lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bekalan Barangan Basah Cukup Menjelang Raya
Bekalan Barangan Basah Cukup Menjelang Raya
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai perkara itu. "Kita menjangkakan tidak akan berlaku situasi di luar jangkaan melihat kepada keadaan yang ada serta usaha yang telah dijalankan bagi mencukupkan segala barangan keperluan termasuk membawa masuk sayur dari luar. "Dengan penyelesaian ini kita mengharapkan agar lebaran pada kali ini dapat disambut dengan baik dan meriah serta tidak akan menjejaskan persiapan untuk menyambutnya lebih-lebih lagi ramai perantau dijangka akan pulang ke Terengganu setelah diberikan kelonggaran," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pasar payang Kuala Terengganu, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof. Mengulas mengenai tinjauan itu, Dr Azman berkata ia bertujuan untuk memastikan barangan keperluan mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat serta harga dipamerkan adalah berpatutan sepanjang ramadan dan Aidilfitri yang bakal disambut nanti. "Kesemua peniaga mematuhi penetapan harga Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) insya-Allah perkara ini akan dipastikan berkekalan dengan pemantauan berterusan oleh penguatkuasa," ujarnya.  
25 Apr 22
340
Guru Digalak Sertai YGMB Untuk bela Nasib Waris
Guru Digalak Sertai YGMB Untuk bela Nasib Waris
KUALA TERENGGANU, 25 April - Para guru digalakkan menyertai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai manfaat antaranya khairat kematian untuk membela nasib waris. Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Abdul Muie Ngah berkata, kebelakangan ini ramai individu termasuk guru meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser. "Saya sentiasa menyarankan guru di Terengganu agar mengambil berat tentang kesihatan dan kebajikan keluarga dan kalau boleh jadilah ahli YGMB," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan khairat kematian YGMB di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu di sini, pada Ahad. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, pihaknya telah menyampaikan sumbangan berjumlah hampir RM25 juta kepada warga pendidik di seluruh negara. "Setakat ini, kita ada 110,000 keahlian berdaftar terdiri daripada guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pegawai Kementerian Pendidikan dan saya harap lebih ramai yang akan mendaftar dengan YGMB agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya. "Selain menjaga kebajikan, YGMB juga sangat aktif mengadakan pelbagai aktiviti dengan pejabat pendidikan daerah, JPN dan KPM untuk membantu meningkatkan profesionalisme guru agar dapat berbakti dengan lebih cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka," katanya. Sementara itu, penerima khairat kematian Othman Mohamad, 50, berkata, sumbangan itu sangat bermakna setelah isterinya Norliza Hasan @ Alias yang merupakan guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin di sini, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 3 November tahun lepas. Othman yang bekerja sendiri berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan serta pendidikan tiga anaknya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, berumur antara sembilan dan 16 tahun. - Bernama  
25 Apr 22
412
112 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan i-Fitri
112 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan i-Fitri
HULU TERENGGANU, 25 April – Seramai 112 keluarga Orang Asli Sungai Berua menjadi antara 4209 penerima agihan bantuan perayaan i-Fitri Negeri Terengganu 2022 peringkat DUN Telemong, di sini. Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan itu merupakan komitmen kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut  Aidilfitri. “Keprihatinan kerajaan negeri menerusi bantuan raya ini akan meringankan beban rakyat golongan B40 dan M40 untuk menyambut hari raya. “Alhamdulillah, kita layan rakyat dengan adil, tanpa mengira mana-mana fahaman politik, bangsa, agama dan etnik. "Kita juga tidak akan sisihkan orang Asli dan sumbangan daripada agensi kerajaan akan diteruskan untuk membantu penduduk etnik ini di sini menjalani kehidupan yang lebih selesa  seperti rakyat lain,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Dana i-Fitri Peringkat DUN Telemong di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini. Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah dan Pegawai Jawatankuasa Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Sungai Berua, Ghazali Ngah. Tambah Safari lagi, bantuan RM400 diberikan kepada 4,025 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 184 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 dengan keseluruhan penerima 4,209 isi rumah di DUN Telemong.  
25 Apr 22
576
'Terima Kasih JPKK Bantu Mudahkan Pemberian I-Fitri' - Penerima
'Terima Kasih JPKK Bantu Mudahkan Pemberian I-Fitri' - Penerima
Rata-rata penerima i-Fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana membantu melancarkan urusan mereka menerima bantuan tunai tersebut .
24 Apr 22
334
Hanya 20 Peratus Anggota Bomba Terengganu Dibenar Cuti Raya
Hanya 20 Peratus Anggota Bomba Terengganu Dibenar Cuti Raya
KUALA TERENGGANU, 24 April- Hanya 20 peratus daripada 736 anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu dibenarkan bercuti pada Aidilfitri tahun ini. Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid seperti dipetik dalam laporan Bernama berkata, ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kes-kes kecemasan dan kemalangan yang dikhuatiri meningkat susulan kebenaran sambutan Aidilfitri pada tahun ini. "Hanya lebih kurang 100 anggota dan pegawai kita benarkan bercuti, tapi mereka ini sentiasa siap sedia untuk dipanggil bila-bila masa sahaja sekiranya keadaan memerlukan," katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri 2022 di sini, semalam. Beliau berkata pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan kerap berlaku kemalangan dan mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati memandangkan jumlah aliran masuk kenderaan yang dijangka luar biasa pada tahun ini. Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua isi rumah agar tidak mengambil mudah nasihat supaya menyimpan alat pemadam api di rumah sebagai langkah keselamatan. "Pada tahun ini kita telah melaksanakan hampir 500 program keselamatan termasuk ceramah, pameran dan pertunjukan di sekolah, masjid, pasar raya dan sebagainya dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai," katanya.  
24 Apr 22
431
PETRONAS Sumbang Keperluan Hari Raya Kepada 1,100 Keluarga Kurang Bernasib Baik Di Pantai Timur
PETRONAS Sumbang Keperluan Hari Raya Kepada 1,100 Keluarga Kurang Bernasib Baik Di Pantai Timur
KEMAMAN, 24 April- Yayasan PETRONAS meneruskan tradisi menyemarakkan kemeriahan lebaran melalui Program Sentuhan Kasih Aidilfitri dimana tahun ini melalui penyampaian sumbangan kepada 1,100 keluarga kurang bernasib baik di Terengganu, Kelantan dan Pahang.     Sumbangan di Terengganu disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun, di dalam satu majlis ringkas di Kemaman, baru-baru ini. Menurut M Ahmad Shazly, Sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan PETRONAS untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.  “Dua tahun menghadapi pandemik jelas memberi kesan kepada sebahagian rakyat Malaysia. Walaupun negara kini sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik, namun kenaikan harga barangan sedikit sebanyak menimbulkan beban terutama di musim perayaan. Oleh itu, kami berharap agar sumbangan ini mampu meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan disamping membantu menceriakan mereka sempena hari raya yang bakal menjelang,” ujarnya. Katanya, Program Sentuhan Kasih Aidil Fitri pada tahun ini, melibatkan perbelanjaaan sejumlah RM927,422 yang disampaikan kepada 3,900 keluarga B40 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan di seluruh negara.  “Daripada jumlah itu, seramai 400 keluarga B40 di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu menerima sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah terbabit.   “Setiap keluarga terpilih, menerima sumbangan berupa hamper barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, pes rendang, nasi impit segera dan santan.  “Manakala, sebagai langkah menangani ancaman pandemik, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan Kit Kebersihan yang terdiri daripada pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan tisu basah serta Kit Penjagaan iaitu kit ujian kendiri Covid-19,”ujarnya. Menurut beliau, setiap keluarga juga turut menerima sumbangan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan PETRONAS yang merupakan salah satu daripada usaha PETRONAS membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana. 
24 Apr 22
467
Ketengah Sumbang RM21,000 Kepada Pelajar Tahfiz Sempena Aidilfitri
Ketengah Sumbang RM21,000 Kepada Pelajar Tahfiz Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 24 April- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyumbangkan sebanyak RM21,000 kepada 210 pelajar tahfiz sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, meskipun sumbangan tersebut mungkin dilihat tidak seberapa namun beliau yakin sumbangan itu sangat membantu dalam mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan keluarga terutama menjelang musim perayaan ini. “Kerajaan sentiasa komited dan akan memberikan komitmen yang tinggi untuk terus menyalurkan bantuan tanpa diskriminasi kepada mana-mana masyarakat yang memerlukan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Dan Kenyir Bermunajat di Dapur Kenyir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu, kelmarin. Tambah beliau, Ketengah menganjurkan pelbagai program yang secara keseluruhannya adalah program menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan.  “Diharapkan usaha murni ini memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima,”ujarnya.  
24 Apr 22
235
Pengguna Diminta Buat Aduan Jika Tertipu Dengan Jualan Murah
Pengguna Diminta Buat Aduan Jika Tertipu Dengan Jualan Murah
HULU TERENGGANU, 24 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya ada peniaga cuba menipu atau manipulasi harga semasa mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri. Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata peniaga yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997. “Memang ada berlaku peniaga yang menampal harga baharu atas harga lama dan jika ini berlaku, pembeli boleh membuat aduan dan sertakan bukti belian kepada KPDNHEP untuk kita buat siasatan.  “Namun setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan,” katanya ditemui selepas memantau perjalanan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini hari ini. Sementara itu, Rosol berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada 12,278 premis perniagaan di seluruh negara untuk mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri sejak 3 April lalu.  “Kita juga telah mempermudahkan prosedur penganjuran jualan murah dengan cukup sekadar menghantar notis bukan seperti kebiasaan iaitu perlu melakukan permohonan rasmi yang akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari,”ujar beliau. Dalam masa yang sama katanya, pemantauan oleh 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga akan tetap diteruskan walaupun kelonggaran diberikan kepada peniaga bagi memastikan hak pengguna terjamin.
24 Apr 22
243
Permohonan i-Perantau Mula Dibuka Hari Ini
Permohonan i-Perantau Mula Dibuka Hari Ini
SERDANG, 24 April – Permohonan bantuan tunai ‘one-off’ i-Perantau untuk rakyat Terengganu di perantauan mula dibuka hari ini.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kali ini kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 juta bagi dana khas tersebut yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 orang ketua isi rumah. “Syarat permohonan i-Perantau adalah seperti i-Fitri iaitu bagi ketua isi rumah yang mengundi di Terengganu berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.  “Saya ingin mengingatkan kepada semua perantau yang layak untuk membuat permohonan secara ‘online’ segera bermula esok (hari ini),” ujarnya kepada pemberita.  Hanafiah turut memaklumkan bahawa bayaran pertama i-Perantau akan mula dibuat pada 15 Mei bermula di zon Lembah Klang serta disusuli zon lain termasuk di Sabah dan Sarawak.  “Kita akan kumpulkan seramai mungkin penerima di Lembah klang dan saya sendiri akan hadir bagi sempurnakan agihan tersebut,"ujarnya lagi. Inisiatif tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan perasmian Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan negeri di MAEPS, Serdang di sini semalam.  Permohonan i-Perantau boleh mula dibuat dengan melayari pautan ibantuan.terengganu.gov.my dan akan ditutup pada 7 Mei. Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kepulangan para perantau ke Terengganu bagi sambutan Aidilfitri dan berpesan agar berhati-hati dalam perjalanan.
24 Apr 22
21408
Ketengah Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik SOP
Ketengah Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik SOP
HULU TERENGGANU, 23 April -Satu jawatankuasa khas ditubuhkan susulan dakwaan kes cabul di dalam rumah bot Tasik Kenyir di sini baru-baru ini. Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, penubuhannya bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir. Katanya, walaupun insiden berkenaan di luar kawalan operator rumah bot, penambah baikan SOP perlu dilakukan bagi menghindar sebarang perbuatan jenayah sekali gus menjamin keselamatan pengunjung. Selain itu Razali berkata, SOP itu juga bertujuan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa depan. "Walaupun ia kes terpencil dan pertama kali berlaku sejak saya menjadi Pengerusi Ketengah lebih dua tahun lalu tetapi kami amat mengambil berat. "Sekiranya (kes cabul) benar berlaku, ia perlu ditangani kerana tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya ketika ditemui pada majlis Kenyir Bermunajat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini kelmarin. Tambah beliau, pihaknya juga akan memanggil semua operator rumah bot dan bot laju pada masa terdekat. "Kita mahu semua operator dan kru rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir bebas daripada sebarang unsur jenayah termasuk penyalahgunaan dadah. "Begitu pun, Ketengah secara dasarnya menyerahkan siasatan kes cabul itu kepada pihak berkuasa," katanya. Terdahulu, seorang penceramah bebas ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu.
23 Apr 22
551