Artikel "Semasa" Terkini
RMK-13 Dibentang PM Mengecewakan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan di Pantai Timur yang tidak diberi perhatian sewajarnya ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), baru-baru ini.
Antara contoh katanya, melibatkan penyediaan infrastruktur iaitu pembangunan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih belum mendapat perhatian sepatutnya walaupun telah dibincang sejak RMK terdahulu.
“Memang kosnya besar tetapi berbanding dengan projek-projek tertentu yang dibawa ke Pantai Barat, di Pulau Pinang umpamanya ternyata terdapat ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Saya tidak ada masalah dengan Pulau Pinang, mereka adalah rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat projek-projek pembangunan.
“Sedangkan apa yang diperjuangkan oleh kami dahulu adalah untuk ‘sharing of prosperity’ di kalangan rakyat seluruh negara supaya tidak ada negeri-negeri atau kalangan rakyat yang tertinggal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan pembentangan RMK-13 agak mengecewakan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang sepenuhnya untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam perancangan RMK sebelum ini.
“Secara lebih mendalam saya akan bahaskan RMK-13 pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, tetapi secara umumnya saya boleh sebutkan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.
“Walaupun perkataan itu agak pedas, tapi rasa agak mengecewakan kerana sepatutnya RMK13 menjadi medan untuk memperbetulkan pelbagai kelemahan termasuk dari sudut pelaksanaan yang sering menjadi isu dalam RMK sebelum ini," katanya.
07 Aug 25
74
Tarif Air Terengganu Masih Terendah Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Tarif air baharu di Terengganu kekal antara tiga negeri di Malaysia sebagaimana yang digazetkan pada Julai 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut ketika mengadakan pertemuan.
"Saya sempat mendapatkan penjernihan tentang isu tarif air SATU yang berlegar dalam media sosial, beliau memaklumkan memang tarif air disemak setiap tiga tahun dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Terengganu (SPAN) untuk semua negeri.
"Ternyata tarif air SATU, Terengganu yang baru adalah dalam kelompok tiga yang paling rendah sebagaimana yang saya lampirkan pada carta (dalam gambar)," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu juga masih kekal dengan dasar memberikan subsidi air percuma untuk rakyat dalam kategori B40 selain untuk institusi seperti masjid.
"Saya (juga) mengingatkan beliau dengan tarif yang baru, rakyat mengharapkan SATU meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Alhamdulillah banyak masalah bekalan telah diselesaikan tapi masih banyak penambahbaikan perlu kepada ikhtiar gigih semua yang terlibat,"ujarnya.
07 Aug 25
467
Terengganu Pertegas Kekal Pengharaman Vape
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu kekal tegas dengan keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan semua produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan di negeri ini yang bermula 1 Ogos lepas walaupun terdapat rayuan pihak tertentu untuk menangguhkannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan.
“Seperti yang semua sedia maklum, bermula 1 Ogos lalu telah berkuatkuasa pengharaman vape di negeri ini
“Tidak lagi dibenarkan premis-premis untuk jual vape dan tidak akan diberi lesen kepada pengusaha vape.
“’Banner’ atau papan tanda iklan berkenaan vape termasuklah penajaan-penajaan oleh syarikat vape ke atas apa juga penganjuran oleh pihak kerjaan negeri juga tidak akan dibenarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu vape selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan agar memastikan semua papan tanda di kedai-kedai vape diturunkan.
“Selepas lapan hari perkara ini dikuatkuasakan, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita masih kekal dengan apa yang kita putuskan.
“Keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan vape ini bukanlah dibuat secara mengejut, tetapi telah dimaklumkan lebih awal kepada pengusaha,” ujarnya.
Katanya, larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei lalu sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedia membantu pengusaha vape yang terjejas dengan menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian bagi mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan baru.
07 Aug 25
102
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang ditubuhkan pada tahun 1997 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Kenyir Rangers.
07 Aug 25
27
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Jalur Gemilang adalah identiti negara yang seharusnya dihormati dan dikibarkan dengan penuh rasa bangga serta semangat patriotik.
“Berkaitan isu bendera terbalik ini, saya juga hairan kenapa sejak akhir-akhir ini berlaku perkara yang sedemikian, seingat saya dulu tidak timbul perkara sebegini mungkin dengan tiadanya media sosial 10, 20 tahun dahulu perkara ini tidak diwar-warkan.
“Walau apapun kita percaya, setiap individu mahupun agensi perlu lebih cermat dan ini merupakan satu langkah yang boleh dibuat dengan sendiri untuk memastikan tidak berlaku kesilapan yang sedemikian,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson Jumaat lepas.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan menolak segala bentuk diskriminasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan bersama.
“Ianya bukan sekadar perkara rutin yang kita laksanakan setiap tahun tetapi ini adalah satu langkah daripada kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan untuk memberi penekanan kepada rakyat pentingnya perkataan merdeka dalam jiwa dan sanubari masing-masing.
“Kita berharap supaya generasi muda akan terus menghayati sepenuhnya erti kemerdekaan akhirnya menjadi warga yang cintakan negara dan tanah air,” ujarnya.
06 Aug 25
154
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
06 Aug 25
39
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023.
06 Aug 25
40
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan.
06 Aug 25
31
FOZ One Dipelawa Buka Kilang Pembuatan Moden di Terengganu
Kerajaan Terengganu telah mengemukakan jemputan rasmi kepada FOZ One Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan moden, untuk mempertimbangkan pembukaan kilang di negeri ini sebagai langkah memperluas ekosistem industri dan memperkasakan peluang pekerjaan tempatan.
06 Aug 25
40
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Biodiversiti Hutan Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Negeri Terengganu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran ekspedisi saintifik biodiversiti hutan sejak tahun 1999.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 kali ini merupakan persidangan pertama yang dilangsungkan dalam bentuk persidangan penuh.
Beliau menyifatkan penganjuran persidangan ini sebagai satu pencapaian yang besar buat Terengganu serta pemilihan lokasi persidangan yang mencerminkan kepelbagaian biodiversiti di negeri itu.
"Alhamdulillah, pada hari ini Terengganu dipertuankan sebagai yang pertama dalam penganjuran persidangan ini di Malaysia. Sebelum ini ianya hanya dianjurkan dalam bentuk seminar dan bengkel.
"Pemilihan negeri Terengganu sebagai lokasi penganjuran Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 amatlah bertepatan memandangkan Terengganu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan daripada kategori hutan tanah pamah hingga hutan pergunungan, hutan paya laut dan tanah bencah.
"Malah, (Terengganu) turut mempunyai kepelbagaian biodiversiti marin yang dilindungi melalui pewartaan Taman Laut Malaysia di sekitar pulau-pulau utama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Zahari Ibrahim, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Dato' Norhaidi Yunus serta Ketua Penyelidik Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad.
Menurut Razali, persidangan ini juga menyatukan empat negeri yang terlibat dalam siri ekspedisi terdahulu, bagi berkongsi hasil penemuan saintifik spesies-spesies flora dan fauna, termasuk yang jarang ditemui dan masih berjaya dipelihara di kawasan hutan simpan Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha bersepadu sedang dilaksanakan melalui pelbagai dasar seperti Dasar Perhutanan Negara 2021, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2022–2030) dan Pelan Tindakan Biodiversiti Negeri Terengganu untuk memastikan kelestarian khazanah semula jadi ini dapat dipertahan.
"Selain mengiktiraf usaha saintifik, persidangan ini juga berperanan memperkukuh dokumentasi biodiversiti serta menyokong pembangunan ekopelancongan yang lestari.
"Saya amat bersyukur empat negeri dapat bergabung dalam persidangan ini dan datang ke negeri Terengganu untuk melihat sendiri spesies-spesies yang agak 'rare' yang masih lagi dapat dijaga oleh Jabatan Perhutanan negeri," ujarnya.
Razali turut menyatakan harapan agar persidangan ini menjadi titik tolak kepada kolaborasi lebih erat antara saintis, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan NGO dalam usaha memelihara biodiversiti hutan tanah air untuk generasi akan datang.
Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.
06 Aug 25
389