Artikel "Semasa" Terkini
Sebat Pesalah Khalwat Berulang Dilaksana 27 Disember
KUALA TERENGGANU, 16 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Disember lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang telah bersidang pada 11 Disember lepas memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu dikekalkan.
“Hukuman sebatan itu juga kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang sebagaimana keputusan terdahulu dan akan dilaksanakan pada 27 Disember ini selepas solat Jumaat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
“Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.
Tambah Muhammad Khalil, pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember lalu (selepas solat Jumaat) bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
16 Dec 24
540
KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024.
16 Dec 24
289
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
HULU TERENGGANU, 14 Disember – Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Zawawi Ismail berkata program seperti IMCT penting untuk mempromosikan keunikan eko-pelancongan negeri.
“Dengan adanya acara ini, Tasik Kenyir mendapat pendedahan antarabangsa.
“Antara negara yang turut serta ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, China, Perancis dan Belanda.
“Ia membuktikan kawasan ini kaya dengan tarikan unik seperti Pulau Poh, Taman Burung, dan Gua Bewah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan IMCT 2024 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Menurut beliau, kehadiran peserta antarabangsa menunjukkan potensi besar Tasik Kenyir untuk terus menarik pelancong asing.
“Kita mahu mereka bukan sahaja menikmati aktiviti memancing tetapi juga melihat sendiri keindahan dan keunikan alam sekitar di sini,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu turut menekankan kepentingan keselamatan sepanjang acara berlangsung.
“Keselamatan perlu menjadi keutamaan kita semua, terutama dalam aktiviti melibatkan air,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar menjaga etika dan mematuhi peraturan demi menjamin pengalaman yang selamat dan menyeronokkan.
“Semoga semua yang hadir membawa pulang pengalaman manis di Tasik Kenyir kali ini,” ujarnya.
Katanya, acara tahunan tersebut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain pertandingan memancing, peserta dan pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah dan menyelami budaya serta keunikan Tasik Kenyir.
“Dengan kejayaan penganjuran IMCT 2024, Terengganu kini semakin dikenali sebagai destinasi pilihan untuk sukan rekreasi air.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan negeri di mata dunia tetapi turut meningkatkan ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Mari jadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi wajib bagi penggemar aktiviti luar dan pencinta alam,” ujarnya.
14 Dec 24
3917
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur.
"Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang.
“Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama.
"Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya.
Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi.
Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman.
“Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu.
"Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya.
Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
“Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya.
Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang.
Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari.
Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.
12 Dec 24
536
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2 yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.
"Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
"Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA).
"Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya.
"Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.
12 Dec 24
154
'Proses Beli Saham Belum Selesai' - KMI Nafi Kendalikan Hospital Bersalin Razif
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad menjelaskan pihaknya masih tidak memiliki atau mengendalikan Hospital Bersalin Razif.
KMI Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober tahun lepas, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa pemenuhan duluan syarat yang belum dipenuhi.
“Sehingga syarat-syarat ini dilaksanakan dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif.
“Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini,” ujar kenyataan itu, hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, syarikat kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya dan akan memberikan makluman lanjut apabila diperlukan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai isu jasad bayi yang didakwa ditahan di hospital berkenaan selama 16 hari di peti beku, dan ibunya juga tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil hospital dibayar.
11 Dec 24
1098
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Isu banjir di kawasan Perkampungan Darul Barakah bakal diatasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menangani permasalahan itu.
10 Dec 24
134
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
Mengikut perkembangan masa dan zaman, penambahbaikan perlu dibuat bagi melihat pendidikan Islam bangkit dan selari dengan pendidikan konvensional yang lain secara langsung sebagai pemangkin utama berasaskan ketakwaan serta akidah yang mantap bagi melahirkan generasi mendatang.
10 Dec 24
51
RUU Komunikasi Dan Multimedia Buka Ruang Salah Guna Kuasa
KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional semalam telah menentang Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan 2024) kerana dikhuatiri akan disalah guna dan dimanipulasi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu , Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara itu sangat jelas memberikan kuasa terlalu luas kepada menteri untuk menentukan pelbagai perkara berkaitan media.
"Kerajaan sekarang dilihat mundur ke belakang dalam menegakkan prinsip penting demokrasi iaitulah hak kebebasan bersuara.
"Perkara ini dibangkitkan masyarakat awam termasuklah mereka yang sebelum ini dilihat sangat pekat dalam sokongannya kepada Pakatan Harapan misalnya BERSIH, kartunis Fahmi Reza, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan ramai lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, sekalipun RUU itu tetap diluluskan kerana ahli-ahli Parlimen Kerajaan dari Pakatan Harapan dan lain-lain parti yang bersama kerajaan memilih telah mengundi menyokong pindaan akta terbabit.
"Semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional yang hadir telah mengundi membantah RUU ini," tegasnya.
10 Dec 24
116
Penyelenggaraan Longkang Selesaikan Masalah Banjir Di Tok Jembal
KUALA NERUS, 9 Disember - Projek pembersihan dan penyelenggaraan longkang di Kampung Tok Jembal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, berkata, beliau berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu.
"Secara peribadi saya mewakili masyarakat DUN Seberang Takir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' Bandar Kuala Terengganu dan MBKT yang telah menyelenggara dua longkang di kawasan Tok Jembal yang kita maklum menjadi punca kegagalan air mengalir ke laut.
"MBKT telah berjaya mendapat peruntukan dari Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) seterusnya adalah diharapkan dengan kerja-kerja selenggara longkang ini juga dapat mengelakkan berlakunya impak banjir di Taman Uda Murni dan sekitarnya, " ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Jembal, Zainal Lasim, 65, ketika dihubungi berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana tidak berlaku banjir pada tahun ini.
"Alhamdulillah, setakat ini tidak berlaku banjir di kawasan Taman Murni Permai disebabkan pihak kerajaan telah berusaha mengorek dan membersihkan longkang sepanjang 1.3 kilometer bagi kelancaran air mengalir ke laut telah pun selesai dijalankan sebelum tiba musim tengkujuh baru-baru ini.
"Sebelum ini, bila tiba Monsun Timur Laut, apabila satu atau dua jam hujan turun, selalunya memang air laju masuk ke sini terutamanya di Taman Murni Permai.
"Penduduk di sini bimbang setiap kali tiba musim tengkujuh, terpaksa berjaga malam risau akan keadaan air, namun kali ini air tidak masuk ke rumah, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mengelakkannya daripada berulang," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Jalil, 60, amat bersyukur kerana tidak lagi perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Maklumlah, bila air masuk dalam rumah memang penat, letih. Wang pun banyak habis nak beli barang-barang rumah yang rosak.
"Terima kasih buat barisan JPKK di sini yang bertungkus lumus siang malam demi memastikan hasrat penduduk Taman Murni Permai tidak mengalami banjir kini menjadi kenyataan," katanya.
09 Dec 24
228