Artikel "Sidang DUN" Terkini
Subsidi 150 Juta Diberi, Kebajikan Pesawah Masih Tidak Terbela?
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan telah mengumumkan penyediaan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 namun dilaporkan ia masih belum mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi pesawah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim mempersoalkan pihak manakah yang menerima banyak manfaat melalui penyediaan subsidi RM150 juta yang sepatutnya menghasilkan 24 juta kampit beras.
"Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar? tentu sekali bukan kepada pesawah. Mereka yang mendapat manfaat daripada RM150 juta ini ialah pihak kartel industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan daripada manipulasi beras tempatan kepada beras import.
"Sebelum ini mereka telah mendapat untung yang besar dan sekarang mereka juga yang untung besar," ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Azman berkata sehingga kini derita pesawah yang menanggung beban akibat kenaikan kos pengeluaran masih kekal tidak terjawab.
"Beras tempatan yang dijanjikan akan ada di pasaran masih malu-malu untuk munculkan diri," katanya.
Tegasnya, selama ini beliau mengikuti dengan sangat teliti setiap penjelasan dari Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai penyelesaian terhadap isu beras yang melanda negara kebelakangan ini termasuk harga lantai padi yang dinaikkan.
"Ketika harga lantai padi RM1,300 per tan pada musim lepas, rata-rata kilang padi sudah membeli dengan harga melebihi RM1,500 per tan. Bagi musim kedua tahun 2024 purata harga padi di kilang-kilang padi di Terengganu ialah RM1,550 per tan.
"Di beberapa negeri lain, harga belian padi sudah mencecah antara RM1,800-RM2,000 bagi setiap tan.
"Berdasarkan senario trend pembelian padi dan pasaran beras sebelum ini, saya boleh menjangkakan pengumuman harga lantai padi RM1,500 per tan tidak banyak memberikan impak kepada pemain industri ini terutama pesawah kerana faktanya padi sudah dibeli melebihi paras harga lantai,"jelasnya.
Dalam pada itu beliau mempersoalkan siapa yang memainkan peranan sehingga beras tempatan lenyap terus dari pasaran.
"Faktanya ialah, pihak kartel industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh pesawah, rakyat dan pengguna," ujar beliau.
15 Apr 25
133
1,637 Ekar Ladang Solar: Terengganu Terus Pacu Tenaga Baharu
KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini memiliki keluasan ladang solar mencecah 1,637 ekar atau bersamaan 662.47 hektar, menjadikannya antara negeri yang aktif mengembangkan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong agenda tenaga hijau.
"Sehingga kini, keluasan keseluruhan ladang solar negeri Terengganu adalah berjumlah 1,637 ekar.
"Ini menunjukkan perkembangan positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di negeri ini," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Manir, Hilmi Harun dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, projek ladang solar di daratan diberi keutamaan khususnya di kawasan yang tidak dapat dibangunkan dengan industri lain.
"Kalau pelabur berminat untuk di daratan, kita sangat memberi keutamaan jika tanah itu kawasan banjir atau berpaya.
"Ini kerana kita dapat menebus guna tanah yang tidak sesuai untuk pembangunan lain," jelasnya.
15 Apr 25
936
Terengganu Sasar Jadi Hab LNG Serantau Menjelang 2028
KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini berada di landasan untuk muncul sebagai hab gas asli cecair (LNG) utama di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2028, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan E&H Energy Sdn Bhd baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem LNG di negeri ini.
"E&H Energy yang berpengalaman lebih 15 tahun akan menyumbang kepakaran dalam membangunkan infrastruktur seperti terminal regasifikasi dan rangkaian paip.
"Antara peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau, LNG adalah medium paling sesuai ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi ini kini berada di peringkat rundingan lanjutan bersama agensi Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri.
"Majlis pertukaran MoU antara pelabur dan Menteri Besar Incorporated (MBI) telah berlangsung pada Februari lalu, termasuk perjanjian pajakan tanah bersama EPIC Berhad.
"Keputusan pelaburan akhir dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2025, manakala tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 30 bulan sebelum operasi dimulakan pada suku pertama 2028," jelasnya.
15 Apr 25
307
RM1.33 Juta Untuk OKU: Terengganu Serius Mahu Lihat Mereka Berdikari
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.33 juta tahun ini bagi mengurus dan mengoperasikan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang, sebagai langkah nyata membantu golongan orang kurang upaya (OKU) keluar dari kepompong simpati dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dasar OKU dengan pelan tindakan tersendiri bertujuan membuka ruang ekonomi dan kerjaya untuk golongan ini, termasuk dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Kita bukan sekadar buat dasar, tapi turut sediakan strategi agar OKU ada tempat dalam sektor awam dan swasta, terutama melalui dasar satu peratus pengambilan kerja,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut Maliaman, peruntukan RM1.33 juta itu adalah untuk memastikan pengurusan Bengkel Pemulihan Kebajikan berjalan lancar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu.
“Ini bukan bantuan kosong, ini pelaburan untuk hidup mereka,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan beberapa Seminar Advokasi Kesedaran Kerjaya, khususnya bagi membantu OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana.
“Kita nak pastikan anak-anak OKU ni tak terperangkap dalam sistem yang lupa pada potensi mereka,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan turut disediakan bagi OKU yang bekerja dan mempunyai majikan, sebagai insentif agar mereka kekal aktif bekerja tanpa hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Bukan semua perlu disuap, ramai OKU sebenarnya nak bekerja, cuma mereka perlukan ruang dan pengiktirafan,” ujarnya.
15 Apr 25
133
Serangan di Gaza – Terengganu Mahu Dunia Sedar
KUALA TERENGGANU, 15 April – Darah seorang kanak-kanak yang gugur akibat serangan rejim Zionis di Hospital al-Ahli, Gaza, menjadi simbol kezaliman yang mencarik hati umat manusia sejagat.
Dalam dunia yang semakin bisu terhadap penderitaan, Dewan Undangan Negeri Terengganu tampil bersuara, menuntut keadilan yang telah lama dinafikan kepada rakyat Palestin yang terus hidup dalam bayang penjajahan dan penderitaan.
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, konflik yang berlarutan di Palestin tidak lagi boleh dianggap isu biasa.
"Konflik yang berlarutan di bumi Palestin terus menjadi lambang penderitaan umat yang belum menemui keadilan," kata beliau dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa ketidakadilan ini menuntut kita untuk bangkit dan bersuara.
"Dalam menghadapi ketidakadilan ini, kita dituntut untuk bersuara, menzahirkan solidariti, dan menyatakan pendirian kita demi membela kebenaran," tegasnya.
Mohd Nor turut mengutuk keras serangan udara terkini oleh Israel yang berlaku pada April 2025 ke atas Hospital al-Ahli, Gaza, yang telah meragut banyak nyawa serta melumpuhkan sistem kesihatan yang sangat kritikal.
"Terbaru pada April 2025, serangan udara oleh rejim Zionis ke atas Hospital al-Ahli di Gaza City telah menyebabkan kehilangan nyawa dan merosakkan infrastruktur kesihatan," katanya.
Beliau juga menyelar pelanggaran gencatan senjata oleh Israel pada 18 Mac 2025 yang menyaksikan serangan udara kembali dilancarkan ke atas Gaza.
"Pada 18 Mac 2025, Israel telah melanggar gencatan senjata dengan kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza, mengakibatkan kematian warga Palestin," katanya dengan nada kecewa terhadap ketidakpatuhan terhadap perjanjian damai.
Mewakili seluruh Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor menzahirkan solidariti penuh kepada rakyat Palestin yang tidak pernah mengenal erti aman sejak sekian lama.
"Saya ingin merakamkan solidariti penuh bersama rakyat Palestin yang menderita akibat penjajahan yang berterusan dan keganasan yang tidak berkesudahan," ujar beliau.
Beliau turut menyambut baik usaha diplomatik beberapa negara yang mempertimbangkan pengiktirafan negara Palestin serta menyeru Kerajaan Persekutuan untuk lebih agresif dalam memperjuangkan isu ini di peringkat antarabangsa.
"Kita juga menggesa Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk terus memainkan peranan yang lebih aktif di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin," tambah beliau.
Menutup ucapannya, Mohd Nor mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak hanya berdoa, tetapi bertindak.
"Marilah kita bersama-sama menzahirkan solidariti bukan hanya dengan doa dan kata-kata, tetapi juga melalui tindakan diplomatik yang berkesan," ujarnya.
15 Apr 25
94
Terengganu Ambil Pendekatan Strategik Bangunkan TOD di Stesen ECRL
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah serta pendekatan strategik dengan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, perancangan pembangunan kawasan di enam stesen tersebut telah diselaraskan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan akan dilaksanakan mengikut tiga fasa.
Menurut beliau, penyelarasan turut melibatkan peringkat daerah serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link (MRL) bagi meningkatkan daya tarikan pasaran pembangunan kepada pihak swasta.
“Secara asasnya, setiap kawasan di stesen ECRL mempunyai pelan induk serta perancangan guna tanah yang akan dibangunkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.
“Anggaran kos pembangunan bagi fasa pertama TOD dalam tempoh satu hingga tiga tahun adalah sebanyak RM228 juta, meliputi enam stesen. Ia merangkumi komponen seperti penyediaan infrastruktur, pengambilan balik tanah, kerja tanah dan pembinaan terminal transit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, perancangan pembangunan di kawasan TOD yang bermula tahun ini adalah bagi memastikan kerajaan mendapat manfaat yang optimum daripada pembinaan ECRL.
“Pelan pembangunan yang dirangka ini bertujuan memastikan pelaksanaan TOD di stesen ECRL negeri Terengganu dilakukan dengan terancang dan berkesan.
“Ia juga akan menjadi sumber maklumat penting bagi menarik pelabur untuk melabur di kawasan pembangunan tersebut sekali gus memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” tambahnya.
15 Apr 25
732
'Orang Lain Yang Kena TCO Bebas, Saya Tidak'
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan TCO yang dikenakan kepada beliau jauh berbeza dengan kawalan pada pihak lain termasuk tidak diberi kebebasan tertentu.
15 Apr 25
70
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerja bagi membaik pulih laluan jalan yang menghubungkan Felda Aring, Gua Musang dan Tasik Kenyir akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan sebanyak RM36 juta daripada Kementerian Ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan bagi kerja pembaikan itu telah diangkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkara tersebut dengan serius bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Kos keseluruhan sebanyak RM36 juta ini melibatkan kerja pembinaan jambatan baharu (sepanjang 150 meter) di lokasi terjejas serta kerja pemulihan cerung yang mengalami runtuhan.
"Kerja-kerja baik pulih akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kementerian Ekonomi.
"Pada masa ini pihak JKR sedang menyediakan pelan teknikal, dokumen reka bentuk serta menjalankan kerja-kerja awal bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dimulakan tanpa kelewatan setelah peruntukan diluluskan,"ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh semasa Mesyuarat Pengal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, beberapa langkah alternatif telah diambil bagi menyelesaikan kejadian runtuhan cerung yang mengakibatkan berlaku kerosakan jalan sepanjang 100 meter sekali gus menjejaskan kelancaran perhubungan antara negeri Terengganu dan Kelantan.
"Sebagai langkah interim, pengguna jalan raya yang terkesan dari kedua-dua arah (menggunakan laluan persekutuan FT036) sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu bolehlah menggunakan laluan alternatif FT247 ke FT03.
"Hebahan berkaitan perkara itu telah disampaikan melalui saluran rasmi media sosial dan hebatan tempatan bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerja-kerja penambahbaikan yang dicadangkan selain pembinaan jambatan baharu adalah membaik pulih Jalan Tuju sepanjang 300 meter.
"Bagi memastikan sambungan kepada jambatan baharu (selain itu) kerja-kerja geoteknikal dan perlindungan cerun termasuk pembinaan struktur penahan, pemasangan lampu sepanjang jalan kawasan terlibat untuk keselamatan pengguna dilaksanakan.
"Pemasangan perabot jalan seperti papan tanda, pengadang jalan dan kemudahan untuk keselamatan, pembinaan sistem perparitan jalan bagi memastikan saliran air yang baik dan dapat mengelakkan hakisan," jelas beliau.
15 Apr 25
2378
Pemergian Tun Abdullah: Terengganu Sanjung Pemimpin Berjiwa Tenang
KUALA TERENGGANU, 15 April – Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini menzahirkan penghormatan tertinggi atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima yang dikenang sebagai pemimpin berjiwa sederhana dan penuh integriti.
Ucapan takziah disampaikan dalam suasana penuh hiba di Wisma Darul Iman, memperingati jasa besar Allahyarham kepada negara dan negeri Terengganu.
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
"Saya mewakili seluruh warga Dewan Undangan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai pemimpin berjiwa tenang, rendah hati dan berpegang pada prinsip amanah serta kesederhanaan sepanjang memimpin negara dari tahun 2003 hingga 2009.
"Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa tenang, merendah diri serta menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah dalam pentadbiran negara," ujar beliau.
Mohd Nor turut mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Terengganu.
"Kepimpinan beliau turut meninggalkan kesan signifikan kepada negeri Terengganu, termasuk dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri," jelasnya.
Tambah beliau, Allahyarham juga berjasa dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menekankan ketelusan dalam pentadbiran.
"Sumbangan Allahyarham dalam memperluas dialog antara rakyat dan kerajaan serta ketelusan urus tadbir memberi manfaat besar kepada rakyat," kata beliau.
Sebagai penutup, beliau menyeru seluruh dewan untuk mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
"Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya sebelum memohon semua berdiri bagi menghormati pemergian tokoh negarawan itu.
15 Apr 25
102
Pertanian Terengganu Tumbuh Positif, Raih Pujian Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.
15 Apr 25
69