Artikel "Semasa" Terkini
Kes Omicron Terengganu Meningkat, Dua Daerah 'Terselamat'
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan peningkatan kes varian membimbangkan (VOC) Omicron sebanyak 15 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 melibatkan VOC mencecah 108 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah tersebut 84 daripadanya adalah varian Delta dan sembilan lain melibatkan varian Beta.
“Pada masa ini, hanya dua daerah tidak melaporkan kes Omicron iaitu Hulu Terengganu dan Marang, kesemua dilaporkan adalah kes import dalam kalangan Jemaah umrah yang pulang daripada Arab Saudi, baru-baru ini.
“Ini bermaksud kes VOC jenis ini masih tidak melibatkan transmisi rakyat dalam negeri walaupun dalam kalangan keluarga.
“Masing-masing yang terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri ketat di rumah, bagi mengelakkan penularan tempatan varian ini, pihak kami akan terus membuat pemantauan rapi terutamanya terhadap golongan pengembara daripada luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung dalam slot Bicara Jabatan Kerajaan di TVDI, pagi tadi.
Tegas Dr Kasemani, pihaknya menekankan kepada seluruh masyarakat agar tidak memperlekeh dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat terutamanya melibatkan kuarantin kendiri.
“Ada pihak ambil kesempatan, pakai gelang tetapi bercampur dengan orang lain dan tidak menghadkan diri di dalam bilik, terutamanya bila wujud VOC yang mudah berjangkit.
“Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu, Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat); Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup,” jelasnya.
19 Jan 22
7457
Penerima Dos Penggalak Di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Sejak pelaksanaannya pada tahun lepas, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak (Booster) (PICK-B) di Terengganu menunjukkan peningkatan dari segi penerima dan sambutan meskipun melaporkan kadar ketidakhadiran temu janji yang tinggi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata, sehingga semalam, seramai 241,745 orang telah disuntik dos penggalak mewakili 32 peratus daripada 753,900 orang yang layak menerimanya.
Menurutnya, kadar ketidakhadiran melalui tarikh di aplikasi MySejahtera di Terengganu lebih 60 peratus, namun pihaknya optimis ia dapat diatasi menerusi usaha penyenaraian nama penerima sandaran serta pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘walk in’.
"Sehingga hari ini Terengganu mempunyai 81 PPV di seluruh negeri supaya capaian dan kemudahan dapat diakses oleh masyarakat, peningkatan jumlah pusat ini melibatkan 39 buah PPV adalah kategori swasta, dua PPV daripada hospital swasta, 10 PPV luar kawasan, 24 PPV klinik kesihatan, enam PPV hospital.
“Ini menjadikan kapasiti keseluruhan 12,809 ribu suntikan sehari, ditambah lagi dengan 3 PPV luar kawasan bermula 24 Januari di Kemaman akan menjadikan kapasiti pemberian dos penggalak di dalam negeri sehingga 13,000 dos sehari.
“Pada peringkat awal, suntikan harian hanya mampu mencapai sehingga 1,000 sehari, namun kebelakangan ini sambutan orang Terengganu berjaya mencapai kadar 7,000 sehari,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi.
Tambah Dr Kasemani, pihak JKNT turut mengadakan inisiatif menerusi PPV outreach bagi mendekati dan memudahkan urusan imunisasi penduduk di kawasan pedalaman.
19 Jan 22
889
Penerima Pencen Rakyat Luah Rasa Syukur
KEMAMAN, 19 Januari - " Alhamdulillah, dapat lah saya gunakan sumbangan yang diterima hari ini untuk membeli barang-barang keperluan," itu antara luahan hati Abd Kadir Ismail, 77 Tahun.
Beliau yang tinggal di Kampung Besut terharu atas usaha kerajaan negeri yang melaksanakan sumbangan pencen rakyat itu.
"Saya harap sumbangan seperti ini akan berterusan untuk masa akan datang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima sumbangan itu di Dewan Dato' Seri Amar Diraja, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pelaksanaan pencen rakyat merupakan manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri Terengganu sebelum memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
"Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kami untuk memerintah negeri ini. Hari ini kerajaan telah bersetuju membayar pencen rakyat kepada lebih 19,000 warga emas," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan Majlis Sumbangan Pencen Rakyat Dun Cukai.
Dalam majlis itu, seramai 712 orang warga emas telah menerima sumbangan sebanyak RM300.
Bantuan pencen rakyat dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara, tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta berada dalam golongan miskin.
19 Jan 22
916
Penternak Lembu Bimbang Ancaman Harimau
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Selepas penduduk Kampung Air Putih di Kemaman mendakwa haiwan ternakan mereka terancam kerana diserang harimau sejak Disember lepas, kini penternak lembu di Kampung Chabang, Kerteh pula dilanda kebimbangan sama.
Seorang penternak, Ramli Mohamad, 62, berkata seekor daripada 25 lembunya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau Jumaat lepas.
"Saya hanya menyedari perkara itu apabila pergi ke kebun untuk memberi lembu makan, namun pelik kerana seekor lembu betina berusia lebih setahun tiada di situ.
"Saya cari lembu itu di sekeliling kebun, kemudian saya jumpa bangkai lembu di kawasan alur sungai, dan yang paling mengejutkan kepalanya terpisah dari badan. Saya syak ini adalah serangan harimau kerana ada kesan koyakan di rahang lembu itu," katanya ketika dihubungi pemberita.
Ramli berkata, beliau turut menemui beberapa kesan tapak kaki, dipercayai harimau yang menyerang lembu itu di kebunnya dan telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata anggota Perhilitan memantau kawasan selepas menerima laporan mengenai perkara itu.
Empat hari lepas Perhilitan Terengganu telah memasang dua perangkap di Kampung Air Putih untuk menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan ladang sawit dan membaham beberapa ternakan penduduk kampung berhampiran.
Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula sejak 2019.
Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan yang dinamakan 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3, diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas, namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu di sekitar hutan berhampiran.- BERNAMA.
18 Jan 22
617
Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) sentiasa menekankan pemahaman serta pematuhan terhadap Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (pindaan 2018) dalam operasi kumpulan terbabit bagi gerak kerja berjalan lancar dan berintegriti.
Presiden dan Pengarah Eksekutif, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, seksyen 17(A) merujuk kepada kesalahan oleh organisasi komersial yang boleh didakwa dan dihukum sekiranya kakitangan mereka melakukan kesalahan rasuah.
Katanya, pelbagai perkara telah dipelajari lebih 200 barisan ahli lembaga pengarah daripada lebih 100 buah syarikat tentang tanggungjawab, tugas dan masalah yang timbul jika tidak mematuhi akta tersebut.
“Impak perubahan sistem percukaian dan krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dan bisnes perlu berubah mengikut arus ini.
“Kita yakin dengan Perancangan Strategik Perniagaan 2022 yang optimis serta momentum kejayaan mengharungi pandemik ini, akan menghasilkan peningkatan pendapatan lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pengarah-Pengarah Korporat Kumpulan Terengganu Inc 2022, Duyong Marina, petang semalam.
Menurut beliau, antara perancangan pada tahun ini adalah melaksanakan pengoperasian pusat peranginan di Pulau Poh, Kenyir dan projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) utara di bawah kerajaan negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negara (UPEN) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Jelas Burhanuddin, pihaknya turut merancang untuk menyediakan lebih 400 peluang pekerjaan dengan keutamaan pada orang tempatan menerusi kekosongan di dalam GLC lain seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT).
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis penutup program tersebut termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah daripada pelbagai GLC negeri.
Acara tertutup tahunan tersebut telah diadakan selama sehari bersama penceramah-penceramab jemputan yang merangkumi pelbagai perkara terutamanya tanggungjawab Pengarah syarikat menerusi sesi forum bertajuk 'Meningkatkan Tadbir Urus dan Kepimpinan : Dalam Suasana Pasca Pandemik'.
18 Jan 22
709
Kempen Penajaan Sarang Penyu Tingkat Kesedaran Orang Ramai
KUALA TERENGGANU, 18 Januari- Kempen Penajaan Sarang Penyu Tahun 2022 dilancarkan Pertubuhan Pemuliharaan Alam Sekitar, Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak memakan telur penyu dan memboikot penjualannya di pasaran.
Pengurus Projek Lapangan LTTW Yasmin Rizal berkata, di samping mengumpul dana dengan menggalakkan orang ramai menaja satu atau lebih sarang telur penyu, kempen itu juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat dalam pemuliharaan penyu.
"Program penajaan sarang penyu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dapat memastikan telur penyu menetas dengan selamat di dalam pusat penetasan, serta menyediakan peluang kepada pemajak telur penyu tempatan yang berlesen untuk menjana pendapatan.
"Dana yang disumbangkan akan digunakan untuk membeli telur penyu daripada pemajak berlesen dan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pemuliharaan penyu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya setiap sarang yang ditaja dapat menyelamatkan sehingga 150 ekor penyu dan selepas anak penyu menetas, ia akan dilepaskan semula ke lautan.
Yasmin berkata tanpa perlindungan sewajarnya, sarang penyu berisiko diburu untuk penjualan telur sama ada di pasaran sah atau haram, menyebabkan bilangan penyu semakin merosot dan akhirnya akan pupus.
"Dengan setiap tajaan sarang penyu, LTTW juga akan memaklumkan penaja tentang situasi terkini sarang yang ditaja seperti bilangan telur, jangkaan masa untuk anak-anak penyu menetas, dan peratus yang berjaya menetas dan dilepaskan kembali ke lautan," katanya.
Katanya, maklumat lanjut boleh didapati di https://www.langtengahturtlewatch.org/adoptions/ dan bagi individu yang berminat menjadi penaja sarang, boleh layari http://tinyurl.com/AdoptionFormLTTW.
Menurut Yasmin untuk rekod, LTTW telah berjaya menyelamatkan lebih 80,000 telur penyu agar dan hijau serta tuntung laut daripada dijual di pasaran sejak 2016 hingga 2021.
"Usaha pemuliharaan oleh LTTW ini telah membantu meningkatkan jumlah penyu agar, penyu hijau dan tuntung laut yang terancam di Terengganu," katanya.
18 Jan 22
508
Konvokesyen Secara Bersemuka Babitkan 3,345 Graduan UniSZA, Ahad Ini
KUALA NERUS, 18 Januari – Seramai 3,345 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi tahun 2020 akan diraikan di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Kali ke-12 secara bersemuka selama lima hari bermula 23 hingga 27 Januari depan.
UniSZA dalam satu kenyataan memaklumkan, konvokesyen akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Sebanyak sepuluh sidang dijadualkan akan berlangsung bermula dari Ahad ini, bertempat di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), UniSZA Gong Badak," ujarnya.
Dalam masa yang sama, satu festival maya sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen turut berlangsung selama lima hari bermula Ahad ini.
Katanya pelbagai aktiviti menarik sepanjang Festival Maya ini antaranya Pertandingan Membaca Berita, Penulisan Khat, Mewarna, Fotografi, e-Sport dan Tarannum Al-Quran.
Sehubungan itu, UniSZA menjemput orang ramai untuk turut serta bagi memeriahkan lagi festival yang berlangsung secara dalam talian ini di platform You Tube dan Facebook.
18 Jan 22
714
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
SETIU, 18 Januari - Barangan kraf tangan seperti lekar yang diperbuat daripada lidi nipah kini makin dilupai namun pengusaha kraf tangan lekar di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu masih lagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang berusia lebih 100 tahun.
Salah seorang pengusaha, Fatimah Che Long, 66, walaupun sudah berusia, dia tidak pernah merasa penat atau bosan mengusahakan kraf tangan tradisi itu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan.
Beliau yang menjalankan anyaman berkenaan sejak 18 tahun lalu berkata, meskipun pendapatan tidak seberapa kerana jualan barangan itu banyak bergantung kepada tempahan tetapi ia mampu juga memberi pendapatan sampingan untuk keluarganya.
“Pada zaman dulu lekar dijadikan alas periuk panas tetapi kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman.
“Sekarang ada sesetengah lekar dibuat par untuk hantaran, tempat letak buah-buahan, bakul bawang dan ada juga yang dibentuk untuk hiasan, pasu bunga dan tempat letak mentol,” katanya.
Menurut Fatimah, asas utama menghasilkan bakul adalah menggunakan lidi nipah dan selebihnya bergantung kepada kreativiti masing-masing.
Tambahnya lagi, bekalan lidi nipah mudah diperoleh kerana kawasan terbabit dipenuhi rimbunan pokok nipah yang tumbuh liar sepanjang tebing sungai sambil berfungsi menghalang hakisan.
"Paling utama pembuatannya memerlukan tujuh rumpun daun nipah dan setiap rumpun itu terdiri daripada 25 hingga 30 batang lidi nipah yang sudah matang.lebih 100 batang lidi diperlukan untuk menghasilkan satu lekar bergantung kepada saiznya.
"Proses seterusnya ialah membuat tapak bakul dan diikuti menganyam lidi itu secara berselang seli. Masa yang diperlukan tidak lebih setengah jam tetapi jika barang dihasilkan kecil, masa lebih lama diperlukan," ujarnya.
Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah.
“Kalau lidi yang lebih besar, mak cik hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit untuk hasilkan sebuah lekar,tapi kalau lidi yang bersaiz kecil dan halus, kerjanya agak rumit dan hampir 45 minit diperlukan untuk menghasilkan sebuah lekar.
“Lekar ini dijual mengikut saiz antara RM8 hingga RM18 dan lekar yang dibuat daripada lidi nipah ini tahan lama hingga 10 tahun serta tak mudah rosak sebab lidinya yang kukuh,” katanya yang dapat menghasilkan lebih 200 lekar sebulan.
Selain membuat anyaman itu di rumahnya beliau juga sering diundang untuk mengadakan demotrasi di progam-program tertentu yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.
“Memang mak cik risau, tak ada pengganti yang dapat sambung seni ini sebab sekarang orang muda tak minat nak buat lekar ni termasuk anak-anak sendiri...ada yang tak tahu pun lekar ni diperbuat daripada apa.
“Makcik harap sangat akan ada pihak yang dapat meningkatkan semula industri ini dan makcik bersedia menjadi tenaga pengajar sebab ramai juga orang yang makcik ajar termasuk dari luar negeri, dia orang datang sini dan lihat bagaimana cara kami buat lekar,” katanya.
Fatimah juga berkata, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja pernah mendapat sambutan dari luar negeri, malah turut mendapat sambutan daripada pelancong dari pelbagai negara termasuk China.
18 Jan 22
633
Yayasan Bank Rakyat Peruntuk RM2.5 Juta Untuk Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 17 Januari – Yayasan Bank Rakyat (YBR) peruntuk sebanyak RM2.5 juta bagi program bantuan persekolahan untuk diagihkan kepada 25,000 penerima di seluruh negara
Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata inisiatif ini bagi tingkatkan kualiti dan pencapaian pendidikan dikalangan mereka yang kurang bernasib baik.
"Setiap pelajar menerima insentif tunai sebanyak RM100 setiap seorang bagi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut keperluan masing-masing.
"Bantuan yang diberikan diharap dapat membantu meningkatkan motivasi murid-murid yang tidak berkemampuan untuk menjalani sesi persekolahan yang baru sama seperti mereka yang lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan di Sumai Hotel Apartment, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, sebanyak RM15,000 diagihkan kepada 150 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Terengganu.
Menurut beliau, bantuan itu merupakan inisiatif YBR bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak.
"Ini merupakan Program Kembali ke Sekolah YBR pertama tahun ini dan ia akan diteruskan ke Pahang pula pada minggu depan dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2022 bermula Mac nanti," katanya.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata pihaknya ada menerima permohonan tambahan untuk bantuan persekolahan.
"Kita ada menerima 4,000 permohonan tambahan dan akan dibawa ke mesyuarat ahli lembaga untuk diputuskan secepat mungkin ," jelasnya.
17 Jan 22
368
Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula
KEMAMAN, 17 Januari - Kilang Besi Perwaja di Telok Kalong, bakal dibangunkan semula dalam tempoh terdekat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu JXR Manufacturing yang akan membangun semula kilang Perwaja Steel Kemaman.
"Syarikat yang menghasilkan 'steel billet' ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak tujuh juta metrik tan kargo setahun.
"Ini adalah perkara yang dinantikan oleh pemain industri dan akan memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat kelak," ucapnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Illustrasi Pelabuhan Kemaman yang baru.
Dalam masa yang sama, beliau yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan dan agensi yang terlibat, perancangan itu dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.
"Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan ini mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan.
"Kementerian juga yakin pembesaran pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus merancakkan pembangunan Koridor Pantai Timur," ujarnya.
17 Jan 22
8474