lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu FC Kembali Kejar Puncak Liga
Terengganu FC Kembali Kejar Puncak Liga
KUALA NERUS, 4 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menepati jangkaan apabila menang mudah 3-0 ke atas UiTM FC, dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi. Melayan kunjungan pasukan tercorot liga, anak-anak buah Nafuzi Zain tampil lebih yakin dengan meledakkan dua gol awal mengatasi lawan. Seawal minit ke-8, David Da Silva yang mendapat umpanan Mohamad Faisal Abdul Halim bijak menggelecek dua pertahanan dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan yang menerjah jaring lawan. Dua minit kemudian, Faisal pula menanduk masuk hantaran lintang Mohamad Hakimi untuk gol kedua Sang Penyu. Tuan rumah cuba mendapatkan lebih banyak gol dengan meningkatkan asakan ke kubu pelawat namun, kali ini The Lion Troops ampuh bertahan. Memasuki babak kedua, skuad kendalian Frank Benhardt cuba bermain lebih terbuka dan meningkatkan serangan. Bagaimanapun, Terengganu FC jelas mendominasi perlawanan. Pada minit ke-77, Mohamad Rahmat Makasuf yang masuk menggantikan Faisal menerima lorongan Konate, berjaya melarikan bola ke kotak penalti lawan dan melakukan rembatan leret lolos dari tampanan Muhammad Azfar Arif untuk gol ketiga Terengganu FC. Keputusan kekal 3-0 sehingga tamat perlawanan. Sang Penyu kini mendaki ke tangga kedua liga dengan 24 mata, tiga mata di belakang pendahulu, JDT yang menang ke atas Kedah Darul Aman FC di Alor Setar.
04 May 21
837
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Jaguh memanah kelahiran Terengganu, Khairul Anwar Mohamad mencatatkan sejarah baharu sebagai pembawa bendera jalur gemilang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai akan datang. Anak jati Kemaman itu akan bersama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Yang, menampilkan dua pembawa bendera negara buat kali pertama sepertimana diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Isnin lalu. Khairul menyifatkan ia merupakan satu penghormatan buatnya dan beliau gembira dan berterima kasih kepada Lembaga Eksekutif MOM atas penghormatan dan kepercayaan tersebut. "Ia akan menjadi pemangkin semangat kepada saya semasa di pentas Olimpik nanti. "Daripada segi persiapan untuk Olimpik, program latihan saya di Bukit Jalil berjalan lancar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Khairul Anuar, 29, dari Kampung Pasir Gajah, yang bertanding sebagai pemanah recurve merupakan warga Terengganu kedua diberikan penghormatan tersebut setelah digalas oleh jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizul Hasni Awang di Beijing 2008. Sebelumnya, beliau yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 akan menyasarkan kedudukan podium bagi acaranya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016. Tahun lepas, sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort, Khairul Anuar dan Azizulhasni Awang menerima insentif 'Olympian' sebanyak RM100,000 seorang. "Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dalam inisiatif terhadap atlet olimpik ini, saya boleh cakap buat kali pertama saya mendapat bantuan bernilai tinggi sebegini. "Harapan saya upaya seluruh warga Terengganu dan Malaysia terus menyokong atlet Malaysia yang akan bertanding, tidak mengira sukan atau latar belakang," katanya.  
04 May 21
1637
Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah
Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi pusingan pertama Liga Premier 2021 apabila menang selesa 4-1 ke atas Kelantan United FC (KUFC), sebentar tadi. The Turtle melayan kunjungan KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) cemerlang meledak empat gol dengan Jordan Mintah mencetak hatrik pertamanya musim ini. Penyerang kelahiran Ghana itu mencetak gol melalui sepakan penalti pada minit keempat sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-31, juga melalui penalti. Tuan rumah yang selesa di depan bagaimanapun dikejutkan pelawat pada minit ke-40 apabila Alfusainey Gassama mencetak gol untuk KUFC merapatkan kedudukan. Memasuki babak kdeua perlawanan, anak-anak buah Akira Higashiyama cuba bangkit, namun dinafikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali. Jaringan Argrim Redzovic menerusi sepakan percuma pada minit-55 dan penyudah sempurna Mintah melalui sepakan lencong pada minit ke-69 melengkapkan kemenangan Terengganu FC II. Keputusan kekal 4-1 sehingga wisel penamat ditiupkan. The Turtle menutup pusingan pertama dengan tujuh seri dan tiga kemenangan kini berada di tangga ketiga liga dengan 16 mata.    
02 May 21
1164
Bulan Ramadan Bukan Penghalang Untuk Bersukan
Bulan Ramadan Bukan Penghalang Untuk Bersukan
HULU TERENGGANU, 2 Mei - Puasa bukan menjadi halangan untuk bersukan, itu yang dibuktikan Pemuda Kampung Binjai Manis, Manir apabila menganjurkan Kejohanan Futsal Sahur di Gelanggang Futsal Pulau Bahagia, semalam. 12 pasukan yang bertanding untuk memeriahkan kejohanan julung kali dianjurkan itu sekali gus membukti Ramadan tidak menjadi penghalang kepada masyarakat untuk beriadah dan bersukan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, kejohanan itu sebagai galakan kepada semua peserta supaya tetap aktif bersukan biarpun pada siang hari berpuasa. “Pada bulan puasa, selain diisi dengan aktiviti keagamaan, aktiviti kesukanan sebegini dilihat dapat mengimbangi cara hidup orang muda dan belia yang sihat dikalangan kita,"ujarnya yang turut menyempurnakan beberapa acara cabutan bertuah.   Kejohanan itu dimenangi kumpulan JDT apabila menewaskan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir dan pada jam 4 pagi sebelum semua peserta bersahur selepas majlis penyampaian hadiah.  
01 May 21
349
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
KUALA NERUS, 1 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terlepas peluang untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super 2021 apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama, sebentar tadi. Empat gol menerusi tandukan yang dijaringkan Penang FC melonjakkan pasukan tersebut ke tangga ketiga dengan 22 mata. Beraksi di laman sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain dikejutkan gol seawal minit ketujuh perlawanan apabila Sheriddin Boboev menanduk masuk sepakan sudut Endrik Dos Santos untuk Penang selesa di depan. Tuan rumah cuba bangkit menyamakan kedudukan tetapi pelawat lebih mendominasi perlawanan. Skuad kendalian Tomas Trucha lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Terengganu FC. Pada minit ke-21, Sang penyu sekali lagi tewas hasil sepakan sudut lawan. Tandukan Casagrande berjaya ditepis Mohd Suhaimi Husin, namun Boboev sempat melakukan lorongan yang ditanduk mudah Endrik Dos Santos untuk Penang mendahului 2-0. Pada minit ke-42, David Da Silva hampir meledakkan gol buat Sang Penyu, tetapi tandukannya ditepis See Tian Keat. Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan tempo serangan dan berhasil merapatkan kedudukan melalui rembatan luar kotak Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-59. Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang tidak menunggu lama untuk membalas. Pada minit ke-65 Casagrande menanduk masuk hantaran lintang Quentin Jiun-Ho untuk gol ketiga Penang. Tiga minit kemudian, penyerang dari Brazil itu sekali lagi menunjukkan taringnya dengan menanduk masuk hantaran lintang Danial Ashraf untuk pelawat selesa dengan empat gol. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan Terengganu FC jatuh di tangga keempat liga dengan 21 mata.          
01 May 21
458
Penyu 'Moreh' Daging Harimau Menangis
Penyu 'Moreh' Daging Harimau Menangis
KUALA TERENGGANU, 25 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila menang tipis 1-0 ke atas pendahulu Liga Super 2021 itu, malam tadi. Jaringan tunggal pemain muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-57 memastikan Sang Penyu membawa pulang tiga mata sekali gus terus mengekori rapat Harimau Selatan dengan perbezaan dua mata. Beraksi di Iskandar Puteri, malang berganda buat JDT apabila pertahanan kentalnya, Mauricio Dos Santos turut cedera dipercayai terseliuh ketika cuba menghalang pergerakan Faisal Halim. JDT cuba menyamakan kedudukan dengan memperkuatkan serangan apabila Benjamin Mora memasukkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan Nazmi Faiz. Namun, anak buah Nafuzi Zain kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan tersebut menoktahkan 'maraton' tanpa kalah JDT yang kali terakhir tewas di tempat sendiri dalam saingan Liga Super kepada PJ City pada Julai 2019. Sumber foto: Media Terengganu Football Club    
24 Apr 21
1146
Terengganu FC II, Selangor FC 2 Kongsi Mata
Terengganu FC II, Selangor FC 2 Kongsi Mata
KUALA TERENGGANU, 24 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 ketika menentang Selangor FC 2 dalam aksi kesembilan Liga Premier 2021, sebentar tadi. Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), tuan rumah bermula garang apabila mendahului lawan menerusi sepakan percuma Jordan Mintah pada minit ke-23. Pasukan pelawat cuba menyamakan kedudukan namun keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, The Turtle semakin menjarakkan kedudukan apabila Mintah sekali lagi muncul penjaring dengan rembatan deras tepat ke sisi kiri gol lawan. Bagaimanapun, tuan rumah nyata mensia-siakan kelebihan dua gol apabila lawan kembali merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import tunggal Selangor FC 2, George Tetteh pada minit ke 63. Pelawat turut mengejutkan The Turtle dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila Mohamad Shafawi menampan rembatan Saiful Iskandar Adha ke gawang sendiri. Keputusan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan.       
24 Apr 21
905
Terengganu FC 2 'Comeback' Tumpaskan JDT2
Terengganu FC 2 'Comeback' Tumpaskan JDT2
KUALA TERENGGANU, 17 April- Terengganu Football Club II (Terengganu FC 2) 'comeback' sebanyak tiga kali sebelum menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT 2) 4-3, sebentar tadi. Tujuh jaringan yang terhasil di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan anak buah Badrul Afzan Razali menamatkan kemarau seri dalam enam perlawanan sebelum ini. Berdepan skuad dari selatan, Terengganu FC2 lebih banyak bertahan di awal permainan. JDT2 lebih banyak menguasai bola namun kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalm mengatur serangan. Pada minit ke -20, Nicolas Alberto cuba memecahkan kubu tuan rumah dengan rembatan dari luar kotak penalti, namun berjaya ditepis keluar Mohamd Shafawi Mohamad. Bagaimanapun, seminit kemudian rembatan deras Nicolas berjaya menerjah jaring meletakkan pelawat di depan. Pada minit ke-40, Jordan Mintah berjaya memadam kelebihan pelawat apabila meledak gol penyamaan hasil kesilapan pertahanan lawan. Namun, di minit ke-44 permainan, JDT2 sekali lagi menunjukkan taringnya. Kali ini, Fernando Rodriguez menampan mudah bola muntah hasil tandukan Gary Steven Robat, tuan rumah ketinggalan 1-2 di babak pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC2 kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-51 melalui tandukan kemas Argzim Redzovic untuk 2-2. Pasukan pelawat terus menggasak dan Fernando sekali lagi meledak melalui tandukan menjangkaui kawalan Shafawi pada minit ke-68. Ketinggalan 2-3, Badrul memasukkan penyerang, Muhammad Isa Raman untuk meningkatkan asakan ke kubu lawan. Pada minit ke-82, Masaki Watanabe menghidupkan peluang tuan rumah untuk mencuri mata apabila menguis mudah bola ke gawang gol JDT2. Jaringan tersebut menjadi 'turning point' Terengganu FC2 menggandakan asakan. Akhirnya, bermula dengan serangan balas pada minit ke-90, Isa Raman berjaya merampas bola yang terlepas dari dakapan Izham Tarmizi dan melakukan rembatan ke arah gol. Namun, rembatan yang ditampan pertahanan JDT2 itu disusuli tolakan mudah Mintah untuk gol keempat pasukan. Hasil kemenangan tersebut, Terengganu FC2 naik ke kedudukan keenam Liga Premier 2021 dengan 12 mata.                  
17 Apr 21
925
Konate 'Makan' KL City
Konate 'Makan' KL City
KUALA NERUS, 16 April- Jaringan pertama Makan Konate bagi musim ini, menghadiahkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) tiga mata dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), sebentar tadi. Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sasaran Terengganu FC untuk melakarkan kemenangan di hadapan hampir 3,000 penyokong yang hadir buat kali pertama ke stadium bagi musim ini, tercapai apabila menang 1-0 ke atas Skuad Kota itu. Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan serangan ke kubu lawan. Dua rembatan deras Hakimi Abdullah pada minit ke 5 dan 8 bagaimanapun berjaya dihadang benteng KL City.  Pelawat kemudian lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah. Pada minit ke 27, rembatan deras penyerang lawan, Romel Morales hanya singgah di tiang gol Sang Penyu. KL City sekali lagi berpeluang menjaringkan gol awal, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco dinafikan palang gol. Kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola, namun keputusan kekal tanoa gol di babak pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan asakan ke kubu lawan, bagaimanapun kedua-dua pasukan buntu mencetak gol. Detik kemenangan Sang Penyu muncul pada minit ke-88, apabila Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan. KL City cuba bangkit menyamakan kedudukan namun keputusan 1-0 kekal sehingg tamat perlawanan. Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC naik ke tangga kedua Liga Super 2021 dengan 18 mata.    
16 Apr 21
681
Terengganu Lancar Aplikasi Fitsokmo
Terengganu Lancar Aplikasi Fitsokmo
Sebahagian rakyat Terengganu kini mampu menikmati program kecergasan secara atas talian dengan pelancaran Program Kecergasan Terengganu Online Fit Is Sunnah & Aplikasi Fitsokmo.
08 Apr 21
68