Artikel "Semasa" Terkini
TSG Terima Tajaan RM9.3 Juta
Seiring sedekad penubuhan, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berevolusi dan dijenamakan sebagai Terengganu Polygon Cycling Team dengan tajaan berjumlah RM9.3 juta.
25 Jan 22
228
Sijil Vaksin Palsu, Lima Individu Sedia Jadi Saksi
Lima individu dikenal pasti membeli sijil vaksinasi palsu di sebuah klinik swasta di Marang.
25 Jan 22
62
Pelaburan Projek Mega Lada Hitam RM360 Juta Ubah Nasib Rakyat
Pelaburan projek mega tanaman lada hitam bernilai RM360 juta bakal mengubah landskap serta sosial ekonomi penduduk di Rhu Tapai, Setiu dan kawasan sekitarnya.
25 Jan 22
137
Penantian Separuh Abad Jambatan Baharu Marang
MARANG, 25 Januari - Penantian lebih separuh abad masyarakat Terengganu khususnya di Marang bakal berakhir apabila projek menaiktaraf jalan dan jambatan merentasi Sungai Marang bernilai RM338.5 juta berjalan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof berkata, masalah kesesakan trafik di jalan sedia ada akan dapat diatasi dan dijangka mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak berbanding sebelum ini.
“Jambatan ini terletak di Laluan Persekutuan 3 (FT003) yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dan merentasi Sungai Marang.
“Pada masa sekarang, jambatan sedia ada yang dibina pada tahun 1960 ini tidak dapat menampung jumlah trafik yang semakin meningkat.
“Struktur jambatan yang sempit juga memberi kesan kesesakan di Bandar Marang dengan tahap perkhidmatan atau Level of Service (LOS) D,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis pelancaran Projek Menaiktaraf Jambatan Merentasi Sungai Marang, di sini, pagi tadi.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi usaha kerajaan negeri tersebut berjaya membuahkan hasil setelah beberapa kali kertas cadangan projek diangkat ke peringkat persekutuan.
“Alhamdulillah, kelulusan projek terbesar di Marang ini (sehingga kini) telah diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 lalu.
“Mesyuarat pra pembinaan projek bersama kontraktor yg dilantik (GPQ- LGBE Joint Venture) telah diadakan dan bakal dilaksanakan secara kaedah reka dan bina dalam tempoh 3 tahun 6 bulan, atau masa 42 bulan dan dijangka akan siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada Oktober 2025.
“Besarlah harapan pihak kerajaan negeri agar kesesakan jalan raya yang dialami selama ini dapat diatasi sepenuhnya, sebaik pembinaan projek ini siap kelak," kata beliau.
Beliau berharap agar pelaksanaan projek ini dapat menjadi pemangkin dalam merancakkan ekonomi penduduk setempat di Marang.
Untuk rekod, skop kerja yang akan dilaksanakan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer kepada empat lorong dua hala dengan piawaian R5, menaiktaraf dua buah jambatan kepada empat lorong dua hala di Sungai Marang dan Sungai Rinting.
Pembinaan juga termasuk membangunkan jejambat dari persimpangan Bandar Marang merentasi Sungai Marang dan membina sistem perparitan di kiri dan kanan jalan.
25 Jan 22
5443
'Tak Sabar Menanti Siapnya Jambatan Baharu Marang'
MARANG, 25 Januari - Rata-rata penduduk di Terengganu khususnya di daerah ini sudah tidak sabar menanti siapnya jambatan baharu Marang yang bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.
Peniaga, Rozi Mohd, 58, menyambut baik usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam menaiktaraf jambatan Laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dalam memudahkan urusan dan keselamatan pengguna.
Katanya, jambatan terdahulu yang berusia lebih 60 tahun terkenal dengan kesesakan trafik terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.
“Dengan jambatan baru ini tidak sibuk sangat lah jalan besar ini, nanti ia akan jadi lancar sama seperti di jambatan Kuala Ibai.
“Diharapkan juga kerja pembinaan ini comel dan tidak membawa masalah kepada orang kampung.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri diatas pembinaan kemudahan ini, selama ini terpaksa ‘berkepit’ sehingga ke simpang empat bandar Marang dan risiko kemalangan tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pantai Seberang Marang, pagi tadi.
Perasaan sama turut disuarakan seorang rumah Rakiah A Rahman, 64, yang menyifatkan penantian lebih separuh abad terhadap pembaharuan tersebut amat ditunggu-tunggu warga Marang.
“Saya bersama rakan satu kejiranan, Yahana Othman telah hidup sini sejak pembangunan jambatan pertama di Sungai Marang, sepanjang hidup di sini, jalan sibuk di laluan menghala Kuala Terengganu membuat kami nak melintas pun takut.
“Alhamdulillah dengan pembaharuan ini, kami amat suka dan memang sudah lama ditunggu-tunggu,” jelasnya.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, projek untuk menaiktaraf jalan dan jambatan bernilai RM338.5 juta itu akan mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit dan bakal beroperasi pada Oktober 2025.
Jelasnya lagi, kedudukan jambatan di Muara Sungai Marang yang menjadi perhentian untuk pelancong ke Pulau Kapas, Pulau Redang dan lain-lain akan menjadi penyumbang kepada sosioekonomi dan merancakkan ekonomi penduduk setempat di dalam industri perikanan dan pelancongan.
25 Jan 22
1757
Datuk 81 Tahun Genggam Ijazah Sarjana, Kini Sambung Phd
KUALA NERUS, 25 Januari- Seorang datuk kepada empat cucu antara 3,345 graduan yang menerima anugerah sarjana pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12 di sini, bermula semalam.
Bergelar seorang peguam, Datuk Victor Isaacs, 81, membuktikan warga tua mampu menggenggam ijazah biarpun sudah lanjut usia.
Katanya, semuanya tidak mustahil jika ada keazaman dan kecekalan dan yang paling penting, sentiasa ingat yang umur itu bukanlah satu penghalang.
“Tiada yang terlambat bagi seseorang mencapai cita-citanya. Selagi ada hayat, kita harus mencari ilmu,” ujar bapa kepada enam anak itu ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, di sini, hari ini.
Victor yang menerima Ijazah Sarjana Sains pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12 berkata, menyambung pengajian pada usia emas bukan mudah, namun ia antara cabaran perlu ditempuhnya.
“Sepanjang tempoh belajar lebih empat tahun di UniSZA, saya akui menghadapi kekangan tertentu tetapi semua itu tidak pernah lunturkan semangat untuk berjaya terutama apabila meneruskan pengajian dalam bidang berbeza.
“Sebelum ini, saya adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan sekarang saya mempunyai firma guaman sendiri dan berkerja sebagai peguam sejak 40 tahun lalu,” katanya yang hadir bersama isteri dan anaknya.
Menurutnya, kini dia meneruskan pengajian di peringkat PhD bermula tahun 2020 dalam mod penyelidikan dalam bidang Euthanasia.
“Saya sedang buat kajian tentang keganasan dalam rumahtangga yang dipengaruhi oleh dadah dan saya temubual beberapa orang penagih berkenaan kajian ini,” katanya
25 Jan 22
1217
Sebak Terima Ijazah Arwah Suami
KUALA NERUS, 25 Januari – “Segala kerja keras suami berbaloi apabila tamat pengajian sarjana pada 2020, tetapi saya sedih kerana arwah tidak sempat meraikan kejayaannya menggulung ijazah,” ujar Nor Hidayu Abd Wahab, 30, sambil menahan sebak.
Isteri kepada Allahyarham Mohd. Huzir Mohamed, 35,berkata dia tidak dapat menahan air mata ketika menaiki pentas menerima skrol ijazah sarjana mewakili Allahyarham suaminya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12.
“Semasa kami berkahwin, arwah memberitahu niatnya untuk sambung belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah (Phd) sebelum berusia 40 tahun, namun apa daya perjuangan hanya sampai di sini.
"Walaupun sedih suami tidak dapat mengambil sendiri skrol ini tapi saya bangga kerana arwah berjaya menamatkan ijazah sarjana yang merupakan impiannya," katanya kepada pemberita selepas menerima Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-12 Unisza, di sini semalam.
Menurut Nor Hidayu, suaminya berkhidmat sebagai Pengarah Khidmat Pengurusan di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang sebelum menyambung pengajian di UniSZA.
Allahyarham Mohd Huzir yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada 2020, meninggal dunia tahun lepas akibat serangan jantung pada usia 35 tahun.
Katanya, kematian suaminya disedari apabila rakan Mohd. Huzir memaklumkan gagal menghubungi Allahyarham, sekali gus dia bergegas pulang ke rumah di Kampung Ladang, Kuala Terengganu dari tempat kerja untuk memeriksa keadaan
Menurut Nor Hidayu yang bekerja sebagai pembantu kedai cermin mata, dia masih terkesan dengan pemergian Mohd. Huzir terutama apabila kejadian itu berlaku pada tarikh sama ulang tahun perkahwinan ketiga mereka.
Pada majlis konvokesyen UniSZA kali ke-12, seramai 3,345 graduan UniSZA menerima ijazah masing-masing selama lima hari bermula Ahad.
25 Jan 22
974
TDM Tawar 800 Peluang Pekerjaan Kepada Warga Tempatan
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan dalam tempoh pandemik COVID-19.
Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata pihaknya kini giat menjalankan usaha merekrut penduduk tempatan, terutamanya masyarakat di kawasan perniagaan syarikat berada dan beroperasi di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu.
Katanya, langkah itu dalam masa sama dapat mengurangkan kebergantungan syarikat kepada tenaga asing sekali gus dapat meningkatkan kemahiran golongan sasar.
“TDM menerusi bahagian perladangan syarikat, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP), kami kekal komited dalam mendorong dan memberi keutamaan tersebut kepada masyarakat setempat terutamanya apabila penutupan sempadan telah berkuatkuasa, sekaligus telah menghalang pengambilan pekerja asing.
“Usaha ini diperhebatkan sejak pandemik Covid-19 melanda bagi membantu mereka yang terjejas sekali gus mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja berikutan penutupan sempadan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Najman,TDMP sering menghadapi cabaran dalam menarik minat warga tempatan untuk pekerjaan yang sukar, bahaya, kotor, dan merendahkan (4D).
“Kami sedia maklum tentang kurangnya minat rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, untuk mengisi peluang pekerjaan yang ada di dalam industri ini.
“Walaubagaimanapun, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami kekal komited dalam mendorong dan memberi keutamaan tersebut kepada masyarakat setempat terutamanya apabila penutupan sempadan telah berkuatkuasa,”ujarnya lagi.
Sehingga kini katanya, TDMP telah berjaya merekrut seramai 1,422 pekerja tempatan yang terdiri daripada operator mesin separa mahir, penuai buah kelapa sawit dan pekerja am di 13 ladang syarikat di Terengganu.
“Dalam tempoh yang mencabar ini, kami bukan sahaja berusaha untuk memberi jaminan pekerjaan kepada kakitangan syarikat dan pekerja kami, tetapi juga untuk terus menawarkan peluang pekerjaan dan memberi pendapatan yang stabil kepada tenaga kerja tempatan.
“Selain latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cuti tahunan, elaun dan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah di samping pelbagai manfaat lain kepada pekerja ladang," ujar Najman.
Tambah beliau lagi, melalui pelan imbuhan baharu dan setelah mencapai produktiviti yang ditetapkan, ada di kalangan penuai buah kelapa sawit berjaya membawa pulang gaji yang lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 walaupun hanya beberapa bulan bekerja.
“Ini jelas menunjukkan bahawa peluang pekerjaan ditawarkan syarikat boleh memberikan pendapatan yang mampan walaupun ketika musim pandemik, dan kami berharap lebih ramai penduduk tempatan mengambil peluang yang disediakan,”katanya.
25 Jan 22
2048
Hospital Pengajar UniSZA Beroperasi Secara Berperingkat April Ini
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini siap sepenuhnya dan menunggu untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof, berkata hospital setinggi enam tingkat yang dilengkapi 200 katil itu siap sepenuhnya pada 11 Disember 2021.
"Kita jangka hospital ini beroperasi secara berperingkat bermula April 2022 setelah kelengkapan perubatan selesai dipasang di wad - wad di seluruh hospital.
"Hospital ini juga bakal menjadi pusat pengamalan ilmu kepakaran perubatan kepada para mahasiswa bidang perubatan UniSZA," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat tinjauan ke Tapak Projek Seliaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di Pejabat Tapak Projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas, di sini hari ini.
Tambah beliau, selain dari blok utama, hospital itu turut dilengkapi dengan blok kejuruteraan, blok pengurusan jenazah dan blok hyperbaric.
24 Jan 22
1384
KT Bypass Bakal Beroperasi Menjelang Aidilfitri Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Kuala Terengganu (KT) Bypass dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh hampir enam kilometer dijangka beroperasi menjelang Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof, berkata kemajuan projek yang bermula pada tahun 2016 kini telah mencapai 92 peratus iaitu awal 18 hari dari tarikh yang ditetapkan.
Katanya, projek KT Bypass dengan kos RM220 juta sebenarnya dijadualkan siap sepenuhnya pada September tahun ini tetapi dijangka siap lima bulan awal.
"Selepas mendengar taklimat dan pihak kontraktor memberi komitmen untuk siapkan lebih awal iaitu pada April.
"Jadi saya harap kemajuan kerja projek ini tidak ada masalah dan dapat dibuka kepada orang ramai menjelang raya tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat tinjauan ke Tapak Projek Seliaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di Pejabat Tapak Projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas, di sini hari ini.
Menurut Fadillah, jalan pintasan tersebut dapat memberi manfaat kepada 70,000 orang penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar.
Tambah beliau, selain mengurangkan kesesakan trafik, pengguna juga dapat menjimatkan jarak dan masa perjalanan.
"Projek untuk mengalirkan keluar kenderaan daripada memasuki Bandaraya Kuala Terengganu.
"Ini akan mengurangkan kesesakan didalam pusat bandar dan pada masa yang sama dapat mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya dengan penjimatan masa sebanyak 30 minit," ujarnya lagi.
Antara skop projek ini adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir di Kampung Durian Burung dengan piawaian reka bentuk Jabatan Kerja Raya (JKR) U5.
Turut dibina adalah lima buah jejambat serta melibatkan skop naik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.
Selain itu, skop kerja lain adalah penyediaan sistem perparitan dan pembentungan yang sistematik, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pemasangan kelengkapan jalan, pengalihan utiliti dan pembinaan dua buah 'vehicular box culvert' (VBC).
Sementara itu, satu lagi projek berskala besar menaiktaraf jalan raya akan dibuat di Kampung Kemat menghala ke Kuala Poh, di Hulu Terengganu, membabitkan kos RM27 juta, bermula Mac depan.
24 Jan 22
10552