lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri sudah merangka pelan pembangunan bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ini termasuk dengan membina laluan cabang landasan (spur line) di lokasi ke Pelabuhan Kemaman. “UPEN juga sedang menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan-kawasan sekitar stesen ECRL di Jerteh, Permaisuri, Dungun, Kerteh dan Chukai.  “Pembangunan yang dirancang akan menyokong kepada industri pemprosesan, pelancongan, pengumpulan produk tani dan berbagai aktiviti-aktiviti komersil,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) susulan kunjungan hormat kerajaan negeri ke atas CEO Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di pejabat beliau di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Delegasi tersebut turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Harun, Pengurus Kanan Lembaga Pelabuhan Kemaman, Mohd Idi Amin Salleh dan Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ridzuan Ali. Tambah Tun Faisal, pelan cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaaan Malaysia Negeri Terengganu (MOTAC), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECER). Jelas Tun Faisal lagi, status pelaksanaan untuk jajaran ECRL di Terengganu adalah mengikut jadual Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mewujudkan ‘spur line' dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat. Menurutnya, apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum. “Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.  
16 Feb 24
3600
Beri Peluang Baharu Untuk Kembangkan Perniagaan Koperasi
Beri Peluang Baharu Untuk Kembangkan Perniagaan Koperasi
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad disaran meneroka peluang-peluang baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan koperasi. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penerokaan peluang-peluang berkenaan penting dalam memastikan perkembangan pesat koperasi agar tidak terhad di bawah beberapa perniagaan sahaja. Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dan memastikan peluang baharu tetap wujud untuk koperasi. "Mereka boleh mencuba bidang penternakan atau pertanian memandangkan  sektor berkenaan menawarkan potensi besar susulan peningkatan permintaan setiap tahun. "Kita berharap jika koperasi melebarkan sayap ke dalam sektor perniagaan lain, kedudukan mereka akan berubah, dan lebih ramai akan menjadi ahli apabila koperasi menampakkan hasil yang lebih baik,"ujarnya. Ariffin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad 2023 di Menara Drawbridge di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, sebagai menghargai pemegang saham utama koperasi, sebanyak 10 peratus  agihan dividen dilaksanakan daripada hasil keuntungan sehingga 31 Mac 2023. Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Pasti daripada NGO Iman Care sempena program Wakaf Al Quran yang dijalankan pada tahun 2023 dan pelancaran Umrah Haramain PASTI Negeri Terengganu.
15 Feb 24
223
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
HULU TERENGGANU, 15 Februari- Pasukan Bola Sepak, Terengganu FC (TFC) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, jumlah penajaan itu adalah bagi tempoh semusim.  "Selain wang tunai bernilai RM250,000, tajaan yang diterima daripada pihak Rimba Razia membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan TFC. "Kami ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lanjut katanya, setakat ini pasukan TFC telah berjaya mengumpul kira-kira RM7 juta penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 23 syarikat. Sementara itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, sebagai peminat tegar bola sepak, tajaan tersebut merupakan salah satu sumbangan syarikatnya kepada pembangunan sukan bola sepak negeri selain diharap dapat membantu mempromosikan zoo miliknya itu.  "Kami mengharapkan agar sumbangan kecil daripada syarikat kami ini akan meransang lagi pasukan TFC dan pemain-pemainnya untuk berjuang dalam pertandingan musim hadapan ini dengan lebih cemerlang. "Sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, insyaAllah kita akan tambah lagi penajaan pada musim-musim akan datang," katanya.
15 Feb 24
349
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'. "Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan. "Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini. "Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.  
15 Feb 24
1075
Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan
Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan
SETIU, 15 Februari - Seorang anak muda dari Kampung Bahagia meraih pendapatan lumayan apabila menceburi bidang penternakan ayam daging secara komersil. Hisyamudin Mat Isa, 30 berkata, beliau mewarisi bidang penternakan ayam daging daripada bapanya sejak tahun 2018. "Reban yang sedia ada sekarang ini kita mampu memuatkan 10,000 ekor ayam dalam satu-satu masa. "Kita mempunyai tiga reban dan saya bercadang untuk menambah lagi reban bagi membolehkan lebih banyak ayam dapat diternak," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Penternakan ayam daging yang diusahakannya turut mendapat pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu. Tambahnya lagi, masa yang diambil untuk ayam membesar dan boleh dipasarkan adalah selama 35 hari.  
15 Feb 24
414
Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih
Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih
15 Feb 24
85
Masyarakat Padang Maras Joging Sambil Berfesyen
Masyarakat Padang Maras Joging Sambil Berfesyen
KUALA NERUS, 15 Februari - Masyarakat Kampung Maras mencipta kelainan apabila menganjurkan aktiviti santai berjoging atau 'Fun Run Padang Maras di kawasan sawah padi dengan memakai pakaian mengikut tema-tema tertentu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, larian sejauh 5.1 kilometer bertemakan 'warna-warni perayaan' itu juga bertujuan mengembalikan suasana keharmonian dan perpaduan dalam komuniti seperti zaman lampau. Katanya, program itu disifakan sebagai sangat berjaya apabila mampu mengumpulkan hampir 200 peserta yang menggayakan pakaian masing-masing mengikut tema. "Dengan pemandangan indah di awal pagi sebaik matahari terbit ataupun detik matahari terbenam, lokasi ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar dan keindahan lanskap yang sangat cantik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Larian Fun Run Padang Maras Kampung Maras, Batu Rakit disini baru-baru ini. Acara ini turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Muhammad Izzudin Abd. Aziz, Ketua Balai Polis Batu Rakit , Syeikh Mohd Ali Aswad Syeikh Mahamod dan wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Nurmazira Mahussin. Sementara itu, Setiausaha Kelab Sukan Rekreasi Bukit Maras, Mohd Izham Mohd A.Wahid, 48, berkata, acara itu bakal menjadi acara tahunan. "Dengan hasrat menjadikannya sebagai satu pengisian komuniti untuk mengeratkan hubungan dan memberi peluang kepada pelancong yang datang untuk menyertai acara, sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan untuk menghayati keindahan suasana kampung berlatarkan aktiviti pertanian," jelasnya. Katanya, mengambil manfaat cuti umum sempena Tahun Baru Cina, 'Fun Run Padang Maras' memberi peluang kepada penduduk kampung dan peserta berkumpul sambil menyertai aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga serta merakam momen menarik sepanjang acara berlangsung. ‘’Semangat kesukanan dan keceriaan para peserta yang hadir menjadikan acara yang julung kali diadakan ini sangat meriah dan begitu bermakna sekali.  "Para peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dapat berhimpun dalam satu acara komuniti setempat, bersama menghayati keunikkan suasana kampung yang masih tinggal, sementara ia belum ditelan arus pembangunan," katanya.
15 Feb 24
495
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut. Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu "Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan. "Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap. Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
385
I-MiTS, KWSP Perkukuh Hubungan Rakan Strategik
I-MiTS, KWSP Perkukuh Hubungan Rakan Strategik
KUALA TERENGGANU, 14 Februari- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) komited dalam memperkukuhkan hubungan bersama rakan strategiknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata, matlamat utama kerjasama tersebut adalah untuk menjalin hubungan baik I-MiTS bersama kerajaan negeri, melalui portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional dengan pihak KWSP.  “Pada minggu lalu kita telah mengadakan pertemuan bersama pihak KWSP bertempat di Wisma Darul Iman. “Dalam perjumpaan tersebut, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali telah berkongsi beberapa perkara antaranya memberi penerangan mengenai produk-produk yang ada di KWSP untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.  “Beliau turut memaklumkan terdapat 10 produk KWSP yang perlu diketahui oleh orang ramai,” ujarnya. Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu KWSP sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan sebarang program demi untuk kebajikan rakyat. “Selari dengan misi memperkukuhkan celik pengurusan kewangan terutamanya yang berada di sektor tidak formal melibatkan pelajar, bekerja sendiri, suri rumah dan lain-lain,” ujarnya.  
14 Feb 24
308
11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024
11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024
HULU TERENGGANU, 7 Februari - Sebanyak 11 barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Tahun Baru Cina 2024 yang berkuat kuasa bermula 6 hingga 14 Februari di Terengganu. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan. "11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). "Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Xiri Wakaf Tapai di sini hari ini. Sehubungan itu katanya, semua pihak diharapkan dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Saharuddin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Tambah beliau, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini. Justeru itu, seramai 117 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri dikerahkan untuk membuat pemantauan dan  melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksnaaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut. "Pihak kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang  disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.    
07 Feb 24
251