lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
KEMAMAN, 18 November- Isu tempatan dan nasional menjadi fokus calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Kemaman, Dato'  Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS akan perkukuh dan perkemaskan segala kerja kebajikan untuk rakyat. "Isu tempatan dan isu nasional akan menjadi fokus kita dan saya percaya PAS mampu untuk menggerakkan isu tempatan mahupun isu nasional di Kemaman ini. "Urusan banjir contohnya, kita tidak tunggu pilihanraya, sejak beberapa bulan lepas kita telah adakan simulasi, perbincangan, libat urus bersama dengan JPKK dan sebagainya, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kemaman di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.  Katanya, isu tempatan meliputi urusan-urusan semasa yang diuruskan oleh pihak kerajaan negeri bersama ahli-ahli yang berhormat di kawasan masing-masing.  Sementara itu katanya, PAS juga akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU-15 lalu. Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.  
18 Nov 23
207
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
KEMAMAN, 18 November- Pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kini bermula membuka tirai apabila proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS. PAS yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman diwakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon. Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata beliau mewakili rakyat Kemaman akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PAS. "Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk kekalkan kemenangan)... insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 2 Disember nanti. "Saya yakin dan percaya Dr Sam akan menang dengan bergaya dan capai sasaran 30 ribu majoriti iaitu lebih besar dari PRU15, ketika penyandangnya, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi pada ketika itu. "Ia ditambah dengan majoriti yang PAS perolehi ketika PRN baru-baru yang mana keempat-empat DUN juga menang dengan bergaya," ujarnya. Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen. Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.  
18 Nov 23
173
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
KEMAMAN, 18 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletakkan jawatannya setelah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan. Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi malah Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama. Katanya, beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999).  "Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow). "Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku. "Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-Allah, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Proses Penamaan Calon Bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri secara berseloroh  menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang itu tidak berasas. "Mungkin (Datuk Seri) Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu. "Saya percaya dapat mengurus dan mentadbir negeri dengan baik dan membawa suara rakyat ke Dewan negara jika diberi peluang," katanya. Semalam, Azalina dalam satu program berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar dan mendesaknya meletakkan jawatan tersebut. Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, PAS juga dilihat ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.  
18 Nov 23
387
Pertembungan Dua Penjuru di PRK Kemaman
Pertembungan Dua Penjuru di PRK Kemaman
KEMAMAN, 18 November- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Perikatan Nasional (PAS-PN). Manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mewakili parti Barisan Nasional (BN). Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini pada jam 10.15 pagi ini. Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, yang diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menyerahkan borang pencalonan jam 9. 04 pagi. Diikuti Raja Mohamed Afandi, 66, empat minit kemudian dengan diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong. Sebaik proses pencalonan selesai pagi ini, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai. SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi. PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi. Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.
18 Nov 23
214
Selawat Dan Takbir Iringi Dr Ahmad Samsuri
Selawat Dan Takbir Iringi Dr Ahmad Samsuri
KEMAMAN, 18 November - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon PAS-Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu. Beliau tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini, jam 8.30 pagi ditemani pimpinan tertinggi parti dan lebih 3,000 penyokong. Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa. Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing. Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.  Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.  PRK Parlimen bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 2 Disember ini. Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
18 Nov 23
399
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
KUALA NERUS, 16 November- Kerajaan negeri akan memperhebat program berbentuk penerangan di semua peringkat dalam usaha memberi kefahaman mengenai perundangan syariah kepada seluruh umat Islam di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya diterjemahkan melalui penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang julung kali diadakan.  "Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah semasa kepada masyarakat. "Selain mengajak umat Islam untuk bersatu dalam memberi sokongan dan bersolidariti dalam isu pencabaran undang-undang syariah yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus di sini, hari ini. Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini. "Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri yang lain. "Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu," katanya. Pada program wacana tersebut, lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas isu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini. Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz;  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun. Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha mengganggu gugat undang-undang Islam di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya. "Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
16 Nov 23
200
750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut
750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut
HULU TERENGGANU, 16 November - Seramai 750 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga awal Mac 2023. Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir. Pada MTL kali ini, kita menyediakan pelbagai aset termasuk kekuatan logistik membabitkan 15 buah ambulans, 63 buah bot pelbagai saiz dan lapan buah lori serta aset yang lain. "Selain itu, kita telah mengenal pasti antara 42 hingga 44 buah kampung yang berada di kawasan pantai di seluruh Terengganu dan mungkin terjejas sekiranya berlakunya air pasang besar dan hujan lebat. "Pihaknya juga akan menjalankan rondaan dan pemantauan selepas METMalaysia mengeluarkan amaran berlakunya hujan lebat akan melanda di negeri itu. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir di Residensi TNB di sini hari ini. Dalam masa sama, beliau menasihatkan seluruh masyarakat di Terengganu sentiasa peka dengan amaran cuaca dari semasa ke semasa dan apabila menerima amaran segera berpindah untuk mengelak sebarang risiko yang tidak diingini berlaku. Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan. Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.
16 Nov 23
134
Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat
Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat
KUALA TERENGGANU, 16 November - Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam negeri melalui Jawatankuasa Fatwa, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengeluarkan fatwa  bahawa ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat. Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali Ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu telah memutuskan bahawa ajaran itu berlaku percanggahan dengan tonggak akidah Islam, al- Asya'irah dan al-Matrudiyyah. "Ciri-ciri penyelewengan termasuklah mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia Maha Bekuasa menciptanya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam. "Kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak dan kerana Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT mengkehendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya. "Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. Selain itu Sabri berkata, Mohib Khouli juga telah mendakwa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama al-asya'irah dan al-Maturidiyyah seperti 'istiwa', 'wajh', 'yad' dan seumpanya adalah sesat sama kedudukan seperti ajaran muktazilah dan jahmiyyah yang sesat. Di samping itu juga katanya, ajaran Mohib Khouli yang turut mendakwa golongan al-asyairah adalah sama dengan golongan yahudi, jahmiyyah, muktazailah dan penyembah lembu adalah sangat menyimpang. "(Juga) mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah telah mati dalam keadaan kufur dan tidak sah solat di belakang imam yang memegang mazhab al-Asyairah, dengan perlu mengulangi solatnya dengan solat Zohor," katanya. Justeru itu ujar beliau, berdasarkan fatwa yang telah ditetapkan mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran berkenaan adalah haram serta didapati merupakan fahaman ekstremis yang boleh mengancam keselamatan negara. "Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat termasuk melalui penulisan atau penerbitan bahan bercetak," ujarnya. Mereka yang selama ini telah berpegang dan mempercayai ajaran sesat tersebut, menurut Mohd Sabri perlu segera bertaubat termasuk mereka yang menyebarkan atau mengamalkan dan pihak berautoriti berhak mengadakan sesi pemulihan untuk mereka. "Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menghidandari diri daripada terlibat dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem," katanya.
16 Nov 23
2352
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
Taman Tamadun Islam (TTI) menyasarkan kehadiran 1 juta pengunjung pada tahun hadapan.
16 Nov 23
153
TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN
TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN
Taman Tamadun Islam (TTI) mahu menjadi hab jet ski Pantai Timur yang terkenal di peringkat ASEAN.
16 Nov 23
69