Artikel "Semasa" Terkini
Kibar Jalur Gemilang Zahir Perasaan Cinta Negara
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Rakyat Terengganu tanpa mengira kaum dan agama diseru mengibarkan jalur gemilang di premis dan rumah masing-masing bagi menzahirkan kecintaan kepada negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rasa cinta kepada negara itu juga dapat disemarakkan lagi dengan mengenang pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Setiap tahun kita menyambut Bulan Kemerdekaan sejak negara ini mencapai kemerdekaannya dan sudah tentu makna kemerdekaan ini dapat dihayati sepenuh jiwa dan raga oleh generasi yang telah meninggalkan kita.
“Generasi yang ada pada hari ini tidak pernah merasai hidup di bawah penjajahan, namun tanpa direncanakan oleh manusia kita diuji oleh Allah SWT selama dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah menghadkan kebebasan yang dinikmati sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, pengalaman hidup di fasa pandemik sekurang-kurangnya telah mengajar erti kebebasan sebenar dan penting untuk rakyat menjaga nikmat kemerdekaan.
“Selari dengan tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’, menggambarkan bahawa semangat perpaduan dan integrasi nasional merupakan senjata yang amat penting yang perlu kita miliki dan pelihara.
“Melalui sambutan bulan kemerdekaan dan kempen jalur gemilang ini, marilah kita bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sebagai usaha paling mudah untuk bersama-sama menyahut kemerdekaan yang sedang dinikmati kini,” ujarnya.
07 Aug 22
442
Kerjasama Antara Agensi JENDELA Beri Manfaat Buat Penduduk Luar Bandar
HULU TERENGGANU, 8 Ogos –Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jaringan internet di kawasan luar bandar dengan kerjasama inter-agensi bagi Projek JENDELA Fasa 1.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kerjasama tersebut diadakan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu, Terengganu Telecommunications (TCOMM), pihak Bahagian 1 dan Bahagian 2 iaitu Theta Telcoms, FGV Prodata, Celcom Axiata dan Digi Telecommunications.
Katanya, sebanyak 55 daripada 66 tapak lokasi menara telekomunikasi telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dua tapak lokasi melibatkan tanah negeri telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.
“Dalam pada itu, sebanyak 13 tapak menara di Hulu Terengganu telah mendapat kelulusan penuh Majlis Daerah Hulu Terengganu, dan kesemua menara ini dijangka dapat disiapkan pada pertengahan bulan September untuk diserahkan kepada pihak Bahagian 2.
“Kerajaan Negeri Terengganu amat prihatin mengenai rintihan rakyat terhadap keperluan capaian internet yang telah pun direncanakan sebagai hak asasi manusia oleh pihak Kerajaan,” ujarnya selepas menyaksikan serahan menara Projek JENDELA Fasa 1 di kampung Baru Tok Dor semalam.
Sementara itu, beliau berkata serahan menara Projek JENDELA Fasa 1 itu sepatutnya berlaku pada penghujung Oktober 2022 tetapi berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal dari garis masa yang ditetapkan.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha sama dari pelbagai inter-agensi bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya bagi aspek penyediaan kemudahan telekomunikasi.
“Dijangka banyak lagi menara akan disiapkan dan diserahkan kepada pihak Bahagian 2 bermula pada bulan September nanti.
“Saya berharap dengan serahan awal ini, lebih banyak menara JENDELA Fasa 1 boleh beroperasi pada penghujung tahun 2022 ini,” tambahnya.
07 Aug 22
239
870 Penduduk di Hulu Terengganu Terima Hak Tanah
Seramai 870 pemohon di daerah ini menerima dokumen hak milik tanah termasuk Jadual 5A selepas menanti puluhan tahun.
07 Aug 22
132
Bonus Menanti Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan negeri akan memberikan bonus dalam bentuk kewangan kepada skuad Terengganu FC (TFC) yang layak ke final Piala FA 2022.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Skuad TFC mengesahkan slot ke pentas final apabila menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Ahmad Samsuri berkata, memandangkan bola sepak merupakan sukan nombor satu di Malaysia dan Terengganu sendiri, sudah tentu kerajaan negeri ingin memberikan imbuhan kepada perjuangan pemain untuk mencapai kemenangan.
“Sebenarnya dalam motivasi saya kepada pemain sebelum perlawanan malam tadi, saya ada maklum, mereka akan menerima ganjaran sekiranya dapat mara ke perlawanan akhir.
“Dan ternyata mereka berjaya menempah tiket ke akhir jadi ini merupakan sejarah juga untuk kita di Terengganu ini dan memang ada ganjarannya dan saya telah nyatakan kepada mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut.
Ahmad Samsuri (tengah) hadir menyaksikan kejayaan skuad Terengganu semalam.
Katanya, skuad Penyu itu juga bakal menerima insentif sekiranya berjaya menjuarai Piala FA dalam menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas akhir.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah buat pemain TFC dan mengharapkan pemain tidak mensia-siakan harapan semua pihak untuk mencipta sejarah dan kemenangan.
07 Aug 22
1285
400 Polis Kawal Perlawanan Terengganu Selangor
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Seramai 400 pegawai dan anggota Polis dikerah bagi mengawal perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan bagi memastikan penonton tidak membawa barang terlarang seperti mercun, bunga api, suar, mancis, pemetik api dan sebarang objek tajam termasuk pisau, payung serta besi.
"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menimbulkan kekacauan dengan mengadakan perhimpunan atau perarakan sebelum atau selepas perlawanan.
"Sebarang provokasi akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ditangkap," ujarnya dalam suatu kenyataan.
Jelasya lagi, bagi memastikan perlawanan berjalan lancar pihaknya akan turut mengawal aliran trafik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di sekitar stadium.
"Penonton diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama SSMZA," ujarnya lagi.
06 Aug 22
336
530 Murid Dapat Manfaat Menerusi 'Adopt A School Programme'
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 530 murid Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam (SKTAM) di sini, mendapat manfaat sebagai sekolah angkat Terengganu Inc menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Adopt A School Programme' bagi merealisasikan hasrat pembelajaran secara menyeluruh.
Menerusi CSR tersebut, tiga projek iaitu Rapid English Programme, 'Karate Do Training 'dan 'Go Green Activity' disediakan khas buat murid darjah satu sehingga enam sekolah itu.
Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, salah satu inisiatif di bawah 'Adopt A School Programme' adalah 'Go Green Activity' iaitu pembangunan dan penceriaan semula taman botani sedia ada di SKTAM dengan kerjasama penanaman dan sumbangan pokok oleh lebih 50 kakitangan Terengganu Inc.
"Kami berharap dengan berlangsungnya 'Go Green Activity' di SKTAM, kami dapat memupuk kesedaran cinta akan alam sekitar dalam kalangan anak murid dan menggalakkan persekitaran yang kondusif buat keseluruhan warga sekolah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Adopt A School Programme' di sekolah tersebut, hari ini.
Turut hadir, Guru Besar SKTAM, Jalani Mat Desa.
Dalam masa yang sama katanya, kakitangan Terengganu Inc turut mengambil bahagian dalam menderma dan membaca buku Bahasa Inggeris kepada para pelajar SKTAM bagi mengalakkan penguasaan bahasa tersebut, selaras dengan matlamat 'Rapid English Programme'.
"Program pertama di bawah 'Adopt A School Programme' di sekolah ini iaitu 'Rapid English Programme' telah dilancarkan pada 20 Jun lalu oleh Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, TYT Charles Hay yang bertujuan untuk pemerkasaan Bahasa Inggeris," ujarnya.
Selain itu, menurut Burhanuddin kelas mingguan 'Karate Do Training' pula, hasil kerjasama bersama Persekutuan Karate Terengganu ditaja oleh Terengganu Inc bagi memupuk seni pertahankan diri di kalangan pelajar.
"Menerusi tiga projek ini, kami berharap 'Adopt A School Programme' akan terus berkembang untuk memperkasakan anak-anak kita bukan sahaja dalam tema tertentu, tetapi merangkumi pembelajaran yang lebih holistik melalui ilmu pengetahuan yang relevan," katanya.
04 Aug 22
500
870 Penduduk di Hulu Terengganu Terima Hak Tanah
HULU TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 870 pemohon di daerah ini menerima dokumen hak milik tanah termasuk Jadual 5A selepas menanti puluhan tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan segera.
Katanya, penyerahan geran hak milik kali ini melibatkan enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) iaitu Padang Ragut Kampung Tapah, Bukit Tinggi, Kampung Basong, Bukit Nyior, Kuala Por dan Bukit Tualang.
"Selain itu enam Rancangan Tanah Felcra dan Felda di kawasan Hulu Terengganu iaitu Felda Mengkawang, Felda Tersat (Tambahan), Felcra Bukit Kapah III (Tambahan), Felcra Bukit Kapah (Belia), Felcra Kampung Tapah (Paya Burung) dan Felda Jerangau Barat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah & Pertanian, Rancangan Tanah Felcra dan Felda serta Penyampaian Jadual 5 A, Bagi Daerah Hulu Terengganu, di Dataran ATC Ajil, di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 84 daripada 360 peserta yang menerima Borang 5A hari ini, adalah peserta-peserta yang terkilan permohonan yang tidak diluluskan sebelum ini dan kerajaan negeri mengembalikan tanah berkenaan kepada pemohon asal.
Menurut Alias, kerajaan negeri juga meluluskan pemilikan tanah kepada 55 orang di RTB Padang Damar.
"RTB Padang Damar sudah lama wujud tetapi mempunyai isu berkaitan tanah yang mana isu pemilikan tanah sudah berlarutan lebih daripada 60 tahun," katanya.
Sementara itu, bagi generasi kedua Felda Bukit Bading, penantian hampir sebelas tahun bermula sejak Disember 2011 kini berakhir apabila mereka menerima hakmilik masing-masing pada hari ini.
"Prosesnya memakan masa yang lama kerana asalnya adalah tanah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, jadi pihak Pejabat Tanah perlu membatalkan terlebih dahulu tanah GSA ini untuk diluluskan secara Kanun Tanah Negara(KTN) dengan melalui proses yang panjang.
"Tanah GSA perlu kelulusan daripada Menteri, sokongan daripada Felda sebelum diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Alias.
04 Aug 22
1060
Lebih 10,000 Rakyat Terengganu Hadir Pelancaran PN
Bumi Terengganu melakar sejarahnya yang tersendiri apabila Pelancaran Perikatan Nasional (PN) semalam telah dihadiri lebih 10,000 rakyat Terengganu.
04 Aug 22
115
Kerajaan Negeri Lancar Pusat Panggilan Setempat TeCC
Kerajaan negeri hari ini, melancarkan pusat panggilan setempat Terengganu Contact Centre (TeCC) dengan penggunaan #6006000 sebagai satu nombor tunggal untuk pelbagai urusan kerajaan. #TVDarulIman #TRDI #UPDI #TerengganuMajuBerkatSejahtera
04 Aug 22
243
Duyong Marina Belanja RM4.4 Juta Baik Pulih Kemudahan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bagi membolehkan resort kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) melakukan kerja pengubahsuaian dan pembaikan secara menyeluruh bermula 1 Ogos 2022.
Pengurus besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, kos terbabit melibatkan renovasi keseluruhan kawasan termasuk chalet, bangunan Cindai, bangunan Marina serta peralatan mekanikal dan pendawaian elektrik.
"Kita juga akan membaiki apa jua kerosakan yang berlaku di sepanjang jeti, apa yang rosak kita akan gantikan semua, termasuk mengantikan dinding, atap bocor dan semua penghawa dingin kita akan tukar baharu.
"Proses ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023, setelah dibaik pulih pelbagai perancangan akan kita lakukan untuk membangunkannya kerana kita telah ada pelan induk untuk pembangunan di masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #SenyumSokmo, di Verandah Restaurant, DMR, di sini baru-baru ini.
Ujar Wan Mohd. Faizul, tindakan yang diambil itu sekali gus membuktikan segala aduan yang disuarakan pengunjung didengari oleh pengurusan DMR
"Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat terhadap setiap aduan daripada pelanggan apabila datangnya sebarang aduan kita memberikan tindak balas segera untuk kepuasan pengunjung sebab kita sentiasa 'on call' untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan.
"Menjadi masalah ialah aduan tidak diasalurkan segera, sebaliknya dimaklumkan selepas keluar dari hotel, saya rasa itu tidak wajarlah sebagaimana aduan yang pernah ditularkan dahulu mengenai bilik kotor dan rosak yang sengaja dihebahkan di media sosial sedangkan tiada sebarang aduan pun diterima.
"Kami mengambil sikap untuk tidak memanjangkan isu terbabit, kerana ia memerlukan masa dan juga kos jadi kami dinasihatkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pimpinan negeri agar tidak menyaman pihak yang melakukan dakwaan berkenaan, demi kebaikan apa teguran yang betul kita ambil tindakan dan atas tohmahan yang tidak betul, kita maafkan," ujarnya lagi.
04 Aug 22
1032