lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Vaksin Lengkap : Rentas Daerah, Aktiviti Sukan Dibenar
Vaksin Lengkap : Rentas Daerah, Aktiviti Sukan Dibenar
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Selain makan di kedai, beberapa lagi kemudahan bagi sektor sosial yang diberikan kerajaan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap negeri fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa, Selasa ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut adalah kebenaran rentas daerah, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta pelancongan dalam negeri. Katanya, bagi individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. Sementara itu katanya,  aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam. "Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini. Katanya, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel. "Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, " ujarnya. Bagaimanapun jelas Muhyiddin, seseorang individu hanya diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila penerima jenis vaksin dua dos perlu melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua, manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
08 Aug 21
198
Vaksin Lengkap : 'Dine In' Dibenarkan Bagi Negeri Fasa Dua Ke Atas
Vaksin Lengkap : 'Dine In' Dibenarkan Bagi Negeri Fasa Dua Ke Atas
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam fasa dua dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Selasa ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut termasuk aktiviti makan di kedai (dine-in) dibenarkan di mana pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi memastikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. "Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti 'dine-in' sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja dan mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan COVID-19. "Sehubungan itu, saya nasihatkan orang ramai untuk 'dine-in' apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. "Orang ramai juga dinasihatkan untuk 'take-away' jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini. Katanya, beliau menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. "Kita faham bahawa risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar. "Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk 'dine-in: di premis kedai makan, pastikan anak-anak mematuhi SOP yang ketat," ujarnya.
08 Aug 21
521
Pasangan PJJ Dibenar Rentas Daerah, Negeri
Pasangan PJJ Dibenar Rentas Daerah, Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Kerajaan bersetuju memberi kemudahan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 Ogos ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan-kemudahan yang dimaksud itu secara amnya adalah pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital. Selain itu, beliau berkata, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing. "Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap turut dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun," ujarnya dalam perutusan Khas, hari ini.
08 Aug 21
183
Vaksin Lengkap : Dibenar Solat Di Masjid, Surau
Vaksin Lengkap : Dibenar Solat Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan bersetuju individu yang telah menerima vaksin lengkap dibenarkan untuk mendirikan solat di masjid dan surau. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan ini terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 Ogos ini. Bagaimanapun katanya, pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat. "Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini. Katanya, kemudahan tersebut juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat. "Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam," jelasnya.
08 Aug 21
206
Kerja Baiki Paip Pecah Berjalan Mengikut Jadual
Kerja Baiki Paip Pecah Berjalan Mengikut Jadual
KUALA TERENGGANU,  8 Ogos - Tahap perkembangan kerja pembaikian paip pecah yang dimulakan pada Rabu lalu di dasar Sungai Terengganu berjalan mengikut jadual. Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata 10 juruselam termasuk tiga jurukimpal kini dalam proses  menyiapkan pemasangan aligment clamp. Katanya, kerja-kerja itu dimulakan secara bergilir-gilir sejak kelmarin dan pagi tadi mereka telah memasang satu lagi clamp sebagai melengkapkan kedua-dua clamp. "Setiap pemasangan clamp memakan masa hampir satu hari berikutan pelbagai halangan ditempuh, terutama berdepan dengan arus deras di dasar sungai. "Jika keadaan itu berlaku kerja-kerja terpaksa berhenti buat seketika kerana  penyelam tidak boleh mengambil posisi yang betul untuk melakukan tugasan," katanya kepada media. Burhanudin berkata, dia yakin pengguna yang terkesan akan kembali memperoleh air bersih seperti yang dijangkakan iaitu pada 11 Ogos. "Dalam tempoh gangguan, pihak kami sentiasa setia mengagihkan bekalan air dan menambahkan jumlah agihan sehingga keperluan mencukupi. "Sehingga hari ini, pelbagai pihak turut tampil membantu. "Antaranya Syarikat Air Darul Aman , Air Kelantan (AKSB), Air Melaka (SAMB), Syarikat Air Johor (SAJ), Air Selangor, Lembaga Air Perak dan Perbadanan Air Pahang (PAIP). "Turut membantu Syarikat Air Selangor (SYABAS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Majlis Getah Malaysia (MRC), Bomba, JPAM, MBKT, Unit Amal dan NGO," katanya.
08 Aug 21
853
Sokongan, Solat Hajat Keluarga Iringi Kejayaan Azizulhasni
Sokongan, Solat Hajat Keluarga Iringi Kejayaan Azizulhasni
DUNGUN, 8 Ogos – Walaupun dipisahkan lebih 5,000 kilometer, sorakan dan solat hajat keluarga jaguh trek negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang di Dungun tidak putus sekali gus ia menjadi pencetus kejayaan di Olimpik Tokyo 2020. Abang iparnya, Mohd. Razman Mohamad, 36, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian 'The Pocket Rocketman' dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Izu, Tokyo pagi tadi. “Meskipun tidak membawa pulang pingat emas, namun kita tetap bangga atas prestasi terbaik terutamanya selepas pingat gangsa pada olimpik Rio 2016 lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nibong Stesen, hari ini. Menurutnya, Azizulhasni sempat menghubungi keluarga sebelum beraksi bagi bertanya khabar dan meminta keluarganya untuk mendoakan kejayaannya. “Setiap kali sebelum kejohanan memang dia akan selalu telefon, tidak kira kesibukannya ketika melakukan persiapan sebelum bertanding, dan keluarga Awang sentiasa berada dibelakangnya sejak permulaan kariernya. “Pingat perak itu juga dilihat sebagai hadiah buat ayah beliau, Awang @ Muda Embong, 72, yang terlantar sakit akibat strok namun masih menonton perlawanannya menerusi telefon pintar,” katanya lagi. Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang apabila taktik pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny mengelirukan pelumba lain. Kenny yang memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut.
08 Aug 21
248
Bantuan Air Ditambah Hingga Bekalan Pulih Rabu Depan
Bantuan Air Ditambah Hingga Bekalan Pulih Rabu Depan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pihak berwajib akan meningkatkan bantuan air kepada penduduk terjejas bekalan itu menerusi penambahan tangki air statik dan mudah alih. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, 40 unit tangki baharu akan diletakkan di setiap kampung di daerahnya. “Kita juga akan menambah bekalan air di tangki mudah alih menerusi sukarelawan terlibat yang akan meronda di kawasan terjejas. “Dua lori tangka Syarikat Air Terengganu (SATU) juga bergerak 24 jam bagi menambah bekalan air di tangki-tangki sedia ada. “Pejabat Parlimen Kuala Nerus juga mengambil inisiatif menyewa dua lori tangki yang boleh memuatkan 40,000 liter air bagi setiap trip dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC)," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun. Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap agar rakyat di dua daerah terkesan terus berdoa dan bersabar dalam menunggu kerja pembaikian selesai. “Kita ada pasukan jurutera dan teknikal yang bagus, namun begitu, mereka perlu menghadapi cabaran arus deras dalam kedalaman sehingga 18 meter dalam usaha menyambung kembali sumber asas ini,” jelasnya lagi.
07 Aug 21
643
SATU Hadapi Tugas Mencabar Di Sungai Terengganu
SATU Hadapi Tugas Mencabar Di Sungai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Dua fasa kritikal dan mencabar perlu dihadapi pasukan teknikal serta jurutera Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membaiki kerosakan paip di dasar sungai yang berlaku sejak Isnin lalu. Ahli Lembaga Pengarahnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, antara fasa penting perlu dihadapi adalah penyelarasan paip dengan diameter berukuran 1.2 meter di sungai kedalaman sehingga 18 meter. Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun “Oleh itu, kita perlu pengapit ‘clamp’ yang besar untuk diletakkan di bawah paip ganti itu, dengan tujuan membaikinya. “Clamp kedua akan menghubungkan dua paip tersebut, selepas kita laraskan paip itu, pengapit kedua berperanan dalam menyambungnya. “Setelah disambung, kita akan mulakan ujian dengan air tekanan rendah mungkin dikuasai satu engin dari loji untuk lihat jika ada kebocoran lagi, untuk memenuhi loji diatas bukit dan rumah-rumah ia memerlukan tekanan yang tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini. Menurutnya lagi, proses menguji tekanan tersebut akan mengambil masa paling kurang dua hingga tiga hari bagi air di kawasan loji dapat beroperasi kembali, menandakan 70 peratus proses pembaikan akan siap. Bercakap tentang cabaran dihadapi 10 orang penyelam yang menjalankan kerja membaikpulih itu, penglihatan kabur akibat air keruh dan arus sungai Terengganu yang deras memberi ancaman kepada keselamatan. “Ini menyukarkan penyelam tidak boleh mengambil posisi yang stabil semasa pelaksanaan kerja-kerja pemasangan di dasar sungai. “Pemasangan tersebut perlu dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan, termasuk juga dengan saiz paip yang perlu diselaraskan, kerja pengukuhan paip juga akan diteruskan setelah selesai fasa itu,” tambahnya lagi. Dalam masa yang sama, beliau menasihati komuniti di Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya bersabar kerana usaha membaikpulih itu akan terus berjalan bagi mengembalikkan keperluan asas di rumah-rumah terkesan.
07 Aug 21
2368
PKPD : Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK Main Peranan Agih Keperluan
PKPD : Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK Main Peranan Agih Keperluan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sentiasa bersedia dalam memastikan bantuan asas bagi warga terkesan tidak terputus. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya melalui PKM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sentiasa mengambil peranan dalam memastikan sumbangan diperuntukkan kerajaan akan disampaikan. “Insya-Allah, dana telah disalurkan dan akan ditambah mengikut kadar ditetapkan, kita juga telah putuskan setiap wakil rakyat untuk keluarkan peruntukan masing-masing dan mengenalpasti mereka yang terkesan agar dibantu segera," katanya. Menerusi siaran langung TVDI, Mohd Nor turut menyentuh, jika berlaku isu terlepas pandang dalam kerja kebajikan kepada mereka terkesan, maka jiran setempat perlu prihatin dan boleh menyampai maklumat kepada wakil kerajaan. “Jika berlaku masalah dalam perolehan bantuan atau ada mereka yang tercicir, jangan malu dan segera hubungi JPKK atau PKM kawasan anda. “Selain itu, mereka mengalami kesempitan bekalan juga boleh membuat aduan atas talian di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mana-mana aduan dalam laman sosial kita akan panjangkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi. Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh umat Islam Terengganu agar mengikuti program Munajat Rakyat 8.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19. “Munajat kali ini akan diisi dengan pendakwah selebriti seperti Dr Zamri Mantop serta Ustaz Ahmad Dasuki dan ramai lagi pengisian bermanfaat bagi menyucikan jiwa dan berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak dan bencana,” jelasnya.
07 Aug 21
199
Terap Semangat Juang Pahlawan Menentang COVID-19
Terap Semangat Juang Pahlawan Menentang COVID-19
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Semangat perjuangan menentang COVID-19 boleh dicontohi daripada nilai perjuangan menentang penjajah bagi memperoleh kemerdekaan di tanah air suatu ketika dulu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh tersemat erat dalam diri setiap rakyat Terengganu. "Malah perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh-tokoh yang lain, menjadi penguat semangat kami untuk melawan segala cabaran, termasuk COVID-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia. "Usaha menangani penularan COVID-19 tidak akan berjaya, jika tugas memerangi dan memutuskan rantaian wabak tersebut diserahkan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan semata-mata. "Prinsip (perjuangan) yang sama perlu kita lakukan, untuk keluar dan merdeka daripada dugaan pandemik COVID-19 yang sedang kita hadapi, tugas ini memerlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk, di zaman pembentukan negara ketika membebaskan diri daripada penjajah," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini. Menjelaskan tema 'Malaysia Prihatin', Ahmad Samsuri menyifatkan pengertiannya cukup besar bahawa seluruh rakyat khususnya di Terengganu untuk berganding bahu bersama kerajaan sekali gus membawa negeri dan negara keluar daripada pandemik. "Pada waktu yang sama, kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan yang tinggi untuk membantu rakyat dalam kesusahan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia," tambahnya. Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah bagi majlis tahun ini. Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun tiada acara sambutan secara fizikal dalam pematuhan Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19.
07 Aug 21
154