Artikel "Semasa" Terkini
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Foto Oleh: Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Bilik sejuk beku di Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir di sini bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan di sekitar kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan infrastruktur nelayan berharga RM165,000 itu dimulakan Ogos tahun lalu dan kini siap dalam tempoh sekitar tiga bulan.
“Peti sejuk beku ini mampu menyimpan kira-kira lima metrik tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa dengan suhu penyejukkan sekitar -20 darjah celsius.
“Kita harapkan infrastruktur yang ada ini boleh menyelesaikan masalah dari segi penyimpanan stok hasil laut samada ikan atau hasil laut lain terutamanya pada musim tangkapan melimpah atau berkurangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Sejuk Beku Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara di Kampung Batin, Seberang Takir, hari ini.
Dr. Azman berkata, beliau mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh para nelayan dengan sebaiknya.
“Dari segi pengurusan, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu akan menyerahkannya kepada Persatuan Nelayan Kawasan Terengganu Utara.
Katanya, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina bilik sejuk beku di semua jeti pelabuhan dan perikanan di negeri ini secara berperingkat.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan dapat bina paling kurang dua atau tiga unit termasuk di Setiu dan tempat-tempat lain,” ujarnya.
13 Jan 21
1109
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain.
“Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir.
"Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman.
"Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu.
“100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar.
Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat.
"Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman.
"Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini
"Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya.
Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.
11 Jan 21
905
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup
DUNGUN, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir terakhir yang menghuni PPS di Kemaman dan Dungun sudah dibenarkan pulang sebentar tadi.
“Semalam, dua PPS di Kemaman dan Dungun merekodkan data terakhir pada pagi tadi sebanyak 1,694 mangsa lagi.
“Banjir gelombang ini turut merekodkan data tertinggi mangsa dipindahkan sejak bermula musim banjir pada bulan November dengan hampir 14,000 ribu di seluruh negeri pada hari keenam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita selepas tinjauan ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun, tengah hari tadi.
Tambah Che Adam, beliau menasihati penduduk supaya bersiap sedia, walaupun tiada jangkaan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Terutamanya mereka di kawasan hulu dan pedalaman dan kita sentiasa kemas kini data terbaharu dengan jabatan berkenaan.
“Tempoh amaran ombak laut dan angin kencang kini bertiup dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj sehingga 12 Januari manakala air pasang setinggi 2.7 meter direkodkan di Kuala Terengganu,” ujarnya.
11 Jan 21
281
Mangsa Banjir Terengganu Tinggal 1,694 Orang
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu semakin surut dengan hanya tinggal 1,694 mangsa daripada 504 keluarga yang masih berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman masih mempunyai 1,302 mangsa daripada 404 keluarga.
“Kesemua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di sembilan PPS di seluruh Kemaman.
“Manakala lapan PPS pula masih aktif di Dungun dengan menempatkan 392 mangsa daripada 100 keluarga,” katanya.
Che Adam berkata, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan terlibat dengan cuma sebahagiannya masih hujan.
Tambah beliau, paras lembangan sungai utama di kedua-dua daerah itu juga menunjukkan trend penuranan di bahagian hulu.
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 13,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
11 Jan 21
236
Banjir Gelombang Kelima Terengganu Makin Pulih
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Banjir gelombang kelima di Terengganu yang melanda sejak Ahad lalu beransur pulih.
Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 6,613 mangsa ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan 1,612 keluarga di Kemaman dan Dungun.
"Setakat ini, masih terdapat seramai 6,045 mangsa daripada 1,416 keluarga ditempatkan di sebelas PPS di daerah Kemaman, manakala 568 mangsa daripada 151 keluarga juga masih ditempatkan di 11 PPS Dungun,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, cuaca semasa setakat hari ini mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
Terdahulu, banjir gelombang kelima yang melanda negeri ini pernah mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir melebihi 13,000 orang dengan daerah Kemaman paling teruk terjejas.
10 Jan 21
523
Pusat Kuarantin, Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu dibuat susulan peningkatan ketara kes positif yang melibatkan individu tidak bergejala dan bergejala ringan.
"PKRC ini yang mula dibuka semalam dan telah menempatkan seramai enam orang pesakit COVID-19 berisiko rendah yang dikuarantinkan selama 10 hari bagi mengelakkan daripada penularan bertambah.
“Pembukaan dibuat secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 150 buah katil. Kapasiti bagi permulaan ini adalah sebanyak 58 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat.
“Pengoperasian PKRC ini diletakkan di bawah Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan bantuan tenaga kerja dari hospital-hospital di negeri Terengganu, jadi elakkan daripada menjadi penyebab tambahnya beban kepada ‘frontliners’ yang banyak berkorban untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan di sini.
Hadir sekali, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Menurut Dr Alias, sehingga kini sebanyak enam 'Home Surveilance Centre (HSC)' atau Pusat Kuarantin dibuka.
“Empat HSC berkenaan adalah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Marang, Institut Pendidikan Guru (IPG), Batu Rakit, Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang, Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILIM), Besut, Pusat Latihan dan Pembungan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, Wakaf Tapai dan Darul Iman Training Center (DITC), Kemaman.
“Sehingga 9 Januari 2021, seramai iaitu 482 Person Under Surveillance (PUS) atau belum positif lagi, masih di kuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian.
“Individu yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian kerana mempunyai risiko jangkitan COVID-19 dan dikuaratin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan bagi memastikan selamat sebelum discaj,” ujarnya.
10 Jan 21
2445
Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Sebanyak 73.6 peratus kes positif COVID-19 di Terengganu sejak 7 Disember adalah melibatkan individu rentas negeri dari kawasan berisiko.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mendapati kes melibatkan golongan itu meningkat selepas saringan ke atas individu yang memasuki Terengganu diperluas.
“Ramai yang didapati positif hasil rentas negeri, apabila mereka pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga, perkara ini berpotensi akan menyebarkan lagi wabak tersebut secara tidak sedar.
“Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko COVID-19.
“Saya juga ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi menyatakan, keseluruhan kes positif COVID-19 di Terengganu sejak awal penularan telah mencecah 455 kes sehingga 9 Januari 2021.
“112 kes sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya lagi.
Tambah beliau, sehingga kini, tiada lagi rekod kes positif wabak melibatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada yang disahkan, disyaki atau bergejala.
10 Jan 21
816
Mahkamah Sesyen, Majistret Setiu Mula Operasi Hari Ini
SETIU, 10 Januari - Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Taman Tarom Permai, Mukim Tasek Setiu mula beroperasi, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, perpindahan dua mahkamah itu ke premis baharu bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam serta pihak yang berurusan dengan mahkamah.
"Perpindahan ini juga diharap dapat melengkapkan kemudahan dan memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan mahkamah yang bertugas di kedua-dua mahkamah berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Menurut Takiyuddin, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu sebelum ini beroperasi di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di tengah-tengah Bandar Permaisuri.
“Premis mahkamah di tapak asal yang berusia kira-kira 33 tahun mempunyai ruang pejabat terhad dan kurang kemudahan khas bagi orang kelainan upaya (OKU) dan orang awam yang berurusan dengan mahkamah.
“Ketika membuat lawatan kerja ke Mahkamah Setiu pada 22 Jun tahun lepas, saya telah bersetuju agar Mahkamah Setiu dipindahkan sementara ke bangunan baru yang lebih selesa dan kondusif,” ujarnya.
Katanya, pada masa yang sama kerajaan sedang mengusahakan satu bangunan kekal bagi Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu ini di Kampung Binjai Manis, Mukim Hulu Setiu.
“Kita jangkakan projek pembinaan mahkamah di atas tanah seluas 3 ekar ini dapat dilaksanakan pada 2023 dengan anggaran kos RM30 juta,” ujarnya.
Katanya, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu baharu yang beroperasi di bangunan yang disewa sementara ini akan dijadikan model untuk dilaksanakan di lokasi lain di seluruh negara.
“Selain itu, kita juga telah kenal pasti lima mahkamah litar yang sedang beroperasi di bangunan yang tidak berapa selesa untuk orang awan serta pegawai dan kakitangan sendiri.
“Masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta satu di Johor. Untuk tahun ini kita akan naik taraf atau melakukan penambahbaikan tiga buah terlebih dahulu iaitu di Pengerang (Johor), Papar (Sabah) dan Mukah (Sarawak).
10 Jan 21
2232
Tuisyen Rakyat Beri Nilai Tambah Persediaan SPM
SETIU, 11 Januari - Program Tuisyen Rakyat yang diadakan melalui inisiatif kerajaan Terengganu menjadi satu nilai tambah kepada persediaan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari nanti.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kecemerlangan pelajar SPM di negeri ini terus dikekalkan
"Setelah segala usaha kita lakukan, kita serahkan kepada Allah SWT dengan segala kebergantungan kepadaNya, insya-Allah mudah-mudahan segala usaha kita semua diredhai olehNya."
Beliau berkata demikian ketika ucapan penutup pada program motivasi pelajar SPM DUN Permaisuri di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Kampung Guntung Luar baru-baru ini.
Program Tuisyen Rakyat yang diadakan selama tiga hari itu sebagai lonjatan dan pecutan akhir kepada pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan SPM.
10 Jan 21
110
PPS Di Hulu Terengganu Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 88 mangsa banjir di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya hari ini.
Penutupan PPS di Kampung Batu 23 dan Paya Besar, Kuala Berang itu secara rasminya pukul 4 petang tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas paras air di dua kawasan yang terjejas surut sepenuhnya.
“Semua mangsa melibatkan 21 keluarga ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat," ujarnya.
Sementara itu, Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Dungun semakin menurun.
Katanya, setakat pukul 4 petang tadi jumlah mangsa yang ditempatkan di 50 PPS daerah berkenaan merekodkan 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga.
"Di Kemaman seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.
"Sementara, 25 PPS di Dungun pula menempatkan 2,227 daripada 636 keluarga," ujarnya.
09 Jan 21
383