lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil
Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat akan dipanggil Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kerana didakwa melakukan kesalahan menggunakan kaedah renjatan elektrik bagi menangkap ikan. Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkenaan akan dipangil hari ini bagi memberikan keterangan berhubung perkara tersebut. "Apabila menerima laporan berkaitan video yang tular tersebut pada 3 Julai, pihak jabatan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan. "Berikutan itu kita sedang melengkapkan siasatan dan Individu yang dikatakan terpapar dalam video berkenaan akan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kejadian tersebut, insya-Allah pada hari ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, siasatan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988. "Iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang antaranya termasuklah dengan menggunakan racun, bahan letupan dan perlatan-peralatan mekanikal atau elektrik. "Jika disabit kesalahan hukuman yang dikenakan ialah denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," ujarnya lagi.
04 Jul 23
4807
SPR Dijangka Tetapkan Tarikh Pilihan Raya Negeri Esok
SPR Dijangka Tetapkan Tarikh Pilihan Raya Negeri Esok
PUTRAJAYA, 4 Julai -  Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan berbincang bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Rabu ini. Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata satu Mesyuarat Khas akan diadakan pada hari tersebut bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Ke-15 seperti tarikh Writ Pilihan Raya. Pada mesyuarat itu juga akan turut membincangkan Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut. "Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut," ujarnya menerusi kenyataan tersebut, semalam. Terdahulu SPR memaklumkan telah menerima notis pembubaan rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
04 Jul 23
133
Jeram Mawar Besar Kemungkinan Akan Ditutup Sementara-Ariffin
Jeram Mawar Besar Kemungkinan Akan Ditutup Sementara-Ariffin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kawasan Perkelahan Jeram Mawar di Air Putih, Kemaman besar kemungkinan akan ditutup sementara daripada dikunjungi orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Katanya, ianya bagi memastikan tiada lagi kejadian sama berulang dalam masa terdekat susulan tragedi kepala air melibatkan sepuluh mangsa dengan sembilan daripadanya sekeluarga. “Hujan lebat yang sering berlaku di kawasan hulu sangat berisiko menyebabkan berlakunya tragedi seumpama itu. “Kita juga akan berbincang dengan pihak berkuasa apakah langkah keselamatan yang perlu diambil seterusnya selepas ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini. Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Dalam kejadian Sabtu lalu, sepuluh individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari FELDA Lepar Hilir, Kuantan, Pahang yang berkelah di jeram itu, dihanyutkan arus deras kepala air.
03 Jul 23
189
Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melaksanakan program Payang Walk dan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 8 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluluskan cadangan pihak MBKT untuk menganjurkan program Payang Walk dan operasi beca warisan di lokasi terbabit. “Payang Walk merupakan konsep jualan dan aktiviti berkonsepkan pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang).  “Antara segmen jualan dan aktiviti yang akan dijalankan adalah jualan barangan tempatan, makanan tradisional tempatan serta persembahan kebudayaan dan kesenian,” ujarnya pada sidang media program tersebut di Menara MBKT, hari ini. Turut hadir,  Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Menurut Ariffin, program Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan. “Menteri Besar dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran program ini pada 21 Julai nanti dan kira-kira 100 peniaga akan mengambil bahagian.  “Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan beca secara percuma pada malam perasmian,” ujarnya. Katanya, selain meningkatkan imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu dan memperkasa imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, tujuan penganjuran Payang Walk dan laluan beca warisan juga adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk. “Selain itu, kita juga mahu mengalakkan ‘retail street culture’, mengekalkan warisan tradisi tempatan dan juga mempromosi agenda ‘car free day’,” jelasnya. Sementara itu, Rosli berkata, laluan khas beca warisan dan hentian (pit stop) di sekitar Pasar Besar Kedai Payang diwujudkan adalah sebagai usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi warisan tradisi tempatan selain untuk mengangkat operasi beca sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dan pengunjung. “Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh tiga kilometer. Beca-beca sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama pihak MBKT dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).  “Ketika ini di lapangan telah terdapat empat unit beca telah dinaiktaraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan unit lagi masih di peringkat ubahsuai,” ujarnya. Menurut Rosli, di sepanjang operasi Payang Walk dan beca warisan ini, sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar di Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang akan ditutup sepenuhnya untuk laluan kenderaan bermotor.  “Penyediaan laluan khas beca dan penutupan jalan ini hanya pada hujung minggu sahaja iaitu setiap hari Jumaat petang hingga malam bermula jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam,” ujarnya.  
03 Jul 23
365
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Selasa (esok) bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau  berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun ini. “Saya telah mendapat perkenan Tuanku untuk menghadap pagi esok pada jam 9 pagi di Istana Syarqiyyah, Chendering. “Mengenai (tarikh pembubaran DUN), saya rasa lebih baik saya sembah maklum dulu kepada Tuanku, (jika tarikh itu dipersetujui), kemudian kita akan umum selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. Ditanya tentang agihan kerusi, Ahmad Samsuri berkata bagi pihak PAS, ianya telah selesai dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS untuk diuruskan. Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.  
26 Jun 23
246
Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
KUALA NERUS, 26 Jun - Mengalu-alukan kedatangan kumpulan penghibur antarabangsa seperti kumpulan 'Coldplay' dalam kalangan pemimpin negara adalah seolah-olah seperti menggalakkan budaya hiburan melampau terus subur dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda negara ini. Ahli Akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, orang ramai yang masih tidak memiliki kefahaman islam sebenar pada hari ini tidak sewajarnya didedahkan dengan kumpulan menyokong golongan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). "Bukan tidak boleh berhibur, tetapi benda-benda yang tidak boleh membawa kebaikan (dihalang) terutamanya serangan budaya barat ini melalui program hedonisme, ini cara untuk melalaikan (umat Islam) kita hari ini. "Kalau kita terus suburkan program sebegini dia tidak akan membantu anak muda kita (menjadi lebih baik) yang memiliki akidah yang rapuh," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata tugas pemimpin mewujudkan suasana yang baik dengan menyediakan persekitaran yang tepat sebagai sebuah negara Islam. "Kita kena ingat untuk jadi umat yang terbaik adalah dengan mencegah kemungkaran dan berimana kepada Allah, bukan tidak boleh berhibur tetapi perlu selari dengan syariat Islam," katanya.
26 Jun 23
150
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 26 Jun -Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-61 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Keberangkatan baginda diiringi  Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat. Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000.Masing masing menerima sumbangan RM500 seorang. Penerima melibatkan 100 yang berdaftar dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, 200 Orang Kurang Upaya(OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Salah seorang penerima OKU, Norhayati Mohamed, 43, dari Alor Serdang, Setiu, dia menyifatkan peluang menjejakkan kaki ke istana menjadi kenangan paling berharga buatnya. "Rasa tu bercampur baur..takut dan gembira dalam satu masa tapi ini saat paling indah dalam hidup saya," ujar ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu. Sementara itu, Husna Abdullah, 43, berkata bantuan yang diterima pada hari ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya. "Kali pertama saya dijemput ke istana dan menerima kurnia dari Sultan dan Sultanah Terengganu, cukup membuatkan saya rasa gembira," katanya. Ibu kepada tiga anak yang berusia lima hingga 16 tahun berkata suaminya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja sendiri menyebabkan dia meluangkan masa setiap Jumaat untuk sebagai tukang urut refleksologi dengan elaun RM400 sebulan.   
26 Jun 23
162
PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum
PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah menandatangani kontrak bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan lapan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) lain. EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, jalinan kerjasama strategik tersebut bagi perkhidmatan fasiliti pangkalan bekalan dan sewaan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB). Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat dalam ucapan beliau menyatakan, pihaknya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PETRONAS dan PAC lain yang terlibat.  “Kontrak ini adalah penting bagi PBKSB kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia kemudahan pangkalan bekalan tetapi juga menggalakkan pembangunan bakat tempatan dalam bidang aktiviti operasi.  “Kami berharap untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan,” ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi PBKSB berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali serta Pengurus Besar Kanan PETRONAS, Wan Asmawadi Wan Mohd.  Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili menandatangani kontrak-kontrak bersama Pemangku Pengurus Besar PBKSB, Suhardi Akil Awang @ Hassan mewakili pihak syarikatnya dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah. Ujar kenyataan itu, KSB adalah fasiliti bekalan minyak dan gas berintegrasi terbesar di Semenanjung Malaysia merangkumi keluasan 200 hektar secara keseluruhan, dengan tambahan 60 hektar yang ditetapkan untuk pertumbuhan di masa hadapan. “Sepanjang tempoh kontrak, PBKSB akan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti peralatan pengendalian bahan (MHE), tenaga kerja berkaitan MHE, pengurusan pangkalan bekalan dan perkhidmatan sokongan gudang, serta perkhidmatan bersepadu bagi operasi PETRONAS di Semenanjung Malaysia dan lapan PACs lain,” jelas kenyataan itu.
25 Jun 23
376
Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh
Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan merasmikan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 61  baginda di sini, hari ini. Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 9.00 malam, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain. Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata dengan rekaan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala melibatkan kos sebanyak RM150 juta telah siap sepenuhnya 24 Oktober 2021. "Projek ini diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 22 Disember 2021 dan diuruskan secara sementara oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu .    "Projek ini juga akan memberikan impak pembangunan ekonomi di kawasan sekitar terutamanya pembangunan di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu," katanya. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat. Tambah beliau, adanya  jambatan ini juga telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan dengan penganjuran pelbagai program dan acara pelancongan di kawasan ini. "Ini termasuk kewujudan perniagaan-perniagaan kecil seperti kiosk-kiosk jualan  di kawasan sekitar sudah pasti akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan - usahawan di negeri ini," katanya.
23 Jun 23
285
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru Jawatankuasa Masjid memastikan penceramah dan penyampai kuliah yang diundang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Baginda bertitah setiap program yang dilaksanakan haruslah selari dengan setiap arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan undang-undang yang berkuatkuasa, terutama hal-hal berkaitan dengan tauliah mengajar.  "Peraturan yang dibuat bukan bermaksud untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau tetapi ianya bagi memastikan setiap ilmu yang disampaikan bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan kita umat Islam di negeri ini," Titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Pelandan, di sini hari ini. Dalam masa yang sama , Baginda berharap pihak Pengurusan Masjid juga mempunyai minda yang terbuka dan berfikiran kreatif bagi merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang. "Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat.  "Kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan,"  Titah Baginda. Baginda bertitah, masjid  sebagai pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan kepada akidah yang benar dalam membina masyarakat ke arah memiliki nilai-nilai hidup yang mulia. "Justeru sistem pengajian masjid dilihat penting dalam usaha mendidik jiwa manusia menjadi insan cemerlang dan bertaqwa," Titah Baginda. Baginda turut bertitah, masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun kehidupan Ummah. Justeru itu, Pengurusan Masjid diingatkan untuk memainkan peranan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti atau program-program yang terbaik dengan nilai-nilai Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  
23 Jun 23
212