Artikel "Semasa" Terkini
Rayu Undi Di Universiti Malukan Diri
KUALA NERUS, 2 November - Tindakan 'merayu undi' di universiti dengan memaksa mahasiswa mengundi calon tertentu disifatkan sebagai keterlaluan dan memalukan diri sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perbuatan itu mencalarkan imej institusi pengajian tinggi dan merendahkan martabat sistem pendidkan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana universiti awam bebas daripada politik kepartian.
"Walaupun kita tahu umur 18 sudah diberi kelayakan untuk mengundi, tetapi cara terbuka macam itu akan mengakibatkan parti-parti politik lain juga akan minta untuk memasuki institusi-institusi pendidikan dengan menggunakan pihak pentadbiran untuk mengumpulkan para pelajar dan mengasak mereka dengan politik kepartian ini sesuatu yang tidak wajar.
"Nampak sangat terdesak untuk meraih sokongan daripada mahasiswa, mereka ini golongan yang terpelajar jadi saya rasa tindakan ini kadang-kadang memperbodokan diri sendiri, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penyelidikan Pendidikan, Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, di sini, semalam.
Menurut Satiful, anak muda perlu diberikan pendedahan ilmu politik secara baik yang tidak menjurus kepada kepartian.
Katanya, semua pihak perlu memberi kebebasan untuk menentukan pendirian parti mana yang lebih baik.
"Kita masih lagi berharap agar institusi ini bebas daripada unsur-unsur politik kepartian, tetapi pada hari ini usia 18 melayakkan mereka mengundi jadi perlu untuk difahami akan ilmu sains politik cuma kita minta jangan menjurus kepada kepartian,"ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial, pemimpin sebuah parti politik merayu undi dalam satu program.
Dalam video berkenaan, pemimpin parti BN itu telah bertanya kepada pelajar yang hadir sama ada untuk memberi undi atau tidak kepada partinya, tetapi mahasiswa mengatakan tidak.
02 Nov 22
1923
PAS Harap Nama Calon PRU-15 Tak Berubah
KUALA TERENGGANU, 1 November - Perubahan nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mustahil masih boleh berlaku sehingga tiba hari penamaan calon pada 5 November ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada berbuat demikian dengan menjadikan senarai itu sebagai kalis ubah.
“Kebiasaannya apabila kita mencadangkan nama-nama calon untuk diangkat sebagai calon pada hari penamaan nanti, kita berusaha sebaik mungkin supaya ia ‘kalis ubah’ supaya tidak berlaku lagi perubahan.
“Tetapi, realiti yang berlaku, kadang kala ada juga dalam keadaan tertentu yang luar daripada jangkaan kita yang menyebabkan kerusi-kerusi tertentu itu berlaku perubahan.
“Jadi nak kata tidak ada tu, kita tak boleh janji lah, tapi kita seboleh mungkin kita usaha ia kalis ubah. Boleh berlaku perubahan dan boleh juga tidak berlaku.
“Jadi selagi tidak tiba pada hari penamaan calon, ada lagi ruang-ruang penambahbaikan di kerusi tertentu sekiranya ada, jika tak mendatangkan apa-apa masalah, ia akan diteruskan dengan senarai sedia ada,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass) yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.
01 Nov 22
684
KT Bypass Mula Dibuka Secara Rasmi Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 November- Setelah terpalit dengan pelbagai isu termasuk masalah pengambilan tanah serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan COVID-19 akhirnya projek Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass) mula dibuka kepada orang ramai secara rasmi hari ini.
Pembukaan laluan yang telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan FT03: Jalan Pintas Tok Adis-Durian Burung pada 16 September lalu dengan panjang jajaran 5.8 kilometer (km) itu disempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Fadillah berkata, pembukaan jajaran jalan bagi projek bernilai RM220 juta itu bakal memberi banyak impak positif kepada rakyat dan dianggarkan kira-kira 70,000 pengguna menerima manfaat.
“Laluan alternatif ini akan mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah.
“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Jalan KT Bypass Dan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) disini, hari ini.
Projek pembinaan KT Bypass telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan (RP) 3 RMKe-10 dengan siling sebanyak RM250 juta.
Walau bagaimanapun, kos projek telah meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan balik tanah sebanyak tiga kali ganda.
Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding di mana tarikh milik tapak adalah pada 27 Julai 2016 setelah pengambilan balik tanah dapat diselesaikan.
Menurut Fadillah, KT Bypass bermula di Simpang Tok Molor dan berakhir melintasi Simpang Tok Ku dan bersambung di Laluan FT03 Kuala Terengganu - Kota Bharu.
“Panjang keseluruhan laluan yang direka bentuk adalah sepanjang 5.8 km secara empat lorong dua hala menggunakan piawaian U5. Skop projek ini turut melibatkan persimpangan bertingkat di Simpang Tok Molor dan Simpang Tok Ku,” jelasnya.
Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada kali ini.
SST melibatkan tiga projek iaitu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) - Kuala Krai Ke Jambatan Sungai (sg) Lakit, Kelantan: Kampung (kg) Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A), Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) - Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A), dan Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan: Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab.
Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) - Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan: Kg Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A) melibatkan pembinaan jalan sepanjang 11.05 km. Tarikh milik tapak adalah pada 26 September 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM317,500,000.
Bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) -Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A) pula melibatkan pembinaan jalan Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, sepanjang 20 km. Tarikh milik tapak adalah pada 9 Mei 2023 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM326,500,000.
Manakala Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan : Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 km merupakan sambungan jalan kepada Lingkaran Tengah Utama yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur di Karak. Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 22 Ogos 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM262,000,000.00.
01 Nov 22
1219
Pengundi Kali Pertama Mahu Calon Bersih, Berintegriti
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Sebahagian besar pengundi kali pertama di negeri ini meletakkan keutamaan untuk memilih wakil rakyat yang bersih daripada salah laku dan rasuah serta mengutamakan kebajikan rakyat.
Intan Nursyahira Azmi, 20, dari Kampung Baloh, Manir berkata, ciri-ciri tersebut penting bagi memastikan negara berada di landasan tepat untuk keluar daripada masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik.
"Saya sangat teruja untuk mengundi kali pertama, sebagai anak muda sudah tentu saya bercita-cita mahu melihat sebuah negara yang aman sejahtera, serta pemimpinnya bersih daripada rasuah, mengutamakan kebajikan rakyat serta berpolitik bukan untuk kepentingan sendiri.
"Sudah tentu antara ciri-ciri lain yang diingini ialah pemimpin yang memiliki ciri-ciri Islamik dan berpengetahun serta hebat memimpin," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Nur Farah Shuhadah, 25, dari Kampung Pulau Duyong berkata, sebagai anak muda dirinya merasa teruja dan berdebar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya tidak akan mengecualikan diri, mengundi ini penting untuk memilih pemimpin yang baik kepada negara, mengambil sikap tidak mengeluar mengundi akan mengakibatkkan negara akan diperintah oleh pemimpin tidak bertanggungjawab.
"Saya beserta rakan-rakan telah membuat pendirian, akan undi parti atau gabungan yang tidak terpalit dengan sebarang isu salah laku.
"Ini penting bagi membolehkan dasar kerajaan berjalan baik, tidak diseleweng untuk agenda peribadi dan sebagainya, malah pelabur luar juga akan yakin dengan negara jika unsur rasuah tiada, bila semuanya baik maka negara akan stabil," katanya.
Bagi, Wan Aminuddin Wan Omar, 25 dari Kuala Ibai pula berkata, dia sudah tidak sabar untuk keluar mengundi.
Katanya, dirinya dan kawan-kawan sudah mempunyai parti untuk diundi pada 19 November ini.
"Ketika negara sedang menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, kita lihat kepimpinan semua parti diuji, dan dari situ kami menilai pemimpin mana yang baik, pemimpin yang tidak meletakkan agenda peribadi sebagai keutamaan kami pilih.
"Pemimpin yang dipilih juga adalah yang akan mendidik dan membawa rakyat bukan untuk semata-mata kesenangan dan kesejahteraan hidup di dunia, tetapi juga untuk kehidupan di akhirat kelak," jelasnya.
Menurut Farah Hanani Shafie, 23, dari Kampung Binjai Kertas Hulu Terengganu pula, anak muda menjadi generasi yang akan menentukan masa hadapan negara.
"Oleh itu jangan tersilap langkah, lakukan pemilihan yang tepat, pilih pemimpin yang faham agama agar negara tidak berada dalam keadaan huru hara, jangan pilih pemimpin yang terlibat rasuah.
"Saya sangat bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mengundi, dan pilihan saya sudah ada," ujarnya.
31 Oct 22
692
Gajah 'Penceroboh' Ditangkap
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Seekor gajah betina daripada sekumpulan 15 ekor gajah yang menceroboh masuk ke kawasan kediaman penduduk Kampung Basung, Hulu Terengganu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, dua ekor gajah denak digunakan bagi menjinakkan gajah betina itu.
Katanya, penduduk kampung berkenaan memaklumkan, gangguan sekumpulan gajah liar tersebut telah merosakkan tanaman serta memasuki kawasan penempatan mereka.
Tambah beliau, pejabat Menteri Besar turut membuat aduan Khamis lalu berkenaan gangguan gajah liar itu, dan bertindak atas aduan berkenaan pasukan petugas telah turun dan berjaya menangkap seekor gajah betina semalam.
“Terdapat kira-kira 15 ekor gajah liar yang merayau di Kampug Basung, justeru bagi meredakan kebimbangan penduduk, pasukan Perhilitan sentiasa memantau dan ada membuat tembakan menghalau gajah tersebut.
“Dengan tangkapan gajah betina tersebut, diharap gajah-gajah lain akan beredar daripada kawasan ini,” ujarnya.
30 Oct 22
709
Duyong Marina Dapat Pengiktirafan Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Resort milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) menerima pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Pengurus besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, sebelum ini pengiktirafan tersebut tidak pernah dipohon dan diterima.
Katanya, DMR kini dalam proses dinaik taraf termasuk dalam sektor patuh syariah sepenuhnya dalam semua aspek.
"Ketika mula-mula diamanahkan saya melihat semua aspek termasuk pengurusannya dari segi pemakaian, pergaulan antara kakitangan dan disenaraikan semua aspek, bagi mewujudkan suasana islamik,kita ada pegawai syariah yang memantau keseluruhan operasi.
"Dari sudut pengurusan dahulu ada perempuan yang terlibat dalam 'manager of duty' sekrang ini kita telah tidak membenarkannya kerana pada kebiasaan tugasan yang dilakukan adalah bersendirian pada waktu malam dan kini hanya ditugaskan pada lelaki sahaja.
"Dari sudut pemakanan kita telah dapat sijil halal membabitkan tempat menyediakan makanan dan juga bahan-bahan yang digunakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyerahkan bayaran zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu berjumlah RM42,159.65, di Pejabat MAIDAM di sini, baru-baru ini.
Tambah Wan Mohd Faizul, dalam memastikan hotel berkenaan patuh syariah, pelan induk pembangunan DMR akan dilaksanakan.
"Kita berhasrat mewujudkan kolam tertutup sebagaimana di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, ini melibatkan kos yang besar jadi ini disenaraikan dalam pelan induk pembangunan dan tidak boleh dilakukan sekarang cuma yang mampu dibuat adalah menentukan masa berbeza antara lelaki dan perempuan," katanya.
Ujarnya, setiap urusan melibatkan penyewaan lot diperhalusi dan menggunakan penyewaan terma Islamik dan dibincangkan dengan peguam untuk mewujudkan perjanjian yang tida ada unsur riba.
Mengenai perolehan pendapatan pada tahun ini, beliau yakin akan berlaku peningkatan berbanding tahun lepas.
"Sehingga September kita berjaya perolehi RM8 juta, dan untuk mencapai sasaran pendapatan RM12 juta pula agak mustahil dalam tempoh yang berbaki ini. Pendapatan banyak diperolehi daripada majlis dan 'event' yang dibuat merangkumi 60 peratus, kini kita memiliki 147 kakitangan," katanya.
Dalam pada itu menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian DMR telah bermula pada 1 Ogos baru-baru dan dijangka siap lebih awal daripada tarikh sebenar.
30 Oct 22
352
'Pengkid' Jadi Kesalahan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu akan mewujudkan seksyen baharu iaitu perempuan berlagak lelaki adalah menjadi satu kesalahan di negeri ini.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, peruntukkan sedia ada hanya memperuntukkan kesalahan bagi lelaki berlagak perempuan sahaja.
"Insya-Allah draf penambahbaikan telah disiapkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri.
"Beberapa enakmen telah dikaji, insya-Allah dalam bulan November akan dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahas serta diluluskan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001-Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen, di Hotel Primula, semalam.
Selain itu menurutnya, antara seksyen baharu yang akan dicadangkan di samping 21 pindaan hukuman sedia ada bagi menambah baik hukuman ialah membabitkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, dan persediaan melakukan liwat.
Tegasnya, antara beberapa enakmen yang telah dibuat penambahbaikan dan telah dikaji antaranya ialah memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.
"Terdapat penambahan untuk beberapa hukuman dengan dibuat hukuman alternatif untuk peruntukan sedia ada dan telah dipinda antaranya daripada terus ditahan ke penjara diberi kuasa kepada hakim untuk membuat alternatif lain seperti dihantar ke pusat jagaan yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)," ujarnya.
Jelasnya kali terakhir enakmen itu digubal pada 20 tahun lalu dan kali terakhir pindaannya adalah pada tahun 2016 dengan hanya melibatkan lima seksyen sahaja.
"Kerana itu Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah berpandangan langkah penambahbaikan itu adalah wajar rentetan pola perkembangan kes-kes jenayah di Mahkmah Syariah semakin meningkat saban tahun dan dikatakan semakin kompleks.
"Dengan adanya pindaan ini akan memperkukuhkan lagi perundahan syariah di negeri Terengganu dan cadangan pindaan berdasarkan takzir 2001 pindaan 2006 masih lagi dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Syariah) 1965 iaitu Akta 355," ujarnya lagi.
25 Oct 22
1970
Terengganu Tubuh SUKANT Jaga Kebajikan Atlet
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan negeri melancarkan Sekretariat Kebajikan Atlet Terengganu (SUKANT) bagi memastikan kebajikan mereka yang menceburi bidang sukan serta bekas atlet terjamin serta tidak dipinggirkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berperanan sebagai perantara untuk menyelaraskan segala urusan dan keperluan golongan terbabit yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
"Fungsinya sama seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli di kalangan atlet dan bekas atlet yang merupakan anak jati negeri Terengganu, termasuk sekiranya mereka ingin menyambung pelajaran maka akan digunakan jawatankuasa ini bagi merealisasikan hasrat mereka.
"Jika sekiranya ada atlet yang berminat untuk berniaga maka kita akan uruskan untuk mereka mengikuti kursus dan mendapatkan modal yang diperlukan, juga termasuk dalam menjaga aspek kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan memberikan kad sejahtera pada peringkat awal ini supaya digunakan untuk tujuan mendapatkan perubahan di klinik swasta yang menjadi panel kepada kerajaan.
"Kita berikan inisiatif ini di atas menghargai segala jasa yang mereka lakukan sewaktu memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negeri dengan melakarkan kejayaan yang sangat membanggakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini.
Katanya, pada peringkat awal ini kerajaan sedang mengumpulan semua bekas atlet untuk disenaraikan sebagai ahli SUKANT.
"Walaupun mereka telah mendapat bantuan selama ini daripada YAKEB, kerana mereka atlet Terengganu maka merkea ini juga akan dipastikan mendapat inisiatif ini untuk menampung keperluan juga sebagai sokongan tambahan.
"Setakat ini tidak ada kadar yang spesifik, ia adalah mengikut keperluan dan dana yang diberikan oleh kerajaan sebagai permulaan untuk hari ini kita telah menerima RM100,000 yang diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dana ini akan ditambah lagi melalui pihak kerajaan dan swasta berdasarkan keperluan tertentu di masa akan datang," katanya.
23 Oct 22
350
Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kerajaan Terengganu menyasarkan semua atlet wanita muslim yang menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan memakai pakaian patuh syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perubahan ketara telah berlaku dalam aspek pemakaian patuh syariah atlet yang menyertai SUKMA baru-baru ini.
Namun, perkara itu masih belum menyeluruh dalam semua sukan kerana proses pendidikan masih berjalan.
"Kita akan terus berusaha melakukan perubahan dengan memberikan galakan dan juga semangat, termasuklah mendidik melalui pengajian ilmu dan juga kita telah menubuhkan satu unita khas iaitu Hal Ehwal Agama di Majlis Sukan Negeri Terengganu.
"Alhamdulillah, perubahan ketara telah dapat kita saksikan dalam SUKMA baru-baru ini hanya tiga jenis sukan sahaja yang didapati para atletnya masih tidak menurup aurat dengan sempurna.
"Jadi kita akan melipatgandakan lagi usaha sehingga semua para atlet kita ini di masa akan datang kita akan pastikan mereka akan menutup aurat dengan lebih sempurna," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022 yang disemprunakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.
Wan Sukairi berkata, majlis yang diadakan itu adalah bagi memberikan insentif kepada semua atlet Terengganu yang telah berjaya mendapatkan pingan emas, perak dan juga gangsa pada temasya SUKMA lalu.
Katanya, pada pencapaian SUKMA kali ini kerajaan negeri Terengganu bersetuju menaikkan kadar insentif sebanyak RM500 berbading kadar yang diberikan pada tahun 2018.
"Di mana setiap atlet yang berjaya memperolehi pingat emas diberi RM3,500, perak RM2,500 dan gangsa sebanyak RM1,500.
"Jadi ini merupakan satu penghargaan di atas pencapaian yang ditunjukkan kerana berjaya melebihi sasarkan yang ditetapkan oleh MSNT, untuk SUKMA tahun akan datang insya-Allah target kita adalah merampas semula kejuaraan keseluruhan," ujarnya lagi.
21 Oct 22
618
Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan permotoran dan kereta di Litar Gong Badak, tetapi hanya melibatkan perlumbaan drag sejauh 200 meter sahaja.
Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata litar tersebut telah melalui ujian dan pemeriksaan yang terperinci dan didapati ia berada dalam keadaan baik serta tidak beralun sebagaimana didakwa.
"Untuk makluman saya telah mendapat laporan daripada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam laporan itu jelas mencatatkan bahawa kemalangan yang berlaku kepada pelumba drag, Apeh Jamal bukan disebabkan litar tetapi kerana masalah teknikal jentera.
"Pihak MSNT juga telah memanggil saudara Wazi Abul Hamid (bekas pelumba motor) untuk memeriksa litar dan telah mendapati ia berada dalam keadaan baik, tidaklah sebagaimana yang dikatakan beralun, ertinya litar berada dalam keadaan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.
Wan Sukairi turut menjelaskan, sebarang perlumbaan melebihi jarak 200 meter kekal tidak dibenarkan lagi.
"Hanya setakat jarak itu sahaja yang dibenarkan," jelasnya.
21 Oct 22
805