lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
TOKYO, 29 Julai - Jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengekalkan momentum kemenangan setelah menundukkan pesaing dari China, Wang Dapeng dengan keputusan 6-5 di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau berjaya mengulangi pusingan kalah mati pertama dengan tembakan ‘bulls-eye’ 10 manakala Dapeng hanya membidik 9, dengan keputusan keseluruhan (25-28, 28-28, 27-26, 29-26, 26-27). Kemenangan oleh anak jati Kemaman itu adalah sambungan daripada perlawanan di antara wakil Finland, Antti Vikstrom dalam dua percubaan dramatik setelah terikat pada kedudukan 5-5 dengan pusingan pertama dan kedua di Yumenoshima Final Field. "Alhamdulillah, saya memenangi kedua-dua perlawanan hari ini walaupun diakhiri dengan ‘shoot-offs'. Saya tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana hilang fokus seketika. Untuk perlawanan pusingan ketiga saya, saya akan lebih tumpu. "Saya memang merasakan tekanannya, tetapi saya harus fokus 100 peratus untuk menangani tekanan atau keadaan angin dengan cermat. “Tuah mengikuti saya kerana berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas busur lawan saya dari Finland patah,” katanya seperti mana dilaporkan News Straits Times. Pemain Malaysia berusia 29 tahun itu akan mara menentang pemain Korea Selatan, Kim Woo Jin pada 16 perlawanan terakhir pada hari Sabtu ini.
29 Jul 21
1036
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu.
18 Jul 21
183
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
KEMAMAN, 18 Julai - Kelab Bola Sepak Chukai turut memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf atau mereka yang memerlukan apabila turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam. Penaung Kelab Bola Sepak Chukai, Dato' Dr Leom Joo deck berkata, sumbangan yang mereka lakukan ini adalah hasil kutipan daripada dermawan-dermawan ahli kelab itu.  "Kami amat berbangga dapat mengadakan program seperti hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka yang memerlukan ketika ini. "Saya juga berharap semua penduduk khasnya di Kemaman, Terengganu dan Malaysia agar mematuhi "Standard Operating Procedures (SOP)" yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Jagalah SOP seperti pakai pelitup muka, cuci tangan dan jaga jarak 1 meter," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas selesai agihan barang-barang kepada penerima. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh pihak kelab itu. "Terima kasih kepada mereka yang sedia menyampaikan bantuan di dalam keadaan kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan waktu ini akibat daripada pandemik Covid-19. "Jadi saya juga mengharapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang ingin menyampaikan sumbangan juga boleh berjumpa dengan saya. "Hari ini penerima-penerima kelihatan gembira menerima bakul makanan. Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan selama satu hingga dua minggu dan saya yakin selepas ini ada lagi sumbangan- sumbangan yang akan diberikan bukan sahaja daripada kerajaan dan NGO tetapi daripada individu-individu yang mempunyai kewangan yang lebih. "Inilah masa yang terbaik untuk mereka memberikan sumbangan ini kepada orang-orang yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri. Dalam program itu, sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi beras dan barangan dapur telah diagihkan di mana mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di Kampung Geliga Jambatan, Kampung Mak Lagam, Kampung Paya Berenjut dan Kampung Geliga. Turut hadir, Pengerusi Kelab Bola Sepak Chukai, Tan Kwang Ming, ahli jawatankuasa kelab, Jimmy Tan Chun Hiang dan Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.    
18 Jul 21
401
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Terengganu antara kuasa besar sukan dalam negara telah diberi kepercayaan berkongsi idea dalam merangka Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apa yang dibincangkan juga adalah selari dengan perancangan jangka panjang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun bermula 2010. Katanya, sesi libat urus ptersebut berlangsung selama empat jam secara dalam talian dan turut disertai pemegang taruh serta penggiat industri sukan negara. “Enam bidang utama dibincangkan antaranya iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme sukan. “Pelan ini sentiasa dikemas kini setiap 10 tahun dan kini memasuki edisi kedua yang menjadi penanda aras program kecemerlangan industry ini melalui pencapaian atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas jemputan dan kami optimis dalam usaha dan hasrat VSN 2030 itu berada pada landasan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail berkata, penglibatan dalam VSN bukan sahaja mengiktiraf Terengganu sebagai jaguh malah penggiat sukan berpengalaman di negeri ini. “Kita yakin bahawa melalui gabungan idea dan pendapat di semua peringkat akar umbi, VSN ini akan dapat dirangka dengan sebaik mungkin dalam memastikan ianya berbentuk lebih komprehensif dan kolektif pada masa akan datang. "Malah kita yakin dan percaya dengan nilai pengalaman yang cukup tersendiri selain sudah tiba masanya pengalaman ini akan didokumentasikan melalui pembentukan visi ke arah pembangunan sukan yang lebih mapan pada masa akan datang,” jelasnya. Untuk pengetahuan, VSN 2030 adalah inisiatif baharu yang dilancarkan KBS pada April lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sukan seluruh negara dalam perancangan pembangunan sukan negara lebih bersepadu bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
14 Jul 21
238
Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat
Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Jaguh pecut negara dan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, menunaikan hasratnya berkongsi hadiah dimenanginya bersama orang ramai dengan cara tersendiri. Atlet terkenal Terengganu itu memasak gulai ayam kampung bersama keluarganya untuk disedekahkan kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai bapa mentuanya di Jalan Panji Alam, hari ini. Menurutnya, sejumlah RM2,000 hadiah yang dimenangi ketika muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan di Eropah pada Februari dibelanjakan bagi menyediakan juadah itu. "Sudah menjadi kebiasaan sebelum berlumba, saya memasang niat untuk bantu orang ramai sekadar termampu jika saya berjaya menduduki kedudukan podium atau lebih baik, muncul juara. "Sebelum ini saya berkunjung rumah ke rumah memberi sumbangan berbentuk keperluan asas, tapi kali ini dengan wabak pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu selain pelanggan tidak boleh makan di kedai, saya memilih untuk memasak sendiri gulai ayam kampung sambil dibantu keluarga," katanya. Pelumba berusia 33 tahun yang lebih mesra dipanggil Mamat berkata, dia mengagihkan sebanyak 160 pek gulai ayam kampung sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini. Februari lalu, Harrif mencipta sejarah mengungguli Grand Prix (GP) Manavgat di Turki sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama memenangi perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di benua Eropah. "Pencapaian di Turki adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam karier saya, lebih-lebih lagi kali pertama berlumba di Eropah terus membawa pulang kejayaan selepas tidak berkayuh selama setahun berikutan wabak COVID-19. "Sekarang saya menumpukan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Thailand nanti selain jika dipanggil mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Vietnam hujung tahun ini," katanya.  
03 Jul 21
1456
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 85 atlet para Terengganu menerima dos pertama vaksin, bermula Khamis lalu dalam persiapan ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) yang telah dianjakkan pada 2022 nanti. Pegawai Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Fikri Mahmud memaklumkan, kerjasama antara pihak JBSN Terengganu bersama kerajaan negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membantu mempercepatkan kadar penerimaan vaksin bagi Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini menyasarkan masyarakat golongan kurang upaya(OKU).  "Terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu khususnya kerana telah memberi kerjasama yang begitu baik dengan memberi peluang atlet-atlet para negeri Terengganu menerima vaksinasi pada kadar segera. "Hari ini, mereka semua ini nampak begitu gembira setelah divaksin. Saya begitu terharu kerana apabila atlet-atlet kita telah di vaksin, keyakinan diri mereka untuk menjalani latihan bagi menghadapi Para SUKMA di Johor nanti semakin tinggi," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), baru-baru ini. Jelasnya, rata-rata para atlet yang berkelainan upaya khususnya mempunyai masalah komunikasi dalam pendaftaran program vaksin dan usaha ini memebolehkan mereka juga tidak terkecuali meneruskan kehidupan bersama komuniti setempat sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah. Atlet memanah wheelchair, Nurhaslina Suria Mohamed, 38, selesai mendapatkan dos pertama vaksin. "Setakat ini, semua atlet para memang tidak mengadakan latihan berpusat, cuma masing-masing membuat latihan ringan di rumah berpandukan kepada jurulatih masing-masing. "Kita masih lagi menunggu keputusan dari Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada Para SUKMA di Johor itu akan diteruskan atau tidak. Sekiranya ada tarikh ditetapkan, insya-Allah kita akan mulakan latihan kepada atlet," katanya. Tambahnya, sesi latihan pasca pandemik tidak menjadi masalah berikutan kebanyakan acara yang adatidak melibatkan sentuhan langsung dan lebih kepada individu seperti memanah, bocia dan sebagainya. "Jadi saya rasa tiada masalah dari segi untuk kita laksanakan latihan," katanya. Atlet boling padang para Terengganu, Fadhlullah Mazdan, 28 mendapatkan suntikan dos pertama di PPV TTC.    
03 Jul 21
482
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini. Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan. “Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan. “Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan. “Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022. “Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut. “Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut. “Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi. Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.
19 Jun 21
537
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Anak kelahiran Terengganu, Wan Arif Wan Junaidi berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia selepas menjuarai acara beregu lelaki kejohanan Badminton Terbuka Austria, Ahad lalu. Wan Arif yang bergandingan dengan atket Kelantan, Mohd Haikal Nazri berjaya membuat kejutan apabila pengalahkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee dan Ronan Labar secara ‘straight set’ 21-17, 21-15 pada aksi final. Menurut Wan Arif yang berasal dari Kemaman berkata, kemenangan tersebut diraih hasil perbincangan dan penambahbaikan bersama pasangan regunya selepas kekalahan semasa perlawanan suku akhir di Slovenia. “Kita akan cuba buktikan kebolehan kami dan menunjukkan prestasi terbaik di Austria dan Alhamdullilah hasilnya kami berjaya,” katanya yang juga daripada Akademi Badminton Malaysia menerusi panggilan video. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan kejayaan Wan Arif sebagai tanda potensi badminton sebagai sukan teras dikuasai Terengganu seperti basikal, hoki dan lain-lain lagi. “Sebelumnya, pencapaian tertinggi negeri dalam sukan ini adalah semasa acara SUKMA 2018 Perak dengan atlet Terengganu meraih pingat gangsa. “Kita juga berhasrat untuk kuasai bidang permainan ini dan sedang giat merangka pelan bagi memperkasakan penguasaan dan memasukinya dalam senarai sukan teras di negeri,” katanya menerusi panggilan video bersama Wan Arif, baru-baru ini. Wan Sukairi turut mengucapkan tahniah ke atas pasangan beregu tersebut dalam menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu. “Tahniah juga saya ucapkan juga buat ibubapa saudara Wan Arif, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Akademi Badminton Malaysia dan para jurulatih yang telah berjaya melahirkan seorang atlet yang mempunyai pencapaian sebegini,” katanya lagi.
01 Jun 21
2467
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
Terengganu Football Club (Terengganu FC) terlepas peluang untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super 2021 apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama, baru-baru ini
10 May 21
73
Terengganu FC Atasi Selangor 2-1, Lonjak Ke Tempat Kedua
Terengganu FC Atasi Selangor 2-1, Lonjak Ke Tempat Kedua
KUALA LUMPUR, 10 Mei - Pasukan Terengganu FC (TFC) melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi. Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-49, selepas bola sepakan kapten pasukan, Brendan Gan terkena tangan Mohd Nasir Basharuddin di dalam kotak penalti. Namun, skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Engku Muhd Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-72, sebelum tandukan pemain import dari Sepanyol, Carlos de Murga pada minit ke-87 mengesahkan tiga mata penuh buat TFC. Keputusan malam tadi menyaksikan TFC mendahului Kedah Darul Aman (KDA) FC (26 mata) di tangga kedua dengan 27 mata selepas 13 perlawanan dan hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT). Selangor (19 mata) dan PJ City (14 mata) masing-masing kekal di tempat kelima dan kelapan, manakala Sri Pahang FC (12 mata) keluar dari zon penyingkiran dengan mengatasi Perak FC (12 mata) ke tempat kesembilan, dan Melaka United (11) di kedudukan kedua tercorot carta. Saingan Liga Malaysia akan berehat selepas ini, di mana Liga Premier dijadualkan bersambung semula pada 18 Jun selepas Hari Raya Aidilfitri dan memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Liga Super pula hanya akan bermula pada 9 Julai, selepas aksi peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) melibatkan JDT, dan saingan peringkat kumpulan Piala AFC melibatkan TFC serta KDA FC. -- BERNAMA
10 May 21
276