Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan Rasmi Masjid Kg Pelandan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat menyempurnakan majlis perasmian Masjid Kampung Pelandan dekat sini yang menelan belanja RM5.5 juta.
Turut berangkat pada upacara itu Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut mengiringi Sultan Mizan ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Datuk Mohd Nor Hamzah, Ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan barisan Exco.
Sejurus selesai majlis perasmian, Sultan Mizan bersama hadirin menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid berkenaan seterusnya ke majlis santapan tengahari di pekarangan masjid sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Dalam pada itu, Masjid Kampung Pelandan itu siap dibina pada 2019 sekali gus menggantikan masjid lama yang dibina pada awal 1970.
Masjid yang mampu memuatkan 750 jemaah pada satu masa itu turut mempunyai pelbagai kemudahan antaranya bilik jenazah, dewan serbaguna selain keluasan ruang letak kenderaan.
23 Jun 23
250
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh kedua paduka anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut mengiringi baginda, isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman dan isteri Ahli Dewan Pangkuan Diraja, To' Puan Hajjah Azizah Aziz.
Baginda yang tiba di perkarangan hospital pada pukul 9.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, serta kakitangan hospital berkenaan.
Baginda meluangkan masa selama satu jam melawat wad bersalin, wad kanak-kanak dan wad psikiatri di hospital tersebut dan menyampaikan cenderamata serta sumbangan kepada pesakit.
Sultanah Nur Zahirah turut berkesempatan mendengar persembahan taklimat oleh Datuk Dr Kasemani mengenai pembangunan HHT.
Baginda kemudian berangkat pulang pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Hospital Hulu Terengganu yang mula beroperasi pada tahun 1 Disember 1994 mempunyai kapasiti 105 katil pesakit, lima wad termasuk satu bilik bersalin.
Hospital itu juga mempunyai kakitangan seramai 366 orang, termasuk 25 pegawai perubatan, 133 jururawat, 23 pegawai farmasi dan 38 penolong pegawai perubatan.
23 Jun 23
652
Sultan Mizan Berkenan Hadir Forum Perdana
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana di tapak Pasar Tani, Kuala Berang, di sini, malam ini.
Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.
Forum anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda tahun ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Rakyat, Dato Yahaya Ali dan isteri; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri; ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan isteri; serta barisan ahli Exco yang lain.
Forum bertajuk ‘Islam Di Martabat Rakyat Muafakat’ itu turut dihadiri lebih 2,000 penonton, selain disiarkan secara langsung di saluran TerengganuFM.
Forum itu menampilkan Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud sebagai moderator bersama tiga panel, Prof Madya Dr Syarifah Hayati Syed Ismail, Datuk Dr Haji Zahazan Mohamad dan Prof Madya Dato' Dr Hj Mohd Izhar Arif Mohd Kashim.
Intipati forum selama sejam bermula 9.00 malam itu, antara lain memfokuskan kehebatan pendidikan Terengganu serta masyarakat yang bersatu padu melahirkan generasi hebat dan akhirnya membentuk negeri yang kuat dalam semua aspek.
22 Jun 23
445
Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama lebih 3,000 rakyat daerah ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda di Tapak Pasar Pagi Kuala Berang, hari ini.
Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 3.00 petang, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda baginda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman, serta barisan ahli Exco yang lain.
Majlis bermula jam 3 petang hingga 4 petang itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik, tarian dan nyanyian, selain mempersembahkan buah-buahan tempatan dari daerah Hulu Terengganu.
Meskipun hujan lebat, ia tidak menghalang lebih 3,000 rakyat jelata pelbagai lapisan membanjiri dataran berkenaan dan mengambil peluang bersalaman dengan Sultan Mizan serta Sultanah Nur Zahirah.
Baginda meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat sebelum berangkat pulang pada 4.05 petang.
Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti kuih-muih, roti jala, pulut dakap, karipap dan mee goreng.
22 Jun 23
488
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
EPIC dalan satu kenyataan berkata, perolehan paling tinggi sebanyak RM179.1 juta (52 peratus ) adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan
Selain itu katanya,perolehan juga dijana oleh perkhidmatan kejuruteraan sebanyak RM93 juta (27 peratus); operasi pelabuhan sebanyak RM60 juta (18 peratus); dan segmen tenaga solar sebanyak RM11 juta (tiga peratus).
“EPIC Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.“Pertumbuhan perolehan direkodkan adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) yang mencatatkan perolehan yang tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).,”menurut kenyataan itu.
Terdahulu, EPIC Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 42 syarikat yang dipengerusikan oleh , Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Pengerusi EPIC Berhad. Semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir.
Justeru itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,, Kumpulan EPIC mensasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta, 13 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.
“Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) dianggarkan naik 14 peratus, daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih daripada 2 kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta bagi TK2022.
“Dalam masa yang sama, PBKSB dijangka mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam aktiviti onshore dan offshore serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, pemasangan dua kren gantri (gantry cranes) di Dermaga Timur atau East Wharf yang bakal dijalankan pada hujung tahun 2023 akan meningkatkan jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB).
“EPIC Berhad kekal komited untuk mengikuti rancangan perniagaan strategik syarikat sambil memanfaatkan peluang kerjasama perniagaan bersama pemain-pemain industri yang muncul daripada pemulihan aktiviti sektor minyak dan gas, selain daripada pelaburan berpotensi bagi memajak tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong serta memanfaatkan kemudahan di Pelabuhan Kemaman,” katanya.
21 Jun 23
335
Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.
Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut hadir mengiringi, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan negeri, Dr Azman Ibrahim
Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan negeri, perwakilan pengarah dari pelbagai jabatan serta agensi negeri dan persekutuan turut hadir.
Sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Terengganu tiba di Meja Santapan DiRaja dan sebelum bersemayam, lagu 'Selamat Sultan' telah dipersembahkan.
Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Serti Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning.
Majlis Jamuan Negeri ini juga telah diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Syamel.
21 Jun 23
227
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan terhadap kepuasan pelanggan di jabatan mahupun agensi kerajaan masih di tahap sederhana.
Ketua Pusat Pengajian (Sains Kejururawatan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Zainab Mohd Shafie berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Tahap Kualiti Perkhidmatan Terhadap Kepuasan Pelanggan Di Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuainya bersama tiga rakan penyelidik.
Menurut beliau, keseluruhan kajian mendapati bahawa kualiti perkhidmatan dalam kajian ini adalah sederhana.
“Pihak jabatan perlu sedar masih lagi terdapat aspek lain yang perlu diperbaiki dari masa ke masa kerana masih wujud jurang antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang sepatutnya diterima,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian tersebut sempena Program Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera dan Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 di Duyong Marina, semalam.
Katanya, hasil laporan kajian tersebut juga mendapati, masih banyak rungutan terhadap penyampaian kualiti perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memenuhi jangkaan pelanggan dan akan mempengaruhi tahap kepuasan pelanggan.
Katanya, kepuasan pelanggan merupakan isu penting dan kritikal bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi perkhidmatan.
“Malah kualiti sesuatu perkhidmatan adalah suatu proses berterusan untuk mengekalkan hubungan antara sesebuah organisasi perkhidmatan dengan pelanggan,” ujarnya.
Justeru katanya, kajian ini membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan merupakan strategi perkhidmatan yang penting bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
20 Jun 23
190
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap parti supaya bertanding secara sihat dan berhemah.
Baginda bertitah, mereka yang bertanding itu nanti turut perlu mempamerkan akhlak dan teladan yang baik.
"Beta berharap agar tidak berlaku budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun, caci mencaci dan seumpanya.
"Beta juga berharap agar selepas sahaja tamat pilihan raya dan apa jua keputusannya nanti, keseluruhan rakyat beta akan kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini semalam.
Sultan Mizan turut bertitah kepada rakyat negeri ini agar perbezaan fahaman politik tidak membawa kepada perpecahan dan menggugat asas penyatuan rakyat yang terdiri daripada 98 peratus merupakan Melayu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Syafie.
"Kedudukan ini seharusnya menjadi asas penyatuan rakyat majoriti umat Islam Terengganu, berteraskan akidah yang satu dan teguh serta menjadi teladan kepada yang bukan Islam.
"Ini bersesuaian dengan negeri Terengganu yang diberi gelaran 'Darul Iman," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang telah mendoakan kesejahteraannya beserta keluarga dan seluruh kaum kerabat baginda.
"Terima kasih juga kepada para penjawat awam, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, khasnya mereka yang berada di barisan hadapan serta anggota-anggota pasukan keselamatan, di atas tahap dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing.
"Akhirnya, beta berdoa agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya. Kepada Allah beta berserah," titah Sultan Mizan.
Terdahulu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 keputeraan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
19 Jun 23
642
SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu
Terengganu Incoporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 untuk melaksanakan program rintis pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam negara, melibatkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.
19 Jun 23
222
Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerima sambutan luar biasa oleh peminat pasukan Harimau Malaya.
19 Jun 23
314