Artikel "Sidang DUN" Terkini
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
KUALA TERENGGANU, 25 November- Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu masih berada dalam tindakan pemaju dan kini sedang dalam proses kajian semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pemaju, kajian awal mendapati bahawa pasaran jualan dan permintaan rumah di kawasan tersebut tidak memuaskan, mengakibatkan keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan di tapak.
“Tindakan ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek sejalan dengan permintaan pasaran yang sebenar bagi mengelakkan lebihan rumah yang tidak terjual.
“Keputusan ini juga memberi ruang kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan strategi yang lebih sesuai, termasuk potensi perubahan dalam perancangan projek atau penyesuaian harga jualan mengikut kemampuan dan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Katanya, pihak SPNB mungkin akan mengkaji pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi, kemampuan pembeli di kawasan tersebut, serta prospek pembangunan lain yang dapat menarik minat pembeli.
26 Nov 24
334
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
KUALA TERENGGANU, 25 November- PMINT dan anak syarikatnya, Permint Granite Sdn. Bhd telah memperoleh 18 kelulusan tapak (lesen pengambilan pasir atau lombong silika) secara keseluruhan sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 18 kelulusan itu merangkumi 16 kelulusan pasir silika dan dua kawasan batuan silika.
“Daripada 18 kawasan ini juga empat kawasan sedang beroperasi dan 14 kawasan yang lain di peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan lain-lain kelulusan agensi teknikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Khazan ingin tahu berapakah lesen pengambilan pasir silika atau lombong silika yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dan adakah kerajaan negeri bercadang membina pusat penapisan atau kilang memprosesnya.
Dalam pada itu menurut beliau, secara asasnya, kilang sedia ada PMINT di kawasan Bukit Senyamok, Dungun telah mematuhi kehendak pasaran dengan kualiti pasir yang dikeluarkan melalui pengeluaran mineral lombong yang konsisten.
“Kawasan Perlombongan di kawasan Bukit Senyamok ini juga dirancang untuk dijadikan kawasan pembangunan perlombongan yang lestari dan mampan.
“PMINT kini merancang untuk membangunkan kawasan perlombongan mampan merangkumi aspek pematuhan kepada garis panduan alam sekitar dan pembangunan kilang yang berteknologi tinggi serta berdaya saing bagi pembangunan produk hiliran,” jelasnya.
25 Nov 24
451
LRA Hulu Terengganu Akan Dinaik Taraf Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 24 November- Loji Rawatan Air (LRA) Hulu Terengganu akan dinaik taraf dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek menaik taraf LRA terbabit telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta.
“Status terkini projek ini adalah di peringkat akhir pelantikan Jurutera Perunding.
“Projek menaik taraf LRA Hulu Terengganu telah dibuat permohonan di bawah RMKe-12 RP4 kepada KKDW dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.
Dr Mamad mengemukakan soalan mengenai bilakah kerajaan negeri akan segera menaik taraf loji air SATU di Hulu Terengganu bagi mengatasi masalah tekanan air rendah.
Katanya, projek naik taraf loji berkenaan dijangka siap pada tahun 2027 dengan tambahan kapasiti pengeluaran daripada 55 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65 JLH.
Dalam pada itu Hanafiah memaklumkan, terdapat juga projek pembinaan LRA Baharu Kenyir berkapasiti 20 JLH di bawah pinjaman Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM30 juta.
“Status kemajuan terkini adalah di peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding dan proses pengambilan tanah untuk sebahagian tapak cadangan LRA tersebut yang dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2029,” ujarnya.
Jelas beliau, dengan siapnya LRA Baharu Kenyir ini dan naik taraf LRA Hulu Terengganu kelak, penstrukturan zon bekalan air akan dibuat semula di mana LRA di daerah Hulu Terengganu akan mempunyai rizab tambahan bekalan air sebanyak 15 JLH bagi menampung keperluan pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas mengenai rancangan pihak Kerajaan Negeri mengatasi masalah paip air yang sentiasa pecah di Hulu Terengganu beliau berkata, antaranya dengan membuat penukaran meter aliran elektromagnetik di 20 kawasan di daerah Hulu Terengganu.
“Selain itu ,penukaran paip utama bersaiz 300 mm yang kerap pecah daripada Tangki Air Kepah hingga ke Kampung Matang.
"Serta langkah sementara yang diambil oleh SATU dengan Pressure Reduce Valve (PRV) dan mengawal tahap paras tangki air secara optima bagi mengawal tekanan air," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam fasa pelaksana Program Pengurangan Air Tak Terhasil (NRW) dengan membuat penukaran Meter Aliran di seluruh kawasan Hulu Terengganu.
24 Nov 24
627
Kerajaan Rancang Beberapa Langkah Majukan Semula Hentian Bas MBKT
KUALA TERENGGANU, 22 November- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah merancang beberapa langkah serta tindakan bagi memajukan semula Hentian Bas MBKT.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya dengan membuat penyusunan semula peniaga serta menawarkan sewaan lot-lot perniagaan kepada perniagaan francais.
Selain itu katanya, mempelbagaikan jenis jualan termasuk waktu beroperasi serta membaikpulih fasiliti di kawasan tersebut.
"Antara langkah yang akan diambil dalam memajukan semula Hentian Bas MBKT adalah melalui strategi menyusun atur semula peniaga-peniaga dengan lebih bersistematik.
"Memberi sewaan kepada Sabasun, ECO Shop, Café Cofee/Premium 24 jam atau Family Mart bagi menarik minat kepada pengunjung.
"Memperluaskan jenis jualan perniagaan termasuk produk pelancongan Terengganu serta membaikpulih segala kerosakan seperti bumbung dan penyediaan pukat bagi menghalang burung-burung di tingkat atas serta pencahayaan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakaf Mempelam) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Ahmad Shah bertanyakan soalan mengenai apakah pihak kerajaan negeri mempunyai rancangan membaik pulih Hentian Bas MBKT di dalam usaha untuk memajukan perniagaan di situ.
Selain itu katanya, bas pelancongan akan dibenarkan untuk masuk ke dalam terminal pada waktu-waktu biasa selain waktu puncak Bas Ekspress.
"Selain mengadakan usahasama antara peniaga dan agensi pelancongan bagi promosi kreatif melalui media social, facebook, tik tok atau media sosial yang lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, pembaikian Hentian Bas MBKT telah dijalankan secara dalaman melalui kerja-kerja pembaikian dibuat oleh kakitangan MBKT.
“Kerja-kerja pembaikian ini telah dijalankan beberapa kali melibatkan pembaikian bahagian bumbung dan juga pencahayaan di hentian tersebut.
“Bagi tujuan jangkamasa panjang pihak MBKT telah memohon peruntukan bagi tujuan pembaikian hentian bas tersebut melalui Kerajaan Negeri dan juga pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Menurut Wan Sukairi, jenis-jenis kerosakan di Hentian Bas MBKT adalah kerosakan major pada bahagian bumbung jenis ‘Metal Roofing’ yang berkarat dan telah berusia melebihi 25 tahun sejak hentian tersebut dibina.
“Selain itu, rekabentuk hentian itu sendiri menyebabkan berlakunya tempias pada musim hujan menyebabkan
berlakunya kerosakan lain di hentian tersebut,” jelasnya.
22 Nov 24
228
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM280,000 bagi pembangunan dan promosi usahawan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM140,000 digunakan khusus bagi pembangunan usahawan, manakala bakinya diperuntukkan untuk aktiviti promosi yang turut merangkumi usahawan dalam industri kraftangan.
Katanya, langkah tersebut bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada usahawan tempatan, termasuk mereka yang terlibat dalam sektor kraftangan, agar dapat berkembang dan memperluaskan pasaran produk mereka.
"Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf, termasuk anyaman daun getah, tenunan, batik, dan logam.
"Serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk-produk kraftangan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Ghazali mengemukakan soalan mengenai adakah peruntukan kewangan atau kursus latihan bagi industri kraftangan oleh kerajaan negeri jika ada, berapakah jumlah peruntukan yang diberikan.
Menurut beliau, projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang diinisiatifkan oleh Kraftangan Malaysia melibatkan komuniti yang terdiri daripada suri rumah, asnaf dan anak muda secara langsung dengan perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan berjaya melahirkan 99 pengusaha kraf di Terengganu.
“Seramai 14 Adiguru Kraf dalam bidang tekstil, logam dan hasil rimba dari negeri ini telah dilantik untuk menyumbang kepakaran dan berkongsi kemahiran dengan komuniti, dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi menerusi penghasilan kraf.
“PPKK telah diwujudkan pada 2020 susulan serangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan akibat kehilangan kerja dan punca pendapatan,” ujarnya.
22 Nov 24
53
Portal Terengganu Talent Kumpul Bakat Anak Terengganu
Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu.
21 Nov 24
136
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
KUALA TERENGGANU, 21 November - Mentri Besar Trengganu (Incorporated), MBI Terengganu sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, MBI Terengganu telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau dan ammonia hijau di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
“Pihak kerajaan pada ketika ini telah selesai melaksanakan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat yang berpotensi bagi memperhalusi cadangan pembangunan loji hydrogen hijau dan ammonia hijau pada bulan Oktober dan bulan ini.
“Hasilnya, perkara yang berkaitan dengan teknikal akan diteliti oleh agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Jabatan Perhutanan Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Tambah beliau, kerjasama sepenuhnya dari agensi bagi memastikan permohonan oleh pelabur serta perincian teknikal oleh agensi harus juga diberi penelitian mengikut lunas undang- undang agar ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.
Dalam pada itu katanya, Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS yang dijangka akan menjadi sumber baharu pendapatan negara dan negeri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Selain itu, projek solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menjana tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan projek permulaan dijangka akan dibina pada tahun 2025 secara berfasa.
“Dengan semua inisiatif ini di bawah portfolio pelaburan, kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri,” ujarnya.
21 Nov 24
962
Kemasik Perlu Dibangunkan Sebagai Hab Penerbangan dan Pusat Teknologi
Dalam usaha memperkasakan ekonomi Terengganu, kerajaan negeri dicadangkan menggunakan strategi inovatif untuk membangunkan kawasan Kemasik sebagai hab penerbangan berskala sederhana dan pusat teknologi masa depan.
21 Nov 24
87
Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
Kerajaan negeri disaran agar meletakkan syarat hanya anak-anak gadis yang belum mencapai usia baligh sahaja dibenar melakukan persembahan tarian.
21 Nov 24
95
Kerajaan Negeri Terus Komited Atasi Isu Gajah Liar
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menyelesaikan isu gajah liar termasuk di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia / Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) / Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Tumpuan kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak RM77,120 telah disalurkan kepada 24 pemohon di Terengganu bagi bantuan BKHT, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mangsa kerosakan yang disebabkan oleh serangan gajah liar.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Menurut Razali, RM6.5 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) di empat lokasi baru, termasuk Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman, serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan penempatan.
Tambah beliau, tindakan lain seperti pemantauan, kawalan, dan tembak halau juga dijalankan bagi menangani masalah gajah liar ini.
“Jika perlu, kaedah tangkap-pindah gajah akan dilaksanakan untuk mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat.
“Kerajaan negeri dan persekutuan terus komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, sambil menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dengan lebih berkesan,” jelasnya.
20 Nov 24
58