Artikel "Semasa" Terkini
Lebih 350 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Piala MB
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) merangkumi lima kategori iaitu 'Open', 'Novis C', Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejohanan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menjayakan program Sukan Untuk Semua (SUS) yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia ke arah negara bersukan.
“Malah, kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan semata-mata, bahkan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sukan badminton mempunyai kelompok peminat tersendiri di negeri ini.
“Saya percaya program seperti ini memberi impak langsung kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi dan menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet masa depan dari Negeri Terengganu yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” katanya.
22 Jun 25
407
PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengesahkan komitmen jangka panjangnya untuk melabur di pantai timur, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata kenyataan itu adalah sorotan daripada pembukaan Mayang mall, bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan portfolio hartanah syarikat di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.
Menurutnya, Mayang Mall dengan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta bukan sekadar pusat beli-belah, malah simbol kepada pembukaan peluang pelaburan strategik PHB di wilayah pantai timur.
"Bukan hanya tertumpu kepada pusat beli-belah, kita akan tengok pendidikan dan juga 'healthcare' di Terengganu. Sebab kami melihat Terengganu ini banyak potensi terutamanya dari segi pendidikan dan 'healthcare'.
"Memang ada kami telah membuat perbincangan secara formal dengan beberapa institusi korporat dan pendidikan di Terengganu. Tetapi ianya masih di tahap perbincangan.
"Tapi insya-Allah kami yakin ia akan membuahkan hasil perkongsian perniagaan yang berdaya maju dan kolaborasi yang lebih berjangka panjang," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelaburan Hartanah Berhad, Mohamad Damshal Awang Damit
Sebagai syarikat pengurus amanah hartanah untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), PHB juga optimis pelaburan di Terengganu akan memberikan pulangan jangka panjang kepada para pelabur, khususnya rakyat negeri itu yang melabur dalam AHB.
"Istimewanya, kami bukan sahaja menawarkan unit 'trust' AHB, tetapi kami akan berusaha keras untuk dapatkan pelaburan di Terengganu.
"Rakyat Terengganu yang melabur dalam AHB akan dapat merasai hasil daripada pembangunan aset di negeri mereka sendiri.
"Meskipun ia mengambil masa, usaha ke arah pelaburan tersebut telah pun dimulakan.
Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Eksekutif (Pelaburan) LembagaTabung Haji (TH) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang bertempat di Mayang Mall, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Damshal turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan menumpukan fokus kepada hartanah komersial seperti pembangunan kediaman.
"Kami tidak masuk dalam industri perhotelan, kami lebih kepada 'commercial property' tetapi dari segi 'living quarters' yang berkaitan dengan penempatan, kemungkinan kita juga boleh masuk dalam kuarters pekerja ataupun penginapan pelajar.
"Tetapi bukan hotel," ujarnya.
22 Jun 25
1751
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama.
Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
"Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
"Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.
"Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.
"Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam," ujarnya.
Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.
"Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah.
"Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan," tambah beliau lagi.
Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.
"Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini.
"Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan," jelasnya.
Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.
"Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu.
"Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jun 25
87
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks beli-belah Mayang Mall bertempat di Dewan Bankuet Aras 5, Mayang Mall, pagi tadi.
Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda.
Usai majlis, Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda berkenan untuk meninjau sekitar kompleks beli-belah itu.
Bangunan yang mampu memuatkan 308 lot kedai dengan berkeluasan sebanyak 1.66 juta kaki persegi itu merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Terengganu, menjadi mercu tanda pembangunan yang semakin pesat di negeri tersebut.
Dato' Seri Arshad berkata, perasmian pada hari ini merupakan tanda pelaksanaan strategik PHB di Terengganu.
"Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama PHB di Pantai Timur berdasarkan potensi besarnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan.
"Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu Pantai Timur.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Mayang Mall merupakan pelaburan pemangkin utama oleh PHB di Terengganu menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian diiringi Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda (Kiri)
"Hasil hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
"Lebih membanggakan, Mayang Mall menjadi lokasi cawangan keempat SOGO di Malaysia dan yang pertama di Pantai Timur. Cawangan ini telah memulakan operasinya di sini sejak Disember 2024.
"Kehadiran SOGO, diikuti jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan yang kami bawa khas untuk kepelbagaian pilihan serta pengalaman membeli-belah yang lancar buat para pengunjung Mayang Mall," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi PHB juga menekankan potensi Mayang Mall untuk menjadi pengganda ekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat negeri tersebut.
"Ia termasuk dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan penawaran platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di dalam Mayang Mall itu sendiri," ujarnya.
21 Jun 25
966
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – TDM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor industri sawit mampan negara apabila anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berjaya meraih pengiktirafan tempatan dan antarabangsa atas komitmennya terhadap kelestarian alam dan pematuhan etika industri.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menyatakan bahawa pensijilan yang diterima membuktikan pendekatan TDM bukan sahaja selari dengan dasar hijau negara, bahkan membuka akses pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi.
"TDMP telah diiktiraf menerusi pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang melibatkan pengeluaran Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK)," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi usaha konsisten dalam mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan industri, dengan menekankan aspek kelestarian, hak pekerja, pemeliharaan biodiversiti dan integriti rantaian bekalan.
"Ini adalah pengiktirafan terhadap amalan ladang yang bertanggungjawab, dan sekaligus meletakkan TDM sebagai peneraju industri sawit yang beretika dan berpandangan jauh," ujarnya.
TDMP turut melaksanakan transformasi ladang secara menyeluruh, melibatkan sistem pemantauan berasaskan data seperti Estate Block Analytical System (E-BAS), penggunaan teknologi GPS dan GIS, serta mekanisasi penuaian bagi meningkatkan hasil secara mampan.
Menurut beliau lagi, pensijilan ini akan meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah dan Asia Timur yang amat menitikberatkan sumber sawit yang beretika dan mapan.
19 Jun 25
235
TFC Adakan Sesi Soal Jawab Bersama Peminat
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu Football Club (TFC) akan akan menganjurkan sesi soal jawab bersama peminat bagi menjawab persoalan berkenaan pasukan tersebut dalam masa terdekat.
Perkara itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
"Saya faham banyak persoalan yang ada di dalam kalangan peminat tentang perkembangan semasa pasukan.
"InsyaAllah, satu majlis dialog terbuka bersama peminat akan dianjurkan oleh TFC dan PBSNT pada awal Julai tahun ini," katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun rasmi Facebooknya.
Kenyataan itu adalah sorotan daripada kunjungan beliau Ke padang latihan TFC yang terletak di Gong Badak untuk bertemu barisan kejurulatihan dan pemain-pemain skuad negeri.
Turut hadir dalam kunjungan itu, Naib Presiden Persatuan Bola Negeri Terengganu (PBSNT), Mohammed Sekanther Abdul Hamed dan Setiausaha Agung PBSNT, Ahmad Syahrizal Yahya.
Tambahnya, barisan pemain baharu TFC bakal memulakan latihan pertama mereka pada awal Julai tahun ini manakala pemain yang masih berkontrak telahpun mula berlatih.
"Mereka semua telah memulakan latihan kelmarin (16 Jun) dan pemain baharu akan mula menyertai latihan pada 1 Julai 2025," jelasnya.
Mengikuti perkembangan yang sama, Badrul Afzan Razali, mantan jurulatih skuad bola sepak negeri itu sekali lagi telah diserahkan baton untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih TFC musim ini.
Walaupun dengan kekangan yang dihadapi, Badrul dengan penuh harapan menyuarakan keinginannya untuk meletakkan pasukan di bawah seliaannya itu di tahap pencapaian yang lebih memberansangkan berbanding musim yang lepas.
"Pada musim baru ini, kita (TFC) adalah antara pasukan yang tidak berbelanja besar, namun saya percaya dengan komitmen dari semua, kita tetap mampu menyaingi pasukan-pasukan besar lain serta boleh melakukan kejutan dalam misi merebut piala," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut sumber, TFC akan memperkenalkan secara rasmi pemain-pemain yang bakal masuk sebelum 5 Julai 2025.
19 Jun 25
93
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Satu lagi sejarah bakal dilakar apabila TDM Berhad melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), akan membina pusat rawatan kanser swasta pertama di Pantai Timur.
Projek bernilai RM70 juta itu bakal didirikan di KMI Kuantan Medical Centre (KMC) dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2027, menjadikan ia antara pusat onkologi swasta paling lengkap di rantau ini.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembinaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan swasta yang lebih inklusif dan pakar.
"Pusat Onkologi ini akan dilengkapi fasiliti menyeluruh termasuk rawatan kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear.
"Ketika ini, kemoterapi sudah pun bermula di KMC dengan kehadiran pakar onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil.
"Tapi pembangunan pusat khusus ini akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk rawatan radioterapi yang perlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 TDM Berhad yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Tambah beliau, kehadiran pusat ini amat dinanti kerana sebelum ini pesakit kanser dari Pantai Timur terpaksa bergantung kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
"Dengan adanya pusat onkologi ini, pesakit dari Kuantan, Kemaman, Dungun dan kawasan sekitar yang ada perlindungan insurans atau mahukan rawatan swasta kini ada pilihan lebih dekat dan selesa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa satu lagi pusat rawatan kanser bakal dibina di Terengganu.
"Kita belum umum secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk bina pusat onkologi di KMI Kuala Terengganu," ujarnya.
19 Jun 25
923
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad melangkah berani ke hadapan dengan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050, seiring hasrat menjadi peneraju kelestarian dalam sektor strategik negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menjelaskan bahawa syarikat telah menyusun pelan halatuju jelas bagi menangani isu perubahan iklim secara berkesan.
"Kami menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030, dan akhirnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Menurutnya, TDM telah melaksanakan pelbagai pendekatan hijau bagi memastikan matlamat itu bukan sekadar retorik, malah realiti yang boleh diukur dan dikekalkan.
"Antara usaha utama termasuk pemasangan panel solar, sistem pendingin HVAC cekap tenaga, pelaksanaan dandang hijau di kilang sawit, serta inisiatif program kredit karbon yang menyokong imbangan pelepasan," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan keberkesanan strategi itu dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi dua loji biogas milik TDM di Sungai Tong dan Kemaman yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2022.
"Pada tahun 2024 sahaja, loji-loji ini berjaya menjana lebih 18.8 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui, meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya," tambahnya lagi.
Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan keupayaan TDM dalam memanfaatkan teknologi hijau bukan sahaja demi kelangsungan alam sekitar, bahkan menjana pulangan operasional yang mampan.
19 Jun 25
88
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
"Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat.
"Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara," jelasnya.
Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler).
Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.
18 Jun 25
183
Syarikat Terengganu Raih Pendapatan Tertinggi, Untung Lima Tahun Berturut-Turut
Anak Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatat pencapaian cemerlang apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM645.6 juta bagi tahun 2024 menjadikan ia tertinggi dalam sejarah, seterusnya mengekalkan keuntungan lima tahun berturut-turut.
18 Jun 25
487