Artikel "Semasa" Terkini
Pilih TESDEC Demi Masa Hadapan Lebih Terjamin
KUALA TERENGGANU, 6 Mac- Antara kriteria yang menjadikan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) menjadi rebutan dan pilihan belia dan beliawanis di negeri ini adalah kerana ia menjamin masa hadapan yang cerah untuk para graduannya.
Ia terbukti apabila laporan Ketua Audit Negara pada dua tahun lepas menyatakan hampir 85 peratus pelajar lepas institusi ini telah mendapat pekerjaan hanya dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mengikut bidang masing-masing.
Menurut pelajar terbaik TESDEC, Siti Mariam Jaafar berkata, dari pengalaman yang ditimbanya selama dua tahun dalam kursus jahitan mengakui bahawa latihan yang diberikan mampu untuk menjadikan para pelajarnya memiliki kemahiran tinggi.
"Saya masuk ke sini dahulu saya tiada memiliki apa-apa kemahiran , bermula daripada kosong, namun dengan belajar di sini saya benar-benar menekuni pengajian dalam jurusan yang saya minat ini.
"Saya mengetahui tentang TESDEC ini semasa belajar di Sekolah Menengah Seri Nering, Besut dimana ketika diadakan lawatan ke pusat ini saya memasang impian untuk ke sini.
"Kerana yakin bahawa TESDEC ini telah terbukti melahirkan ramai tenaga mahir, saya berkeyakinan dengan latihan yang diikuti selama ini saya mampu untuk membuka kedai jahitan sendiri, kerana ilmu yang dipelajari telah menjadikan saya mahir untuk menjahit pelbagai jenis pakaian mengikut citrasa terkini.
"Namun, buat masa ini saya hendak cari pengalaman dahulu bekerja dengan majikan, saya yakin apa yang dipelajari selama ini adalah bersesuaian dengan kehendak semasa dan mampu buat yang terbaik untuk majikan apabila diterima bekerja kelak,"ujarnya yang merupakan anak jati Besut.
Siti Mariam berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Konvokesyen Ke-4 dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC. di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Dimana dalam majlis berkenaan, 126 pelajar telah diberikan sijil kerana telah menamatkan latihan dan seramai 11 graduan akan dianugerahkan sebagai graduan terbaik mewakili kursus masing-masing.
Katanya, kepada mana-mana pelajar yang memasang impian untuk turut menyambung pengajian di institusi berkenaan perlu yakin bahawa sehingga ke hari ini para graduannya telah ramai yang berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi pelajar terbaik, Amir Hamzah Omar berkata, sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus tekad untuk menyambung pengajian di TESDEC dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Automotif kerana yakin mudah mendapat pekerjaan.
"Saya minat dalam bidang ini semenjak di bangku sekolah lagi, itulah diantara mendorong minat saya untuk belajar di sini, serta mengetahui mengenai para graduan di sini semuanya telah mendapat pekerjaan yang baik itu antara faktor yang menjadi pendorong saya.
"Sebagai seorang pelajar di sini saya merasa sangat bertuah kerana menimba ilmu serta pengalaman yang berharga sebagai persediaan untuk bekerja di luar sana, mana-mana yang hendak belajar di sini sangat dialu-alukan kerana pensyarahnya sangat mahir dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.
"Apa yang utama selepas habis menamatkan pengajian di sini pergilah ke mana-mana pun, pasti akan diterima untuk bekerja kerja sijilnya laku dan diiktiraf,"ujarnya.
06 Mar 22
2231
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua PPS Ditutup
KUALA TERENGGANU, 5 Mac- Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Terengganu ditutup sepenuhnya hari ini.
Tiga PPS di daerah Hulu Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan Menerong di Kampung Gunung, Dewan Institut Felcra Betong dan Felcra Gunung Menerong menjadi PPS terakhir yang ditutup secara rasminya pada pukul 1 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, walau bagaimanapun semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masih dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
"Keadaan cuaca semasa ketika ini hujan di satu dua tempat," ujarnya.
Menurutnya, bencana banjir gelombang kelima di Terengganu melanda semua daerah di negeri ini dengan Kemaman paling teruk terjejas.
05 Mar 22
293
Tanah Runtuh, Aliran Puing Punca Kayu Hanyut Di Kenyir
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Hujan lebat mencecah 1,000 milimeter dan aliran puing menjadi punca berlakunya banjir serta kegelinciran tanah di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir pada Ahad lalu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kelmarin mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian seperti didakwa segelintir pihak.
"Siasatan pada 1 Mac di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan terbabit membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana berlaku di kawasan cerun sungai tersebut.
"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.
“Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mm,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sisa kayu yang dihanyutkan.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menjelaskan, geliciran tanah dianggarkan bersaiz 100 meter panjang, 50 meter lebar dan tebal antara 5 hingga 10 meter.
"Aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu pula ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang.
“Mesyuarat penyelarasan pasca bencana telah dijalankan dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu sedang giat dilakukan. Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa juga dijalankan bagi mengawasi keadaan,” katanya.
Terdahulu beliau memaklumkan, jumlah kerugian runtuhan yang berlaku di beberapa tempat di sepanjang laluan Kenyir sehingga ke Kuala Berang itu belum ditaksirkan lagi.
Kawasan tanah runtuh kelihatan dari jauh.
03 Mar 22
2052
9,732 Mangsa Banjir Terengganu Masih Di PPS
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Seramai 9,732 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.
Kesemua mangsa daripada 2,491 keluarga itu ditempatkan di 35 PPS di lima daerah negeri ini membabitkan Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dimana 4,858 mangsa daripada 1,207 mangsa berada 19 PPS di daerah itu.
Di Kemaman, mangsa banjir yang direkodkan adalah seramai 3,769 orang membabitkan 1,009 keluarga dipindahkan ke lima PPS.
Sebanyak 200 keluarga membabitkan seramai 815 mangsa berada di tujuh PPS di Dungun.
Seramai 177 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di empat PPS bagi daerah Kuala Nerus, manakala sebuah PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 113 mangsa daripada 26 keluarga di Kuala Terengganu.
03 Mar 22
376
'Bukan Sebab Pembalakan, Tapi Tanah Runtuh'
'Bukan pembalakan, tapi berlaku tanah runtuh," itu respon ringkas penduduk di Kampung Belukar Bukit, Mamat Ali, ketika ditanya mengenai dakwaan songsang segelintir pihak berhubung punca banjir teruk di kawasan terbabit.
03 Mar 22
148
Bantuan Banjir Kekal
Bantuan banjir kekal kepada mangsa yang terjejas banjir sebagaimana diumumkan ketika gelombang pertama.
03 Mar 22
175
PETRONAS Sumbang RM400 Ribu Misi Bantuan Banjir Di Terengganu Dan Kelantan
KEMAMAN, 3 Mac - PETRONAS menyerahkan sumbangan bernilai RM400,000 bagi menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir di lapan daerah di Terengganu dan Kelantan.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli, berkata pihaknya sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir yang terjejas dan berharap agar sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga-keluarga yang terlibat.
“Sumbangan kepada 1,500 keluarga mangsa banjir itu disampaikan melalui Pejabat Daerah di Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Kuala Nerus, Jeli, Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Setiap keluarga terpilih, menerima sumbangan bernilai RM 200 berupa bekalan makanan asas, kit penjagaan dan kebersihan diri serta “Mesra Gift Card” untuk pembelian keperluan di stesen minyak PETRONAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam masa yang sama, PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) turut menyediakan perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR) yang ditempatkan di lokasi operasi menyelamat
“Perkhidmatan ini Sebagai usaha membantu operasi menyelamat yang dilakukan oleh pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
Pada Disember lalu, PETRONAS mengumumkan komitmen sebanyak RM25 juta sebagai bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.
.
03 Mar 22
575
SK Sungai Berua Ibarat Dilanda Tsunami
HULU TERENGGANU, 3 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua disini musnah teruk dan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami selepas dibadai kepala air ketika banjir melanda daerah itu.
Guru Besarnya, Zaidi A. Ghani berkata, kejadian itu berlaku dengan sekelip mata apabila kesemua barangan dan peralatan di sekolah itu tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan begitu cepat bersama arus deras Ahad lalu.
“Saya mendapat panggilan daripada kakitangan sekolah memaklumkan air mula naik dan memasuki kawasan sekolah pada jam 3 pagi Ahad lalu dan dalam tempoh lima minit sahaja kepala air yang turun dari bukit berhampiran telah memenuhi semua kawasan ini .
"Sekolah ini ditenggelami air setinggi enam meter. Boleh dikatakan nilai kerugian dialami sama seperti kos untuk membina semula sebuah sekolah baharu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi berkenaan, semalam.
SK Sungi Berua yang terletak di perkampungan Orang Asli memiliki seramai 70 murid, 11 guru serta dua kakitangan.
Tambah beliau, anggaran kerugian belum dapat dianggarkan lagi buat masa ini tetapi ia merupakan satu kerugian besar melibatkan harta benda sekolah kerana semuanya tidak dapat diselamatkan.
“Antara kerosakan berlaku melibatkan enam bilik darjah, bilik mesyuarat, pejabat, isolasi stor sukan, makmal komputer, perpustakkan surau, bilik guru dan padang bola.
“Turut musnah ialah 20 peralatan sekolah dan 30 komputer baharu untuk kegunaan murid yang diperoleh tahun lalu. Sekolah turut dipenuhi sampah-sampah dan kayu-kayu yang dibawa kepala air dari atas bukit," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Meja Pengurusan Pendidikan Murid Orang Asli Terengganu, Mohd Sanusi Awang@Hamid berkata, pihaknya akan menyediakan laporan terperinci mengenai kerosakan yang berlaku di sekolah itu dan akan panjangkan kepada PPD sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Namun katanya, fokus utama buat masa ini ialah kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang akan dibantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendikan Negeri Terengganu (JPNT) dan badan bukan kerajaan (NGO).
03 Mar 22
1529
Rumah Baharu Untuk Mangsa Banjir Hilang Kediaman - Maliaman
HULU TERENGGANU, 3 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 membina semula rumah kediaman seorang penduduk yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kampung Belukar Bukit, Ajil baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata pembinaan rumah baharu berkenaan akan dibuat secepat mungkin selepas siap proses tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.
“Dengan jumlah peruntukan yang kita kira sederhana, rumah berkenaan akan mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur dan ruang tamu.
“Proses pembinaan rumah dijangka bermula sebaik sahaja kelulusannya selesai dalam masa terdekat dan kita akan cuba selesaikan sebelum hari raya Aidilfitri ini,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)selepas membuat tinjauan di kediaman mangsa banjir yang musnah secara keseluruhannya di Kampung Belukar Bukit, di sini hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir, Endon Ismail, 67, berkata kejadian tersebut menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah, manakala di bahagian dalam rumahnya dipenuhi kayu dan lumpur.
Dia yang kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang bersyukur dengan berita gembira yang dibawa oleh Adun Ajil itu.
"Terima kasih yang tidak terhingga dan hanya Allah yang mampu membalas segala jasa ketika diuji dengan bencana ini.
"Dalam masa yang sama, mak cik terima ujian itu dengan redha walaupun kehilangan segalanya," ujarnya.
03 Mar 22
1362
Pengusaha Bot Pulau Kapas Bantu Mangsa Banjir
Sekumpulan pemandu bot peranginan termasuk pengusaha dari Pulau Kapas mengambil langkah proaktif mengangkut dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di sekitar Kuala Berang.
03 Mar 22
192