lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bersih Lumpur Tebal Cabaran Khidmat Malaysia
Bersih Lumpur Tebal Cabaran Khidmat Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Banjir kali ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda negara, lebih 1,500 anggota Sukarelawan Khidmat Masyarakat Terengganu menganggap operasi pembersihan lumpur tebal antara cabaran terbesar. Pengerusinya, Hanafiah Mat walau bagaimanapun berkata, pihak tetap komited membantu mangsa terjejas bagi mengurangkan beban yang menimpa. Katanya bermula Khamis lepas, Khidmat Malaysia telah bergerak mengkoordinasi dan menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas di kawasan Kuantan, Temerloh, Paya Besar dan Mentakab. "Alhamdulillah, kami dapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. "Cuma, perasaan saya memang sangat tersentuh dan simpati sebaik sampai di lokasi banjir terbabit apabila melihatkan keadaan dialami penduduk yang majoriti kehilangan harta benda," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Hanafiah berkata, rumah, kedai, barang peribadi serta perabot musnah di kebanyakan kawasan ditenggelami air dan terpaksa dibersihkan kerana diselaputi lumpur, malah ada juga yang musnah. Tambahnya lagi, dengan semangat ikatan ukhuwah yang terjalin seperti dituntut Islam, mereka juga telah membantu mangsa banjir di sana tanpa mengira agama dan bangsa. "Dengan tenaga yang ada, pihak sukarelawan kami turut membantu membersihkan kedai-kedai bukan muslim sebagai tanda keprihatinan bersama meringankan beban yang ditanggung. "Ia menunjukkan kesepaduan rakyat Malaysia yang sentiasa bersama dalam waktu susah dan senang, inilah nilai perpaduan yang kita inginkan," ujarnya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota sukarelawan yang sehingga kini masih bekerja keras tanpa henti. "Sepanjang misi bantuan banjir di Pahang, saya melihat mereka gigih membantu membersihkan rumah tanpa mengira masa hingga ada yang terlena kepenatan di tepi timbunan lumpur. "Bayangkan, mereka tidak dibayar pun, hanya dibekalkan makanan dan minuman asas saja, itu pun diberikan sukarelawan di lokasi," katanya.          
26 Dec 21
525
Persekolahan Di Terengganu Ditangguh Seminggu Susulan Banjir
Persekolahan Di Terengganu Ditangguh Seminggu Susulan Banjir
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 di Terengganu akan dimulakan pada 9 Januari tahun hadapan susulan ditangguh selama seminggu akibat bencana banjir. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, negeri tersebut telah disertakan dalam Kumpulan A bersama Johor, Kedah, Kelantan yang juga akan memulakan persekolahan pada tarikh sama. “Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang Perak, Perlis Pulau Pinang Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan ini “Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung. “Hal ini juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk," katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau. Tambahnya, maklumat lanjut mengenal penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat. Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula.
25 Dec 21
671
Sabasun Sumbang Barang Keperluan Buat Mangsa Banjir Pahang
Sabasun Sumbang Barang Keperluan Buat Mangsa Banjir Pahang
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Melihat kesusahan dihadapi penduduk terkesan bencana banjir, Syarikat Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd menyalurkan bantuan barangan harian kepada mangsa terjejas di Kuantan, Pahang. Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihaknya bersama pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah menghantar sumbangan berbentuk dua lori ke daerah tersebut. “Antara bentuk sumbangan dihantar seperti makanan dan minuman harian yang telah disusun dan dibungkus, air mineral, lampin pakai buang, susu tepung dan lain-lain lagi. “Terima kasih kepada pejabat Ahli Parlimen yang memberi peluang untuk turut sertai usaha ini. “Setinggi-tinggi juga apresiasi kepada pelanggan Sabasun yang tidak putus-putus memberi bantuan dan kecaknaan kepada nasib ditimpa kepada saudara kita tidak kira dalam atau luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menerima ketibaan barangan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pancing, pada 23 Disember. “Markaz ini bagi atur gerak kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir khususnya di Paya Besar termasuk program agihan 2000 pek makanan menerusi Dapur Rakyat, termasuk sumbangan pada hari ini,” jelasnya.
25 Dec 21
1104
92 Peserta RTB Kampung Mak Chili Terima Geran
92 Peserta RTB Kampung Mak Chili Terima Geran
KEMAMAN, 23 Disember -Seramai 92 orang peserta rancangan tanah kediaman berkelompok (RTB) terkilan dari Kampung Mak Chili, Kemaman kini mampu mengukir senyuman manis apabila menerima geran hak milik tanah masing-masing baru-baru ini.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim, berkata kejayaan yang dikecapi  merupakan hasil usahasama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB terkilan ini dapat dikembalikan kepada para pemilik asal khususnya kepada penduduk Kampung Mak Chili. “Hari ini kita berjaya menyerahkan geran hak milik tanah kepada 92 penerima dan yang selebihnya masih menanti proses kelulusan peserta ganti nama dan borang G memandangkan jumlah asal peserta RTB terkilan ini adalah seramai 117 orang," katanya kepada pemberita. Dalam program yang sama, majlis undi lot tapak bangunan kediaman bagi RTB Kampung Mak Chili yang melibatkan seramai 79 pemohon baru turut diadakan. Tidak ketinggalan, penyerahan borang Jadual 5A kepada 29 orang peserta tanah pertanian Kampung Mak Chili bagi Fasa 1 turut berlangsung. Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mak Chili dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu menyelesaikan permasalahan ini. Sementara itu, rata-rata para peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan semula tanah terkilan tersebut setelah hampir 20 tahun menanti.  Mereka juga sewajarnya diberi pujian kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses mendapatkan semula tanah terkilan ini dijalankan.
24 Dec 21
920
NGO Kini Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik JKM
NGO Kini Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik JKM
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU , 24 Disember – Badan Bukan Kerajaan (NGO) kini diiktiraf sebagai rakan strategik dan diberi ruang oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turut membantu jabatan dalam kes bencana alam dan musibah seperti banjir yang dihadapi oleh rakyat sekarang. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia sangat bertepatan dengan suasana sekarang iaitu musim tengkujuh dan bencana tersebut yang sedang berlaku. “Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan persekutuan (concurrent list), JKM mempunyai peranan yang besar membantu rakyat termasuk dari kalangan orang miskin, uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak. “JKM tidak lagi melihat NGO sebagai sasaran kerja mereka tetapi menjadi rakan strategik mereka mengharapkan sumbangan dan peranan dari NGO,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan lawatan kerja bersama NGO Marang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Negeri Terengganu, pada semalam. Katanya, tujuan utama lawatan ini ialah sebagai persiapan untuk menghadapi bencana alam terutama banjir. “Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di Selangor dan Pahang yang menghadapi keadaan banjir yang sangat teruk. “Sebab itu antara yang kita boleh buat selain dari melalui jabatan ialah melalui NGO. Sebab itu saya panggil beberapa NGO  untuk terlibat dengan program ini supaya dia boleh tahu  apa  peranan yang boleh dimainkan sewaktu musibah seumpama ini,” ujar beliau. Beliau menambah, situasi banjir di Terengganu pada masa kini terkawal walaupun telah berlaku perpindahan terutamanya di daerah Kemaman dan Dungun. Justeru itu, semua pihak harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. “Saya difahamkan melalui portfolio Belia Sukan dan NGO Terengganu menghantar sejumlah sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana  terutama pasca banjir kerana apa yang berlaku di negeri lain itu  kita merasakan tanggungjawab bukan untuk menjaga diri kita  sahaja. “Kerana perkara seumpama ini perlu ada kerjasama dari semua negeri bagi meringankan beban di tempat berkenaan,” tambah Dato' Yahaya.
24 Dec 21
559
Tiga Bot Pukat Tunda Pahang Ditahan
Tiga Bot Pukat Tunda Pahang Ditahan
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Jabatan Perikanan Malaysia (Terengganu) berjaya menahan tiga buah bot tempatan yang berdaftar di Pahang bersama 15 kru dengan nilai sitaan keseluruhan hampir RM3 juta di perairan berdekatan Pulau Nyirih, Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil operasi penguatkuasaan pada waktu malam itu lima orang tempatan dan 10 warga asing daripada Myanmar ditangkap. “Tangkapan pertama pada jam 1.30 pagi dengan pendaftaran bot daripada Nenasi, Pahang bersama pukat tunda zon C yang ditangkap di 6.6 batu nautika dari Pulau Nyireh. Tangkapan kedua jam 1.45 pagi manakala tangkapan ketiga berlaku pada jam 2 pagi. “Ketiga-tiga bot telah melanggar Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika bagi Bot Zon C serta menangkap ikan kurang 12 batu nautika di negeri lain. “Bot dan kru telah ditahan dan dibawa masuk ke Pangkalan Pulau Kambing untuk siasatan lanjut dan diproses mengikut saluran undang-undang,” katanya ketika ditemu bual di Jeti Pulau Duyong, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat. Jelasnya, Akta Perikanan 1985 telah wujud sejak 36 tahun yang lalu dan semua pemilik lesen sudah dimaklumkan akan kewujudannya “Tiada istilah tidak tahu kerana bot-bot pada masa kini dilengkapi sistem navigasi (GPS) dan sememangnya mereka sengaja dengan harapan tidak ditangkap. “Kita perlu bertegas dan memberi isyarat betul, negeri Terengganu ada tuan dan jaga kebajikan nelayan, oleh itu, kita tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur pencerobohan yang telah berlanjutan sekian lama,” katanya lagi.
24 Dec 21
1332
Unisza Kesan 139 Pelajar Terjejas Akibat Banjir
Unisza Kesan 139 Pelajar Terjejas Akibat Banjir
KUALA NERUS, 23 Disember - Seramai 139 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan keluarga terkesan dengan bencana banjir yang melanda seluruh negeri. Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, daripada jumlah tersebut, 54 pelajar terjejas teruk dengan bencana banjir tersebut. Katanya, Selangor mencatatkan jumlah mangsa pelajar  tertinggi iaitu 68 orang, diikuti Pahang(40) diikuti Kelantan (14) dan Terengganu (5). "Kita juga turut mengenalpasti pelajar dari Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Perlis yang terlibat sama dengan bencana banjir. "Banjir kali ini begitu teruk di beberapa negeri dan oleh itu, kita akan fikirkan bantuan kewangan di samping keperluan lain yang difikirkan perlu," katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir UniSZA di UniSZA, di sini, hari ini. Seramai 100 sukarelawan melibatkan 50 pelajar dan 50 kakitangan UniSZA menyertai misi tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat. "Sukarelawan tersebut akan membantu membersihkan rumah pelajar terjejas di sekitar Selangor bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mereka selepas diuji musibah banjir,"ujarnya lagi. Beliau berkata, selain itu UniSZA juga turut memberi bantuan makanan asas kepada mangsa banjir. "Misi ini membabitkan dua buah bas, sebuah lori, tiga van dan tiga pacuan empat roda," katanya.      
23 Dec 21
485
Buat Aduan, Jika Harga Melampau
Buat Aduan, Jika Harga Melampau
KUALA NERUS, 23 Disember - Orang ramai digesa melaporkan kepada pihak berautoriti jika barangan dijual dengan harga yang melampau dan tidak berpatutan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan harga barangan di pasaran tetap stabil walaupun dalam tempoh sambutan Hari Krismas tahun ini. Katanya, langkah itu dibuat dengan mengenal pasti 15 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021. "Antaranya untuk sekilogram (kg) ayam RM9.30, telur gred A (RM0.44 sebiji), cili merah (RM17.00), tomato (RM5.50), sawi hijau (RM7.00) dan daging kambing biri-biri import bertulang perlu dijual RM32/kg," katanya kepada media selepas membuat tinjauan di Pasar Raya Mydin hari ini. Katanya lagi, walaupun perayaan Krismas tahun ini masih dalam tempoh pandemik Covid-19, SHMMP masih wajar dilaksanakan. “Ini ekoran permintaan orang ramai terhadap barangan keperluan harian yang dijangka akan mengalami peningkatan dalam tempoh perayaan ini berbanding tempoh lain,” katanya. Justeru beliau sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar membuat laporan segera kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya rasa curiga dengan harga jualan. “Pihak itu ada pasukan khas untuk mengambil tindakan mengikut akta tertentu sama ada apa yang dijual itu mengikut harga pasaran atau sebaliknya. “Walaupun sudah dicatatkan pada papan kenyataan atau buku menu, KPDNHEP tetap boleh mengenakan tindakan sekiranya sahih apa yang dijual harga melampau," katanya.  
23 Dec 21
520
Kerajaan Bina Rumah Patuh Syariah Untuk Nelayan Kemaman
Kerajaan Bina Rumah Patuh Syariah Untuk Nelayan Kemaman
23 Dec 21
136
Terengganu Tawar Bantuan Banjir Kepada Selangor
Terengganu Tawar Bantuan Banjir Kepada Selangor
Kerajaan Terengganu menawarkan bantuan banjir kepada Selangor bagi membantu rakyat yang terjejas di sana.
23 Dec 21
308