lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Hampa Terlepas Juara, Afif Mahu Pamer Aksi Terbaik Untuk Orang Terengganu
Hampa Terlepas Juara, Afif Mahu Pamer Aksi Terbaik Untuk Orang Terengganu
KUALA NERUS, 2 Oktober- Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran fokus mempamerkan aksi lebih baik dalam saingan pusingan keenam Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix, yang berlangsung esok. Berlumba di halaman sendiri, anak kelahiran Dungun itu hampa apabila menduduki tempat kedua di belakang pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar dalam saingan CP150 peringkat kelima, sebentar tadi setelah perlumbaan ditamatkan akibat kemalangan pada pusingan terakhir perlumbaan. "Memang saya tidak jangka trek berada dalam keadaan tidak baik kerana minyak tumpah akibat daripada pelumba yang terbabas. "Marshall juga hanya sempat mengibarkan bendera kuning, kami sudah berhati-hati tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi, kami terjatuh di selekoh keenam dan perlumbaan ditamatkan," katanya selepas perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Namun, beliau bersyukur kerana keputusan pusingan ketiga terakhir, diambil sebagai keputusan akhir perlumbaan meletakkannya pada kedudukan kedua dengan catatan 14:04.818s. Tambah Afif, bermain di Litar Permotoran Terengganu menjadi motivasinya untuk memperbaiki prestasi. "Apabila main di hometown ini, apa yang boleh saya kata ada satu semangat luar biasa. "Walaupun jika ada kekurangan dari segi jentera atau apa sahaja, saya rasa perlu cuba sebaiknya untuk memberikan yang terbaik kepada orang Terengganu. "Untuk esok, saya akan 'keep pace race' macam tadi, cuma saya akan perbaiki sedikit sebanyak kesilapan dan memberikan yang terbaik," katanya. Ahmad Afif kini berada di kedudukan kedua dari senarai keseluruhan perlumbaan dengan 58 mata.  
02 Oct 21
499
Petronas Malaysian Cub Prix Model Terbaik Gelembung Sukan
Petronas Malaysian Cub Prix Model Terbaik Gelembung Sukan
KUALA NERUS, 2 Oktober- Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix mampu diletakkan sebagai penanda aras penganjuran aktiviti sukan dalam norma baharu pasca pandemik Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penekanan prosedur operasi standard (SOP) yang amat baik oleh pihak penganjur patut dicontohi. "Hari ini, kita dapat lihat setiap individu yang memasuki litar ini dikehendaki melalui ujian swab Covid-19 yang ditetapkan penganjur serta aspek-aspek lain dilakukan secara teratur dan lancar. "Sekiranya begini pengendalian yang dilakukan penganjur, saya amat berpuas hati dan ia boleh menjadi penanda aras gelembung sukan dalam penganjuran acara-acara lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika kunjungan ke kejohanan tersebut di Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail. Jelasnya, kerajaan negeri sangat menyambut baik sukan permotoran yang dilangsungkan secara rutin di Terengganu itu, lebih-lebih lagi dengan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Saya yakin dengan kerjasama yang baik antara peserta, penganjur dan mereka yang terlibat akan memudahkan kerajaan untuk membuka lebih luas gelembung sukan. "Sekarang ini, saya boleh katakan semua (penganjur aktiviti sukan) sedang bersedia di garisan permulaan, tunggu pengisytiharan sahaja daripada kerajaan untuk fasa empat (Pelan Pemulihan Negara) dan saya yakin apabila masuk fasa seterusnya pelbagai penganjuran sukan kita akan lakukan," katanya.
02 Oct 21
530
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Kerajaan negeri komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda dalam perkembangan Sukan elektronik (e-sports) melalui penganjuran permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile dalam Program Karnival Esports Belia Terengganu 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran kali kedua sukan tersebut merupakan medium bagi mencungkil bakat anak muda di setiap daerah dalam arena e-sukan. “Program anjuran Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Department of culture and sport-Esport (DACSes) serta E-sport Malaysia Terengganu (ESM) berjaya menolak persepsi negatif terhadap bidang tersebut dengan diselitkan syarat-syarat dan garis panduan tertentu kepada peserta. “Agama islam tidak menghalang apa-apa minat termasuk dalam sukan e-sport dengan memberi panduan terbaik untuk melakukan sebarang pekerjaan begitu juga apabila berhadapan dengan permainan e-sport ini. “Kerajaan negeri mahu melihat anak muda di Terengganu berjaya menempa nama dalam apa-apa yang diceburi dengan jayanya,” katanya semasa siaran langsung pelancaran di Facebook UBSNT, semalam. Menurutnya, penganjuran kali kedua tersebut menampilkan seramai 512 pasukan daripada seluruh negeri dengan 64 skuad setiap lapan daerah berentap dalam kejohanan secara atas talian tersebut. “Antara hadiah bakal direbut pada Peringkat Daerah sehingga RM1,500 bagi Juara, Naib Juara sebanyak RM800 manakala tempat Ketiga RM500 dan Tempat Ke-4 RM250,” katanya lagi. Menurut kenyataan penganjur, kejohanan bermula 24 September lalu sehingga 16 Oktober depan akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada peringkat daerah. “Pasukan empat Teratas setiap daerah akan ke peringkat seterusnya, yang akan mengumpulkan 32 pasukan terbaik Pejuang PUGBm Terengganu di Peringkat Grandfinal Offline,” jelasnya.
26 Sep 21
454
Bukit Tok Salai Sungai Nerus, Destinasi Terbaharu Penggemar 'Hiking'
Bukit Tok Salai Sungai Nerus, Destinasi Terbaharu Penggemar 'Hiking'
KUALA NERUS, 20 September - Bukit Tok Salai Sungai Nerus (BTSSN) kini menarik perhatian pengunjung tempatan sebagai destinasi baharu bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, lokasi tersebut mempunyai masa depan cerah sebagai tarikan rekreasi secara tidak langsung memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Kampung Kesom Che Nordin ini kawasan sekitarnya. “Bukit berketinggian 160 meter dari paras laut itu bakal menjadi terkenal bagi penggemar aktiviti ‘hiking’ dan mereka yang baru menyahut cabaran pendakian. “Ini terbukti dengan kehadiran mencecah ribuan pengunjung dalam satu-satu masa walaupun baru sahaja dibuka orang awam sejak pertengahan tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Merdeka Photo Contest Bukit Tok Salai di kaki Bukit Tok Salai, baru-baru ini. Menurutnya lagi, pendakian ke puncak bukit mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit sahaja, sesuai didaki oleh semua lapisan masyarakat. “Bila sudah terkenal, sudah tentu diikuti dengan pembangunan dari segi infrastruktur dan prasarana bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung, saya percaya akan terus bertambah dan bertambah akan datang. “Aktiviti jual beli akan menjadi lebih rancak kerana keperluan makanan, minuman dan cenderahati, membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga," jelasnya. Tambah Ridzuan, beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pencapaian dan kerjasama dikalangan warga komuniti yang bersemangat tinggi menggembleng tenaga bagi memajukan projek tersebut. “Syabas dan tahniah kepada Kampung Kesom Che Nordin khususnya peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat dalam memajukan kawasan ini,” katanya lagi.
20 Sep 21
2989
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempa nama di liga kejuaraan antarabangsa menerusi kejayaannya dalam Kejuaraan Ohvale Coppa Italia, baru-baru ini. Anak muda daripada Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior dalam aksi di Litar Pomposa, Itali. Hakim turut memecahkan rekod peribadi selepas melakukan rekod pusingan baru dengan catatan 1:01.270 s dalam perlumbaan pertama mengalahkan Thomas Bonomi daripada pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse). Dalam perlumbaan kedua dengan 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa daripada Settimotoa. "Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting dalam karier saya. "Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," katanya seperti dilaporkan Harian Metro. Terdahulu, penyertaan sulungnya di European Talent Cup (ETC) disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding Asia Talent Cup (ATC) Dalam pada itu, penunggang berusia 14 tahun itu menetapkan sasaran tinggi pada ATC di Jepun pada bulan hadapan setelah penampilan sulungnya dalam pertandingan sama meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. Kredit Foto : Facebook SIC 
06 Sep 21
613
Terengganu Komited Perjuangkan Nasib John Beasley
Terengganu Komited Perjuangkan Nasib John Beasley
Kerajaan Terengganu melaungkan komitmen untuk memperjuangkan lanjutan kontrak jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley sehingga Sukan Olimpik 2024 Paris
01 Sep 21
206
Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi
Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Atlet para berbasikal trek negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi bersyukur dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, semalam. Atlet kelahiran Terengganu itu mencatatan 1 minit 06.472 saat (s) untuk berada di tempat ke-10 daripada 21 peserta yang beraksi di Velodrom Izu, sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya 1:07s dalam satu kejohanan di Milton, Kanada pada Februari 2020. "Alhamdulillah syukur untuk acara 1000m ini, saya rasa puas hati kerana apa yang disasarkan, saya dapat melakukannya dengan masa 1:06.472s. Bagaimanapun, saya dapat merasakan persaingan agak sengit untuk Paralimpik Tokyo ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian. Pingat emas dimenangi pelumba Sepanyol, Alfonso Cabello Llamas yang turut memecahkan rekod dunia dan Paralimpik dengan catatan 1:01.557s. Turut memecahkan rekod temasya acara berkenaan adalah pemenang perak dari Great Britain, Jody Cundy dengan catatan 1:02.529s. Zuhairie selepas ini dijadual bergandingan bersama Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-5 750m esok. "Bagi saya, untuk acara ini sekiranya semua pelumba boleh memberikan komitmen penuh, kami boleh memasuki final tiga dan empat. Ini adalah sasaran kami untuk berada di kedudukan ketiga dan keempat sekiranya berdasarkan catatan masa sebelum ini," katanya lagi. Sementara itu, jurulatih kem berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berpuashati dengan pencapaian anak buahnya yang dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi masing-masing. "Alhamdulillah untuk pencapaian bagi atlet hari ini (semalam), masing-masing memperbaiki catatan peribadi mereka dengan baik. "Walaupun sebelum ini mendapat kekangan semasa latihan di tanah air kerana PKP, tetapi atlet tetap menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan membuat catatan terbaik peribadi," jelasnya. Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada atlet kelahiran Terengganu itu berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya tersebut.
27 Aug 21
224
Azizulhasni Terima Insentif RM350,000 Daripada Kerajaan Negeri
Azizulhasni Terima Insentif RM350,000 Daripada Kerajaan Negeri
Jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang, menerima insentif kemenangan daripada Kerajaan Terengganu atas sumbangannya memenangi pingat perak (keirin lelaki) di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, baru-baru ini.  
26 Aug 21
71
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II merampas kedudukan teratas Liga Premier Malaysia 2021 setelah seri 0-0 dengan Perak FC II, malam ini. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan melancarkan serangan berintensiti tinggi. Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah apabila Ghislain Guessan mempamerkan gelecekan menarik pada minit ke-21 melepasi pertahanan Terengganu FC untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin. Mujur Nasrulhaq pantas menepis kuisan penyerang kelahiran Perancis itu keluar. Sebagai respon, The Turtle bangkit menyerang. Rembatan Rahmat Makasuf dari luar kotak penalti ditampan pertahanan Perak FC II pada minit ke-31. Tujuh minit kemudian, Argzim Redzovic hampir memecah kebuntuan jaringan, namun tandukannya hasil sepakan bebas Amirul Syazwan ditepis penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany dan meniti di atas palang gol sebelum keluar. Pada minit-minit akhir separuh masa, skuad kendalian Syamsul Saad sekali lagi memiliki peluang terbaik selepas Khairul Syafiq bijak menggelecek pertahanan Terengganu FC II. Namun, rembatannya dinafikan kecemerlangan Nasrulhaq mengawal gawang. Bersambung babak kedua, Perak FC II lebih banyak menjana serangan sambil Terengganu FC II memberi tumpuan bertahan dan melancarkan serangan balas. Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-57 apabila pemain tengah Perak FC II, Royyizat Daud membentes Amirul Syazwan dalam usaha mengeluarkan bola dari kotak penalti. Pengadil perlawanan, Mohamad Izzat Izaini menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC II pada minit ke-57. Sayangnya, Muhammad Izzan Syahmi mensia-siakan peluang tersebut setelah rembatannya ditepis Syazwan Syazany dan tertampan ke tangannya. Perlawanan terus berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan cuba mencari tiga mata. Bagaimanapun, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan. Terengganu FC II kini berkongsi 29 mata bersama pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC, namun mengungguli carta liga dengan kelebihan empat gol.  
11 Aug 21
922
Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
Penyerang, David Da Silva hampir menjadi 'hero' dalam aksi yang berkesudahan seri 0-0 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2021, baru-baru ini.
10 Aug 21
73