lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Utamakan Budi Bicara Dalam Penguatkuasaan
Utamakan Budi Bicara Dalam Penguatkuasaan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri sentiasa berkomunikasi dengan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menjalankan penguatkuasaan dengan budi bicara apabila berdepan dengan sebarang kes terutamanya melibatkan peniaga dan penjaja. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia selari dengan polisi asas yang sudah termaktub dalam akta PBT dan sudut penguatkuasaannya. “Jika ada masalah, kita sarankan jangan terus saman, bincang dahulu dengan berpandukan prinsip ‘case by case’ yang bermakna jangan beri tindakan terburu-buru, elakkan menyakiti, meroboh kedai atau bangsal mereka. “Ia mesti didahului dengan perbincangan baik. Contohnya, jika ada peniaga yang mengganggu laluan dan membawa risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain, penguatkuasaan perlu berbudi bicara dahulu. “Kadang-kadang PBT boleh ketepikan atau pindahkan operasi perniagaan mereka agar laluan jalan raya tersebut selamat buat pengguna lain,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam. Tambah Mohd Nor, polisi tersebut diutamakan mengambil kira kesusahan dihadapi rakyat semasa menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19. “Jadi kita tekan untuk selamatkan kehidupan mereka, jika berlaku kes lain daripada polisi ini, maka aduan boleh dibuat kepada wakil rakyat, wakil kampung, dan sebagainya untuk tindakan lanjut. “Kerajaan negeri mengamalkan nilai adil kepada semua, sama ada penguatkuasa, pengguna malah peniaga,” ujarnya.
09 Jul 21
875
Lupus Hutang RM8.3 Bilion, Peneroka Felda Lega
Lupus Hutang RM8.3 Bilion, Peneroka Felda Lega
HULU TERENGGANU, 9 Julai - Keputusan kerajaan untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion menjadi khabar gembira buat mereka. Ketua Peneroka Jerangau Barat, Alias Mat Hasan, 63, menyifatkan keputusan itu satu tindakan yang tepat dan melegakan golongan peneroka yang sekian lama menanti pelupusan sebahagian pinjaman milik mereka. Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup bermakna kepada peneroka di seluruh negara yang sememangnya menanti berita berkenaan. "Sememangnya ini yang kita harapkan daripada kerajaan selama ini dan kita juga sentiasa berjuang ke arah itu. "Terlalu banyak kesukaran dilalui warga peneroka awal dahulu dan inisiatif pelarasan pinjaman peneroka ini menunjukkan kerajaan amat komited dan prihatin terhadap peneroka di Felda seluruh negara yang selama ini dibelenggu hutang. "Jadi kami amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan selain menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu," katanya. Bagi Ngah Zakaria, 59, dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kemenangan” ke atas pengorbanannya selama 38 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan penanam kelapa sawit. Katanya, dia cuma berumur 21 tahun ketika itu dan menjadi peneroka termuda di Jerangau Barat pada tahun 1983. "Langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka sebagai hadiah buat kami sempena Hari Peneroka FELDA 2021.  “Setakat ini secara terperinci mengenai pelupusan hutang itu masih belum diketahui dan diharapkan ia dapat dimaklumkan kepada peneroka dalam masa terdekat.Ini dapat meringankan beban hutang yang ditanggung dan kami dapat segera selesaikan hutang dengan Felda,” katanya. Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.  
09 Jul 21
612
'Cukup Bermain Politik, Fokus Kepada Rakyat' - Exco Terengganu
'Cukup Bermain Politik, Fokus Kepada Rakyat' - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – ‘Cukup bermain politik seketika, fokus kepada rakyat,” seru Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ketika diminta mengulas tentang isu politik dihadapi negara pada masa kini. Katanya, rakyat dalam negara sedang bertarung dengan tekanan ekonomi dan pendapatan terjejas dalam mengharungi kesan pandemik COVID-19. “Buat masa kini ada yang sedang mengalami cabaran dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), pusat kuarantin dan sebagainya. Kita harap agar ahli-ahli politik lupa tentang semua yang tidak berkenaan dan fokus terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung sempena Munajat Rakyat 5.0 di TVDI, semalam. Sementara itu, beliau turut mengajak semua umat Islam dalam Terengganu untuk menghadiri program Munajat Rakyat sempena Hari Arafah yang akan diadakan secara maya pada minggu hadapan. “Ini adalah satu inisiatif khusus untuk mengambil kemuliaan pada hari peristiwa itu, walaupun kita tidak dapat menunaikan ibadat Haji, namun bermunajat pada hari Arafah ada kelebihannya,” tambahnya lagi. Ketika diminta mengulas berkenaan Terengganu membenarkan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha mengikut keluasan masjid dan surau dan prosedur operasi standard (SOP), beliau mengingatkan rakyat negeri untuk tidak bersikap sambil lewa dengan kelonggaran tersebut. “Ingatlah bahawa kita masih belum mencapai tahap pemvaksinan yang tinggi dan SOP perlu diutamakan, namun begitu ayuh kita kembali mengimarahkan masjid dan surau untuk solat,” nasihatnya.
09 Jul 21
478
Hampir 10 ribu Sukarelawan MyVac Lancarkan Proses Vaksinasi
Hampir 10 ribu Sukarelawan MyVac Lancarkan Proses Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Sehingga kini seramai 9,999 sukarelawan menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dalam meningkatkan kelancaran proses vaksinasi di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memberangsangkan sehingga permohonan terpaksa ditutup buat sementara waktu. “Sejak bermulanya pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lalu, golongan terdiri daripada belia ini menjalankan tugas yang baik sejak pembukaannya. “Tambah lagi dengan penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada minggu lepas, ia mempercepatkan lagi ikhtiar untuk ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas lawatan ke PPV TTC, baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Izwandy Ismail. Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, sukarelawan terlibat juga perlu menjalani saringan kesihatan dan suntikan vaksin bagi menjamin keselamatan sepanjang usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). “Saya cukup kagum melihat semangat para sukarelawan MyVac (rata-rata baru menamatkan pengajian) yang begitu komited dalam menjalankan tugas,” katanya lagi. Untuk rekod, seramai 505 orang sukarelawan di 15 PPV bertugas sehari secara bergillir dengan 826 orang lagi menunggu panggilan perkhidmatan bila-bila masa. “Mereka akan ditukar dalam fasa seterusnya kepada sukarelawan baharu untuk ambil tampuk tugas supaya produktiviti pemvaksinan kekal konsisten,” ujarnya.  
09 Jul 21
962
JPJ Kumpul Dana Sumbang Makanan Untuk Gelandangan
JPJ Kumpul Dana Sumbang Makanan Untuk Gelandangan
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu telah menjalankan satu inisiatif dan pendekatan cakna dalam membantu golongan gelandangan di bandar raya itu, baru-baru ini. Menurut kenyataan di Facebook rasminya, unit operasi melalui Team Bravo mengagihkan pek makanan kepada 10 orang golongan tersebut di Terminal Bas Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT). “Bantuan ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan dalam bentuk makanan terutama ketika pandemik COVID-19. “Sumbangan ini adalah hasil daripada program Gerobok Rezeki yang dilancarkan sebelum ini oleh Pengarah JPJ Negeri melalui sumbangan kakitangan JPJ sendiri. “Selain dari program CAKNA gelandangan, hasil bantuan turut disalurkan di sekitar Kuala Terengganu berupa bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, susu dan gula,” katanya. Tambahnya, pihaknya turut mengingati orang awam tentang rezeki kita ada hak orang lain. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk berkongsi buah fikiran dalam membantu golongan gelandangan di sini. “Insya-Allah, jika usaha ini digembleng bersama, saya cukup yakin kita mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik,” jelasnya.
08 Jul 21
305
Rentas Negeri Cetus Gelombang Baharu Di Terengganu
Rentas Negeri Cetus Gelombang Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) semalam mengesan sebanyak sembilan kes COVID-19 akibat kegiatan merentas negeri atau dikenali sebagai Import B.  Import B merujuk kepada kes COVID-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri, namun dipercayai berpunca dari negeri lain disebabkan aktiviti merentas negeri. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes rentas negeri import B masih memberi masalah kepada situasi COVID-19 di Terengganu. Menurut beliau, sepanjang bulan Mei dan Jun seramai 463 kes import B dari pelbagai negeri telah dikesan dengan majoriti di Kemaman (307 kes) dan Kuala Terengganu (36 kes).  "Ini telah mencetuskan lima kluster besar seperti Kluster Gong Badak (226 kes), Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan Kluster Kubang Jela (131 kes) yang masih aktif.  "Terbaru Kluster Gong Pasir Dungun. Seramai 40 kes telah dikesan dari Kluster ini yang juga berpunca dari rentas negeri. "Seolah-olah situasi begini tak abis. Baru nak reda, kes naik balik. Sebelum ini Rt Terengganu adalah 0.62 terendah. Sekarang Rt telah meningkat ke 0.88," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook. Dr Nor Azimi berkata, selalunya orang yang bergejala dahulu datang membuat saringan dan apabila disiasat rupanya ada kontak dengan kes rentas negeri, lebih parah pada waktu dikesan ia telah menular dalam komuniti. "Sebahagian kes import B yang masuk untuk berkerja akan menjalani saringan masuk kerja. Cara begini kita boleh kesan awal dan penularan dapat dicegah. "Yang membimbangkan kita adalah warga Terengganu sendiri yang sering berulang alik ke negeri berisiko atas sebab kerja dan lain-lain.  "Samada mereka gagal pematuhan SOP semasa berada di negeri luar yang menyebabkan mereka dijangkiti. Kegagalan pematuhan SOP semasa pulang ke Terengganu serta masih melakukan aktiviti berhimpun juga antara punca berlaku penularan dalam komuniti dan akhirnya terbentuk kluster baru," ujarnya. Katanya, beliau selalu ulang, rentas negeri tiada masalah tetapi mereka yang melakukan rentas negeri mesti lebih bertanggungjawab menjaga diri sendiri untuk jaga orang lain. "Jika kita tahu kita berisiko pergi buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan, jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena.  "Jangan sebab kelalaian kita, Terengganu patah balik ke Fasa 1 pula. Kita nak bergerak ke Fasa 3 bukan undur ke belakang," ujarnya. Hari ini Terengganu mencatatkan 68 kes baharu.
08 Jul 21
5104
'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19
'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19
KUALA NERUS, 8 Julai – "Bermula daripada rasa tak sedap badan," luah seorang bekas pesakit COVID-19, Mohd Nazeli Abd Jalil, 38 menceritakan saat mulanya dia mengesyaki dirinya menghidap virus tersebut, baru-baru ini. Menurutnya yang tinggal di Tok Jembal, dia mengambil langkah sewajarnya dengan menamakan kontak rapat dan diarahkan menjalani saringan COVID-19 bersama empat rakan sekerja lain. “Ingatkan cuma demam biasa, memang tak terfikir langsung bahawa akan positif. "Sewaktu mula simptom awal tersebut, saya dan isteri terus segera ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut. “Kemudian, bila mandi pula, deria bau saya hilang dengan wangian yang saya guna,” katanya ketika ditemubual pemberita. Katanya yang juga seorang Pembantu Logistik, isteri dan anak-anak turut diarahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk menjalani ujian calitan dengan menunjukkan keputusan negatif. "Ketika dalam kuarantin, hanya panggilan video menghubungkan kita sekeluarga bersama di samping mendengar kuliah agama di Facebook. "Selain itu, banyak membaca al-Quran dan berzikir juga membantu memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan ketika menghadapi cabaran getir ini," luahnya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab bersyukur warganya tamat tempoh kuarantin dan pulang ke pangkuan keluarga. “Alhamdulillah saudara Nazeli dibenarkan pulang dan kita berbesar hati dapat membantunya melalui perkhidmatan yang kita sediakan. “Kami di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir ada menyediakan pengangkutan kepada mereka yang diarahkan kuarantin dan perkhidmatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” Ujarnya lagi "Sedia maklum, virus ini benar wujud. Kesan jangka panjang masih belum diketahui dengan jelas. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab untuk memutuskan rantaian dan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi SOP serta mendapat vaksin," nasihatnya.
08 Jul 21
653
Belanja RM1 Juta Bina 'Rumah Ikan'
Belanja RM1 Juta Bina 'Rumah Ikan'
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Lebih RM1 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi membina tukun atau rumah ikan yang berfungsi untuk perkayakan sumber perikanan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 45 unit tukun dibina dengan dana kerajaan Terengganu manakala 12 unit tukun bernilai RM300 ribu adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan. "Setiap unit tukun seberat kira-kira 17 tan, menggunakan tetulang besi seberat kira-kira 1.1 tan dengan konkrit grade 35. Target jangka hayat mampu bertahan di dasar laut untuk tempoh 50 tahun. "Insya-Allah dijadualkan menjelang bulan Oktober, tukun-tukun ini akan dimuatkan ke atas tongkang untuk menuju ke beberapa destinasi bagi dilabuhkan di perairan Terengganu.’ "Usaha berterusan kita bagi memperkayakan lagi sumber perikanan negeri untuk manfaat para nelayan," katanya Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan tukun di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini. Tambahnya, tukun-tukun ini sedang dalam pembinaan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. "Sekarang masih dibina, insya-Allah siap nanti kita akan labuhkan," ujarnya.
07 Jul 21
529
'Ingat Polis Mari Nak 'Igak' Tapi Rupanya Bagi Bantuan'
'Ingat Polis Mari Nak 'Igak' Tapi Rupanya Bagi Bantuan'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - "Semalam semasa lima orang polis datang ke rumah, mati-mati saya ingat nak tangkap saya walaupun saya tak tahu apa salah saya, tetapi rupanya nak bagi bantuan," kata Omar Yusof, 60. Dia yang tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Gaung Pecung selepas berpisah dengan isterinya kini hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu. "Terima kasih sangat kepada pihak polis sebab bagi bantuan, sungguh tidak sangka mereka pun bantu sama macam orang lain. "Memang pernah terputus makanan kadang-kadang bekalan barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini, sukar untuk saya bekerja," katanya. Omar juga merupakan orang kurang upaya kerana mengalami masalah pendengaran kerana cedera di gegendang telinga akibat dihempap pokok ketika bekerja sebagai penebang balak 20 tahun lalu. Dia merupakan antara 10 penerima bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu dijayakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) serentak di seluruh negara hari ini. Seorang lagi penerima, Rafeah Ahmad, 76, berkata dia juga terkejut apabila melihat polis datang menghantar bantuan makanan kerana selama ini, berpandangan polis hanya tangkap orang salah. "Terima kasih sebab ringankan beban kami sekeluarga terutama anak mak cik yang hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ajil. "Biasa sangat dah dapat bantuan bakul makanan seperti tapi kali ini lain sikit sebab daripada anggota polis, rasa macam istimewa," katanya yang kini tinggal bersama menantunya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata sebanyak 300 bakul makanan seperti beras, teh, gandum, gula dan barangan keperluan lain bernilai RM50 disalurkan kepada mereka yang memerlukan. "Setiap bakul makanan bernilai RM50 dengan peruntukan sebanyak RM15,000 setiap daerah yang kita akan agihkan secara berperingkat "Mereka yang terpilih adalah nama yang dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana kita juga akan lakukan siasatan bagi memastikan penerima-penerima memang memerlukan bantuan," jelasnya lagi. Op Bantu adalah inisiatif KDN bagi membantu meringankan beban keluarga tidak berkemampuan yang terkesan akibat PKP.  
07 Jul 21
1051
Perumahan Padang Setengge Dibadai Ribut Akan Dibaik Pulih
Perumahan Padang Setengge Dibadai Ribut Akan Dibaik Pulih
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Perumahan Padang Setengge yang dibadai hujan ribut pada petang semalam akan dibaik pulih dengan bantuan kerajaan negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah. "Alhamdulillah, semalam agensi dan jabatan kerajaan telah bermesyuarat untuk membantu mereka yang telah terjejas akibat ribut tersebut. "Kita mencapai beberapa perkara, dari segi rumah yang terlibat akan dibaik pulih keseleruhannya dengan bantuan kerajaan negeri," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau suasana perumahan yang rosak di Padang Setengge. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, setakat maklumat terkini ribut semalam telah menyebabkan 91 buah rumah telah rosak. "14 buah rumah mengalami kerosakan yang agak serius dimana keseluruhan atap rumah tercabut dan kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," jelasnya.
07 Jul 21
568