lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
SETIU, 29 September – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan 35 kematian akibat COVID-19 di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum bantuan perubatan secara khusus diberi. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakan kes kematian di luar hospital tersebut berlaku akibat sesetengah masyarakat lewat ke hospital dan mendapat rawatan setelah terkesan teruk akibat virus itu. “Bila sudah tenat baru pergi hospital, COVID-19 ini penyakit baharu dan simptomnya boleh datang tiba-tiba seperti sesak nafas kerana saluran penafasan diserang wabak. “Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibatnya belum divaksin serta komorbid (berpenyakit kronik) seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual pemberita semalam. Beliau menasihati agar masyarakat tidak mengambil mudah simptim COVID-19 dan segera ke institusi kesihatan bagi mendapat ujian saringan. “Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala, buat ujian saringan dahulu, jika didapati positif maka rawatan segera boleh diambil. Jika tidak ia akan berpotensi untuk menjadi pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 (kritikal). “Jika anda telah menerima suntikan dua dos, maka kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,” katanya lagi. Kes BID direkodkan sebagai kes baru dan kematian baru secara serentak.
29 Sep 21
1975
Langgar SOP: JKNT keluarkan Kompaun RM2.7 Juta
Langgar SOP: JKNT keluarkan Kompaun RM2.7 Juta
29 Sep 21
149
Panasonic Tawar Kerja Kosong, Anak Terengganu Diutamakan
Panasonic Tawar Kerja Kosong, Anak Terengganu Diutamakan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Syarikat gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) buat julung kali mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, syarikat elektronik yang memfokuskan pengeluaran penghawa dingin itu memerlukan tenaga tempatan setelah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Katanya, PAPAMY mempunyai 800 kekosongan dengan lebih 500 daripadanya memerlukan pekerja dengan kadar segera. “Sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah dijalin bagi pembekalan tenaga daripada anak-anak Terengganu yang berkelayakan,” katanya ketika dihubungi pemberita. Menurutnya, syarikat Jepun tersebut amat positif dalam kolaborasi itu dan memberi keutamaan kepada Terengganu. "Kami di peringkat pengurusan bersama T-HRDC serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membentuk pakej pekerjaan sesuai bagi proses seterusnya. “Apa yang ditawarkan PAPAMY, T-HRDC akan menjadi platform untuk rakyat bagi memperoleh pakej tersebut dan melalui proses interview dan pengambilan kerja. “Insya-Allah sebuah mekanisma baik akan dibentuk bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar pengangguran dalam negeri,” katanya lagi. Tambahnya, antara jawatan pekerjaan ditawarkan seperti pengendali (operator) di kilang dengan gaji sehingga RM2,700 (termasuk elaun tambahan). Terdahulu, sebuah majlis MoU diadakan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang dihadiri CEO T-HRDC, Tuan Aminuddin Bin Omar, manakala PAPAMY diwakili oleh Pengarah Urusannya, Toshikatsu Fukunaga. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
29 Sep 21
5913
Wujudkan Tabungan Rakyat, Perkasa Sistem Waqaf
Wujudkan Tabungan Rakyat, Perkasa Sistem Waqaf
Oleh : Syahirah Salleh KUALA LUMPUR, 28 September - Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan sistem tabungan rakyat yang boleh digunakan ketika krisis seperti pandemik Covid-19 sekarang. Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat kini hanya mempunyai dua sistem tabungan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Bagaimanapun, katanya pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa menggunakan simpanan KWSP yang sepatutnya hanya digunakan pada usia tua. Katanya, kerajaan mempunyai satu lagi pilihan, iaitu Tabung Haji yang perlu diperkasakan sepenuhnya dan bukan sahaja simpanan untuk waktu tua, tetapi boleh digunakan ketika krisis. “Dengan tabungan yang besar milik negara, digunakan dalam program pelaburan yang terjamin dan berisiko rendah, maka rakyat boleh mendapat dividen besar, sehingga mungkin mencapai 10 peratus,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini. Dr Mohd Khairuddin yakin jika tabungan itu diwujudkan dan disusun semula oleh kerajaan, rakyat akan mempunyai satu lagi bentuk tabungan simpanan yang boleh digunakan ketika berhadapan sebarang krisis. Beliau meminta kerajaan meneliti cadangan ini dengan serius untuk memperkasakan sistem tabungan rakyat bagi menghadapi perkara yang berlaku seperti hari ini. Sementara itu, Dr Mohd Khairuddin mencadangkan kerajaan supaya memperkasakan sistem waqaf yang sepatutnya menjadi sumber pendanaan untuk pembangunan rakyat. Katanya, walaupun di Malaysia terdapat Yayasan Waqaf Malaysia, tetapi jumlah kutipan yang dikumpul masih kecil dan perkara ini perlu diberi perhatian. – Harakahdaily.
29 Sep 21
335
1,300 Pelajar Seberang Takir Disuntik, Petanda Sambutan Baik PICK
1,300 Pelajar Seberang Takir Disuntik, Petanda Sambutan Baik PICK
KUALA NERUS, 28 September – Sambutan memberangsangkan dapat dilihat dari segi kehadiran setelah 1300 pelajar telah menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. Pengetuanya, Zalina Hassan berkata, ibu-bapa sudah dimaklumkan awal oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing supaya hadir bersama salah seorang daripada penjaga atau membenarkan seorang wakil jika penjaga tidak dapat hadir. “Lima orang petugas dari setiap sekolah telah memberikan komitmen yang baik tambah lagi petugas darip pejabat kesihatan daerah dan para doktor telah menjalankan tugas menyuntik pelajar tingkatan empat dan lima “Setakat hari ini kita tidak menerima apa-apa aduan daripada ibu-bapa, semua berpuas hati dan terima kasih kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang melancarkan proses PPV sebelum ini,” katanya ketika ditemubual pemberita semasa PICK di KOMSTAR, Seberang Takir, hari ini. Turut hadir Pegawai Perhubungan Parlimen Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Mokhtar. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menzahirkan penghargaan buat ibu-bapa kerana memberi sokongan kepada anak-anak untuk menerima suntikan vaksin. “Seberang Takir mencatatkan peningkatan kes, oleh itu saya mengharapkan usaha ini dapat memastikan risiko jangkitan di sekolah dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kes dan kluster di kalangan warga sekolah. "Jumlah kehadiran melebihi 1200 murid merupakan satu petanda baik bahawa golongan pelajar sedia divaksin,” katanya lagi. Dalam pada itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir turut mengagihkan bekalan makanan dan pelitup muka percuma kepada pelajar yang telah mendapat suntikan vaksin dos pertama.
28 Sep 21
887
Projek Rumah Gong Cempedak Berjalan Selepas Urusan Tanah, Bank Selesai
Projek Rumah Gong Cempedak Berjalan Selepas Urusan Tanah, Bank Selesai
SETIU, 28 September - Projek perumahan Kampung Gong Cempedak fasa 3, Marang yang terbengkalai akan disambung semula pembinaannya setelah urusan tanah dan pinjaman bank diselesaikan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemaju projek swasta terbabit, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd. memberi komitmen sama untuk meneruskan projek itu dengan seberapa segera. Katanya, terbaharu urusan geran tanah telah berjaya diselesaikan pada 8 Julai lalu dengan bantuan kerajaan negeri. “Sebelum ini, perbincangan telah diadakan bersama pemaju bagi mengenalpasti masalah dan perancangan menyelesaikan projek ini, persetujuan sekali lagi dicapai bahawa mereka akan meneruskan projek selepas ini. “Mereka memaklumkan, kekangan juga timbul sebelum ini kerana pelaksanaan PKP 3.0 pada Jun lalu, ia menghalang mereka untuk melakukan kerja pembinaan semua projek termasuk kemajuan perumahan lain sebagaimana komitmen awal iaitu selepas Aidilfitri. “Dalam masa yang sama, kerajaan negeri sekali lagi mengadakan perbincangan bersama pelbagai jabatan seperti Pejabat Tanah Marang, Majlis Daerah Marang bagi membantu dalam urusan geran tanah dan melancarkan pembangunan rumah itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Perumahan Taman Seri Buchu di Batu Rakit di sini, hari ini. Menurut Dr Alias, bagi memastikan pembinaan fasa 3 melibatkan 212 unit yang terbengkalai tersebut berjalan segera, rundingan bersama pihak bank sedang diusahakan agar bayaran pinjaman meneruskan projek itu diperolehi. “Masalah kewangan ini antara faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, dengan mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua. “Diharapkan dengan kelonggaran ekonomi dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini dapat memberi ruang untuk perbincangan antara pemaju dan pembeli, penyelesaiannya sudah ada namun perlu mengikuti peraturan sedia ada,” katanya lagi. Terdahulu, antara penyelesaian awal kerajaan negeri pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT), namun tiada tindakan segera dijalankan. Untuk rekod, projek Perumahan Gong Cempedak yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu merupakan pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 dan ia adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri serta tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.
28 Sep 21
920
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 27 September – Golongan gelandangan di sekitar daerah ini menerima suntikan vaksin semalam dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, hampir 20 gelandangan termasuk yang menghidap masalah mental telah disuntik dos pertama. “Antara lokasi tumpuan adalah di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, Stesen Bas Tanjung dan Kuala Terengganu Waterfront di Jalan Bukit Balik. “Pelaksanaan ini disambut baik melibatkan penyertaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) serta Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi orang gelandangan di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, semalam. Tambah Zuraida, inisiatif seumpama itu perlu diadakan secara berkala kerana masih ramai lagi golongan gelandangan yang belum disuntik kerana sukar dijejaki. “Projek ini amat bagus dalam mencapai sasaran semua rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin termasuk golongan kurang bernasib baik,” katanya lagi. Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed menjelaskan walaupun sasaran asal 14 orang namun pada malam itu pihaknya berjaya menyantuni 18 gelandangan. “Insya-Allah akan diteruskan lagi kerana gelandangan negeri Terengganu berlainan dengan bandar besar kerana kebanyakkan mereka sudah mempunyai rumah sendiri. “Walaupun jumlah sedikit, namun kerjasama baik bersama golongan sasar ini amat baik dalam menerima dos suntikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi. Untuk pengetahuan, selain orang gelandangan, usaha pemvaksinan di Terengganu turut melibatkan golongan sasar lain seperti penghuni Penjara Marang dan Orang Asli di sekitar negeri.
27 Sep 21
549
Bayaran BPR Fasa 3 Dikreditkan Selasa Ini
Bayaran BPR Fasa 3 Dikreditkan Selasa Ini
KUALA LUMPUR, 26 September - Seramai 3.6 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 termasuk mereka yang diluluskan permohonan rayuan bakal menerima bantuan itu, mulai Selasa ini secara berperingkat melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima isi rumah dalam tempoh tiga hari sehingga 30 September ini memanfaatkan penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan. Menurutnya, bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300. “Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka. “Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak dan akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021. Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan Kementerian Kewangan melalui portal rasmi BPR  iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
26 Sep 21
3484
Terengganu Buka PKRC Baharu Di Stadium Tertutup Gong Badak
Terengganu Buka PKRC Baharu Di Stadium Tertutup Gong Badak
KUALA TERENGGANU, 26 September- Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)baharu dibuka di stadium dan mula beroperasi pada hari ini. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata PKRC Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus itu boleh memuatkan 1,200 katil dan tempat ini mempunyai kemudahan sesuai buat pesakit serta petugas. "Pembukaan PKRC baharu ini bukanlah bermaksud situasi COVID-19 di Terengganu semakin teruk. "Sebaliknya ia dibuka susulan penutupan tiga PKRC di Institut Pengajian Tinggi Awam yang kini dalam proses persediaan menerima kemasukan pelajar untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 15 Okt depan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Tiga PKRC yang ditutup secara berperingkat sejak bulan lepas ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini, Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut.  Dalam pada itu, Dr Kasemani turut memaklumkan seramai 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Terengganu layak menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). "Daripada jumlah itu, seramai 101,000 remaja adalah pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan pelajar sekolah swasta. Setakat semalam, kita telah memberi suntikan kepada 30,494 orang remaja. Kesemua mereka ini akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Okt depan," katanya. Jelas beliau, kesemua mereka yang layak akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Oktober depan.  
26 Sep 21
2919
JPJ Sasar Tunggakan Ujian Memandu Selesai Akhir Tahun
JPJ Sasar Tunggakan Ujian Memandu Selesai Akhir Tahun
KUALA TERENGGANU, 26 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan semua ujian yang tertangguh di 232 institut memandu di seluruh negara melibatkan 462,124 calon akan selesai sebelum akhir tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli berkata bagi mencapai sasaran itu, jabatan tersebut akan menambah bilangan penguji sehingga 20 peratus, bergantung pada keperluan setiap institut memandu. "Selain itu, kita juga akan menambah jumlah kuota harian calon yang akan diuji di setiap institut memandu. Jumlahnya berbeza mengikut kapasiti premis, oleh itu, jumlah penguji tambahan yang akan dihantar adalah mengikut keperluan di setiap institut tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Memandu Bitara dekat Padang Midin di sini hari ini Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin.  Menurut Aedy Fadly terdapat seramai 530 pegawai penguji di seluruh negara dan institut memandu disaran untuk mengutamakan ujian calon yang telah lama tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan, berbanding calon baharu. Dalam pada itu, beliau berkata JPJ akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di semua institut memandu secara berkala. "Pemantauan juga dilakukan oleh unit naziran institut memandu untuk mengesan kesalahan seperti menerima calon bukan warganegara, pemasangan cermin gelap pada kenderaan dan tidak mengemas kini senarai sijil kenderaan," katanya. BERNAMA  
26 Sep 21
380