lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu
PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Yayasan PETRONAS terus komited dalam usaha menanam lebih banyak pokok  sebagai sebahagian usaha memulihara alam sekitar di negeri ini. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata sokongan itu dilestarikan melalui sumbangan cek dan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Burok ke Pantai Pandak dengan kerjasama kerajaan negeri  sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.  Katanya, program penanaman pokok ini adalah sejajar dengan aspirasi PETRONAS ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050.  “Inisiatif ini juga selaras dengan dengan Kempen 100 juta pokok di bawah program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,”katanya dalam satu kenyataan. Seramai 100 sukarelawan kakitangan PETRONAS terlibat di dalam aktiviti penanaman spesis pokok terpilih seperti pokok Ketapang, pokok Rhu Pantai, pokok Kelapa, dan pokok Ambung-ambung.  Di majlis tersebut juga, Mohamad Ahmad Shazly turut menyampaikan sumbangan cek Yayasan PETRONAS kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Amanah Warisan Kuala Terengganu berjumlah RM 297,500.00. Tambah beliau, pihaknya juga komited untuk menanam satu juta pokok di seluruh negara menjelang 2027 melalui program Menyemai Masa Hadapan yang dilancarkan pada 2020.
02 Oct 23
417
Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu
Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri mengoptimumkan potensi bandar baharu yang telah dirancang supaya dapat dibangunkan. Titah baginda, ianya untuk memastikan ruang bandar yang kondusif dan tersusun dapat direalisasikan kepada seluruh lapisan masyarakat. “Kaedah pembangunan secara penswastaan juga perlu diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan galakan serta promosi pelaburan pembangunan mendapat sambutan daripada pihak swasta sehingga pelaksanaan bandar-bandar baharu ini dapat dicapai.  “Beta amat yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta yang lebih aktif dalam pembangunan ini mampu memastikan keberhasilan agenda perbandaran yang berdaya huni dan maju dapat dicapai,” titah Sultan Mizan. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman semalam. Baginda bertitah, proses urbanisasi yang berterusan adalah merupakan salah satu agenda yang perlu dititikberatkan. “Proses ini melibatkan kerjasama semua pihak dalam memastikan anjakan paradigma bandar berasaskan dimensi bersepadu pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar. “Dalam usaha untuk mewujudkan bandar-bandar baharu sebagai sokongan kepada bandar sedia ada, pelbagai aspek baharu perlu diteroka dan diberikan fokus.  “Beta berharap agar elemen-elemen perbandaran utama seperti elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon dititikberatkan dan diperhalusi bagi tujuan pemakaian di peringkat negeri dan peringkat tempatan secara berterusan,” titah baginda.
02 Oct 23
190
RM314,000 Sumbangan Zakat Untuk 628 Pelajar Baharu UMT
RM314,000 Sumbangan Zakat Untuk 628 Pelajar Baharu UMT
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM314,000 kepada 628 pelajar asnaf baharu yang mendaftar pada sesi akademik 2023/2024. Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, setiap pelajar terpilih daripada program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian di UMT. “Dana zakat tersebut adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui skim potongan gaji kakitangan UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat. “Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, semalam. Menurut Dr. Mazlan, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar dan sebagai tanda keprihatinan UMT kepada pelajar yang kurang berkemampuan. “UMT sangat peka terhadap nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka yang memerlukan, dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, pelajar yang ditawarkan peluang pengajian juga mungkin resah untuk membuat persediaan pendaftaran pengajian. “Kita telah laksanakan beberapa inisiatif sebelum ini melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan mengadakan  kempen sistem potongan zakat ‘Cukai Kepada Zakat’ (C2Z) yang diperkenal beberapa tahun dahulu dan akhirnya membuahkan hasil dan dengan adanya inisiatif itu, kita dapat bantu asnaf pelajar melalui sumbangan zakat,” ujarnya. Katanya, kecaknaan warga UMT dalam membantu asnaf patut dipuji kerana jumlah kutipan zakat meningkat saban tahun.
02 Oct 23
292
Cari Kaedah Terbaik Dalam Sistem Pentadbiran Negeri
Cari Kaedah Terbaik Dalam Sistem Pentadbiran Negeri
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Kerajaan negeri perlu mencari kaedah serta model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien sebelum memutuskan sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan kerajaan dan rakyat. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, ianya berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah menyaksikan keputusan rakyat telah memilih Kerajaan Terengganu tanpa pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri pada penggal ini.  "Situasi ini berlaku di dalam tempoh sambutan 25 tahun Jubli Perak pemerintahan beta dan melakarkan lembaran sejarah baharu era milenium ketiga bagi negara Malaysia dan negeri Terengganu khasnya. "Oleh yang demikian, melalui doktrin pengasingan kuasa yang merupakan pembahagian di dalam amalan demokrasi iaitu kuasa eksekutif, legislatif serta judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif bagi kerajaan negeri walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan," titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini. Titah Sultan Mizan, baginda yakin dengan ‘rules of law’ di negara Malaysia serta prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang Undang berjalan dengan baik, adil serta saksama kepada semua strata sosial di dalam masyarakat.  “Disiplin serta cabang ilmu pentadbiran yang teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat,” titah Sultan Mizan.    
01 Oct 23
226
Kerajaan Negeri Perlu Tangani Isu Pencerobohan Nelayan Asing
Kerajaan Negeri Perlu Tangani Isu Pencerobohan Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Kerajaan negeri disaran mencari jalan penyelesaian berkaitan isu pencerobohan nelayan asing yang menggugat kedaulatan negara serta mengancam keselamatan para nelayan.  Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, isu pencerobohan perairan serta penjarahan khazanah laut telah menyebabkan ketirisan hasil laut dalam sehingga mencecah RM4 bilion setahun kepada industri perikanan. “Ini sudah semestinya merugikan negara dan negeri setelah pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan sumber perikanan marin,” titah baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu baginda bertitah, teknologi kebendaan atau Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian diharap dapat dimaksimumkan penggunaannya. “Ini bagi memastikan pengeluaran hasil sektor pertanian secara optimum dengan impak yang minima akibat perubahan iklim dan cuaca. “Sektor pertanian telah mengalami perubahan daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden melalui penggunaan serta adaptasi teknologi dalam kaedah penanaman, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu.  “Ketidaktentuan iklim dengan perubahan cuaca ekstrem memberi kesan terhadap produktiviti pengeluaran hasil pertanian,” titah baginda.    
01 Oct 23
103
Bukan Tidak Dipertandingkan, Tetapi Tiada Pencalonan
Bukan Tidak Dipertandingkan, Tetapi Tiada Pencalonan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan  jawatan 'Top 5' atau lima kedudukan tertinggi dalam kepimpinan PAS boleh dipertandingkan sekiranya ada pencalonan dikemukakan. Naib Presiden PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan tiada pertandingan melibatkan lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini. Katanya, PAS telah memberikan tempoh kepada ahlinya untuk mengemukakan pencalonan seperti biasa. "Kita menerima pencalonan daripada peringkat kawasan-kawasan dan dewan-dewan, jadi ada atau tidak ada pencalonan itu kita tidak boleh arahkan mereka untuk berbuat demikian, kerana terpulang 100 peratus kepada mereka. "Dari segi syarat-syarat dia berapa bilangan dan sebagainya (termasuk) bilangan minimum untuk melayakkan untuk bertanding. Jadi tak cukup bilangan minimum tak boleh bertandinglah. "Saya tak pasti dari segi jumlah berapa sebab kita calon-calon tidak dimaklumkan berapa jumlah itu kerana ia (termaktub) di dalam jawatankuasa pemilihan," katanya ketika ditemui pemberita sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini, Dalam pada itu, beliau menolak pandangan sesetengah pihak bahawa perkara tersebut akan memberi kesan tidak baik terhadap masa depan PAS. "Kita tak dapat menutup suara-suara yang ingin memberikan kritikan dan sebagainya kerana itu terpulang kepada mereka. Malaysia negara demokrasi siapa saja boleh menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. "Apa yang penting ialah Pas makin mengukuh dan terus berkhidmat dengan terbaik kepada rakyat, negeri dan negara," katanya. Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang dijadual berlangsung bulan depan. Lima jawatan itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden yang menyaksikan semua penyandang menang tanpa bertanding. Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa parti mengeluarkan arahan untuk tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi parti. Beliau berkata, PAS tidak pernah menghalang calon dari mana-mana kawasan untuk memegang jawatan di dalam parti.
01 Oct 23
1205
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong. Titah Baginda, kerajaan negeri perlu meneroka potensi baharu dalam industri pelancongan bagi memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara. “Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semula jadi, bermula dari jajaran pantai sepanjang dua ratus empat puluh empat (244) kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau sehinggalah ke khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahuwataala buat seluruh rakyat negeri ini.  “Keunikan tujuh pulau peranginan utama di Terengganu seperti Pulau Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas berpotensi tinggi untuk dipasarkan ke peringkat global,” titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Baginda turut menitahkan agar kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu dilaksanakan. “Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia lebih lima ratus (500) tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai.  “Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan pada suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian,”titah Baginda lagi.  Dalam masa yang sama, Sultan Mizan  juga mahu pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism dalam program-program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat diperluaskan.  Baginda turut  menzahirkan keprihatinan apabila melihat sektor pelancongan mencatatkan perkembangan baik berdasarkan kemasukan pelancong keTerengganu pada tahun 2022 iaitu seramai 3.7 juta orang yang melepasi sasaran tiga juta sebelumnya.  
01 Oct 23
750
Sultan Mizan Mahu Terengganu Terus Tarik Pelabur
Sultan Mizan Mahu Terengganu Terus Tarik Pelabur
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru kerajaan negeri untuk terus meningkatkan aliran pelaburan ke Terengganu sekali gus memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi utama pelabur. Baginda bertitah, justeru itu pihak kerajaan perlu menggandakan usaha-usaha  untuk menarik dan mempergiatkan aktiviti penggalakan pelaburan bagi memastikan kedudukan Terengganu kekal kompetitif termasuk memudahcara urusan pelabur melalui pengenalan inisiatif dan fasiliti pelaburan yang berkesan. “Menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian adalah penting untuk penyelenggaraan kemudahan-kemudahan sedia ada bagi menarik pelabur dan meningkatkan daya saing negeri.  “Beta yakin bahawa peningkatan ekonomi bagi sesebuah negeri dapat direalisasikan melalui kemasukan pelabur-pelabur asing dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan tenaga kerja yang mahir dan memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan,”titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Sultan Mizan dalam titahnya juga mahu supaya kerajaan memberi fokus kepada kluster-kluster yang telah dikenal pasti antaranya Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), Downstream Manufacturing of Minerals dan Specialty Chemical and Petrochemical agar seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). “Penekanan ini bertujuan untuk mencipta sumber kekayaan baharu negara dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” titah Baginda.
01 Oct 23
330
Sultan Mizan Harap Wakil Rakyat Laksana Tugas Dengan Ikhlas
Sultan Mizan Harap Wakil Rakyat Laksana Tugas Dengan Ikhlas
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas untuk membela nasib rakyat. Baginda juga yakin semua wakil rakyat yang dipilih mampu menggalas tugas menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum tanpa mengira parti. “Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat Beta. “Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihanraya ini,” titah Sultan Mizan. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam masa sama, Sultan Mizan menyeru semua wakil rakyat yang terpilih agar tidak bersikap menilik balas dan menanti pujian. “Jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini dengan melaksanakan khidmat bakti yang tulus ikhlas sebagai wakil rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat Beta dan masa depan negeri ini di dalam hati dan minda Ahli-ahli Yang Berhormat,” titah Baginda.  Dalam pada itu, Sultan Mizan menitahkan kerajaan negeri  agar menggiatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar agar mereka ini keluar dari kitaran kemiskinan. Baginda bertitah, seramai 6,330 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di negeri ini. 
01 Oct 23
167
Sultan Mizan Puji Kerajaan Pacu Kejayaan Pendidikan
Sultan Mizan Puji Kerajaan Pacu Kejayaan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dalam memacu kelestarian bidang pendidikan dengan peruntukan sebahagian besar dalam Belanjawan 2023. “Hasilnya, rakyat Beta mengecapi pelbagai kejayaan di dalam bidang pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).  “Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa usaha dan komitmen daripada semua pihak terutamanya para guru, ibu bapa dan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan pendidikan di negeri Terengganu kekal berada pada tahap yang terbaik serta cemerlang,” titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam masa sama, Baginda turut menyeru ahli-ahli Dewan Undangan Negeri supaya memperkasakan institusi-institusi pendidikan dan kemahiran yang sedia ada di negeri ini selaras hasrat asal penubuhannya.  Baginda bertitah, program-program pengajian yang ditawarkan perlu mengambil kira perkembangan dan keperluan dalam bidang industri semasa dan akan datang.  “Penerokaan dalam bidang sains dan teknologi menjadikan ianya lebih sempurna apabila digabungkan dengan kurikulum agama berpandukan Al-Quran dan Hadis yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.  “Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli akademik merangka pelan pendidikan yang lebih komprehensif bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri contoh dalam bidang pendidikan yang ditawarkan,” titah Baginda lagi. Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru kepada agensi-agensi berkaitan pendidikan termasuk Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM) dan tidak terkecuali syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu meneruskan penajaan program-program pendidikan mahupun kerjasama dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat  terutamanya dalam bidang-bidang pengajian yang kritikal serta menepati keperluan semasa industri.  
01 Oct 23
351