Artikel "Semasa" Terkini
Kenaikan Tarif Air Terengganu Antara Paling Rendah
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Susulan saranan Kerajaan Persekutuan, tarif baharu air bagi kategori pengguna domestik di Terengganu naik sebanyak 16 sen bagi setiap meter padu yang berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut, berkata ia merupakan kenaikan pertama membabitkan Terengganu sejak 26 tahun lalu namun kadar kenaikan berkenaan antara paling rendah antara semua negeri.
Katanya, caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih daripada RM4.00 kepada RM 5.80.
Jelas beliau, bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih dari 42 sen per meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik.
“Bagi penggunaan air 20 hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih dari 65 sen per meter padu kepada 83 sen per meter padu," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media khas Pengumuman Tarif Air di Bilik Gerakan SATU, di sini hari ini.
Menurut Abdul Karim, penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah RM1.08 termasuk 8 sen caj elektrik bagi setiap meter padu berbanding kadar lama iaitu RM1.00.
Tambahnya, bagi kategori domestik pukal pula, caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 8 sen kepada RM1.08 bagi penggunaan setiap meter padu air.
"Sementara itu, perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.
"Manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 bagi setiap meter padu," jelasnya.
Dalam pada itu, bagi kategori khas termasuklah Surau dan Masjid, Rumah Ibadat dan Institusi Kebajikan serta Perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.
Sementara itu, SATU akan meneruskan pemberian subsidi air percuma 20 meter padu akan diteruskan kepada
golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.
"Perkara ini melibatkan 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta setahun.
"Bagi masjid dan surau, ia melibatkan 1,883 akaun dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta setahun," ujarnya lagi.
Katanya, pelarasan tarif air yang baharu ini memberi kesan positif kepada SATU untuk meneruskan inisiatif program penggantian paip lama selain penaiktarafan sistem bekalan air di Terengganu.
Pelarasan tarif itu melibatkan 341,546 akaun pengguna air yang aktif di Terengganu sehingga November 2023 di mana 83 peratus merupakan pengguna domestik.
Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
22 Jan 24
332
Tarif Naik, Golongan Sasar Kekal Dapat Air Percuma
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Pelarasan tarif air baharu tidak akan memberi kesan kepada pemberian subsidi 20 meter padu kepada 11,832 akaun pengguna golongan B40 di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut, berkata ia akan diteruskan seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika mengumumkan pelarasan tarif air baharu itu.
“Pemberian subsidi ini melibatkan dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.
“Jumlah nilai pemberian air percuma oleh kerajaan negeri ini sebenarnya meningkat daripada RM8.40 kepada RM10 sebulan untuk setiap akaun penerima yang mana kosnya ditanggung kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI) hari ini.
Tambah Abdul Karim, pemberian itu juga meliputi masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri bagi tujuan itu.
“Semua masjid serta surau yang berdaftar menerima subsidi bekalan air bersih percuma tanpa had.
"Sementara itu, bagi masjid dan surau yang tidak berdaftar, akan menerima subsidi sebanyak 50 meter padu pertama secara percuma dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar baharu bagi setiap meter padu,” jelasnya.
Bilangan akaun pengguna air yang aktif di Terengganu sehingga November 2023 ialah 341,546, di mana 83 peratus merupakan pengguna domestik.
Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Kenaikan yang disifatkan SPAN sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan itu, bertujuan agar tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang.
22 Jan 24
163
Program Tahunan Tilawah Al-Quran Jadi Tumpuan Rakyat Terengganu
Acara tahunan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat negeri Terengganu 1445/2024M sentiasa menjadi tumpuan rakyat di negeri ini setiap kali dilaksanakan.
22 Jan 24
117
Jangan Cuba Jadikan Pulau di Terengganu Sarang Persundalan
Kerajaan memandang serius dan tidak akan membiarkan sebarang aktiviti tidak bermoral dilakukan sindiket persundalan di pulau peranginan di negeri ini sebagaimana didedahkan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini.
22 Jan 24
92
Pelarasan Tarif : SATU Tambah Baik Perkhidmatan Air
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menjamin usaha penambahbaikan dilakukan secara teratur, cekap dan berkesan demi kepentingan pengguna selaras dengan perubahan tarif bermula 1 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut, berkata perubahan kadar baharu itu nanti membolehkan SATU memperoleh ‘suntikan’ modal bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki, menukar serta menaik taraf sistem perpaipan yang uzur seterusnya mengagihkan bekalan air terawat kepada pengguna dengan lebih cekap di Terengganu.
“Kenaikan tarif harus dilihat secara positif yang memberi kebaikan kepada pengguna, bukannya tindakan yang membebankan kerana hasil unjuran pendapatan akan 'dikembalikan' kepada rakyat melalui peningkatan tahap perkhidmatan.
"Pelarasan ini akan membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar dan sempurna menambah baik kualiti bekalan air dilaksanakan.
"Kita dapat gunakan lebihan hasil bagi membaik pulih paip-paip uzur di samping mengatasi isu tekanan air rendah sekitar dan beberapa penambahbaikan lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI) hari ini.
Operasi menaik taraf sistem perbekalan air di Marang.
Tambahnya, kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu seperti yang diselaraskan SPAN adalah masih tidak mencukupi untuk mengatasi kenaikan kos operasi sejak kali terakhir tarif air di Terengganu disemak pada 1997.
“”Sejak SATU ditubuhkan, syarikat berkenaan tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik. Ia bererti kadar tarif domestik tidak berubah sejak 1997 hingga 2023 selama 26 tahun.
"Dalam tempoh tersebut, SATU terpaksa berdepan dengan peningkatan kos operasi, pemprosesan dan perbekalan air terawat yang sentiasa naik setiap tahun," ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 1 Februari ini.
SPAN dalam kenyataan memaklumkan, pelarasan berkenaan dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.
Setakat kini bilangan akaun pengguna air yang aktif di Negeri Terengganu sehingga November 2023 berjumlah sebanyak 341,546 akaun dimana 83 peratus adalah pengguna kategori domestik, selebihnya bukan domestik.
21 Jan 24
220
100 Asnaf Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat TM
Seramai 100 asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini menerima sumbangan zakat daripada Telekom Malaysia (TM) Berhad Cawangan Terengganu berjumlah RM15,000.
21 Jan 24
227
Pelarasan Tarif Air di Terengganu Jamin Situasi 'Menang-Menang'
MARANG, 21 Januari - Kerajaan negeri memaklumkan kenaikan tarif air akan memberi situasi 'menang-menang' untuk syarikat pengendali air dan pengguna di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap 20 meter padu (m³) berbanding negeri lain dan purata di peringkat nasional.
"Kenaikan tarif air ini berlaku di seluruh negara (atas saranan Kerajaan Persekutuan). Setelah dirunding antara semua negeri-negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun ada negeri-negeri yang kadarnya tidak pernah berubah iaitu dalam tempoh 10,15 tahun dan di Terengganu lebih 20 tahun.
“Sedikit sebanyak kenaikan tarif air ini boleh membantu syarikat-syarikat air menyediakan keperluan yang lebih baik kepada pengguna dari segi penggantian paip dan sebagainya.
"Jadi 'is a win win' (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga kepada pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang sempena Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompk (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.
21 Jan 24
202
62 Acara Disenarai Dalam Kalendar Pelancongan 2024
Sebanyak 62 acara pelancongan dan kebudayaan yang meliputi seluruh segmentasi pelancongan disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) di Terengganu.
21 Jan 24
134
Terengganu Sedang Nilai Kerugian Akibat Banjir - Dr Sam
MARANG, 21 Januari - Jumlah kerugian yang ditanggung oleh pelbagai sektor akibat bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini masih dalam proses penilaian.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berdasarkan maklumat awal yang diterima pihaknya, sektor pertanian dan penternakan merekodkan kerugian lebih kecil berbanding ketika bencana sama melanda sebelum ini.
“Berkaitan bencana banjir gelombang ketiga kita belum lagi menerima laporan penuh kerugian yang terpaksa di tanggung oleh pelbagai sektor. Kita ada anggaran kerosakan kepada sektor pertanian penternakan, tetapi kadar kerosakan terhadap dua sektor itu jauh lebih kecil berbanding yang dulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang sempena Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompk (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga masih mengumpul bilangan keluarga terjejas akibat bencana tersebut.
“Kita masih kumpul lagi bilangan keluarga terjejas, tidak lebih dari 1,000 orang terkesan akibat kerosakan rumah mereka dan sangat minima berbanding dengan sebelum ini.
“Kerajaan negeri akan bantu dan tidak sama setiap orang kerana kerosakan berbeza, ianya sedang diuruskan oleh pihak kerajaan dengan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
21 Jan 24
146
Senandung Terengganu Berjaya 'Pikat' Hampir 10 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu berjaya menambat hati lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari berkampung di KTCC Mall, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, berkata program tersebut merupakan acara utama dalam 12 acara ikonik malah menjadi pembuka tirai acara pelancongan dan kebudayaan (COE 2024) negeri.
"Budaya dan manusia berpisah tiada, atas semangat inilah seni, budaya dan warisan menjadi antara lima kluster utama pelancongan yang diberi fokus oleh kerajaan negeri sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri.
"Seiring peredaran waktu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri kembali mengangkat Senandung Terengganu sebagai satu jenama yang akan terus dipopularkan sebagai payung kepada pelbagai pengisian program berkait keseniaan, kebudayaan dan warisan negeri.
"Ini termasuk memperlihatkan keindahan seni muzik Gamelan Melayu yang menjadi lambang kepada pembudayaan masyarakat Melayu kepada pengunjung yang datang ke sini," ujarnya kepada pemberita.
Dalam masa sama, turut diadakan majlis pelancaran Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Program yang diadakan di KTCC Mall bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2024 itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Lembaga Muzium Negeri, dan pelbagai agensi lain.
Menurutnya, antara segmen yang mendapat perhatian pengunjung adalah Flash Mob Tarian Gamelan Topeng oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (40 orang) dan menengah (30 orang).
"Persembahan 10 minit itu menggabungkan tarian dan muzik gamelan dari Tunas Cilik Gamelan SUKTRA yang merupakan salah satu daripada program pengembangan budaya oleh unit Kebudayaan, Tourism Terengganu.
“Antara sekolah yang terlibat dalam program ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, SK Tok Jembal, SK Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dan SMK Kompleks Gong Badak termasuk anak-anak Kakitangan SUKTRA,” ujarnya.
Jelas beliau, mereka merupakan generasi pelapis dan pewaris seni gamelan yang menjadi bukti semakin bertambahnya pembabitan generasi muda untuk sama-sama berganding bahu untuk memelihara khazanah muzik gamelan ini.
Selain itu katanya, terdapat juga pengisian program seperti permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan dan program penggalakan penyu Terengganu.
"Orang ramai turut disajikan dengan demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu, dikir hulu dan banyak lagi dalam memperkenalkan seni budaya yang terdapat di negeri ini," jelasnya.
21 Jan 24
603