Artikel "Sukan" Terkini
'Roket' Habib Leburkan 'Tembok' KL City
Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menang 2-0 ke atas KL City FC dalam aksi Liga Super 2022, baru-baru ini.
22 Jun 22
88
Jordan Mintah Berkelana ke Kuala Lumpur
KUALA TERENGGANU, 22 Jun- Harapan penyerang Terengganu Football Club II (Terengganu FC II), Jordan Mintah untuk bermain di Liga Super Malaysia kelihatan bersinar apabila bakal dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC sehingga hujung musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihak pengurusan telah memutuskan untuk meminjamkan penyerang import kelahiran Ghana itu bagi tempoh pinjaman sehingga tamat musim ini iaitu pada 30 November 2022.
"Jordan yang masih berbaki kontrak sehingga tahun 2023 akan kembali bersama kelab ini setelah tempoh pinjaman berakhir.
"Terengganu FC ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Jordan Mintah dan semoga peluang untuk beraksi di pentas Liga Super dan AFC Cup digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kualiti serta mendapatkan pengalaman di saingan liga tertinggi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, melalui syarat serta terma yang telah dipersetujui kedua-dua kelab, Jordan Mintah juga terikat dengan 'gentleman agreement' yang menimbulkan kontroversi sebelum ini iaitu beliau tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan menentang pasukan Terengganu FC atau Terengganu FC II sepanjang tempoh pinjaman.
Musim lalu, Jordan membuat enam penampilan bersama Terengganu FC dalam saingan tertinggi dalam negara dan meledak empat gol sepanjang tempoh itu.
Beliau juga memenangi kasut emas Liga Premier Malaysia 2021 apabila mencatatkan 21 gol bagi pasukan Terengganu FC II, tahun lalu.
22 Jun 22
473
Gol Tunggal Luqman Bawa Tok Saboh FC Bergelar Juara
BESUT, 19 Jun- Pasukan Bola Sepak Tok Saboh FC muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 2022 selepas menewaskan Sri Nail FC di Padang Bola Sepak Astaka Kampung Pachakan, Kuala Besut, di sini semalam.
Mohd Luqman Abdullah mencetak nama sebagai penjaring tunggal sekaligus membawa pasukannya bergelar sebagai juara dengan keputusan 1-0.
Gol yang dijaringkan Mohd Luqman pada babak separuh masa kedua perlawanan menjadikannya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan edisi ini.
Kemenangan itu membolehkan Tok Saboh FC membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,500, piala dan pingat manakala Sri Nail FC selaku naib juara turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta pingat.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh turut hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Beliau berkata kejohanan sukan seperti itu sangat bagus bagi menarik minat golongan anak muda menerapkan semangat kesukanan yang tinggi.
“Kejohanan seumpama ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara anak muda serta masyarakat setempat.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri akan sentiasa menyokong aktiviti sebegini bagi mengelakkan anak muda daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak berfaedah,” ujarnya dalam majlis penutup.
Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang bermula pada 17 Jun dan berakhir pada 18 Jun.
19 Jun 22
431
16 Pasukan Berentap Dalam Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Manir
HULU TERENGGANU, 18 Jun – 16 pasukan kini sedang berentap dalam Kejohanan Liga Bola Sepak 11 Sebelah Piala ADUN Manir tertutup tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato’ Harun berkata, tujuan utama dianjurkan kejohanan tersebut adalah bagi mengeratkan lagi ukhwah di antara anak muda.
“Objektif utama kejohanan adalah menggalakkan aktiviti sukan dan dapat mengisi masa dengan aktiviti sihat dan berfaedah.
“Kita juga mensyaratkan mereka perlu menutup aurat ketika bermain dan mana-mana pemain yang melanggar peraturan ini akan dibatalkan penyertaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perlawanan Pembukaan Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala ADUN Manir di Padang Bola Bong Seri Machang, semalam.
Tambahnya lagi, tumpuan kali ini ialah padang bola Bong Seri Machang dan Padang Bola Komuniti Pulau Bahagia.
Kejohanan akan berlangsung selama dua bulan dengan menawarkan hadiah sebanyak RM2,000 untuk johan, RM1,500 naib juara dan tempat ketiga serta keempat RM600, dan kesemua pemenang akan turut menerima piala dan pingat.
Sementara itu, Hilmi juga berharap, setiap pasukan perlu bermain dengan penuh semangat kesukanan dan ukhuwah tanpa menimbulkan provokasi kekerasan dari para pemain dan juga penonton.
18 Jun 22
834
1,300 Peserta Meriahkan 'Family Fun Ride'
KUALA TERENGGANU, 18 Jun- Seramai 1,300 peserta melibatkan belia, beliawanis dan keluarga menyertai program 'Family Fun Ride' pagi ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Program yang dianjurkan Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu melibatkan jarak sepanjang 35 kilometer dan menjadikan Muzium Negeri Terengganu sebagai perhentian pertama sebelum kembali semula ke Dataran Awam Batu Burok.
Dalam program itu pihak urus setia turut menyediakan empat buah basikal, dua buah motorsikal 'Honda Beat' kepada peserta bertuah juga pelbagai hadiah lain seperti barangan elektrik dan hamper.
18 Jun 22
599
Hadiah Buat Rakyat Terengganu, Malaysia
Pemenang pingat emas dan gangsa pada Sukan Sea 2021, Hanoi, Vietnam berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dari awal hingga akhir pertandingan.
13 Jun 22
105
Jaringan 'Silent Killer' Terpahat di Jersi Baru Terengganu FC
KUALA NERUS, 10 Jun- Nombor 110 di belakang kolar koleksi jersi kedua (away) Terengganu FC yang dilancarkan hari ini menimbulkan persoalan dikalangan peminat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh, nombor tersebut merupakan jumlah gol yang dijaringkan salah seorang pemain legenda Terengganu FC, Mohamad Ashaari Shamsuddin sepanjang 222 penampilannya bersama pasukan itu.
Jelasnya, pemain yang terkenal dengan gelaran 'silent killer' itu dijadikan inspirasi bagi menghasilkan motif dan elemen utama jersi tersebut.
"Mempamerkan motif rekaan merujuk kepada pemain yang disayangi ramai itu, jersi ini seharusnya dijadikan salah satu koleksi yang wajib dimiliki setiap penyokong.
"Kami berharap dengan pelancaran jersi ini bakal memberikan motivasi kepada para pemain untuk lebih bersemangat dalam baki saingan Liga Super Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu FC di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyempurnakan perasmian jersi terbaru itu.
Kombinasi warna keramat hitam terus menjadi pilihan Sang Penyu yang menggunakan jenama antarabangsa, Umbro dengan rekaan kolar dan lengan hitam putih bagi jersi berharga RM119 sehelai.
10 Jun 22
3377
Terengganu FC Mahu Kekalkan Faisal Halim
KUALA NERUS, 10 Jun- Terengganu Football Club (FC) Sdn. Bhd. menzahirkan hasrat melanjutkan kontrak pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim yang akan tamat pada 30 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, pengurusan dan barisan kejurulatihan telah membincangkan status pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
"Kita akui prestasi pemain ini dan memang kita telah menyuarakan hasrat untuk mengemukakan lanjutan kontrak.
"Cuma Faisal belum memberi keputusan bagi perkara terbabit.
"Dia memaklumkan mahu menumpukan sepenuh tumpuan dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Dalam majlis berkenaan, pasukan pantai timur itu memperkenalkan jersi kedua (away) koleksi terbaru Terengganu FC ×UMBRO yang disempurnakan YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNP).
Tambahnya, selain Faisal, seramai 19 pemain Terengganu FC II dan 10 pemain Terengganu FC juga akan tamat kontrak pada November ini.
"Perkara ini juga masih dalam penilaian pihak pengurusan," katanya.
Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar memaklumkan, barisan kejurulatihan juga telah mencadangkan perkara tersebut kepada pengurusan.
"Faisal pemain yang penting untuk Terengganu FC. Jadi, kita harap rundingan antara pengurusan dan pemain itu membuahkan hasil positif," katanya.
10 Jun 22
2221
Kontinjen Sukan Sea Terengganu Terima 'Durian Runtuh'
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan Terengganu 'menghadiahkan' RM143,000 kepada 57 atlet, jurulatih dan pegawai yang menyertai Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM86,000 diperuntukkan kepada 27 atlet sebagai Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) atas kejayaan meraih pingat pada temasya sukan tersebut.
Selain itu katanya, Insentif Skim Wakili Negara (Swara) berjumlah RM57,000 turut diberikan kepada 30 lagi atlet, jurulatih dan pegawai anak negeri yang mewakili negara dalam pelbagai acara sukan.
Wan Sukairi berkata, insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada atlet dari negeri ini yang beraksi cemerlang pada Sukan Sea di Vietnam pada Mei lalu.
“Diharapkan insentif ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet untuk beraksi di kejohanan Sukma Ke-20 di Kuala Lumpur pada September nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemasyhuran Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, Sukma Edisi Ke-20, MSN 2022 Dan Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) Sukan Sea Ke-31, Vietnam 2021 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen Terengganu ke Sukma Ke-20.
08 Jun 22
480
Kuala Nerus Ungguli SUTERA 2021
KUALA NERUS, 29 Mei - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2021 yang berakhir semalam menyaksikan tuan rumah, Kuala Nerus meraih juara keseluruhan dengan pungutan 26 emas, 10 perak dan 16 gangsa.
Mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan beserta wang tunai RM75,000.
Manakala naib johan pula dimenangi oleh Kontinjen Kuala Terengganu dengan pungutan pingat 20 emas, 9 perak dan 19 gangsa serta membawa pulang piala iringan beserta hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Sementara itu, Marang pula terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dengan hanya meraih kutipan pingat 13 emas, 16 perak dan 14 gangsa serta membawa pulang piala iringan dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Anugerah olahragawan Sutera 2021 pada kali ini telah dinobatkan kepada Mohd Zulhafizi Ariffin dari kontinjen Kuala Terengganu yang telah berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Tenpin Bowling bagi acara ' single, double, trio dan team'.
Manakala bagi olahragawati pula telah dianugerahkan kepada Nurul Huwaida Mohd Hamka dari kontinjen Daerah Kuala Nerus yang telah tampil cemerlang dalam sukan olahraga dengan memenangi dua pingat emas dan dua pingat gangsa bagi acara 100 Meter (M), 200 M, 4 x 100 M dan 4 X 400 M.
Masing-masing membawa pulang piala iringan dan hadiah tunai sebanyak RM1,000 seorang.
Majlis penutup temasya SUTERA Kuala Nerus 2021 itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
SUTERA 2021 itu telah ditutup secara rasmi semalam dengan ucapara menurukan bendera serta penyerahan bendera kejohanan dan buku manual pengelolaan temasya sukan terbabit kepada Majlis Sukan Daerah Dungun yang bakal menjadi tuan rumah bagi tahun hadapan.
29 May 22
1427