Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan Berkenan Sempurnakan Istiadat Pembukaan Sidang DUN Ke-15
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Speaker DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalan Speaker, Khazan Che Mat.
Persidangan DUN Ke-15 mencipta sejarah berikutan kemenangan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.
Ia sekali gus menyaksikan tiada wakil pembangkang dalam DUN bagi penggal kali ini.
01 Oct 23
525
Permohonan Rumah Untuk Nelayan Dibuka
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri kini membuka permohonan rumah untuk para nelayan di Terengganu memiliki rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Projek Perumahan Semula Nelayan (PSN) di dua daerah iaitu di Beting Lintang, Besut dan Pulau Sekepeng, Kemaman itu hampir siap seoenuhnya.
"Harga kos hampir RM150,000 tapi kerajaan bagi kepada rakyat (nelayan) dengan harga RM54,000 sahaja. Bakinya kerajaan atau subsidi.
"Projek dengan biaya kerajaan negeri hampir RM20 juta dan dibantu kerajaan Persekutuan RM13 juta tidak termasuk kos tanah yang diberi percuma oleh kerajaan negeri," ujarnya melalui hantaran di facebook rasminya baru-baru ini.
Justeru katanya, bagi mana-mana nelayan yang berminat untuk memiliki rumah tersebut boleh mendapatkan borang permohonan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di tempat masing-masing.
"Antara syaratnya ialah rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas, mempunyai kad nelayan dari Jabatan Perikanan, menjadi ahli PNK.
"Belum pernah memiliki rumah kediaman atau rumah terlalu uzur dan belum pernah memiliki tanah pemberian kerajaan," ujarnya.
Katanya, pojek itu telah dipecah tanah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian, Dr Ronald Kiande kira-kira dua tahun lepas.
01 Oct 23
2454
Hulu Terengganu, PMINT Juara Pertandingan Bot Berhias
KUALA TERENGGANU, 30 September - Hulu Terengganu dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bot Berhias Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi kategori pejabat daerah.
Manakala bagi kategori Badan Berkanun (GLC) pula dimenangi oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Kedua-dua johan pertandingan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala.
Dalam pertandingan itu sebanyak 16 buah bot telah menyertai melalui dua kategori yang dipertandingkan iaitu Pejabat Daerah dan GLC.
Lapan daerah, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Marang telah menyertai acara berkenaan.
Bagi kategori GLC pula selain PMINT turut disertai oleh Kumpulan PMINT, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (TI), Syarikat Air Terengganu (SATU), TDM Berhad, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Turut hadir menyaksikan acara yang diadakan semalam ialah, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Terdahulu kesemua bot yang menyertai acara berprestij itu melakukan perarakan bermula dari arah Pulau Kambing, seterusnya melalui Pulau Warisan, Duyong Marina, Jeti Penambang Seberang Takir seterusnya ke Jeti Shah Bandar dan Payang Walk.
Sebelum acara penyampaian hadiah acara berkenaan turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Apex Tajudin.
kemuncak acara ribuan yang hadir turut dihiburkan dengan pertunjukan 'flyboard' dan bunga api.
30 Sep 23
1234
59 Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 September - Seramai 59 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di negeri ini, membabitkan masing-masing 32 bayi lelaki dan 27 perempuan dengan kelahiran pertama bayi perempuan seberat 3.4 kilogram pada jam 7.13 semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat kelahiran tertinggi iaitu 38 bayi, 10 di Hospital Kemaman, enam di Besut, tiga di Dungun dan dua di Hulu Terengganu sehingga jam 4 petang tadi.
"Pada hari ini, kita turut menyampaikan sumbangan berupa hamper bernilai RM50 dan bantuan tunai RM100 melalui program Permata Maulidur Rasul yang telah pun bermula sejak tahun 2013.
"Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Permata Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M bertempat di Pusat Rawatan Ibu & Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Seorang ibu, Mimi Azuani Mohd Lazim, 36, berkata, dia amat bersyukur selepas anak ketiganya lahir pada hari Maulidur Rasul.
"Mengikut perkiraan doktor, bayi saya sepatutnya dilahirkan pada 3 Oktober depan tetapi ketika dalam perjalanan balik ke kampung halaman di Bachok, Kelantan... saya mula mengalami sakit seperti ingin buang air besar.
"Pada mulanya kami mencari tandas di hentian rehat dan rawat berdekatan tapi sakitnya belum hilang menyebabkan saya mula rasa ia tanda hendak bersalin.
"Sebaik sahaja saya memaklumkan kepada suami, dia terus memandu menuju ke HSNZ dan tiba pada 6.50 petang, terus dimasukkan ke bilik bersalin..Alhamdulillah semua selamat," katanya.
28 Sep 23
502
Sultan Terengganu Titah Rakyat Bersatu Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 28 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat supaya bersatu hati untuk membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan.
Sultan Mizan bertitah, sirah Baginda dan para sahabat perlu dijadikan panduan dalam mengamalkan segala ajaran Islam.
“Terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda.
“Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzab, ayat 21.
“Baginda seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Justeru itu, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi,” titahnya.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.
28 Sep 23
437
Ustaz Azhar Dapat Tauliah Mengajar
KUALA TERENGGANU, 27 September - Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus disahkan telah menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Tauliah yang dikurniakan oleh MAIDAM itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan kuliah agama secara berkitab serta ceramah umum.
Pada Mei lalu, Ustaz Azhar Idrus merupakan antara 10 penceramah agama yang menghadiri temuduga untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.
Proses temu duga itu telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Harun.
Ustaz Azhar pernah menerima Anugerah Tokoh Media Bepengaruh dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri pada tahun lalu.
Anak jati kampung Ladang itu yang dikenali sebagai 'daie sejuta umat' itu selama ini sangat aktif dalam menyampaikan kuliahnya juga sering terlibat dalam program keagamaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri antaranya ialah 'Himpunan Bicara Murabbi Ummah', 'karnival penghayatan Islam', 'Daie Nusantara' dan sebagainya.
Setiap kali diadakan program bersamanya pasti akan mengundang ribuan rakyat Terengganu yang hadir dan sentiasa mencuit hati apabila seringkali tampil bergandingan dengan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah.
Pada Ogos yang lalu, Ustaz Azhar Idrus juga telah tampil dalam 'Program Murabbi Nok jupe : Chat With Me 3.0' di Dataran Jambatan Angkat bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
27 Sep 23
3821
Terengganu Naikkan Bantuan Bulanan Asnaf
KUALA TERENGGANU, 26 September- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menaikkan kadar bantuan bulanan bagi golongan asnaf daripada RM300 kepada RM500.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penambahbaikan itu dilakukan bermula awal bulan lalu selepas mengambil kira keadaan semasa.
"Tambahan bantuan itu bagi membantu meringankan bebanan mereka berikutan kenaikan harga barangan.
"Seramai 609 golongan asnaf termasuk fakir dan miskin menerima bantuan bulanan daripada MAIDAM buat masa ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Duyong Marina Resort di Pejabat MAIDAM, hari ini.
Pada majlis tersebut, Shaikh Harun yang mewakili MAIDAM menerima replika cek bayaran zakat perniagaan berjumlah RM38,143.68 daripada Pengurus Besar Duyong Marina Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas.
Sementara itu, mengulas mengenai sasaran kutipan zakat tahun ini, Shaikh Harun berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM260 juta.
"Setakat ini kita berjaya membuat pungutan zakat sebanyak RM160 juta dan dengan berbaki lebih kurang tiga bulan lagi kita yakin sasaran ditetapkan akan tercapai kerana kebiasaannya ramai yang membuat bayaran zakat pada akhir-akhir tahun," katanya.
27 Sep 23
2288
Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia
HULU TERENGGANU, 26 September – Bermula dari hobi memelihara haiwan, kini Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak memberanikan diri membuka mini zoo sendiri yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang dengan berkonsepkan 'petting zoo' .
Katanya, mini Zoo yang diberi nama “Rimba Razia” mempunyai 80 jenis spesies haiwan itu memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi serta selain memberi makan sendiri kepada haiwan.
"Segalanya bermula dari hobi membela haiwan, sehingga jumlah haiwan dibela itu makin bertambah maka terdetik di hati untuk membuka sebuah zoo bagi membolehkan orang ramai juga merasai dan memberi makan sendiri kepada haiwan di sini.
"Kebanyakan haiwan di sini dari Eropah. Pelbagai haiwan yang signifikan di zoo ini antaranya unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang dari Eropah, Jepun, Thailand dan sebagainya.
"Selain dapat berkongsi minat bersama-sama dengan pencinta haiwan, sedikit sebanyak dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,"ujarnya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail hadir melawat Mini Zoo tersebut.
Menurut Zakaria, setiap hari khususnya waktu hujung minggu kehadiran pengunjung sama ada dari dalam dan luar Terengganu tidak pernah putus untuk mengunjungi ke Mini Zoo tersebut.
Tambahnya, sejak dibuka zoo tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu.
"Baru lebih sebulan beroperasi. Alhamdulillah mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung di mana hampir 50,000 pengunjung direkodkan setakat ini sejak ia beroperasi 15 Julai lepas,"ujarnya lagi.
26 Sep 23
2033
Rosol Turun Lapangan Tinjau Bekalan Keperluan Rakyat
HULU TERENGGANU, 26 September - Susulan isu bekalan dan harga beras yang menjadi keresahan dalam kalangan rakyat masa kini, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid turun ke lapangan bagi memantau sendiri masalah tersebut.
Menurut Rosol, hasil tinjauan beliau mendapati kadar harga dan bekalan barang berada pada tahap yang tidak memuaskan dan kenaikan harga seperti yang diketahui umum.
“Sebelum ini saya telah beberapa kali mendengar keluhan dan aduan daripada peniaga, pemilik pasaraya dan orang ramai mengenai isu bekalan dan harga beras ini.
“Hari ini saya turun ke lapangan bagi mendapatkan kepastian dan pengesahan hadapan mata sendiri, sebagai contoh harga beras jati lima kg yang dahulu di jual dengan harga RM16.20, tetapi sekarang di jual dengan harga RM20.50," ujar beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata kepada pemberita.
Tambah Rosol lagi, terdahulu dalam sidang parlimen, beliau telah membangkitkan isu bekalan beras tempatan, yang ada beras import dengan harga yang tinggi, akan tetapi telah disindir oleh pemimpin kerajaan.
Beliau berharap agar pihak kerajaan khususnya kementerian yang berkenaan segera bertindak bagi merawat keresahan dikalangan rakyat sekarang, sekali gus membuktikan keprihatinan, keikhlasan dan komitmen kerajaan membela nasib mereka.
Sementara itu, Pengurus Besar Xiri Group cawangan Kuala Berang, Teong Gaik Lan, berkata isu bekalan beras tempatan yang masih belum selesai sejak beberapa bulan yang lalu cukup meresahkan.
“Bekalan beras tempatan tiada sejak bulan Jun yang lalu, harga beras kini naik sebanyak 20 peratus, Manakala bekalan gula juga tidak banyak kerana kenaikan harga," ujarnya.
26 Sep 23
463
Nasib Pembeli Rumah Gong Cempedak Dalam Perhatian
KUALA TERENGGANU, 25 September - Nasib pembeli projek perumahan swasta Gong Cempedak Fasa 3, Marang yang dilanda pelbagai masalah akan terus diberi perhatian kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya masih komited untuk terus berunding dengan pihak yang terlibat terutamanya pemaju perumahan berkenaan agar ia diselesaikan sekali gus nasib pembeli akan terbela.
"Exco Perumahan sebelum ini, Dato' Dr Alias Razak telah pun mengambil tindakan bagi memastikan ia diselesaikan termasuk telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju.
"Walaupun projek ini bukan di bawah kerajaan negeri, yang merupakan projek swasta kita tetap mengambil sikap untuk terus menjadi pihak yang akan mencari jalan serta solusi bagi menyelesaikan masalah untuk memastikan rumah ini akan dapat diberikan kepada pembelinya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima kunjungan daripada wakil pembeli perumahan berkenaan, di sini, hari ini.
Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri dalam menyelesaikan projek perumahan swasta ini sebaliknya akan mengambil sikap untuk terus berusaha bagi melakukan apa yang terbaik.
"Kita akan tetap terus membantu dan menolong termasuk akan turut berhubung dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membicangkan perkara ini.
"Hasilnya kita tidak tahu lagi, tetapi kita akan terus membantu sedaya upaya, maknanya kita akan tetap ambil peduli terhadap hasrat daripada pihak pembeli yang mahu kerajaan negeri campur tangan dalam projek perumahan ini" ujarnya lagi.
Pada penggal lalu Dr Alias sentiasa memantau perkembangan projek yang telah terbengkalai lebih 10 tahun.
Kali terakhir hasil pertemuan, pihak pemaju akan memulakan kembali projek berkenaan setelah mengalami masalah kewangan bagi meneruskan pembinaan kediaman berkenaan.
25 Sep 23
572