lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

BAJET 2023: Kerajaan Negeri Peruntuk RM29.18 Juta Untuk Sektor Pertanian
BAJET 2023: Kerajaan Negeri Peruntuk RM29.18 Juta Untuk Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM29.18 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan projek untuk meningkatkan sektor pertanian di Terengganu. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata isu keselamatan makanan terutamanya aspek pengeluaran dan bekalan makanan adalah sangat penting untuk diberikan perhatian.  Katanya, bagi subsektor tanaman, kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan padi melibatkan penyelenggaraan tali air dan pemulihan kesuburan tanah sawah serta pembangunan infrastruktur tanah terbiar. "Selain itu, infrastruktur kawasan luar jelapang padi terutama di Kampung Jelapang, Setiu juga akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan peruntukan sehingga RM5 juta pada tahun hadapan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini. Menurut Ahmad Samsuri,  kerajaan negeri juga akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk golongan belia di Telaga Papan, Setiu di samping menaik taraf infrastruktur asas lima buah TKPM sedia ada.  "Selain itu, pembangunan jalan pertanian dan Program CSR Tani juga akan diteruskan. "Fokus subsektor ternakan pula ialah kepada pembangunan padang ragut di seluruh negeri, hub lembu sado, kambing tenusu dan Jurusuntik Permanian Beradas yang juga akan menjana peluang pekerjaan baharu khususnya untuk golongan belia," ujarnya lagi. Sementara itu, beliau turut mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM150 kepada lebih 20,000 petani, penternak dan nelayan yang layak bagi menyokong sara hidup golongan ini.
28 Nov 22
532
Dua Bandar Lestari Diwujudkan
Dua Bandar Lestari Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 28 November – Terdapat dua kawasan yang telah dipilih sebagai lokasi projek perintis iaitu Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau dan Bandar Baharu Lestari Bukit Seraya, Kuala Nerus. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ianya merupakan satu janji dalam Manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas. Katanya, bagi lokasi Bukit Seraya di daerah Kuala Nerus mempunyai keluasan 186.29 hektar. "Di Durian Mentangau pula, bandar baharu ini mencakupi keluasan 720.98 hektar dan terdapat Kampus Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dalam bandar tersebut.  “KQT merupakan sebahagian komponen utama yang menjadi pemangkiun pembangunan keseluruhan bandar tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambah Dr Alias, bandar baharu lestari di Durian Mentangau ini telah dilakukan majlis pecah tanah pada 27 Oktober lalu. "Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan bandar baru lestari di setiap daerah berpandukan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030)," katanya. Sementara itu, terdapat juga beberapa tempat yang telah dicadangkan untuk dijadikan bandar baharu lestari seperti di Mat Lagam, Kemaman, Durian Telor, Besut dan lain-lain tempat lagi.
28 Nov 22
1080
BAJET 2023: Bonus RM900 Untuk Penjawat Awam Terengganu
BAJET 2023: Bonus RM900 Untuk Penjawat Awam Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bonus RM900 kepada kira-kira 14,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia sebagai menghargai jasa penjawat awam menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan terbaik disampaikan kepada rakyat. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150 kepada golongan belia bagi menyokong kewangan mereka. "Bantuan ini dijangkakan akan memberi manfaat kepada lebih 160,000 orang di Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini. Tambahnya, pemberian bonus dijangka dibuat pada Januari tahun hadapan. Tambah Ahmad Samsuri lagi, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150  bagi membantu sekitar 2,600 orang pengawal keselamatan sebagai sokongan untuk menyara kehidupan mereka.
28 Nov 22
685
RM807.31 Juta Perbelanjaan Pembangunan Tahun Ini
RM807.31 Juta Perbelanjaan Pembangunan Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 28 November - Secara keseluruhan perbelanjaan untuk pembangunan melibatkan skim 'defferred payment' dan 'scheduled payment' pada tahun ini sebanyak RM 807.312 juta sehingga Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad puteh berkata, dua projek 'deffered payment' berkenaan  membabitkan projek air di Bukit Sah (Kemaman) dan satu lagi Projek Bekalan Air Terengganu Utara. "Empat projek 'scheduled payment' pula ialah Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, Projek Muara Sungai Terengganu, Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan juga satu lagi pembangunan Bandar Baharu Kijal. "Keseluruhannya, projek ini siap sepenuhnya kecuali satu sahaja iaitu pembangunan Projek Bekalan Air Terengganu Utara yang kini mencapai kemajuan 88 peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, perbelanjaan tersebut agak besar tahun ini untuk menyiapkan projek-projek terbabit. "Untuk makluman bersama tahun lepas kita dah berbelanja RM439.74 juta dan pada tahun ini kita berbelanja RM807.3 juta untuk membayar kesemua projek ini dan saya perincikan sedikit. "Pertama untuk projek di Bukit Sah Kemaman kita telah membayar RM551.34 juta pada tahun ini, untuk Projek Kuala Terengganu Utara kita telah membayar RM188.2 juta. "Untuk projek Pentadbiran Daerah Kuala Nerus sebanyak RM70 juta, manakala untuk pembangunan Muara Sungai Terengganu RM5.4 juta untuk pembayaran terakhir dan perbelanjaan bagi membina asrama atlet untuk pembayaran terakhir RM24.71 juta pada tahun ini dan untuk pembangunan Bandar Baharu Kijal kita membelanjakan RM47 juta pada tahun ini," ujarnya.
28 Nov 22
208
BAJET 2023 : RM15 Juta Untuk Projek Berimpak Tinggi
BAJET 2023 : RM15 Juta Untuk Projek Berimpak Tinggi
KUALA TERENGGANU, 28 November - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang memberikan kesan langsung kepada peningkatan sosioekonomi penduduk setempat. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata peruntukan tersebut bagi memperkukuh pertumbuhan dan memperbesar saiz ekonomi kerajaan negeri. "Kita akan memberikan lebih tumpuan kepada sektor pertanian, industri pelancongan, pembangunan pelaburan dan aktiviti perniagaan di Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini. Jelasnya, projek yang akan dilaksanakan ini melibatkan penyediaan kemudahan komersial di luar bandar, penaiktarafan tempat  tumpuan pelancong, penambahbaikan premis perniagaan dan penyediaan kawasan kegiatan ekonomi baharu untuk para usahawan. 
28 Nov 22
273
BAJET 2023:Terengganu Bentang Belanjawan 2023 Berjumlah RM1.991 Bilion
BAJET 2023:Terengganu Bentang Belanjawan 2023 Berjumlah RM1.991 Bilion
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri Terengganu membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.991 bilion, meningkat berbanding RM1.657 bilion pada tahun lepas. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan RM1.991 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM500 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air. "Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.897 bilion bagi perbelanjaan bekalan. "Ia melibatkan RM271.65 juta untuk Emolumen, RM249.17 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM25.94 juta untuk aset, RM1.35 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk lain-lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini. Menurut Ahmad Samsuri, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM250 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi. Beliau berkata sebanyak RM200 juta bagi pemberian kepada jabatan-jabatan Kerajaan dan RM400 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan. "Di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM417.73 juta diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan. "Manakala RM85.04 juta untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka dan RM27.23 juta  untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri mikro, kecil dan sederhana," ujarnya lagi. Jelas beliau, kerajaan negeri menganggarkan mendapat jumlah hasil sebanyak RM1.810 bilion. "Ia meliputi RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum," ujarnya.   .
28 Nov 22
1571
Terengganu Adakan PRN Pada Jun
Terengganu Adakan PRN Pada Jun
KUALA TERENGGANU, 28 November - Negeri Terengganu akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun 2023 sebelum genap lima tahun. Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini berkemungkinan adalah yang terakhir sebelum menghadapi PRN tersebut. "Kita masih mempunyai masa dan peranan samada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut. "Apa pun persepsi dan tafsiran yang akan dibuat mengenai bajet 2023 ini, saya yakin kerajaan yang ada akan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat berdasarkan kemampuan kewangan yang ada,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keliman DUN Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu katanya, keputusan rakyat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 sudah diperoleh dan seharusnya dihormati. "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah berjaya memenangi dan menyapu bersih kelapan-lapan kerusi Parlimen di negeri kita. "Mewakili DUN Terengganu saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10," ujarnya. Tambahnya berdasarkan PRU terbabit rakyat kini sudah menjadi saksi dan melihat siapa sebenarnya ahli politik yang tulen, berjiwa besar dan bermaruah. "Apa yang penting selepas ini ialah kita harus kembali untuk terus membina perpaduan ummah kerana ia menjadi tunjang kepada kemakmuran negara dan dituntut dalam ajaran Islam kita," katanya.
28 Nov 22
2917
Kerajaan Terengganu Rai Pengamal Media
Kerajaan Terengganu Rai Pengamal Media
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media yang banyak membantu membuat liputan khususnya berkenaan Terengganu. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali berkata mereka merupakan antara insan penting dalam membawa kebenaran agar timbul dipermukaan masyarakat.  "Masyarakat pada hari ini banyak bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan  berita dan maklumat.  "Kita amat menghargai komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pengamal media terutama membuat liputan berkaitan kerajaan negeri untuk disiarkan di platform media masing-masing," katanya di Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 malam tadi. Beliau berkata demikian bagi mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said. Dalam pada itu, buat julung kalinya anugerah turut disampaikan kepada pempengaruh media sosial dari pelbagai platform media.  Menurut beliau, kini  sesiapa sahaja boleh menjadi 'opinion leader' kepada masyarakat dan bukan lagi dipegang oleh institusi media besar dan rasmi. 'Saya yakin, para pempengaruh memahami bahawa mereka bukan hanya sekadar 'content creator', tapi mereka telah menjadi idola dan ikutan kepada ramai anak muda di luar sana, jadi halakan follower kita ke arah nilai positif dan mencegah perkara yang negatif," ujarnya lagi. Majlis anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM68,000 membabitkan Anugerah Media Cetak kategori Berita Terbaik dan Foto Terbaik, manakala Anugerah Media Digital kategori Berita Terbaik, Foto Terbaik dan Video Terbaik. Pada majlis itu juga, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerima Anugerah Tokoh Media Berpengaruh manakala pelakon, Eman Manan menerima Anugerah Media Sosial Infuencer Selebriti.
28 Nov 22
383
Bersama Bendung Rasuah, Tingkat Integriti
Bersama Bendung Rasuah, Tingkat Integriti
KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena Perasmian Penutup Bulan Integriti Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi membendung permasalahan rasuah dan meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam di samping menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam memerangi rasuah. “Usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti haruslah sentiasa dijadikan agenda utama khususnya di peringkat organisasi. “Ini termasuk dengan melaksanakan pelbagai program kesedaran, pemerkasaan kawalan dalaman serta mengenakan tindakan yang tegas terhadap mana-mana warga kerja yang melakukan kesalahan tatatertib mahupun jenayah,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Bulan Integriti Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Razali Che Ani; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh Dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Tuan Ruslan Che Mat. Justeru katanya, warga perkhidmatan awam Negeri Terengganu hendaklah sentiasa berintegriti, bertanggungjawab dan profesional dalam melaksanakan amanah dan tugasan. “Selain itu, penjawat awam juga perlu menolak dan mencegah sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan maruah seperti penipuan, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya. Katanya, mereka seharusnnya bersama-sama menyemai benih integriti di dalam pelaksanaan program-program jabatan dan memberi contoh integriti yang baik berasaskan kepimpinan melalui teladan.  
27 Nov 22
342
Terengganu Bentang Bajet 2023 Esok
Terengganu Bentang Bajet 2023 Esok
KUALA TERENGGANU, 27 November - Pembentangan Bajet 2023 bagi negeri Terengganu akan dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 yang akan diadakan pada esok iaitu 28 November. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali, berkata persidangan yang akan berlangsung selama empat hari itu tetap diadakan walaupun kerajaan pusat mengumumkan hari cuti umum Isnin ini. “Persidangan ini amatlah penting kerana ia melibatkan kerana ianya melibatkan pembentangan Bajet 2023," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Rasmi beliau baru-baru ini. Tambahnya, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan membentangkan Bajet 2023 tersebut. Dalam masa yang sama, beliau berkata, pegawai dan kakitangan kerajaan, yang terbabit dengan persidangan DUN termasuk pengamal media, pemerhati dijemput hadir. Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata kepada semua untuk menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2023 bagi negeri Terengganu di laman facebook miliknya esok.
27 Nov 22
410