lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

DAP Tabur Tuduhan Karut Dakwa JKPK Tidak Pernah Bermesyuarat
DAP Tabur Tuduhan Karut Dakwa JKPK Tidak Pernah Bermesyuarat
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Dakwaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Thiong bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diketuai pembangkang (Perikatan Nasional) tidak penah bermesyuarat merupakan tuduhan yang sangat karut. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya sangat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen itu sedangkan pada waktu itu JKPK sedang bermesyuarat. Tegasnya, tuduhan itu tidak berasas kerana seluruh rakyat dan orang ramai boleh melihat setiap kali aktiviti mesyuarat yang diadakan kerana ia dimuat turun dalam facebook rasmi Parlimen Malaysia.. "Sebaik selesai mesyuarat saya terus kembali ke Dewan Rakyat dan memohon speaker mengeluarkan petua atas kenyataan menyeleweng daripada ahli parlimen DAP ini. "Untuk pengetahuan, bagi tahun 2023, JKPK telah mengadakan 10 mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Lynas (manakala) bagi tahun 2024, JKPK telah mengadakan 16 mesyuarat, 5 lawatan kerja ke MCRE Resources, Agensi Angkasa, MGTC, NAHRIM dan Agensi Nuklear, serta telah membentangkan empat penyata dalam dewan. "Bagi tahun 2025 pula setakat bulan Februari, JKPK telah pun mengadakan dua mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Sarawak. Malah, saya baru sahaja selesai mempengerusikan satu lagi mesyuarat JKPK pada 2.30 petang tadi (semalam),"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di facebooknya, semalam. Dalam pada itu beliau mencabar Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekiranya dakwaannya itu benar maka keluarkan sekali lagi kenyataan yang sama. "Jika berani, Ahli Parlimen Kota Melaka boleh mengulangi fitnah ini di luar dewan,"tegas beliau. Dalam perkembangan yang sama, beliau menyatakan beliau telah mempengerusikan mesyuarat JKPK Untuk Alam Sekitar Sains dan Perladangan dengan menerima kehadiran Kementerian Perladangan dan Komoditi. Jelasnya, apa yang menjadi perbincangan selalu berkait dengan kepentingan rakyat sebagaimana minggu lepas pihaknya telah berbincang mengenai Industri Sawit. "Hari ini (semalam) kami membincangkan Industri Getah,"ujar beliau.  
06 Mar 25
229
Terminal Bas Sementara Jerteh Beroperasi Minggu Depan
Terminal Bas Sementara Jerteh Beroperasi Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Terminal Bas Jerteh kini berpindah ke tapak operasi sementara bagi memberi laluan pembinaan terminal bas baharu bermula 18 Februari 2025. Melalui notis yang dikongsikan di laman rasmi Facebooknya semalam, Majlis Daerah Besut (MDB) memaklumkan stesen bas sementara akan mula beroperasi pada 11 Mac 2025 sebagaimana dua ketetapan berikut. “Pertama, bas henti-henti dan teksi akan berpindah ke tepi bangunan Jerteh Souq. “Kedua, bas ekspress dan kaunter tiket akan berpindah ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Jabi,” jelasnya dalam kenyataan tersebut. Tegas MDB, tiada hentian lain yang akan dibenarkan beroperasi selain daripada hentian yang telah disenaraikan di atas. Dalam pada itu, pihak MDB mengharapkan kerjasama dan perhatian daripada semua pihak serta memohon maaf terhadap sebarang kesulitan berikutan pemindahan itu.
06 Mar 25
1104
Jalan Rosak Akibat ECRL, Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Bertindak
Jalan Rosak Akibat ECRL, Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Bertindak
Oleh : Abdul Hafiz KUALA LUMPUR, 6 Mac - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikaitkan dengan kerosakan jalan persekutuan di Setiu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat semalam, termasuk keadaan jalan mendap di Kampung Air Sejuk yang dikatakan berisiko tinggi kepada pengguna. "Saya ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan dalam membaik pulih jalan ini.  "Selain itu, banyak jalan persekutuan mengalami kerosakan akibat projek ECRL.  "Apakah langkah kerajaan untuk menangani isu ini?,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat. Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan jawapan bertulis berkenaan masalah jalan mendap di Kampung Air Sejuk. Beliau juga menjelaskan bahawa penyelenggaraan jalan persekutuan dilakukan secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna. Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan jalan di kawasan terjejas dan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya
06 Mar 25
202
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Senator DAP, Dato' Kesavadas A. Achyuthan Nair, menegaskan bahawa pembayaran baki royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu perlu dilakukan secara langsung demi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terjamin serta memperkukuh pembangunan ekonomi negara. Dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, beliau mengakui kepentingan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas sejak 1978. Menurutnya, rakyat Terengganu berhak menerima manfaat penuh daripada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari perairan negeri tersebut. “Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak negeri ini sejak 1978. “Saya juga percaya dengan pembayaran baki royalti itu, kerajaan negeri dapat menambah hasil negeri yang seterusnya membantu menjaga kebajikan rakyat selain memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya. Beliau turut mempersoalkan mengapa wang hasil petroleum tersebut tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya diberikan kepada pihak ketiga. Baginya, ketelusan dalam pembayaran royalti adalah penting agar hak negeri tidak dinafikan. Sementara itu, Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Hussin Ismail menyatakan bahawa isu royalti itu bukan sekadar hak rakyat Terengganu, tetapi telah termaktub dalam perjanjian sah yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas. "Perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan ketika itu," tegasnya. Menjawab perkara tersebut, Kesavadas mengesahkan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian berkaitan memang termaktub dalam dokumen rasmi dan beliau tidak menafikan fakta tersebut. Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik. “Saya beranggapan sekiranya tiada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka amat susah, sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” tambahnya.  
05 Mar 25
2489
Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal Sahkan Sertai Pelita Raya Terengganu
Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal Sahkan Sertai Pelita Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pelita Raya Terengganu 2025 bakal mencipta sejarah baru dengan penyertaan negara luar antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, empat buah negeri itu telah mengesahkan kehadiran bagi menyertai program Pelita Raya Terengganu. Kata Razali, dengan tema 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam. "Kita cuba mengangkat program ini ke peringkat antarabangsa dengan menjemput banyak negara untuk menyertai termasuk Singapura, Brunei, Pakistan namun yang mengesahkan untuk hadir ialah empat negara terbabit. "Namun, kita masih menunggu beberapa negara lagi yang akan sertai, kita sedang menunggu senarai daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. "Penyertaan dari luar negara pada peringkat awal mereka tidak akan bertanding, tetapi untuk menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga ada pelita tradisi dengan cara serta budaya yang tersendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Sidang Media Program Peliter Raya @ KSNT, di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut Razali berkata, program itu juga akan turut disertai oleh negeri Kelantan dan Perlis melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK). "Mereka bertanding dalam kategori Agensi dan Badan Kerajaan yang akan disertai oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, MOTAC/Tourism Malaysia. "Ia termasuk KETENGAH, Terengganu Inc, Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT), Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Lapan daerah di negeri Terengganu ini pula akan menyertai kategori Pejabat Daerah,"ujarnya. Dalam masa yang sama menurut Razali, bagi memastikan acara berprestij itu lebih meriah, satu rakan strategik telah dibentuk dengan turut menjemput seluruh negeri menyertainya. "Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Johor , Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menyertai Pelita Raya ini," ujarnya. Sementara itu, katanya kerajaan negeri menjemput khas Persatuan Cina Peranakan Terengganu, Persatuan India dan orang Asli untuk turut sama memeriahkan. "Apabila kita jemput, mereka sangat gembira untuk menyertai tambahan pula tradisi pelita raya ini telah dikenali dan telah sebati dalam diri mereka kerana tradisi ini telah diadakan turun temurun dan diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini," katanya.    
05 Mar 25
890
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Terengganu untuk mengharamkan vape secara total. Katanya, langkah itu sangat tepat dan wajar demi membebaskan generasi hari ini daripada terus terlibat dalam ketagihan vape yang semakin membimbangkan. Menurut beliau, pengharaman vape itu bukan sahaja menyebabkan penjualan, pengiklanan dan sebarang berkaitan vape di seluruh negeri akan terhenti tetapi akan memastikan undang-undang ketat dikuatkuasakan sepenuhnya. "Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan penggunakan vape. "Dalam masa yang sama, kami juga menggesa supaya premis-premis yang melibatkan penjualan rokok diperketatkan lagi oleh Kerajaan Negeri Terengganu. "Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa penjualan rokok, termasuk rokok elektronik dikawal dengan lebih ketat bagi melindungi generasi muda daripada terus rosak akibat vape dan rokok,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, pihak beliau yakin dan percaya bahawa usaha tersebut akan dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan vape dan rokok. "Marilah kita semua menyokong usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," ujarnya.
03 Mar 25
327
Chef Terengganu Dinobat Chef Of The Year
Chef Terengganu Dinobat Chef Of The Year
KUALA TERENGGANU, 3 Mac- Nazrul Hazel Mohd Nor berjaya mengharumkan nama Terengganu apabila merangkul gelaran Chef Of The Year 2025 (Masakan Warisan) bagi Festival Anugerah Asean Food & Travel (AFT) 2025 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Anugerah AFT dianjurkan bertujuan mempamer dan mempromosikan ASEAN dalam arena makanan dan pelancongan serta memberi pengiktirafan kepada personaliti atau organisasi yang cemerlang dalam industri makanan, pelancongan dan hospitaliti di rantau ini. Menurut kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu, beliau amat bersyukur dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij tersebut yang merupakan pencapaian tertingginya selepas 24 tahun berkecimpung dalam dunia masakan. “Gelaran Chef Of The Year 2025 dinilai berdasarkan pencapaian-pencapaian kita sebelum ini, memang saya selalui sertai pertandingan masakan tetapi tak sangka terpilih sebagai penerima anugerah ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Ditanya mengenai rahsia kejayaannya itu, Nazrul Hazel berkata, selain minat, keikhlasan adalah sesuatu yang penting dalam bidang masakan. “Dalam menyediakan hidangan, kita perlu tenang dan ikhlas seperti memasak untuk diri sendiri agar orang yang rasa masakan kita berpuas hati,” katanya. Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan tidak berbelah bahagi. “Terima kasih juga kepada keluarga tersayang yang sentiasa mendoakan dan menyokong,” ujar beliau. Sebelum ini, Nazrul Hazel pernah memenangi pingat gangsa dalam Kategori Masakan Warisan Malaysia di Festival Culinare Malaysia 2023 dan pingat emas dalam Pertandingan Pasta di World Chefs Championship 2023. Beliau yang bertugas di Unit Korporat dan Promosi JPNT, pernah menimba ilmu di 'Institute International Flamingo Malaysia' dan turut memiliki pengalaman luas dalam bidang masakan seperti Ketua Juri Karnival Makanan Rentas Negeri Terengganu 2024 dan Juri Masakan Program Pemuliharaan Makanan Terengganu 2024.  
03 Mar 25
3818
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk memeriahkan Madinah Ramadan bersama ahli keluarga dan menikmati suasana berbuka beramai-ramai. Katanya, lokasi dipilih kali ini adalah Masjid Tengku Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai. Jelas beliau, Madinah Ramadan juga menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari ini. "Sejak 2018 lagi Madinah Ramadan diadakan di Negeri Terengganu untuk mengajak rakyat bersama-sama menghidupkan bulan mulia, Ramadan yang hanya datang setahun sekali," ujarnya melalui satu kenyataan, di facebooknya, di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemilihan Masjid Tengku Tengah Zaharah kerana ia kawasan tumpuan orang ramai dan mempunyai akses yang mudah. "Orang ramai yang berbuka puasa di Lagun Kuala Ibai digalakkan untuk turut serta dalam aktiviti di Masjid. "Kita berharap ia menjadi satu trend seperti di Masjid Kuantan, di mana masyarakat berama-ramai berbuka di kawasan lapang berhampiran masjid kemudian bersama-sama menunaikan ibadah di masjid," ujarnya.
03 Mar 25
167
TDM Catat Hasil Tertinggi Sepanjang Masa, Untung Naik 23 Peratus
TDM Catat Hasil Tertinggi Sepanjang Masa, Untung Naik 23 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad sekali lagi mencatat rekod baharu dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sebanyak RM645 juta bagi tahun kewangan 2024. TDM dalam satu kenyataan berkata, pendapatan itu meningkat 9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jelas kenyataan itu lagi, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan juga meningkat kepada RM29.5 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024. "Melonjak 23 peratus berbanding RM24.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. "Sepanjang tahun kewangan 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak RM51.1 juta atau 9 peratus, didorong oleh pertumbuhan hasil daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM29.6 juta (+11 peratus) dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM21.5 juta (+6 peratus)," ujar TDM. Tambah TDM lagi, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam PBT tahunan kepada RM11.3 juta berbanding RM14.8 juta tahun sebelumnya, EBITDA masih mencatat jumlah kukuh sebanyak RM110.1 juta. "Prestasi Bahagian Perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM37.1 juta (+3 peratus) berbanding RM33.9 juta tahun sebelumnya, dengan PBT sebanyak RM19.7 juta bagi suku ini.  "Prestasi Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan juga mencatat prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak 3 peratus, daripada RM93.8 juta kepada RM96.9 juta sepanjang suku ini. "Bagi tahun kewangan penuh, pendapatan meningkat 6 peratus kepada RM354.3 juta berbanding RM332.8 juta tahun sebelumnya. EBITDA meningkat kepada RM53.9 juta, manakala PBT turut meningkat kepada RM31.8 juta berbanding RM31.0 juta tahun sebelumnya," kata TDM.    
02 Mar 25
2165
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal melakukan pemantauan yang lebih tegas terhadap 33 buah premis perniagaan makanan menjelang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya telah meletakkan beberapa buah premis di seluruh negeri itu kerana dikenal pasti menjalankan aktiviti bertentangan syariah Islam. “Setakat ini kita dapat mengenal pasti terdapat 33 premis di seluruh negeri dan tindakan yang kita telah ambil pada masa ini ialah kita beri nasihat dahulu sebagai amaran awal. “Selepas itu, kita akan membuat pemantauan berterusan terutamanya di premis-premis ini di sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ops Supik Hitam’ di Dewan Auditorium, JHEAT, semalam. Muhammad Khalil turut mengingatkan, pemilik premis berkenaan bahawa kegagalan mematuhi undang-undang yang khusus pada bulan Ramadan boleh dikenakan denda sepertimana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, di bawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan. Menurutnya, operasi yang telah dilancarkan akan dianggotai oleh pasukan penguatkuasa daripada JHEAT dan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). “Jumlah keanggotaan untuk operasi di bulan Ramadan ini terdiri daripada 91 orang anggota.  “Dan Insya-Allah usaha kerajaan negeri bersama pihak JHEAT ini akan dibantu bersama pihak PBT dalam menjalankan ‘Ops Supik Hitam’ ini. Menurutnya, kerjasama dan penyelarasan agensi serta jabatan-jabatan yang terlibat seperti penglibatan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui PBT merupakan salah satu komponen penting bagi pelaksanaan operasi tersebut. “Kesungguhan kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan syariah ini, kita perkasakan juga dari sudut pelarasan bersama agensi dan juga jabatan lain yang berkaitan. “Khususnya MBKT kerana PBT ini di bawah MBKT. Contohnya, kita nak ambil tindakan kepada peniaga yang menjual makanan di siang hari pada bulan Ramadan, jadi penguatkuasa agama hanya boleh menangkap orang yang tidak berpuasa manakala tindakan terhadap premis di bawah PBT. “Oleh kerana itu, pentingnya kita selaraskan pelaksanaan ini (disebabkan oleh bidang kuasa yang berlainan),” katanya. 
28 Feb 25
115