lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bakul Makanan Ringankan Beban Golongan Terkesan
Bakul Makanan Ringankan Beban Golongan Terkesan
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Pemberian bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid. Beliau berkata, inisiatif tersebut juga memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan. Menurutnya, peruntukan RM300,000 yang diberikan kepada setiap ahli parlimen untuk program itu adalah langkah yang tepat pada masanya. "Kita menyediakan 4,000 bakul makanan yang diagihkan kepada penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir bermula hari ini. "Pengagihan bermula di DUN Kuala Berang dan Ajil manakala kawasan Telemong dan Manir akan dibuat pada hari esok yang dijangkakan selesai dalam tempoh dua hari sahaja, "ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini. Turut hadir, ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Tambah beliau, jika masih ada pihak yang terkesan atau tercicir, boleh memaklumkan kepada pegawai parlimen atau penyelaras DUN untuk tindakan tanpa perlu mengisi borang. Sementara itu, salah seorang penerima Abu Bakar Omar, 54, berkata, bantuan berbentuk makanan yang diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan harian yang terpaksa dikeluarkan pada ketika ini. Bapa kepada sembilan anak yang hanya bergantung kepada kerja kampung menyifatkan keprihatinan pihak kerajaan adalah yang terbaik. "Sehingga hari ini, tak putus-putus bantuan yang kami terima sama ada dari wakil rakyat, badan bukan kerajaan(NGO)dan agensi-agensi...rasanya dah lebih lima kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya. Terdahulu, Program Bakul Makanan yang melibatkan peruntukan RM80 juta di bawah Pemulih untuk agihan bagi setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang telah mula disalurkan 1 Julai 2021    
11 Jul 21
252
'Minta Tolong Sambil Merangkak Ke Bilik Sebab Terlalu Sakit Kepala'
'Minta Tolong Sambil Merangkak Ke Bilik Sebab Terlalu Sakit Kepala'
KUALA NERUS, 11 Julai - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada malam Sabtu, mengadu sakit kepala ketika merangkak ke pintu bilik kedua ibu bapanya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini.  Bapanya, Mohd Rizaini Ghazali, 51, berkata, dia terdengar rintihan anaknya, Muhammad Adham Hazim, 21, yang mesra digelar Abang Ngah sekitar jam 5 pagi pada Sabtu.  "Saya dan isteri terdengar dia minta tolong dalam keadaan merangkak ke bilik sambil beritahu kepala dia sakit sangat dan minta dibawa ke hospital," katanya.  Menurut Mohd Rizaini, beliau segera membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.52 malam tadi (Sabtu) ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).    Beliau berkata, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap anaknya menunjukkan berlaku pendarahan akibat dua urat yang terputus di bahagian atas dan belakang kepala.    Dalam pada itu, Mohd Rizaini berkata, dia dan isteri, Ros Fazilah Salleh, 46, masih terkejut dengan pemergian anak keduanya itu secara tiba-tiba kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan.  Katanya, anaknya itu ada mengadu sakit kepala sejak Jumaat dan keluar ke kedai untuk mendapatkan panadol.  "Saya perasan dia sering tidur lewat malam sejak kebelakangan ini tambahan pula dia akan menduduki peperiksaan akhir semester dua minggu lagi.  "Walau apa pun yang berlaku, ajal maut urusan ALLAH SWT. Pada saya, sayang macam mana sekalipun kita terhadap anak, tidak dapat tandingi kasih sayang ALLAH SWT terhadap mereka. Apabila sudah sampai masa dia akan pergi.  "Kami pasrah dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ambil sedikit masa untuk menerima kehilangan yang berlaku secara tiba-tiba ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Berangan di sini pada Ahad.  Bercerita mengenai keperibadian arwah, Mohd Rizaini berkata, anaknya seorang yang disenangi dalam kalangan adik-beradik serta suka belajar.  "Dia begitu disenangi dalam keluarga dan sering bergurau serta mengusik adik-adiknya. "Saya juga perasan dia ada menjalankan perniagaan secara dalam talian sekadar sampingan untuk mengisi masa terluang," katanya.  Jenazah Muhammad Adham Hazim yang merupakan pelajar  Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Berangan pada jam 11 pagi Ahad.   Dalam pada itu, satu lagi kes kematian melibatkan seorang lagi pelajar UiTM, Nur Natasya Ezreen Azemi, 22, yang merupakan pelajar UiTM Cawangan Merbok, Sungai Petani, Kedah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada jam 2.50 petang Jumaat akibat pendarahan dalam kepala. - SINAR HARIAN
11 Jul 21
3111
73 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
73 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Seramai 73 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan. “Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. “Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya. Beliau berkata demikian ketika selesai menyempurnakan agihan Anugerah Kecemerlangan hampir ke kediaman semua pelajar cemerlang di dalam DUN Manir. Dalam pada itu, Ustaz Hilmi turut melahirkan rasa gembira dapat bertemu mata dan bertanya khabar bersama-sama pelajar dan ibu bapa disamping memberi pengiktirafan cenderahati kepada mereka yang telah berjaya.  Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.
11 Jul 21
318
KPDNHEP Sasar 1,500 Pemain Sektor Peruncitan, Pengedaran Divaksin Sehari
KPDNHEP Sasar 1,500 Pemain Sektor Peruncitan, Pengedaran Divaksin Sehari
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan lebih 1,500 pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan di seluruh negara diberi suntikan vaksin COVID-19 setiap hari bermula 26 Julai ini. Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan sektor peruncitan dipulihkan dan dibuka sepenuhnya secepat mungkin dan ini akan hanya dapat dicapai jika pemberian vaksin kepada semua barisan ekonomi dapat dilaksanakan sepenuhnya. Katanya, peringkat permulaan seramai 186 ribu pekerja dari 1,400 syarikat seluruh negara yang sudah berdaftar di bawah  Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) akan menerima suntikan pertama jenis Sinovac selepas pelancaran pada 26 Julai ini. "Pelancaran RiVAC  selepas hari raya haji ini untuk juruwang, stesen minyak, tukang gunting, pekerja pasaraya dan peruncitan di Mid Valley, Kuala Lumpur  yang mana bagi memastikan sektor peruncitan ini menyediakan perkhidmatan yang selamat kepada pengguna. "Selepas suntikan pertama di ibu negara, ia diperluaskan ke peringkat negeri dalam masa terdekat,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Sebanyak 4,000 bakul makanan akan diagihkan setiap DUN di Parlimen itu yang mana setiap dun akan menerima 1,000 bakul makanan. Tambah Rosol lagi, tiada jumlah khusus bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada kumpulan ini, sebaliknya mengikut keperluan mereka. "Langkah itu bagi memastikan pekerja dalam sektor berkenaan tidak tercicir dari menerima suntikan imunisasi seterusnya dapat membendung penularan COVID-19,"katanya.      
11 Jul 21
163
SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam
SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam
Oleh : Khairul Faez Rosdi KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah telah menyediakan satu inisiatif sebagai suntikan semangat kepada para hafiz dan hafizah yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk.  Wan Sukairi berkata, pihaknya menawarkan hadiah berupa RM1,000 melalui simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). "Ini sebagai pembakar semangat dan memudahkan urusan mereka untuk terus menimba ilmu di masa-masa mendatang," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kecemerlangan sempena tamat 30 juzuk Al-Quran kepada Siti Nur Damiatul Husna Abdul Salam daripada Maahad Tahfiz As-Sabiqun hari ini. Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri turut mengucapkan tahniah buat adik Nurul Damiatul atas kejayaan tersebut. “Syabas juga buat guru didiknya Ustaz Sabri Khadir serta yang paling bermakna ialah buat ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan. “Antara syarat kelayakan bagi memohon insentif ini adalah ibu bapa merupakan warga dan pengundi di DUN Wakaf Mempelam. "Jika ada yang berjaya menghafal 30 juzuk, boleh maklumkan pada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam di nombor telefon 06-6226958 untuk dibuat tapisan dan pendaftaran," jelasnya. Dalam pada itu, menurut Nur Damiatul, 15, yang mula menghafal pada tahun 2019, menceritakan antara tips kejayaannya adalah membaca dan menghafal ayat suci al-Quran selepas setiap kali solat subuh. “Selain bangun awal pada waktu pagi untuk menghafal, saya turut amalkan Teknik sama selepas solat Maghrib,” katanya yang berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie.
11 Jul 21
307
2,500 Penduduk Terima Suntikan Vaksin Melalui Program Outreach
2,500 Penduduk Terima Suntikan Vaksin Melalui Program Outreach
Oleh : Mawaddah Mohd HULU TERENGGANU, 10 Julai - Program Outreach di Politeknik Kuala Jeneris yang menjadi pusat vaksin bagi dos pertama kepada penduduk di sekitar kampung- kampung daerah Hulu Terengganu mencatatkan 2,500 suntikan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, antara kawasan yang terlibat untuk pemberian vaksin ialah Kampung Kuala Jeneris, Kampung Basung, Kampung Pasir Dula, Kawasan Pengkalan Gawi, Kawasan Tok Lawit, Kampung Kuala Ping dan kawasan-kawasan sekitarnya.    "Untuk Outreach kali ini, saya difahamkan seramai 2,500 penduduk sekitar ini menerima dos pertama mereka dan ia dilanjutkan ke kawasan lain bagi menjayakan proses vaksinasi. "Saya dapat melihat kerjasama yang baik dari kalangan pemimpin tempatan dan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Kuala Berang, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), anggota Rela dan polis Kuala Berang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke PPV di Politeknik Hulu Terengganu tengah hari tadi. Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu. Dr Mamad turut mengucapkan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan program tersebut. "Berkat bantuan dan kerjasama yang diberikan, perjalanan program ini berjalan dengan lancar," ujarnya  
11 Jul 21
405
320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar
320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Seramai 320 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program ‘Outreach’ Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Masjid Makmur Losong Dato' Amar, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut yang mendapat suntikan Vaksin Sinovac, 200 orang menerima dos pertama dan 120 orang untuk dos kedua. “Menariknya dalam program outreach anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini ialah kesemua doktor terlibat merupakan doktor-doktor pakar dikalangan hospital kerajaan dan juga swasta. “Mewakili Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah buat semua petugas yang telah terlibat dalam menjayakan program outreach PPV ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Turut hadir tadi ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah, Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr Muhammad Zuraizi Jaafar dan wakilP ejabat Agama Kuala Terengganu. Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).
11 Jul 21
653
COVID-19 : Terengganu Masih Bertahan, Masyarakat Jangan Leka
COVID-19 : Terengganu Masih Bertahan, Masyarakat Jangan Leka
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Situasi pandemik COVID-19 dari segi tahap kesiapsiagaan katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini masih dalam kawalan. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah PKRC di Terengganu kini telah berkurang daripada lima kepada tiga pusat iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kem Wawasan Besut dan Kolej Jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kata beliau, pihaknya sentiasa bersedia dari segi kekosongan katil buat pesakit dan golongan kuarantin namun kekal dalam tahap berjaga-jaga untuk kemungkinan peningkatan kes. “Penggunaan katil pada masa kini adalah sebanyak 301 buah dengan 72 untuk wad COVID-19 di hospital dan 229 lagi di beberapa PKRC dalam negeri. “Sementara itu, jumlah keseluruhan katil di tiga PKRC adalah sebanyak 1,513 buah manakala 411 katil disediakan bagi wad COVID-19 di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura di sini hari ini. Dalam pada itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan warga Terengganu agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan elakkan daripada melakukan aktiviti ziarah ke rumah-rumah sama ada keluarga atau rakan-rakan. Untuk rekod, berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), situasi terkini kes positif virus sehingga 10 julai mencatatkan 50 kes baharu dengan 42 kes daripada adalah kes penularan tempatan.
10 Jul 21
1317
Semua Penduduk Di PKPD 3 Lokaliti Mukim Sura Selesai Disaring
Semua Penduduk Di PKPD 3 Lokaliti Mukim Sura Selesai Disaring
DUNGUN, 10 Julai – Ujian saringan COVID-19 bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti dalam Mukim Sura membabitkan 1,105 penduduk selesai sepenuhnya hari ini. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hari keempat saringan bersasar di tiga lokaliti itu merekodkan 976 orang selesai disaring dengan 929 individu sedang menunggu keputusan. Katanya, pihaknya akan merujuk kes positif untuk rawatan lanjut di hospital manakala yang disahkan negatif perlu melalui ujian ulangan. “Semalam, Terengganu melaporkan 82 kes baharu dengan 64 kes positif adalah daripada daerah Dungun, dengan penyumbang besar daripada kluster Gong Pasir. “Kita dapati dalam kluster di sini telah merekodkan 78 kes positif dimana 53 daripadanya adalah melibatkan kaum keluarga. “Siasatan lanjut mendapati antara puncanya daripada warga Dungun yang bekerja harian ulang alik daripada zon merah,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di pusat saringan Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura, hari ini. Beliau turut mengingatkan seluruh warga Terengganu supaya mengelakkan aktiviti ziarah-menziarah antara rumah pada waktu ini walaupun dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). “Bukan setakat majlis kahwin dan tahlil, tapi hakikatnya pergi ke rumah keluarga dan kawan-kawan boleh membawa padah, sebab itulah berlakunya kluster di sini,” tambahnya. Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang giat menyiasat supaya tiada penularan berlaku di kampung dan daerah berdekatan. “Oleh itu, PKPD dikenakan untuk mengelakkan masuk keluar penduduk di kawasan terkesan. “Oleh itu, jangan leka dan terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya negeri kita kekal dalam fasa kedua, bila peratusan imunisasi dan saringan meningkat membawa harapan untuk maju ke fasa seterusnya,” jelasnya. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM hingga 23 Julai.
10 Jul 21
1466
KPDNHEP Gesa Sektor Peruncitan Daftar Segera Untuk RiVAC
KPDNHEP Gesa Sektor Peruncitan Daftar Segera Untuk RiVAC
HULU TERENGGANU, 10 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa pekerja dalam sektor peruncitan segera melakukan pendaftaran Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC). Timbalan Menterinya, Dato'  Rosol Wahid berkata langkah itu bagi memastikan lebih 500 ribu pekerja  dalam sektor tersebut tidak tercicir dan  menyertai program vaksinasi ini bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19. Katanya, walaupun kluster Covid -19  yang wujud daripada sektor peruncitan adalah rendah, namun mereka sentiasa berisiko tinggi kerana sentiasa bersemuka dengan pelbagai kategori pengguna. "Alhamdulilah, saya difahamkan kerajaan telah meluluskan vaksin untuk  sektor peruncitan dan pengedaran barang barang   kerana  mereka juga merupakan barisan hadapan yang berisiko tinggi. "Oleh itu, mereka yang terlibat dalam sektor ini perlu mendaftar dengan pihak KPDNHEP secara teratur dan sistematik untuk pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  lawatan  ke Program Outreach Vaksinanasi di Politeknik Hulu Terengganu hari ini Terdahulu, pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) pertama untuk Program RiVAC akan dibuka di Cititel Mid Valley City, Kuala Lumpur bermula 26 Julai. RiVAC menyasarkan barisan hadapan ekonomi seperti juruwang, jurujual, kru restoran, pekerja stesen minyak, kru pasar raya, kru departmental stores (gedung serbaneka), tukang gunting dan kecantikan, pengurusan kompleks beli-belah dan pekerja rantaian pengedaran.    
10 Jul 21
268