang diadakan bermula 23 Februari hingga 1 Mac di Ar-Riyadah Residence itu. "Kursus ini telah mengumpulkan 13 orang jurulatih kecergasan yang telah terlibat dalam mengendalikan kelab-kelab bola sepak yang beraksi dalam Liga Malaysia. "Kursus ini dikendlaikan oleh Pendidik Jurulatih AFC, Encik Mark Jones dan Encik Reuben Jude Balraj, Ketua Unit Saind Sukan FAM,"ujarnya. Beliau yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM itu berkata demikian melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. Dalam pada itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak FAM atas penganjuran kursus yang diadakan itu. "Sudah tentu memberi manfaat buat jurulatih kecergasan tempatan dan pastinya menyumbang dalam meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak negara,"ujarnya.  
24 Feb 25
360
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Penganjuran premier acara Terengganu Marathon 2025 (TM2025) dengan sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyaksikan penyertaan 21,582 peserta di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas kepada semua peserta yang bertanding menjayakan program sehingga mendapat pengiktirafan Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS). “Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Marathon Terengganu 2025 yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori masing-masing, sama ada berjaya naik podium atau sekadar menamatkan larian, anda semua adalah juara. “Anda semua adalah hebat dan luar biasa kerana memberikan komitmen untuk meneruskan larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer hatta 100 meter sekalipun. “Keazaman dan semangat inilah yang kita kena ada dalam diri kita,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu ucapan penutup bagi acara TM2025, pagi tadi. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato' Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza; Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Hashim. Dr. Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penuh dalam menjayakan acara tersebut. Antara pihak terlibat dalam penganjuran acara yang telah menarik kunjungan peserta dari pelbagai negeri itu tadi termasuklah KBSM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Running Community, penaja utama Him & Her Coffee, Kaharo Jewels dan lain-lain penaja. TM2025 menawarkan pelbagai kategori perlumbaan, termasuk Maraton Penuh (42KM) untuk peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas, serta Separuh Maraton (21KM) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan kategori veteran untuk peserta berusia lebih 40 tahun. Selain itu, terdapat Larian 10KM, terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas termasuk kategori veteran, serta Larian Santai 5KM bagi peserta berusia 13 tahun ke atas, dengan kategori khas untuk golongan muda (10-18 tahun) dan veteran. Bagi kanak-kanak, terdapat kategori Kid Flash 1KM dan 2KM, khusus untuk peserta berumur antara 6 hingga 13 tahun. Di samping trofi kemenangan yang diberikan kepada penamat larian mengikut kategori tersendiri, acara larian yang telah disertakan dalam Calender Of Event (COE) Terengganu 2025 itu turut menyediakan hadiah utama kategori cabutan bertuah jongkong emas bernilai RM100,000. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa acara larian ini turut akan dibawa kedalam perancangan tahun depan. “Saya merakamkan rasa syukur dan Insya-Allah dengan kelancaran program yang telah terbukti pada hari ini, Terengganu Marathon akan berulang kembali pada 2026 nanti. “Dan mengikut jadual penganjuran kami, tahun ini turut akan diadakan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud,” ujar beliau.
22 Feb 25
734
Apa Khabar Agaknya Insentif SUKMA Terengganu?
Apa Khabar Agaknya Insentif SUKMA Terengganu?
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Sejak berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, tiada kedengaran apa-apa perkembangan tentang insentif dan imbuhan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih kejayaan ketika itu. Sekalipun menduduki tempat kelima, kontinjen Terengganu meraih keseluruhan 124 pingat dengan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa pada temasya itu. Adapun, Para SUKMA menduduki tempat kesembilan dengan meraih 10 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa. Itu antara suara-suara yang muncul di media sosial bagi menimbulkan persepsi negatuf terhadal industri sukan Terengganu. Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, baru-baru ini memaklumkan, kerajaan Terengganu telah meluluskan pembayaran insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam temasya berkenaan. Menurutnya, proses pengagihan insentif telah pun disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). “Alhamdulillah, berita baiknya kerajaan negeri telah meluluskan pembayaran insentif bukan sahaja untuk atlet SUKMA tetapi juga buat atlet Para SUKMA. “Ini satu pakej yang bersekali, di mana atlet Para SUKMA akan menerima jumlah insentif yang sama dengan atlet SUKMA. "Namun, beberapa proses pentadbiran perlu dilaksanakan sebelum keputusan akhir dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya sekali gus menangkis tohmahan liar. Tambahnya, majlis rasmi penyampaian insentif bakal diadakan dalam masa terdekat, namun jumlah bayaran yang akan diberikan akan diumumkan kemudian berikutan dianggarkan kira-kira 500 atlet bakal menerima manfaat tersebut. Walaupun Terengganu tidak muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, kerajaan negeri masih mengekalkan formula pembayaran insentif yang telah diguna pakai sebelum ini. Sebagai rekod, MSNT telah menetapkan pembayaran insentif sebanyak RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 bagi pemenang perak dan RM1,000 untuk gangsa. Manakala, sebarang tambahan imbuhan diputuskan berdasarkan pencapaian semasa kontinjen dalam SUKMA. Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk menghargai pencapaian atlet tempatan serta memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang sukan.  
19 Feb 25
1626
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61. Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi. Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar. "Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas. "Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak. "Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira," ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini. "Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM. "Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara," jelas beliau.
16 Feb 25
327
THT Kekal di Puncak Liga
THT Kekal di Puncak Liga
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0.
09 Feb 25
68
THT Kekal di Puncak Liga
THT Kekal di Puncak Liga
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0, malam tadi. Perlawanan bermula sengit sebaik sahaja wisel dibunyikan, menyaksikan asakan demi asakan antara THT dan MHC.  Permainan sengit berterusan kegagalan menjaringkan gol menjadi duri dalam daging kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun, THT berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui ledakan gol padang yang disempurnakan oleh Faizal Saari. Gol tersebut memberi dorongan kepada pasukan pantai timur itu untuk merancakkan rentak permainan meskipun dengan keadaan padang yang licin akibat hujan. Hasilnya, memasuki awal babak Kedua perlawanan, tepat pada minit ke-31, THT licik merampas bola dalam satu pergelutan sengit di hadapan gawang MHC, membuahkan satu lagi gol menerusi pukulan daripada Samkelo Mbivi. Selang lima minit kemudian, penjaring gol terbanyak bagi keseluruhan liga buat masa ini, Faizal sekali lagi mencuri perhatian dengan gol keduanya dalam permainan itu pada minit ke-36. Jaringan padang tersebut melebarkan kedudukan THT kepada 3-0, meninggalkan MHC dengan jurang yang besar.  Biarpun selesa dengan kedudukan 3-0, pasukan THT tidak mengendurkan rentak permainan walau sejenak untuk terus mendominasi padang. Perlawanan terus berlangsung rancak, stadium menyaksikan kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan namun, MHC terpaksa akur kepada nasib yang memihak kepada THT. Pada minit ke-50, pemain kebangsaaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook melengkapkan jaringan terakhir dalam perlawanan itu tadi menerusi pukulannya selepas menyambut baik hantaran daripada pemain import, Lee Nam Yong. THT kini masih memegang status kemenangan berturut dan kekal di kedudukan teratas liga dengan 21 mata keseluruhan. Pasukan dibawah latihan Mohd Harfizi Baharom itu dijadualkan untuk menentang Nurinsafi Sporting pada 13 Februari bertempat di Stadium Hoki Bertam, Penang, jam 8 malam.
08 Feb 25
185
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kejohanan Terengganu Marathon 2025 (TM2025) yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2025 dijangka mendapat penyertaan melebihi 20,000 peserta dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Induk TM2025, Hishamuddin Abdul Karim, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan kejohanan tersebut di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut beliau, segala persiapan sedang berjalan lancar bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. “Kejohanan Terengganu Marathon 2025 akan berlangsung pada 21 & 22 Februari 2025 dengan pelbagai kategori dipertandingkan iaitu 42KM (marathon penuh), 21KM (separuh marathon), 10KM dan 5KM. “Larian ini akan bermula di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu dan dijangka akan disertai oleh lebih 20,000 peserta yang terdiri daripada pelari tempatan dan luar negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya. Selain menjadi medan persaingan buat pelari profesional dan amatur, TM2025 juga berpotensi dalam mempromosikan pelancongan sukan di Terengganu serta menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Dengan penyertaan besar dari pelari tempatan serta antarabangsa, Hishamuddin meletakkan kepercayaan bahawa acara Terengganu Marathon 2025 akan menjadi satu lagi kejohanan sukan berprestij yang bakal membanggakan negeri Terengganu.
04 Feb 25
1300