Artikel "Semasa" Terkini
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
KUALA NERUS, 30 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perkembangan itu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, inisiatif tersebut juga diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya.
"Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini hari ini.
Tambah Ariffin, pihaknya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk terus bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri terbabit.
"Kita telah mengemukakan cadangan kepada AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu," ujar beliau lagi.
Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19.
Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini.
Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik.
"Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa," ujarnya.
30 Jan 22
2497
Projek Jambatan Marang : Keselamatan Pengguna Jalan Raya, Penduduk Diutamakan
MARANG, 30 Januari – Kerajaan pusat dan negeri akan memberi keutamaan terhadap keselamatan para pengguna jalan raya serta penduduk di sekitar kawasan pelaksanaan projek mega menaiktaraf jalan dan jambatan baharu di daerah itu bernilai RM338.5 juta.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, cabaran utama pastinya akan melibatkan trafik aktif sepanjang Laluan Persekutuan 3 (FT003) yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dan merentasi Sungai Marang.
“Dengan kadar aliran trafik harian mencecah sehingga 31 ribu kenderaan, isu keselamatan para pemandu perlu diuruskan dengan baik.
“Kedua, keutamaan kepada keselamatan penduduk juga perlu diberi perhatian, diharapkan para kontraktor mengambil kira aspek ini dan mengurangkan ketidakselesaan kepada komuniti setempat dan pengguna jalan ini,” katanya lagi dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kerja penaiktarafan jambatan tersebut yang mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak akan mengambil kira keperluan para nelayan dengan pusat pendaratan alternatif.
“Bot-bot nelayan terutamanya dari Zon C (12 hingga 30 batu nautika dari persisiran pantai) dan C2 (melebihi 30 batu nautika dari persisiran pantai) juga akan dapat menggunakan alternatif untuk pendaratan hasil.
“Ini melibatkan lokasi yang menyediakan kemudahan spesifikasi vessel tersebut seperti di Jeti Chendering dengan melalui laluan air di bawah jambatan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, pelaksanaan projek tersebut akan dipantau dengan teliti oleh pihak berkaitan supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh 42 bulan itu.
30 Jan 22
1649
Kerosakan Lampu Jambatan Angkat Sedang Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Kerosakan lampu pada ikonik Terengganu, jambatan angkat kini dalam proses pembaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman.
Katanya, orang ramai diminta bertenang dan tidak mmenyebarkan berita tidak benar yang boleh menjejaskan industri pelancongan Terengganu.
“Sebenarnya berlaku kerosakan pada lampu di Drawbridge dan kini sedang dibaiki, bukan kita sengaja tidak pasang.
“Justeru itu, diharapkan orang ramai dapat bersabar dan kita akan usahakan yang terbaik agar ianya dapat berfungsi seperti biasa,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial, dimana netizen mempersoalkan mengapa lampu pada Drawbridge hanya menyala sebelah sahaja, sekaligus mengecewakan mereka yang mahu mengabadikan gambar kenangan di mercu tanda Negeri Terengganu itu.
30 Jan 22
789
KPDNHEP Gesa Segerakan Pembungkusan Dan Agihan Minyak Peket
MARANG, 30 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa syarikat pembekal minyak masak bersubsidi (peket) di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) menyegerakan kerja-kerja pembungkusan dan agihan minyak bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran.
Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, isu kekurangan bekalan makanan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kuota pengeluaran minyak masih sama dan tidak berkurangan kerana sehingga kini pengeluaran minyak subsidi masih kekal sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.
"Kita telah arahkan semua peserta program COSS supaya segerakan aktiviti pembungkusan dan agihan minyak masak peket kepada rantaian perniagaan mengikut kuota supaya kita dapat wujudkan lambakan di pasaran.
"Sepatutnya isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi tidak timbul kerana jumlah pengeluarannya masih sama, tidak berkurang malah ia turut ditampung dengan subsidi kerajaan bagi minyak botol," katanya selepas meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina di Pasar Awam Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia.
Azman juga berkata, masyarakat di luar bandar juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas di kawasan mereka selain salah laku oleh segelintir peniaga yang tidak beretika di dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka di kawasan tersebut.
"Jika ada individu yang menjadi mangsa syarat 'pelik' oleh pemborong bagi pembelian minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) diminta mengemukakan aduan secara spesifik KPDNHEP bagi membolehkan tindakan segera dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil sekaligus mengekang kesalahan itu daripada terus berleluasa.
"Mereka yang mengenakan pembelian bersyarat misalnya perlu membeli barangan lain untuk mendapatkan minyak masak telah melakukan kesalahan yang berdepan tindakan undang-undang, namun, banyak pihak yang hanya menyalurkan aduan melalui media sosial tanpa memberi maklumat spesifik dan ini menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.
Justeru itu katanya, mana-mana pihak terutama peniaga yang dikenakan syarat tersebut untuk tampil melaporkan kepada KPDNHEP secara spesifik bagi memudahkan tindakan diambil.
30 Jan 22
325
‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
KUALA TERENGGANU, 30 Januari- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Nang Surya Studios bagi mempromosi Wilayah Ketengah, khususnya Tasik Kenyir menerusi telemovie untuk siaran RTM berjudul ‘Mek Raya’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman berkata, telemovie yang memaparkan kisah masyarakat tempatan itu mengadakan pengambarannya seratus peratus di Terengganu di mana sebahagian besarnya dilakukan di sekitar Hulu Terengganu dan Tasik Kenyir.
“Telemovie ini berkisar mengenai masyarakat majmuk "Keluarga Malaysia" di Terengganu dan dalam masa yang sama memaparkan lokasi menarik Wilayah Ketengah yang mencakupi Pulau Orkid, Santuari Kelah, Jeti Gawi, Pulau Poh di Tasik Kenyir, Muzium Bukit Besi dan Kampung Pasir Raja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bagi Telemovie Mek Raya antara Ketengah Holding Sdn Bhd dan Nang Surya Group Sdn Bhd di Primula Beach Resort, hari ini.
Mohd Zaid berkata, Ketengah Holding Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM50,000 untuk produksi ‘Mek Raya’.
“Kita mengharapkan dengan penajaan ini promosi produk pelancongan di Wilayah Ketengah terutamanya dan di Terengganu amnya dapat disebarluaskan.
“Secara tidak langsung, jumlah pelancong ke negeri kita dan Wilayah Ketengah meningkat seterusnya akan melonjakkan rantaian ekonomi peniaga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Nang Surya Group memilih Wilayah Ketengah sebagai lokasi pengambaran bagi telemovie terbitan mereka.
Telemovie 'Mek Raya' menampilkan barisan pelakon antaranya Watie Sadali, Zul Huzaimy, Azrul Rajalawak, Dave, Joyce Harn.
30 Jan 22
776
Nasib Tujuh Keluarga Mangsa Kebakaran Terbela
KEMAMAN, 29 Januari - Nasib tujuh keluarga yang menjadi mangsa rumah terbakar di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi terbela apabila kerajaan negeri akan membina kediaman baharu untuk mereka.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat memahami situasi mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut.
"Projek pembinaan rumah ini akan bermula Mac depan dan dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri," ujarnya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada semua mangsa itu, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, organisasi-organisasi daripada parti dan badan bukan kerajaan (NG0) serta orang awam yang telah sama-sama menyumbang bagi meringankan bebanan mangsa ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat memaklumkan tujuh buah rumah itu akan dibina semula di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Kita bersimpati dengan mangsa terlibat dan akan membina semula rumah dengan kos sebanyak RM60,000 sebuah," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.
29 Jan 22
344
Pelajar UniSZA Kutip Satu Tan Sampah Di Pantai
KUALA NERUS, 28 Januari - Seramai 37 orang pelajar antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif mengutip satu tan sampah di pantai di Seberang Takir hari ini.
Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA, Anuar McAfee berkata, mahasiswa dari pelbagai negara seperti Syria, Bangladesh, Pakistan, Nigeria dan Indonesia telah menyertai usaha yang julung kali diadakan, mengutip sisa buangan termasuk botol plastik dan jala ikan lama.
“Dengan adanya aktiviti sebegini, ia dapat meningkatkan kesedaran tentang mencintai alam sekitar serta memupuk satu budaya dalam mengekalkan kebersihan pantai dan kelestarian laut.
“Plastik yang tidak dibuang secara betul akan menjejaskan kehidupan marin terutamanya penyu.
“Di samping itu, program ini berperanan dalam mewujudkan hubungan baik bersama komuniti setempat dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk berkenalan dan mengenali masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pembersihan pantai yang diadakan dari 7.30 sehingga 10 pagi dengan kolaborasi Koperasi Homestay Teluk Ketapang yang diterajui oleh Md Azmi A Aziz.
Turut hadir, Penghulu Mukim Seberang Takir, Khairi Ghazali.
Untuk rekod, UniSZA mempunyai 1,170 orang pelajar antarabangsa dari 40 buah negara yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, Master dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang. Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar dan kepekaan kepada isu semasa seiring dengan moto universiti iaitu 'Ilmu demi faedah insan'.
28 Jan 22
801
99 Peratus Program, Projek Pertanian Terengganu Berjaya Dilaksanakan
BESUT, 29 Januari – Kerajaan negeri berjaya melaksanakan lebih 99 peratus program atau projek dalam kalendar Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021 sekali gus membawa manfaat buat lima ribu petani serta peladang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, daripada peratusan itu, kesemua 45 projek pembangunan dijalankan melibatkan dana sebanyak RM12.4 juta.
Katanya, antara projek tersebut ialah operasi melabuhkan 58 unit tukun bernilai RM1.069 juta di perairan negeri untuk manfaat nelayan.
“Kami meredah laut dengan gelombang angin Tenggara bulan Oktober untuk selesaikan proses labuh tukun ini dari Kemaman sampai ke Besut,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Dataran Pekan Jabi, semalam.
Katanya lagi, para nelayan di Jeti Kampung Batin Seberang Takir, Kampung Tok Fakir Merchang, Kampung Fikri dan Kampung Geliga, Kemaman yang sekian lama menggunakan kemudahan jeti kayu uzur, merbahaya serta berisiko telah menerima jeti konkrit.
Beliau berkata, nelayan pantai yang tidak cukup modal hendak membeli peralatan, kerajaan negeri membelanjakan RM300,000 bagi bantuan peralatan untuk nelayan zon A seperti fishfinder, peralatan memancing, kawat bubu dan pukat tangsi.
"Ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil akuakultur tidak dapat dipasarkan di mana kerajaan memperuntukkan RM200,000 untuk menyalurkan bantuan makanan ikan kepada 700 penternak akuakultur air tawar dan air payau yang berdaftar seluruh negeri," jelasnya.
Beliau turut menyentuh kawasan sawah padi Kampung Pengkalan Nangka, Kampung Bharu dan Tok Saboh berjumlah ribuan ekar yang terbiar disebabkan kerosakan empangan sejak 2012, kini berjaya dihijaukan kembali.
“Projek yang telah memberi impak besar kepada petani dan penghasilan makanan negeri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.
Tambahnya, pesawah di Skim Pengairan Che Mohid Setiu yang sekian lama berhadapan masalah pengairan, akhirnya diselesaikan dilema mereka dengan pembinaan empangan low weir dengan peruntukan kerajaan negeri menjadikan 200 hektar tanah sawah kembali subur menghijau.
Secara dasarnya, ujar beliau kawasan penanaman padi aktif terutama yang berada dalam kawasan Jelapang Padi IADA Ketara adalah perlu dikekalkan sebagai sawah padi demi kelangsungan sumber bekalan makanan negeri.
“Ketika penanam tembikai tak dapat pasarkan hasil dari lebih 200 ekar kebun disebabkan PKP pada Mac 2020, kerajaan negeri belanja lebih RM200,000 untuk beli hasil tembikai dan buka lebih 40 outlet jualan untuk bantu pemasaran,” ujarnya lagi.
Di samping itu, katanya pelaksanaan pelbagai program dan bantuan dari Januari-November 2021 telah memberi manfaat kepada seramai 3,447 petani, 622 penternak dan 1,880 nelayan dengan nilai RM3,051,380.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha kerajaan negeri dalan bidang pertanian mula menampakkan hasil dengan peningkatan SSL makanan ruji padi, pada tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus), 2020 (53 peratus) dan SSL 2021 mencapai 55.8 peratus.
Azman turut mengulas tentang projek perumahan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga tapak Besut, Setiu dan Kemaman.
"Pembinaan 50 unit rumah di setiap tapak dengan kos RM24 juta iaitu RM13 juta daripada peruntukan LKIM dan baki RM11 juta dari peruntukan kerajaan negeri.
"PSN Kemaman dan Besut telah dibuat majlis pecah tanah pada 30 Disember 2021 dan 23 Januari 2022 seterusnya akan disusuli majlis pecah tanah untuk Setiu," ujarnya.
28 Jan 22
1032
Karnival Pertanian Terengganu Sasar Lebih 100,000 Pengunjung
BESUT, 27 Januari – Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 yang berlangsung hari ini sehingga 29 Januari menyasarkan lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan pengalaman penganjuran karnival-karnival sebelumnya mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Antara pengisian ‘wow factor’ seperti lembu sado, kambing, gajah denak bernama suria dan lain-lain lagi disamping pameran disertai 13 agensi menunjukkan teknologi serta inovasi terbaru.
“Sukan rakyat juga diadakan disamping sukan permotoran Cub Cross diikuti acara keagamaan pada mala mini bertemakan sumber makanan halal dan berkat.
“Para pengunjung juga dapat menikmati diskaun harga potongan harga sehingga 20 peratus sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan pelbagai jenis barangan keperluan pengguna dijual dengan ayam, ikan, telur ayam, pelbagai jenis sayuran dan barangan kering,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021, Dataran Pekan Jabi, Besut, pagi tadi.
Jelasnya, program tersebut merupakan manifestasi usaha kerjasama kerajaan negeri sebagai pembuat dasar dan jabatan serta agensi pertanian sebagai pelaksana perancangan demi berkongsi manfaat sektor itu kepada rakyat.
“Dalam kesempatan acara santai ini, ia menjadi jambatan penghubung antara badan pelaksana dan komuniti setempat bagi mewar-warkan pencapaian kita.
“Rakyat perlu tahu dimana peruntukan digunakan dan apa hasilnya atau kata lain ‘check and balance’,” katanya lagi
27 Jan 22
1347
Pasangan Suami Isteri Terima Diploma Arwah Anak
KUALA NERUS, 27 Januari- Pasangan Ahmad Badri Abd Wahid, 54, dan Zubaidah Mohd Yusof, 54, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri mengambil diploma anak ketiga mereka pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Badri, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Selangor menerima diploma bagi pihak anaknya, Ahmad Wafi, 22, graduan Diploma Pengajian Islam (Al Quran dan As Sunnah) yang meninggal dunia pada 9 Disember 2020 akibat serangan jantung ketika bermain futsal.
Ketika itu, Ahmad Wafi sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana muda Usuluddin dengan Kaunseling untuk semester pertama di UniSZA pulang ke kampungnya di Sungai Besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad Badri berkata, walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri, dia dan isterinya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.
"Kami teruja untuk hadir ke majlis hari ini dan seronok melihat rakan-rakan arwah meraikan kejayaan masing-masing meskipun anak saya tiada bersama.
"Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan. Saya bangga dengan dia sebab memilih pengajian dalam bidang agama sama seperti saya dan isteri,” katanya.
Diploma berkenaan telah disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Seramai 3,345 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu.
27 Jan 22
1262