Artikel "Semasa" Terkini
Sedia Bantu Golongan LGBT Kembali Kepada Fitrah Asal
HULU TERENGGANU, 26 September - Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk kembali ke jalan yang benar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mendekati dan mendidik golongan itu untuk kembali kepada fitrah mereka.
"Kita akan membantu golongan LGBT dari segi kaunseling jika mereka nak bertaubat dan kembali berubah kepada identiti asal,"ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Darul Ansar Kampung Basong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan.
Idris berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini dalam proses permohonan
ekstradisi dari pihak berkuasa Thailand.
"Jika Nur Sajat atau golongan LGBT mengaku salah dan ingin berubah ke fitrah asal.. insya-Allah kalau dia sudi datang kepada kita, tidak ada masalah, kita terima dan bantu kerana kita bukan mahu menghukum, tetapi lebih kepada mendidiknya," katanya.
26 Sep 21
368
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Kerajaan negeri komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda dalam perkembangan Sukan elektronik (e-sports) melalui penganjuran permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile dalam Program Karnival Esports Belia Terengganu 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran kali kedua sukan tersebut merupakan medium bagi mencungkil bakat anak muda di setiap daerah dalam arena e-sukan.
“Program anjuran Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Department of culture and sport-Esport (DACSes) serta E-sport Malaysia Terengganu (ESM) berjaya menolak persepsi negatif terhadap bidang tersebut dengan diselitkan syarat-syarat dan garis panduan tertentu kepada peserta.
“Agama islam tidak menghalang apa-apa minat termasuk dalam sukan e-sport dengan memberi panduan terbaik untuk melakukan sebarang pekerjaan begitu juga apabila berhadapan dengan permainan e-sport ini.
“Kerajaan negeri mahu melihat anak muda di Terengganu berjaya menempa nama dalam apa-apa yang diceburi dengan jayanya,” katanya semasa siaran langsung pelancaran di Facebook UBSNT, semalam.
Menurutnya, penganjuran kali kedua tersebut menampilkan seramai 512 pasukan daripada seluruh negeri dengan 64 skuad setiap lapan daerah berentap dalam kejohanan secara atas talian tersebut.
“Antara hadiah bakal direbut pada Peringkat Daerah sehingga RM1,500 bagi Juara, Naib Juara sebanyak RM800 manakala tempat Ketiga RM500 dan Tempat Ke-4 RM250,” katanya lagi.
Menurut kenyataan penganjur, kejohanan bermula 24 September lalu sehingga 16 Oktober depan akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada peringkat daerah.
“Pasukan empat Teratas setiap daerah akan ke peringkat seterusnya, yang akan mengumpulkan 32 pasukan terbaik Pejuang PUGBm Terengganu di Peringkat Grandfinal Offline,” jelasnya.
26 Sep 21
457
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap dibuktikan dapat mencegah beberapa perkara berdasarkan empat aspek kajian dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi.
Menurut KKM, kajian itu membuktikan pengambilan vaksin COVID-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ke unit rawatan rapi (ICU) dan 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian.
“Selain itu, pengambilan dua dos suntikan 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan serta 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala,” katanya menerusi hantaran di Twitter, kelmarin.
Katanya, analisis tersebut dijalankan Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, 953 orang atau 0.0066% dimasukkan ke ICU manakala 1,445 atau 0.010 peratus kematian.
“Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid.
Dalam pada itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah.
“Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda,” katanya lagi menerusi webinar dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy.
Berdasarkan Laman web rasmi kerajaan Malaysia untuk data dan analisa tentang COVID-19, Terengganu telah mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa lebih 80 peratus dengan 91 peratus lagi sekurang-kurangnya disuntik satu dos.
26 Sep 21
1407
Semua Aktiviti Keagamaan Di Masjid Dan Surau Dibenarkan
KUALA TERENGGANU, 25 September - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM)Terengganu bersetuju untuk memperluaskan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam negeri berkuatkuasa serta merta.
Yang Dipertuanya, Dato' Osman Muda berkata, kebenaran pelaksanaan itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin susulan perluasan aktiviti keagamaan dalam tempoh fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Dan Keselamatan yang ditetapkan.
"Dalam masa yang sama, semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yasin setiap malam Jumaat.
"Majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian juga dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kebenaran juga diberikan kepada semua Institusi Pondok, Madrasah dan Pusat Tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk menjalankan sesi Pengajaran
dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tertakluk kepada SOP Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM).
Osman turut menegaskan, masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18, (1), (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
Dalam masa yang sama, aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan
Keselamatan dipatuhi.
25 Sep 21
1648
323,000 Penerima Dos Ketiga Vaksin Di Terengganu
HULU TERENGGANU, 25 September - Pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 di negeri ini akan melibatkan seramai 323,000 penerima.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, pemberian dos ketiga ini akan dimulakan sebaik sahaja menerima arahan pelaksanaannya di peringkat negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 31,000 merupakan petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.
“Proses suntikan berkenaan dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program vaksinasi Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan mengenai proses agihan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 bakal dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.
Katanya, ketika ini panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos berkenaan.
Dalam pada itu, Kasemani memberi jaminan Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah berhubung bekalan vaksin bagi pemberian dos ketiga kerana mempunyai jumlah yang mencukupi.
25 Sep 21
1635
Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Dijangka Lebih Murah
HULU TERENGGANU, 25 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa persatuan pengusaha farmasi bagi menurunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 menjelang akhir bulan ini.
Timbalan Menteri, Dato' Rosol Wahid berkata, seperti yang dihasratkan kerajaan, harga kit ujian tersebut akan diturunkan lebih murah menjelang akhir bulan ini dan pengumuman harga terbaharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
Katanya, ia juga untuk memudahkan ibu bapa membuat ujian saringan sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Okt depan.
"Penjualannya juga tidak hanya terhad di farmasi dan klinik seperti sekarang sebaliknya akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar dan pasar mini.
"Ini akan memudahkan rakyat kerana bukan sahaja harganya lebih murah tapi ia juga mudah untuk didapati. Walaupun penurunan harga itu belum dimuktamadkan lagi, namun jumlahnya nanti mampu dimiliki dan tidak membebankan rakyat berbanding harga sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Dato' Dr Kasemani Embong.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata walaupun harga sekarang sudah murah tetapi agak membebankan ibu bapa terutama yang anak mereka masih ramai bersekolah.
"Kalau ada lebih lima orang anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100..harga baharu ini nanti tidak akan membebankan lagi dan yang penting buat ujian untuk pastikan anak sihat sebelum kembali ke sekolah," katanya.
Bermula 5 September lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16.
25 Sep 21
257
'Ern Udah Coit Vaksin'- Orang Asli Sungai Berua
HULU TERENGGANU, 25 September - 'Ern udah coit vaksin'(Saya sudah ambil vaksin) ujar Putra Kamarudin, 20, selepas menerima vaksin dos tunggal CanSino di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di sini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.
Menurutnya, pada permulaan dia dan ahli keluarganya tidak mahu menerima suntikan vaksin namun setelah diberi penerangan kebaikan dan kepentingan vaksin mereka mengubah fikiran dan bersetuju mendapatkan suntikan.
"Saya rasa bertuah apabila hanya dengan sekali suntikan dapat menghalang jangkitan virus Covid-19 yang begitu mudah merebak.
"Selepas menerima vaksin saya dinasihatkan supaya berehat sehari di rumah sebelum boleh mencari rezeki di hutan," katanya kepada pemberita.
Bagi bapa kepada dua anak, Sam Kulim, 31, berkata sebelum ini dia tidak berminat untuk menerima vaksin namun mengubah fikiran demi keselamatan diri dan keluarga.
"Banyak cerita buruk pasal vaksin menyebabkan kami rasa takut tetapi apabila tengok keadaan wabak makin teruk, saya akur demi kebaikan bersama,"ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Alias Pelong berkata, beliau lebih yakin dapat menghindari jangkitan Covid-19 selepas menerima suntikan itu.
“Saya sentiasa menjelaskan kepada anak buah di kampung supaya jangan takut terima vaksin dan jangan percaya mitos yang tular di aplikasi Whatsapp bahawa suntikan ini boleh membawa maut.
"Bagi pihak orang asli, saya mengharapkan suntikan vaksin itu memudahkan kami keluar ke bandar bagi menyelesaikan urusan harian yang sebelum ini tertangguh kerana orang ramai takut untuk berurusan,"ujar beliau.
25 Sep 21
375
747 Orang Asli Terengganu Terima Vaksin
HULU TERENGGANU, 25 September- Seramai 747 Orang Asli di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19, hasil pelbagai kempen yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan suntikan tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu meliputi 327 Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu, 398 orang di Sungai Pergam, Kemaman dan 22 orang di Hulu Besut.
"Untuk hari ini, kita selesaikan di Sungai Berua dan diteruskan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam, Kemaman pula pada esok.
"Semua Orang Asli yang layak divaksin di dua perkampungan ini menerima vaksin jenis CanSino," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, program yang turut mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.
Tambah Dr Kasemani lagi, 23 Orang Asli di Kuala Sayap, Hulu Besut, sudah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer dan Sinovac pada bulan lepas.
25 Sep 21
335
Amaran Fasa Peralihan Monsun Di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 23 September - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara termasuk negeri di Pantai Timur mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam Fasa Peralihan Monsun bermula hari ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa yang berterusan sehingga awal November 2021 menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 19 Mei 2021.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm.
“Namun begitu kebanyakkan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak turut terlibat berpotensi dilanda banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi menasihati untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya lagi.
Menurutnya, MetMalaysia turut Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.
24 Sep 21
3383
Setelah Berkurung Hampir Sebulan, PKPD Paka Tamat Esok
DUNGUN, 23 September - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Paka pada hari esok.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tujuh lokaliti tersebut membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PKPD dikuatkuasakan di lokaliti tersebut bermula pada 28 Ogos menjadikan hampir satu bulan setelah dilanjutkan tempoh sehingga 24 September bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan tersebut.
23 Sep 21
1006