lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kedah Sumbang RM200,000 Kepada Terengganu, Kelantan
Kedah Sumbang RM200,000 Kepada Terengganu, Kelantan
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Kerajaan Kedah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM200,000 kepada Terengganu dan Kelantan sebagai tanda solidariti banjir di kedua-dua negeri itu. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian tersebut akan dibahagian secara sama rata iaitu RM100,000 untuk setiap negeri. “Selain itu, empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas lain akan turut dihantar ke Kelantan dan Terengganu hasil sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). “Penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan. di sini hari ini. Langkah untuk memberi sumbangan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipengerusikannya di Wisma Darul Aman, semalam. Katanya, sumbangan itu adalah bantuan bagi menghadapi banjir di Pantai Timur untuk dua negeri tersebut. Pada Selasa, Kerajaan Negeri Selangor juga menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada kerajaan Kelantan dan Pahang untuk membantu mangsa banjir di dua negeri berkenaan.  
22 Dec 22
375
Peka Situasi Banjir, Pindah Awal Walaupun Tidak Berisiko
Peka Situasi Banjir, Pindah Awal Walaupun Tidak Berisiko
MARANG, 22 Disember - Penduduk yang tinggal di kawasan tidak berisiko banjir diingatkan supaya peka terhadap perkembangan terkini banjir bagi mengelak berlakunya situasi banjir di luar jangkaan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, maklumat terkini mengenai perkembangan bencana boleh diperoleh melalui portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Katanya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan kejadian banjir di luar jangka dilaporkan banyak berlaku pada musim tengkujuh ini “Selain itu, kita juga akan berbincang dengan Pegawai Daerah mengenai tahap kesiapsiagaan, apa lagi langkah-langkah yang kita boleh ambil bersama untuk memperkemaskan lagi persiapan. “Bila tak pernah berlaku (kawasan jarang banjir) tu susah sikit, tapi kita ambil berat untuk susun atur persiapan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau stok bekalan makanan dan kelengkapan asas mangsa banjir di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM di Pulau Kerengga di sini, hari ini. Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya akan bincang bersama pegawai daerah berhubung langkah segera yang boleh diambil bagi memperkemaskan lagi persiapan berdepan bencana luar jangka terutama dalam berdepan gelombang banjir seterusnya di negeri itu. "Kita akui apabila berlaku bencana di kawasan yang tidak pernah terlibat banjir, ia agak sukar, namun kita mengambil berat berhubung perkara itu. "Persediaan untuk berdepan situasi itu perlu diperkasakan lagi bagi mengelak situasi sama berulang," ujar beliau.  
22 Dec 22
116
36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS
36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS
KUALA TERENGGANU- Seramai 36,341 mangsa daripada 9,769 keluarga masih ditempatkan di 254 pusat pemindahan sementara (PPS), di seluruh negeri ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan, setakat 10 pagi ini Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 7,547 mangsa daripada 2,009 keluarga masih berada di 25 PPS. “Seramai 7,281 mangsa daripada 1,752 keluarga pula berada di 67 PPS di Besut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Katanya, sebanyak 41 PPS masih beroperasi di Dungun dengan 6,072 mangsa daripada 1,594 keluarga masih berlindung. Tambah beliau, Hulu Terengganu masih mempunyai 5,738 mangsa daripada 1,921 keluarga yang berada di 45 PPS. “Seramai 3,890 mangsa daripada 986 keluarga masih berada di 17 PPS di Kuala Nerus. “Sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,863 mangsa daripada 751 keluarga masih dibuka di Kuala Terengganu,” katanya. Menurut kenyataan tersebut, Setiu pula masih mempunyai 2,065 mangsa daripada 542 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS daerah itu. Manakala, seramai 885 mangsa daripada 214 keluarga berada di 11 PPS di Marang.  
22 Dec 22
349
Banjir, PETRONAS Bantu 2,700 Keluarga Di Pantai Timur
Banjir, PETRONAS Bantu 2,700 Keluarga Di Pantai Timur
KEMAMAN, 21 Disember –Sebanyak 2,700 keluarga yang terjejas banjir di tiga negeri Pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.  Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan di dalam usaha membantu mangsa banjir. "Melalui pakej prihatin, setiap keluarga menerima sumbangan kelengkapan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, peralatan mandian, ubat gigi dan berus gigi serta makanan. "Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.    Sumbangan mangsa banjir Terengganu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili di dalam satu majlis ringkas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasek di sini.  Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan bin Abdul Wahab. Sumbangan yang disampaikan melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersebut turut disampaikan kepada kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 buah negeri yang terjejas banjir seluruh negara dengan kos hampir RM1 juta. Terdahulu, M Ahmad Shazly berkata PETRONAS turut menyumbang 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan di 14 negeri di seluruh negara. Jelasnya, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam usaha menyelamat mangsa banjir. Tambah beliau lagi, Yayasan PETRONAS turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan Pahang dan Tumpat Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).
21 Dec 22
335
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Paras air di empat sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya. Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3.45 petang ini merekodkan tiga sungai melepasi paras amaran manakala dua sungai paras waspada. Di Hulu Terengganu iaitu di Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 19.91 m. Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 13.3 meter (m). Sementara itu, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman juga mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu 4.8 m. Satu lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya ialah Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus iaitu 4.59 m. Tiga sungai yang mencatatkan paras amaran ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu iaitu 24.13 m; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu iaitu 13.19 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu iaitu 20.87 m. Selain itu juga, dua sungai lagi berada paras waspada iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dengan bacaan 7.79 m dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu mencatatkan bacaan 1.97 m. MetMalaysia dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor. Hujan berterusan (peringkat waspada) pula dijangka berlaku di Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu); Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).
21 Dec 22
272
Banjir Paling Teruk Rumah Sewa Dinaiki Air
Banjir Paling Teruk Rumah Sewa Dinaiki Air
KUALA NERUS, 21 Disember - Selama menyewa lima tahun di Taman Murni Permai, Mohd Shahril Othman tidak menyangka banjir kali ini begitu teruk sehingga merosakkan banyak harta benda kerana tidak sempat diselamatkan. Katanya belum sempat menarik nafas lega setelah berhadapan dengan situasi yang sama sebelum ini, dia terpaksa menghadapinya sekali lagi dengan keadaan yang lebih teruk berbanding sebelum ini. "Pada kali ini, air naik begitu cepat di kediaman saya ketika saya mula sedar pada jam 6.00 pagi hari ini, bangun nak Solat Subuh, tengok rumah dah mula dinaiki air, saya segera mengambil tindakan untuk mengalihkan dua biji kereta milik saya dan memindahkan isteri. "Sekejap sahaja air naik kalau sebelum ini hanya satu kaki tapi pada kali ini mencecah tiga kaki banyak barangan yang tidak berjaya diselamatkan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari dan sebagainya bagi saya ini paling teruk saya alami walaupun diceritakan oleh mereka yang lama tinggal di sini bencana banjir paling teruk adalah pada tahun 2014. "Tanpa berfikir panjang demi selamatkan anak, dan isteri saya terus pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal tanpa sempat saya menyelamatkan sijil-sijil pelajaran saya," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dia kembali semula ke rumahnya untuk mengambil saki baki pakaian di kediamannya itu kelmarin. Katanya, keadaan hujan lebat yang berterusan jika berlarutan sehingga ke malam mendatangkan perasaan cemas kerana akan mengakibatkan banyak lagi barangan akan rosak. "Walaupun saya menyedari taman perumahan ini selalu banjir namun apakan daya, kerana sukar hendak mendapatkan rumah sewa yang lain,m hendak memiliki rumah sendiri masih tidak berkeupayaan. "Hari ini terpaksa ambil cuti kecemasan, saya mengharapkan agar hujan lebat tidak berterusan dan keadaan akan pulih kembali seperti biasa," ujarnya. Untuk rekod, pada ketika ini PPS SK Tok Jembal telah menempatkan 443 mangsa daripada 99 keluarga melibatkan penduduk Taman Murni Permai enam buah kg lagi ialah Pak Tijah, Tok Jembal, Taman Seri Makmur, Gong Badak, Kg. Baru Tok Jembal serta Kg. Kubang Badak 
21 Dec 22
842
Penduduk Sifatkan Banjir Paling Buruk Selepas 36 Tahun
Penduduk Sifatkan Banjir Paling Buruk Selepas 36 Tahun
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Banjir yang melanda daerah ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 36 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak. Penduduk Kampung Padang Setar Ulu Sat, Latifah Jusoh, 61, berkata kali terakhir 'banjir besar' berlaku di kampung berkenaan pada 1986 namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah. "Kampung kami dah biasa banjir setiap tahun tetapi setakat 0.5 meter hingga satu meter sahaja... 2014 pun sama dan masa awal tahun baru-baru ini sahaja hampir satu meter. "Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 36 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air hampir paras bumbung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini. Berkongsi cerita, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam rumahnya untuk menyimpan apa yang perlu ke bahagian lebih tinggi. "Masa tengah kemas barang tu, air dah paras pinggang tetapi tak sampai 15 minit air dah cecah paras bahu saya. "Oleh kerana keadaan makin merbahaya, saya terus mengharungi air dalam keadaan berdebar untuk menyelamatkan diri," katanya lagi. Sementara itu, Mohd Saifuddin Wahab, 44, dari Kampung Tengkawang berkata dia tidak pernah menjangkakan kejadian banjir kali ini teruk dari kebiasaan tahun-tahun sebelumnya. "Memang dah biasa hadapi banjir tapi kali saya tak tahu nak kata apa sebab memang teruk...lebih teruk dari 2014 apabila rumah ibu dinaiki air sehingga dua meter. "Paras air tinggi di luar jangkaan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda serta barang perniagaan yang tidak sempat diselamatkan," ujarnya.    
21 Dec 22
631
Jalan Mendap: Laluan Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong, Setiu Ditutup
Jalan Mendap: Laluan Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong, Setiu Ditutup
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Laluan Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong, Setiu ditutup sepenuhnya bermula petang tadi susulan jalan mendap di Kampung Jeneris, Hulu Terengganu. Ketua Polis Hulu Terengganu, DSP Hasmerra Hassan berkata, kejadian berlaku  kira-kira pukul 4 petang tadi. "Susulan kejadian itu, jalan ditutup kepada semua kenderaan ringan dan berat," katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Simpang Kuala Jeneris - Simpang Basung- Simpang Kampung Teris, Hulu Terengganu.  
20 Dec 22
941
Terlelap, Tidak Sempat Alih Kereta
Terlelap, Tidak Sempat Alih Kereta
KUALA NERUS, 20 Disember - Seorang penduduk di kawasan perumahan Taman Desa Tanjung Damai, Mohd Shahrul Nizam Abdul Ghani, 27, menyatakan telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kerana hujan lebat berterusan dan berjaga sepanjang malam. Namun dirinya terlelap selepas solat Subuh, sebaik sahaja terjaga daripada tidur air telah melimpah masuk ke dalam rumah mengakibatkan dia tidak sempat mengalihkan kereta miliknya. "Tahu-tahu kawasan perumahan Ini telah menjadi seperti sungai, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan, sekelip mata sahaja mujurlah kereta satu lagi telah berjaya dialihkan ke tempat Selamat, semalam. "Dalam keadaan telah bersedia pun, saya tetap diuji hanya pasrah dan berdoa agar keadaan tidak bertambah teruk jika saya buat keputusan untuk tetap keluarkan kenderaan saya ini risau akan mengakibatkan kerosakan rasanya dah tidak boleh nak mengharungi banjir macam ni,"ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika melakukan tinjauan banjir di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kejadian yang berlaku dengan sangat cepat itu juga dia tidak sempat alihkan segala barangan dalam rumah. "Termasuk ketuhar besar, peti sejuk, dan segala peralatan membuat kuih muih, saya dan isteri, Adawiyah Hashim sebenarnya berniaga dari rumah membuat kek dengan melakukan hantaran tempahan. "Hari ini banyak jugalah tempahan yang terpaksa saya batalkan, tidak fikir lain hanya mahu memastikan isteri, serta seorang anak berusia satu tahun Selamat kerana itu segera bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dengan membawa dokumen-dokumen penting," ujarnya. Seorang penduduk lagi, Syed Amir Syed Hamzah berkata ketika menghadapi situasi demikian, tiada lain difikirkan hanya mahu keluarganya Selamat. "Saya beserta isteri Nadiah Izzati Mohamad membawa keluar segera empat orang anak yang berusia lingkungan tujuh tahun sehingga satu tahun ke PPS sebelum kembali semula ke rumah ini bagi meletakkan Televiyesn, peti ke tempat sedikit tinggi  dan mengambil sedikit barangan penting yang mudah dibawa kerana risau dengan keadaan hujan berterusan air akan naik semakin tinggi," ujarnya.  
20 Dec 22
143
Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan
Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Bantuan makanan kepada mangsa banjir di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak boleh diakses dengan kenderaan biasa di Terengganu akan mula diagihkan menggunakan helikopter hari ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, langkah drastik itu perlu dilakukan segera untuk memastikan mangsa banjir di kawasan terjejas yang terputus bekalan makanan tidak kelaparan. Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan telah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk menggunakan helikopter pasukan penyelamat tersebut bagi tujuan itu. "Bantuan pertama akan dihantar ke beberapa PPS di sekitar daerah Besut hari ini dan ke daerah lain yang turut terjejas. "Semua mangsa di 310 PPS seluruh Terengganu jangan bimbang, kita akan segerakan penghantaran bekalan makanan dan kelengkapan yang lain untuk mereka. "Kalau tak boleh guna kenderaan darat, kita hantar dengan helikopter agar kebajikan semua mangsa dijaga," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata bagi mengulas isu tular tentang kekurangan bekalan makanandan kelengkapan lain di beberapa kawasan terutama di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu. Tambahnya, bencana yang berlaku sangat luar biasa kerana terjadi serentak di semua lapan daerah di negeri ini dan banyak laluan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah ditenggelami air dalam banjir buruk kali ini. Sementara itu, beliau juga telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan komuniti setempat untuk menyegerakan bantuan terhadap aduan yang diterima. "Bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh mangsa banjir di PPS yang terlibat walaupun persiapan rapi telah dilakukan  namun masih ada kes-kes terpencil kekurangan makanan dan keperluan lain berlaku di PPS yang terjejas," katanya.  
20 Dec 22
806