Artikel "Semasa" Terkini
Keenakan Kuih Nganang 'Mok' Tiada Tandingan
MARANG, 16 April- Keenakan kuih ‘nganang’ di Kampung Batu 10, Padang Mengkuang, di sini menjadi pilihan penduduk tempatan dan masyarakat luar sepanjang Ramadan.
Pembuat nganang, Hasnah Mat Zin, 72, atau lebih mesra dengan panggilan mok berkata, adunan untuk membuat pemanis mulut yang berlemak manis itu disediakan sendiri olehnya dengan menggunakan resepi turun temurun keluarga sejak 30 tahun lalu.
Katanya, setiap hari sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh, dia akan membancuh adunan untuk penyediaan kuih nganang dan dapur arang digunakan bagi membakar kuih tersebut supaya aroma aslinya tidak hilang.
“Sekarang nie, mok buat dok banyak macam dulu, anak-anak pun dok bagi sebenornya mok buat nganang sebab masuk usia warga emas doh, tapi sebab minat mok buat jugak.
“Biasanya dalam pukul 11 habis doh. Dengan dibantu dua pekerja, mok buat nganang telur, nganang kacang dan kuih bakar. Peminat nganang sanggup tunggu kuih siap dibakar asalkan dapat rasa nganang mok untuk juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui UPDI baru-baru ini.
Hasnah berkata, pada tahun ini dia terpaksa menjual sebiji nganang dengan harga sekitar RM8 kerana kenaikan harga bahan mentah, namun tetap mendapat sambutan daripada pelanggan.
"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap malah ada juga pelanggan baru yang mahu mencuba sendiri keenakan kuih nganang yang diberitahu rakan-rakan," katanya.
Tambah Hasnah, dia bersyukur kerana resepi turut temurun keluarganya itu terus diwarisi oleh anak cucunya.
“Alhamdullillah, anak sulong mok sanggup berhenti kerja kerajaan untuk jual nganang yang turut dibantu oleh anak-anaknya di Kampung Bukit Bayas, dan mok harap sangat ianya terus dipertahankan agar generasi akan datang dapat merasai keenakan kuih tradsional negeri kita ini,”ujarnya.
16 Apr 22
1018
ECRL Bebas Banjir
KUALA TERENGGANU, 15 April - Infrastruktur projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibina lebih tinggi, serta reka bentuk jajaran itu berdasarkan kala purata ulangan (average recurrence interval-ARIL) 100 tahun bagi memastikan ia bebas daripada bencana banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, beberapa lokasi banjir termasuk negeri ini telah dikenalpasti.
"Kerana itu reka bentuknya berdasarkan ARI 100 tahun bagi memastikan landasan dibina lebih tinggi daripada paras banjir tertinggi yang pernah berlaku dalam tempoh 100 tahun dan ditambah lagi 20 peratus.
"Sebagai contoh di Pahang, mengikut statistik ketinggian paras banjir yang pernah berlaku membabitkan Sungai Pahang adalah 38 meter (m) dan landasan yang akan kita bina adalah setinggi 51.2 m, bermakna jajaran dibina adalah lebih tinggi daripada paras banjir yang paling tinggi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama MRL Sdn Bhd, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, pihaknya yakin projek berkenaan akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.
"Dimana secara keseluruhan ia sudah mencapai kemajuan sebanyak 28.57 peratus dan di Terenggang pula sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 27.86 peratus.
"Dengan harapan rakyat akan mendapat satu sistem pengangkutan yang lebih maju, moden dan efisien dalam usaha kita memantapkan perjalanan rakyat daripada setu negeri ke negeri lain,"ujarnya lagi.
Untuk rekod, rangkaian rel sepanjang 665 KM itu merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion.
15 Apr 22
850
Ganja Jika Dibenarkan Beri Impak Negatif Kepada Negara
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kesan negatif yang serius boleh berlaku jika kerajaan membenarkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja setelah ia rancak diperjuangkan oleh sesetengah pihak untuk menjadikan ia sebagai entiti perubatan.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ini kerana ia akan mengundang kepada kecenderungan penyalahgunaan terhadap bahan berkenaan apabila ia dijual atau diperolehi secara mudah.
"Sebagaimana statistik dari penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan untuk tujuan perubatan. Boleh lihat laporan dari laman web rasmi Marijuana Business Daily, dimana penjualannya pada tahun 2017 ($2.5 hingga $3.2 bilion) dan tahun 2018 ($2.9 hingga $3.8 bilion) semakin meningkat
"Ini berlaku kerana permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah pada setiap tahun dan jangkaan jualan semakin meningkat pada 2019 dan tahun mendatang melebihi berkali ganda daripada digunakan untuk perubatan. Perkara ini amat membimbangkan kerana diketahui umum jika disalahgunakan boleh merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat,"ujarnya melalui kenyataan di facebooknya, di sini, pada semalam.
Ujarnya lagi, lebih parah melalui kajian yang dijalankan di Amerika pada 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya seawal usia 12 tahun telah dirawat disebabkan ketagihan terhadap ganja.
"Didapati 10 peratus daripada mereka yang terbabit mempunyai ketagihan yang teruk, dimana kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripanya menggunakan ganja.
"Justeru keadaan ini menunjukkan masalah yang serius telah dihadapi di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan daripada kumpulan yang ingin menghalalkan pengunaannya akan mendatangkan kerugian kepada negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah sebegini.
"Bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental rakyat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan baharu, kerana boleh mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat."katanya.
Tambahnya lagi, mengikut kajian yang telah dikeluarkan oleh National Academis of sciences, Engineering and Medecine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC), Food and Drug Adminstration (FDA) dan beberapa badan terkemuka dan berautoriti menunjukkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja.
"Untuk mengawal semua jenis sakit saraf yang dinamakan 'Chronic Neurophatic Pain', dimana ia hanya digunakan sebagai rawatan tambahan kepada ubatan dan rawatan sedia ada yang telah terbukti berkesan bukanlah digunakan rawatan utama, sebaliknya hanya pilihan akhir dengan penyeliaan perunding berpengalaman dimana pesakit perlu dikawal rapi, setelah timbulnya ketagihan maka ia hendaklah dihentikan.
"Ia juga berkesan digunakan untuk melegakan muntah-muntah disebabkan rawatan kemoterapi juga sebagai pilihan akhir sekiranya rawatan lainya tidak berhasil serta ia boleh mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit 'Multiple Sclerosis'(MS) dalam keadaan ini pun ia masih tidak menjadi rawatan utama,"ujarnya.
Makanala menurutnya, pihak FDA pula meluluskan penggunaan ganja perubatan jenis cecair CBD berjenama Epidiolex ® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak dan di United Kingdon dan Kanada serta beberapa negara Eropah pula meluluskan bahan berkenaan beraskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex ®).
"Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menaman ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia FDA dari WHO itu sudah memadai.
"Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan untuk perubatan berbeza dengan kebenaran dihalalkan untuk tujuan kajian perubatan,"katanya lagi.
14 Apr 22
1204
Singgah Sahur Dekati Pasukan Keselamatan Bersengkang Mata
SETIU, 15 April – Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit telah mengadakan aktiviti tahunan iaitu Singgah Sahur ke agensi kerajaan dan swasta di sekitar Batu Rakit baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Mohd Shafizi Ismail berkata Secara khusus, program tersebut menyediakan bekalan makanan juadah sahur terutama untuk anggota pasukan keselamatan negara yang sedang berdedikasi melaksanakan tugas mereka demi kedaulatan tanah air.
"Sebanyak 100 bungkus makanan diedarkan untuk 31 lokasi, Guard Sekolah, Balai Polis, Klinik dan Somen.
"Tujuan program ini dilakukan adalah untuk menghargai jasa serta penat lelah para petugas-petugas anggota polis, penjaga keselamatan yang setiap hari tanpa mengira waktu sanggup bersengkang mata mengerah keringat dalam memastikan keselamatan masyarakat awam dan Negara terjaga dengan elok dan selamat, "ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita, pada program tersebut, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, katanya program seumpama itu akan diteruskan dengan menyasarkan lagi 300 pek makanan diagihkan kepada anak-anak yatim di waktu akan datang sepanjang bulan yang mulia ini.
Jika ada yang ingin menyumbang, sumbangan anda boleh disalurkan ke :
Kelab Sahabat Cakna Batu Rakit
Bank Muamalat 13010006296712
Ref : Sumbangan Ramadhan
Untuk petanyaan sila hubungi:-
http://www.wasap.my/601116116735/SumbanganRamadhan
14 Apr 22
293
Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu Bermula 22 April Ini
KUALA TERENGGANU, 14 April- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan meneruskan Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 mulai 22 hingga 26 April depan.
Bagi mengembalikan nostalgia tradisi memasang pelita pada malam tujuh likur, program yang berlangsung selama lima hari bertemakan 'Pelita Raya Beautiful Terengganu’ itu akan diadakan di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, pertandingan kali ini, membabitkan penyertaan lapan daerah dari seluruh negeri Terengganu di mana mereka perlu menghiasi monumen seperti rumah-rumah tradisi, perahu besar dan Istana Tengku Long yang terdapat di KBT.
Katanya, Pejabat Daerah Dungun perlu menghias Perahu Besar dan galeri pelayaran, Pejabat Daerah Kemaman (Rumah Nelayan), Pejabat Daerah Besut (Rumah Bujang Serambi Selasar) dan Pejabat Daerah Setiu pula Rumah Bujang Berkembar.
“Manakala Pejabat Daerah Hulu Terengganu ditetapkan untuk mencantikkan Rumah Limas Belanda, Pejabat Daerah Kuala Terengganu (Rumah Tele), Pejabat Daerah Marang (Istana Tengku Long) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus pula akan menghias Laman Warisan.
“Hasil rekaan sebaik-baiknya menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan perlu menggunakan sekurang-kurangnya 100 pelita sumbu. Penambahan replika di kawasan yang ditetapkan adalah satu bonus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Fadli berkata, pihaknya menetapkan penglibatan semua pejabat daerah berikutan pihak itu merupakan keluarga angkat kepada rumah-rumah tradisi KBT.
“KBT akan beroperasi seperti biasa pada waktu siang, dan akan dilanjutkan waktu pengoperasian pada sebelah malam iaitu dari pukul 9 malam hingga 11:30 malam.
"Aktiviti sampingan turut dianjurkan antaranya demontrasi dan jualan produk kering serta makanan moreh tradisional di rumah-rumah dan platform yang disediakan,” katanya.
Menurut beliau, apa yang dianjurkan itu pastinya bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia malam tujuh likur yang lazimnya diamalkan penduduk dahulu kala, malah dapat mempromosikan KBT kepada masyarakat luar, terutama pelancong asing.
“Penganjuran program tersebut juga pada masa sama mampu memupuk semangat cintakan tradisi Melayu dan mengimarahkan hubungan silaturahim antara pejabat daearah dan pengunjung, malah turut dapat menonjolkan elemen pelancongan budaya yang turut sinonim dengan negeri Terengganu.
14 Apr 22
1784
OPS Pantau Elak Peniaga Ambil Kesempatan Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 14 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu sedang mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan bagi mengelakkan wujud peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi itu akan dilaksanakan melalui OPS Pantau 2022 sekali gus memastikan rakyat mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan.
"Penguatkuasaan ini dilaksanakan secara seragam di seluruh negeri membabitkan lokasi tumpuan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan juga kedai runcit. Di mana pemeriksaan dijalankan memberi fokus kepada harga, bekalan, jualan murah dan penjualan barangan tiruan, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP).
"Pemantauan secara lebih kerap dan bersasar dilakukan ke atas bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat menjelang perayaan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barangan membuat kuih muih supaya semuannya mempunyai tanda harga dan dijual pada kadar harga yang telah ditetapkan," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, katanya peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjadikan alasan musim perayaan sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan akan berhadapan dengan tindakan di bawah Seksyen 14 (1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Sekiranya sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan mengikut saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," tegasnya lagi.
14 Apr 22
219
153 Peniaga Bazar Ramadan Dikompaun
KUALA TERENGGANU, 14 April - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengenakan kompaun kepada seramai 153 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan sejak awal Ramadan tahun ini dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM18,100.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr.Kasemani Embong berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mematuhi etika pemakaian seperti tidak memakai apron, tiada suntikan pelalian anti-typhoid, tidak memiliki Sijil Latihan Pengendali Makanan dan tidak menjaga kebersihan diri seperti berkuku panjang.
"Kesalahan boleh dikatakan berlaku di bazar Ramadan di semua daerah melalui pemeriksaan yang kita telah jalankan ke atas 4,938 petak jualan di 59 bazar Ramadan di negeri ini yang dilakukan secara berperingkat melalui 104 pasukan terdiri 278 anggota JKNT yang telah ditubuhkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan beroperasi sepanjang bulan puasa ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 122 sampel makanan yang berisiko tinggi mendatangkan keracunan makanan turut diambil.
"Seperti kuih muih yang berkuah, juadah yang berasaskan santan, kerabu dan sebagainya yang kita merasakan boleh mengundang kepada risiko kita ambil untuk dibuat analisis.
"Bagi memudahkan orang ramai untuk membuat sebarang aduan apabila timbul permasalahan pihak kami telah membuat inisiatif menyediakan QR Kod secara khusus supaya sebarang perkara tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku,"katanya.
14 Apr 22
530
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Fakir Miskin Dan Pelajar Sempena Aidilfitri
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1443H Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di Dewan Az-Zahra’, Istana Syarqiyyah,Kuala Terengganu.
13 Apr 22
265
MB Terengganu Rai Lebih 100 Petugas Media
Hampir 100 warga media diraikan pada majlis berbuka puasa oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
13 Apr 22
374
MB Terengganu Rai Lebih 100 Petugas Media
KUALA NERUS, 13 April - Hampir 100 warga media diraikan pada majlis berbuka puasa oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort, di sini semalam.
Dr Ahmad Samsuri berkata, majlis tersebut diadakan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada semua media yang telah memberikan liputan terbaik terhadap negeri.
"Pihak media telah banyak membantu dalam mempromosikan dasar, polisi, inisiatif dan 'success story' kerajaan.
"Saya berharap dengan adanya majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan dan jalinan silaturrahim antara kerajaan dan juga pengamal media," ujarnya di Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya sentiasa mengambil cakna peranan dan pentingnya pihak media dalam memastikan segala info maklumat, penerangan berkaitan kerajaan negeri disebarkan serta sampai kepada rakyat.
Malah katanya, usaha dan inisiatif turut diperuntukkan bagi memastikan segala usaha penyampaian info maklumat ini berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Kerajaan negeri sememangnya mengiktiraf media sebagai rakan strategik kerajaan.
"Malah lebih tepat lagi rakan strategik jangka masa panjang, dan hubung jalin antara kerajaan dan media dikuatkan lagi dengan program-program seperti yang dianjurkan pada hari ini," ujar beliau.
13 Apr 22
542